CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, August 19, 2012

Curi-Curi Cinta Bab 1




BAB 1

SEORANG budak lelaki berumur 14 tahun sedang bermain bola sepak dengan rakan-rakannya. Dia terhenti tatkala melihat seorang budak perempuan berumur 8 tahun duduk di bawah pokok rambutan sambil menangis teresak-esak.

“Aku nak pergi sana. Kau orang sambunglah main.” Adami Hafizi melangkah laju menuju ke arah budak perempuan itu.

“Apa ni Apis??!”Rungutan kawan-kawannya tidak diendahkan.

“Hai, adik... Adik buat apa?”Adami Hafizi menegur. Budak perempuan itu mendongak wajahnya.

“Adik menangis?”Adami duduk mencangkung di depan budak perempuan yang masih teresak-esak menangis.

“Mak...”

“Kenapa dengan mak adik?”tanya Adami Hafizi lembut.

“Dia kata Ica bodoh...” Serentak itu tangisan Ica semakin kuat. Adami Hafizi memandang simpati.

“Mak Ica tak sengaja kut..”pujuk Adami.

“Mak sengaja! Mak tak sayang Ica...”Ica mencampakkan batu ke depan dengan penuh geram.

“Mak benci Ica!”Ica menjerit lagi. Adami menggeleng-geleng kepala.

“Ica ada buat salah ke?”

“Mak pukul Ica..”Ica tunduk dan menyembunyikan kepalanya di lutut. Adami tersentak. Pukul? Sepanjang umur hidupnya, mama dan papa tidak pernah mengangkat tangan kepadanya.

“Abangkan ada?”Adami mengusap lembut bahu Ica. Ica masih menangis.

“Ica jangan duduk sini. Sini banyak semut merah. Jom kita duduk kat tepi padang? Tengok abang main bola,”pujuk Adami meraih tangan Ica. Ica menggosok-gosok mata dengan sebelah tangan. Sebelah lagi di pegang Adami. Dia mengikut jejak Adami sehingga ke tepi padang. Hanya memandang kosong melihat Adami Hafizi dan rakan-rakannya bermain dengan penuh keseronokan.

“Ica, kau dah berani balik lewat, ya?”Suara mak menyapa telinga Ica. Ica terpaku berdiri di tepi pintu rumahnya. Kaku. Pucat.

“Ke mana kau pergi, hah?”herdikan mak mengundang air mata Ica.

“Kenapa menangis? Jangan menangis!”mak piat telinga Ica.

“Mak.. Mak ampun mak! Ica kat tepi padang sana saja..”Ica merayu-rayu sambil memegang tangan mak kuat. Telinganya benar-benar pedih.

“Sampai pukul enam petang baru balik?!”Telinga Ica dilepaskan. Tetapi tangan mak laju memukul lengan Ica. Ica mengaduh.

“Bukan Ica.. Abang bola ajak Ica tengok dia main!”Ica berundur dan mengelak. Mak membeliakkan mata.

“Kecik-kecik sudah menggatal? Geram aku dengan kau ni, Ica! Pandai kau sekarang?!”Mak ambil tali pinggang ayah. Ica mengogoi ketakutan. Kesekian kalinya, tubuh Ica jadi mangsa.

“Mak! Sakit mak...”sepanjang malam Ica menangis sehingga tertidur.

“Awak pukul dia Ina?”tanya Zafri merenung wajah isterinya yang sedang mengupas bawang.

“Dia tu degil!”rungut Ina. Zafri melepaskan nafas berat.

“Cubalah bawa bersabar, Ina. Dia kecil lagi. Dia anak awak, Ina. Satu-satunya anak kita,”ujar Zafri menyalakan api rokok Dunhill. Ina mencebik.

“Ya, dia anak saya. Tahulah saya mengajar dia. Awak jangan nak mengungkit atau masuk campur.” Ina meninggalkan Zafri menuju ke dapur. Zafri menggeleng-gelengkan kepala.

“Budak tu tak makan lagi malam ni. Merajuk sebab awak pukul gamaknya.” Zafri menguatkan suara.

“Saya tahulah. Bukannya matipun kalau tak makan sehari.”

Zafri mengurut-urut dahinya. Setiap kali hal Ica dibangkitkan, setiap kali itulah baran isterinya memuncak. Di mana hilangnya sifat keibuan wanita itu?


ICA duduk menunggu Adami sendirian. Dua jam dia menunggu barulah Adami muncul bersama rakan-rakan.

“Eh, adik angkat kau tunggu tu,”usik Ilham tersengih menunjuk Ica yang menyepi seorang diri. Adami menolak bahu Ilham.

“Sejak bila dia jadi adik angkat aku?” Pertanyaan itu terbiar sahaja apabila Adami melangkah meninggalkan rakan-rakannya menuju ke arah Ica.

“Ica! Lama tunggu abang?”tanya Adami duduk di samping Ica. Rakan-rakannya yang lain sudah mula bermain. Ica tersengih riang. Dia gembira ada Adami. Satu-satunya teman dan abang.

“Tak lah. Ica tengok pemandangan.”

Ica tunjuk langit. Kemudian tunjuk padang. Lurus dan telus mata keanak-anakan milik Irisya Sareefa.

“Amboi.. Pandai pula Ica menjawab ya? Tengok pemandangan apa pula kat sini? Ada rumput dan langit saja.” Adami tergelak.

“Ica suka.” Jawapan Ica mematikan gelak Adami. Adami tahu sangat bila suara Ica jadi pelan sebegini, pasti gadis cilik itu baru dimarahi oleh ibunya sendiri.

“Mak Ica ada pukul Ica lagi ke?” tanya Adami memandang wajah Ica. Sudah sebulan Ica dan dia menjadi teman rapatnya. Dia jatuh sayang pada Ica, budak perempuan yang paling comot dan cengeng yang pernah dia jumpa.

“Ada, semalam,” adu Ica sayu. Dia masih lagi kanak-kanak... Kanak-kanak yang tahu erti pedihnya rasa hati bila dibenci. Sebab itu jugalah dia tidak bodoh dalam mengenal erti layanan dingin si ibu dikala dirinya benar-benar perlukan kasih-sayang daripada keluarga...

“Kenapa?” Adami bertanya.

“Dia tak suka Ica tunjuk keputusan Ica kat ayah.” Adami mengerut dahi mendengar jawapan Ica.

“Ica malas belajar tak dapat markah cemerlang, kan?”teka Adami laju. Ica tersengih.

“Ica dapat markah 40 dalam matematik,”jawab Ica jujur. Adami tidak mampu menyembunyikan tawanya.

“Patutlah!”

“Abang suka perli!” Ica merajuk. Adami menyiku lengan kecil Ica. Akhirnya tawa Ica dan Adami pecah bersama.

Sekilas, Adami mencuit pipi Ica lembut. Ica membalas tenungan Adami sambil tersenyum lebar. Hanya lelaki ini saja mampu membuat dia tersenyum... Mampu membuat dia ketawa... Mampu membuat dia bahagia. Dia kanak-kanak, tapi dia juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan. Kala ini, tiada seorangpun yang tahu tentang hati kecil milik Irisya Sareefa.

‘Ica sayang abang...’ bisikan itu terlontar di hati si gadis kecil.


1 Komen untuk Cik Rin:

kisahkasihkita

lamanya xsinggah.. whoaa, tecik-tecik pon dh pandai nk syg abg yer... hik3!