CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, August 19, 2012

Curi-Curi Cinta Bab 2




BAB 2

HOI, berhenti!”

Ica segera mendongak melihat wajah-wajah budak lelaki berumur 11 tahun seramai empat orang itu. Ica tahu mereka adalah budak-budak nakal di sekolah. Ica tidak takut.

“Kenapa? Ada hutang?!”tanya Ica berani. Budak-budak lelaki itu ketawa kuat.

“Woh! Berani kau menjawab, ya? Mak bapak kau tak ajar cara hormat senior ke? Kurang ajar betul budak ni!” Adif ketawa kuat dengan mempamerkan muka sinis. Sedar kelemahan Ica yang tidak mempunyai teman dan entah kerana dia sedang membesar menjadikan dia seronok mempermainkan dan membuli gadis kecil itu. Ica mengetap bibir.

“Suka hati akulah nak kurang ajar ke apa ke.. Tak mengganggu hidup kau orang pun!” Ica melangkah ke hadapan.

“Kejap! Apa kau beli? Bagi aku tengok..” Emir menghadang laluan Ica. Dia merampas beg plastik di tangan Ica. Ica mula panik.

“Eh, bagi aku balik, Mir! Mak aku marah nanti...” Ica cuba merampas daripada Emir. Emir mengelak dan mengambil barang-barang di dalam bungkusan beg plastik Ica.

“Telur?” Emir campak ke tanah. Habis telur tiga biji pecah. Air mata Ica mengalir.

“Apa kau buat ni?! Mak aku marah! Sekarang kau ganti! Aku tak kira, kau ganti seringgit!!” Ica memekik. Budak-budak lelaki itu terus ketawa. Seronok mempermainkan Ica.

“Cakap kat mak kau, belikan kau baju baru untuk ke sekolah. Bertampal-tampal! Jijik aku, tau tak?! Sudahlah bodoh!” Hakim menujal kepala Ica sehingga Ica terjatuh. Ica teresak-esak menangis.

“Kau merokok!” Ica terjerit. Hakim, Emir, Adif dan Safuan berpandangan. Serta-merta mereka tertawa.

“Syyyhhh.. Senyap-senyap sudah. Kau jangan report kat cikgu. Kalau tak, nahas!” Adif menolak kepala Ica. Tangisan Ica semakin kuat.

“Apa kau orang buat ni?” Adami tiba-tiba muncul bersama-sama kawan-kawannya.

“Amboi, kecil-kecil dah pandai buli orang?” Sergah Ali, kawan Adami. Hakim, Emir, Adif dan Safuan terdiam. Adami dan kawan-kawannya tinggi-tinggi. Mereka jadi takut.

“Sudah-sudah. Kalau kau orang kacau Ica lagi, aku lapor kat guru besar kau orang. Biar mak bapak kau orang pula yang tahu lepasni,”gertak Adami. Serta-merta keempat-empat budak lelaki itu berlari pergi. Adami menggeleng-geleng kepala sambil segera mendapatkan Ica.

“Ica? Ica okay?”tanya Adami mencapai bahu Ica supaya berdiri.

Ica masih menangis.

“Kenapa ni Ica?” Ilham mengerut dahi melihat telur-telur yang telah pecah di dalam plastik.

“Mere.. Mereka pecahkan. Mak.. Mak.. Ica takut mak marah..”teresak-esak Ica mengadu. Adami menepuk belakang Ica lembut

“Ni abang bagi seringgit, Ica pergi beli lagi. Dah, jangan nangis. Abang tak suka Ica menangis.” Adami menghulur seringgit kepada Ica. Ica mengambil. Dia banyak terhutang budi kepada Adami, dia tahu. Tetapi dia tidak mampu menolak wang seringgit itu kerana dia amat takut ibunya marah.

“Abang dan kawan-kawan pergi main bola dulu. Nanti kita jumpa lepas Ica hantar telur kat mak, ya?”pujuk Adami. Ica mengangguk.

Ica hanya melihat kelibatan Adami dan rakan-rakannya berlalu pergi. Adami semakin tinggi. Tinggi sangat. Dan dia masih rendah. Rendah sangat. Dia suka Adami, dia sayang Adami. Tetapi dia rendah, dia masih budak. Adami sudah tinggi. Ica sepi memerhati lelaki berumur 15 tahun itu pergi bersama rakan-rakannya.

“Ica pun nak jadi tinggi,”bisik Ica kecil.

“ABANG, apa itu love?”tanya Ica angkat kening. Spontan terasa pijar wajahnya menahan segan yang tiba-tiba membara dihatinya. Adami tersengih membalas pandangan Ica.

Love? Love itu bahasa Inggeris,” terang Adami sambil ketawa. Geli hati dengan pertanyaan Ica yang masih berusia 10 tahun itu.

“Maksud dalam bahasa Melayu?”tanya Ica lagi.

“Cinta,” jawab Adami ringkas. Ica melongo.

“Abang ada cinta?” Ica merenung wajah Adami. Sebenarnya dia tahu apa itu love ataupun cinta. Love atau cinta itu perasaan dia terhadap Adami. Cuma dia malu dan segan bila terpaksa menunjukkan cintanya dengan bertanyakan Adami soalan yang bukan-bukan. Harap-harap Adami sedar gelojak jiwa anak gadis ini.

“Tak adalah! Abang masih belajar lagi, dik.. Tak nak main cinta-cinta lagi,”balas Adami tersengih. Ica pandang Adami dengan wajah kosong.

“Oh... Tapi abang cinta Ica ke?”tanya Ica tunduk. Adami tergamam. Dia memandang wajah gadis kecil itu. Terasa serba-salah apabila melihat Ica yang merenung wajahnya penuh harapan.

“Kenapa?” Adami pula yang bertanya. Ica tersengih malu.

“Abang ada setiap kali Ica sedih.” Ica membuang pandangan ke arah langit. Adami senyum lebar.

“Selagi abang bernafas, abang akan ada untuk Ica. Abang akan sayang Ica, abang akan lindungi Ica..” ucap Adami bersungguh-sungguh. Matanya redup merenung wajah keanak-anakan Ica untuk meyakinkan gadis kecil itu tentang janjinya.

“Betul ke? Abang janji?”

Adami kelu sendiri. Lama dia terdiam sebelum menghulurkan senyuman manis kepada Irisya Sareefa. Ah, dia ni budak kecik lagi. Apa yang dia tahu tentang cinta?

“Yes, I promise... I’ll protect you. Forever.”

“Abang cakap orang putih! Ica tak faham!” Ica memuncungkan bibir. Adami ketawa.

“Itulah, abang dah suruh Ica rajin-rajin belajar.. Ica malas. Cuba Ica bawa buku ke sini, study.” Adami menasihati si kecilnya.

“Abang tak belajarpun?” Ica menjawab pantas. Selama ini dia lihat Adami tak pernah membawa buku atau belajar selepas habis waktu persekolahan. Petang aje, terus melepak ke padang.

“Abang study masa malam-malam. Tahun depan abang SPM. Abang tak dapat main ke sini selalu. Abang ada kelas tambahan, tusyen... Abang nak minta maaf awal-awal ni kalau nanti abang jarang nak jumpa Ica,”

“Ala...” Ica sudah hampir menangis. Sedangkan sehari tak bertemu empat mata dengan Adami hatinya meronta-ronta, inikan lagi ‘jarang nak jumpa’. Ica gigit bibir tahan sebak.

“Ica, abang sayang Ica tahu? Ica tetap di hati abang. Ica kena ingat tu...” Adami memujuk.

“Macam cinta, kan?”tanya Ica lagi. Adami tergamam semula.

“Ya.. Ya.. Macam cinta.” Adami membalas dengan senyuman. Ica tersengih lebar.

“Cinta abang sampai mana?”

“Ica banyak tengok tv lah ni? Cinta abang tu ha.. Tinggi macam Gunung Santubong!”

“Ica nak Kinabalu. Lagi tinggi,”balas Ica sedikit bangga. Adami tersengih. Tahu pula budak ni Gunung Kinabalu tinggi daripada Gunung Santubong.

“Iya lah.. Tinggi macam Everest..”

“Everest tu apa?”

“Gunung lah! Paling tinggi.. Tinggi daripada Kinabalu dan Santubong!”

Bulat mata Ica mendengar komen Adami. Hatinya digigit rasa bahagia.

“Abang cinta Ica tinggi Everest?”

“Ermm.. Ya...” Adami jawab dengan senyuman.

“Abang janji!”

“Abang janji... Nanti kalau abang jarang jumpa Ica lagi, jangan marah ya. Abang kena study kuat-kuat supaya abang boleh dapat kerja tinggi-tinggi...”



“ADAM, Ica cari kat luar tu.”

Adami memandang wajah mamanya.

“Kejap, Adam ada kerja sikit lagi. Suruh dia tunggu.”

Puan Nafisa mengangguk dan menutup pintu anak bujangnya serta terus menuju ke ruang tamu.

“Ica tunggu kejap. Abang Adam tengah ada kerja dalam bilik dia. Musim cuti, abang Adam tu memang tak habis-habis bawa assignment dia balik rumah,”rungut puan Nafisa menuju ke dapur. Ica mengangguk.

Lama dia tidak berjumpa Adami. Sudah dua bulan. Adami menuntut di USM dan jarang-jarang balik ke rumah. Ica menilik jam dinding. Pukul 4 petang. Dia harus pulang sebelum pukul 5. Takut mak marah.

“Ica, sihat?” Tiba-tiba suara Adami kedengaran. Ica berdiri. Terus menyalami tangan Adami.

“Ica sihat, Ica rindu abang tau.” Ica tersengih. Adami turut sama tersenyum.

“Abang banyak kerja. Susah sikit nak lepak kat padangtu lagi.”

“Ica faham. Abang macam mana? Sihat?”tanya Ica. Adami angguk kepala. Tidak berminat untuk bercerita panjang kerana otaknya sudah cukup berserabut dengan pelajaran. Wajah Ica dipandang sekilas sebelum matanya jatuh ke arah tv. Entah kenapa akhir-akhir ini dia berasa kekok apabila didampingi Ica. Terasa rimas pun ya. Mungkinkah kerana masing-masing telah dewasa jadi ukhuwah yang terbina itu bukan lagi berlandaskan abang-adik? Tidak... Dia masih menganggap Ica sebagai adiknya.

“Ica balik dulu, bang. Sudah lewat. Nanti mak marah.” Ica berdiri. Adami angguk dan turut sama berdiri.

“Okey,” balas Adami melemparkan senyuman kecil. Dia tidak mahu Ica salah faham atas layanan dinginnya.

Ica yang memerhati tingkah Adami jadi terpesona. Sudah lama dia tidak melihat senyuman di bibir abang angkatnya itu. Rindu mencengkam kalbu remajanya. Adakala dia jadi kagum melihat perubahan pada Adami. Adami matang, Adami segak, Adami kacak, dan bentuk fizikal Adami juga berubah seiring dengan waktu. Semakin tinggi dan sasa.

Adami sepi memandang gadis berusia 15 tahun di hadapannya. Gadis itu sudah tinggi. Mungkin sudah mencapai 160 cm ke atas. Dia sendiri tidak pasti. Malas hendak menilai Ica yang dianggapnya sebagai adik kandung sendiri.

“Ica ke dapur, jumpa mak cik sekejap.” Ica berlalu ke dapur diiringi Adami.

“Ica balik dulu, mak cik.”

“Eh, cepat balik? Mak cik baru nak hidangkan makan petang.”

“Terima kasih, mak cik.. Takut lambat pula. Sudah petang sangat ni,” balas Ica menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Puan Nafisa menyambut dengan senyuman. Kelibatan Ica sudah menghilang. Puan Nafisa memandang wajah kelat anak bujangnya.

“Penat sangat mama tengok Adam.”

“Semalam tak tidur. Lusa kena siap assignment ni. So Adam boleh relax lepas tu,”jawab Adami menuju ke ruang tamu. Puan Nafisa mengekori Adami sambil menatang goreng pisang di pinggan. Adami duduk.

“Adam rapat dengan Ica dah lama, kan? Adam sayang dia ke?” Adami tersentak.

“Apa mama cakap?”

“Adam sayang dia?”tanya Puan Nafisa lagi.

“Sayanglah,”jawab Adami acuh tak acuh. Puan Nafisa tersenyum.

“Lepas ni Adam nak tidur kejap. Mama gerak masa nak Maghrib ya,”pinta Adami. Puan Nafisa mengerut dahi.

“Tak baik tidur lepas Asar, Adam..”

“Adam penatlah mama..” suaranya sengaja ditekankan.

Adami berlalu pergi tanpa menyentuh goreng pisang mamanya. Puan Nafisa hanya mampu menggeleng kepala.

Anak bujang, anak bujang...