CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, August 19, 2012

Curi-Curi Cinta Bab 4



BAB 4

“BULAN madu?” sinis suara itu masuk ke telingaku. Aku jadi serba salah untuk duduk di sisi Adami Hafizi. Lantas aku hanya berdiri membelakangi sofa tempat duduknya.

“Ica, duduklah. Yang berdiri kat sana saja tu kenapa?” tanya mama lembut. Aku teragak-agak melangkah ke sisinya. Bila aku terperasan mata Adami Hafizi terarah ke wajahku tajam, aku akhirnya duduk di sofa sebelah mama dan papa yang masih kosong. Mana mungkin aku tak sedar cara layanannya terhadapku sudah jauh berbeza sejak hari dia berjumpa denganku di padang kali lepas. Terlalu dingin dan sinis. Dia seolah-olah meluahkan rasa marahnya terhadapku. Marahkah dia? Marahkah bila aku yang ditakdirkan menjadi isterinya?

“Papa dan mama tengoklah... Apa guna ada isteri kalau duduk jauh sebatu?” Sindiran Adami Hafizi menyiat-nyiat lubuk hatiku. Ini kali pertama aku melihat sudut lain dari dalam diri Adami Hafizi. Sudut kebencian yang terlalu dalam sehingga tidak mampu kugapai untuk berdiri dan berlari bersama. Aku tertinggal jauh ke belakang. Bukan aku yang menidakkan kehadirannya, dia yang menidakkan hak aku sebagai isteri... Jadi kenapa perlu letakkan kesalahan itu di bahuku? Hati aku menjerit pedih.

Aku bangun semula dan duduk di sebelah Adami. Serta-merta lelaki itu menjauh diri daripada ku. Aku jadi malu. Terang-terang dia menolak kehadiranku...

Aku hanya mampu tertunduk, tidak mampu bertentang mata dengan sesiapa kerana suamiku sendiri meletakkan martabat diriku di tempat serendah-rendahnya.

“Adam..” tegur mama dengan nada suara yang tidak senang.

Adami mendengus. Dia tarik muka masam tanda dia tidak menyukai teguran mama yang berbaur amaran. Atau lebih tepat tidak menyukai diriku. Dia mula membenci aku sebagai isterinya dan aku tahu dia hanya menginginkan aku sebagai seorang adik, tidak lebih dari itu. Dan aku pula tidak mampu menganggapnya hanya sebagai seorang abang kerana hati dan cintaku, sudah ku pertaruhkan segalanya hanya milik Adami Hafizi.

Langkahku diiringi kesepian di ruang tamu. Aku menuang ais batu ke dalam jag kemudian mengambil air sirap. Seketika aku terkaku menggenggam botol air sirap itu erat. Dadaku jadi sesak, sebak. Air mataku mengalir satu persatu. Jiwaku bergetar hebat. Kenapa aku perlu dilayan seperti orang luar di sini? Apakah ini satu hukuman? Tetapi atas kesalahan apa? Kenapa perlu aku menghadapi saat-saat dibenci oleh orang yang amat aku kasihi? Ya ALLAH... Kuatkan hati hamba-Mu ini...

“Ica..” suara mama membuat aku tersentak. Aku mengesat air mataku pantas.

“Ica nangis ke?”tanya mama. Aku menggeleng laju pantas memandang wajah mama dengan sebuah senyuman. Senyuman terpaksa.

“Ica, mama tak tahu boleh jadi macamni. Ica sendiri yang bagi tahu mama yang Adam sayang Ica dan mahu ambil Ica sebagai isteri. Kenapa jadi macam ni, Ca?” Mama mengusap belakangku lembut. Aku tunduk. Setitis demi setitis air mataku jatuh. Aku khilaf dalam menilai hati Adami Hafizi...

“Sabar, Ica.. Pasti ada hikmahnya. Anak mama tu bukannya jahat mana. Nanti lembutlah hati dia...” Mama tubuhku. Aku bersandar layu pada tubuh mama. Meminjam sedikit kekuatan.

Ya, benar kata Adami Hafizi. Aku hanya mampu menumpang kasih mama dan papanya.

“Terima kasih, ma.. Ica sayang mama,”getusku dalam getaran.

Sesungguhnya aku amat terharu pada keprihatinan mama. Walaupun aku terpinggir dari hidup Adami Hafizi, tetapi aku akan cuba bertahan dan mengotakan janjiku pada mama, menjadi seorang isteri yang taat pada suami. Itu janjiku selagi tiada wanita lain yang mampu menyayangi Adami Hafizi sepertimana aku menyayanginya.

“Mama tahu... Sudah pergi bersiap, esok ikut Adam ke bandar. Jangan menangis lagi... Janji pada mama, Ica kena kuat,”pinta mama. Aku hanya mampu mengangguk.

Tangisan ini baru permulaan, mama. Ica takut mengharap, tetapi selagi nyawa ini ada, Ica tidak akan pernah berhenti berharap. Ica akan kejar cinta abang sehingga akhirnya kami benar-benar disatukan...

AKU kaku di hadapan pintu, menunggu Adami Hafizi untuk membuka pintu. Cara dia berjalan tu dah betul-betul macam tengah nak buat aku terseksa. Aku lapar!

“Abang, cepatlah. Penat ni,” rungutku. Hairan perjalanan tiga jam itu mengambil masa seperti tiga hari. Aku benar-benar kelaparan. Malah tanganku turut menggigil sedikit dan tenaga seperti disedut-sedut keluar.

“Amboi, mengarah nampak?” Adami jeling. Aku terus tersengih mendengar rungutan dia. Sedikit rasa bahagia mulai mengalir di jiwa. Entahkah bahagia sedetik ini boleh berkekal lama atau tidak tetapi aku benar-benar mengharap Adami Hafizi menerimaku sedikit demi sedikit sebagai isterinya, bukan adiknya.

“Masuk, kalau nak tercegat kat sana sepanjang hari pun boleh,” tegur Adami Hafizi acuh tak acuh. Aku mengambil beg pakaianku dan beg pakaian Adami masuk ke dalam. Aku tahu dia sengaja meninggalkan beg pakaiannya untuk aku bawa dan aku tidak pula terasa keberatan untuk itu. Aku isteri dia. Perkataan itu melambangkan tanggungjawabku menjaga kebajikannya, dan perkataan itu juga membuat hatiku digigit rasa bahagia.

Aku agak terpinga-pinga menjejak kaki ke rumah itu. Satu tingkat sahaja dan di dalamnya cukup bersih, mungkin boleh aku kata sedikit kosong. Hanya ada sofa, meja dan televisyen. Ah, rumah ini sudah cukup mewah berbanding rumah mak di kampung yang tidak mempunyai set televisyen. Set sofa nampak uzur kerana sudah lama tidak ditukar.

“Kau duduk kat bilik hujung tu, jangan sekali-kali ganggu aku especially kalau aku tengah buat kerja. Kerja kau kat rumah ni, ermmm.. Kau kemas-kemas rumah, cabut rumput kat luar tu, cuci kereta tiap petang lepas aku balik kerja. Jangan lupa cuci dan iron sekali baju-baju kerja aku. Kau masuklah dalam bilik kau, tinggal beg aku kat situ,” Adami tunjuk tepi almari televisyen.

Aku hanya mengangguk-angguk akur. Aku mula melangkah masuk ke dalam bilik. Biarpun bilik aku dan dia berasingan, aku tetap berasa selesa. Dengan hubungan yang berantakan seperti ini, lebih baik kami duduk di bilik berasingan dan aku akan berasa sedikit selesa dengan hak privacy ku.

“Irisya,” panggil Adami. Aku terpaku mendengar lafaz panggilan Adami. Hatiku mula berdegup laju. Irisya? Irisya? Terngiang-ngiang di minda panggilan keramat daripada Adami. Jarang dia memanggil aku dengan nama penuh. Satu perasaan halus menyelinap dalam hatiku.

“Aku suruh kau bawak beg kau, bukan ambil beg aku dan tinggalkan beg engkau.”

Aku pantas menoleh ke arah beg yang aku pegang. Serta-merta wajahku bertukar warna.

So.. Sorry..” Aku mengambil semula beg pakaian aku dan berlari masuk ke dalam bilik. Malunya! Kenapalah aku boleh salah ambil beg walhal beg aku dan beg dia terlalu banyak beza. Beg aku lusuh dan ditampal sana-sini, beg pakaian dia berjenama Adidas yang saban kali dia gunakan untuk bersukan.

Kenapa aku merasakan dia seperti orang lain? Janggal. Dingin. Sangat lain! Kalau Abang Adami, tentu sahaja aku tidak secuak ini. Aku mahu abang Adami yang dulu...

Aku meletakkan beg di tepi pintu dan menutup pintu. Aku cuba mengunci tetapi tombol kunci itu seakan-akan tidak berfungsi.

Seketika kemudian, aku memerhati keseluruhan bilik. Sebuah katil bujang dan almari. Bilik air? Di luar mungkin. Aku menggaru kepala.

“Mana cadar?”

Aku menuju ke arah almari, membukanya. Kosong. Aku mengeluh hampa. Tak apalah, nasib baik aku ada bawa kain batik untuk lapik.

Tiba-tiba pintu diketuk kuat. Aku kaget dan terkaku di situ. Pintu dikuak tiba-tiba. Wajah Adami Hafizi terjenggul di pintu memerhatikan aku tajam.

One more, kalau jiran tanya, jangan bagi tahu dia orang yang kau isteri aku. Cakaplah adik ke orang gaji ke, whatever asal jangan memandai canang satu negeri kau tu bini aku. Faham tak?” dia soal tegas.

Aku tercengang mendengar kata-katanya. Hatiku jadi panas serta-merta. Sampai hati dia anggap aku orang gaji... Aku tak kisah nak buat kerja-kerja rumah sebab aku tahu itu adalah salah satu daripada tanggungjawabku sebagai isteri tapi takkan sampai nak buat aku jadi macam orang gaji? Hati dah macam dihempas dengan pintu. Berkecai. Entah keberapa kalinya hatiku tercarik kerana kata-kata Adami Hafizi, suamiku sendiri. Ah, Ica... Tak perlu mengharap dia akan melayan kau umpama puteri kerana bagi Adami, dia bukan suamimu dalam arti kata yang sebenar...

“Ya, faham,” jawabku dengan nada mendatar. Sebenarnya rasa terkilan itu sudah meresap di dalam seluruh perasaanku.

“Bagus.” Adami hendak menutup pintu bilikku semula.

Aku telan air liur. “Abang nanti!”

Suasana bagaikan terkaku seketika. Dia memandangku dengan wajah terkejut. Aku terkumat-kamit seketika.

“Apa?” soal Adami agak kasar. Tiada lagi kelembutan pada nada suaranya.

“Pintu ini, kunci?”soalku separuh tergagap. Adami mengerut kening.

“Rosak. Tak payah kunci, bukannya aku teringin sangat kau, kau tu yang terkejar-kejarkan aku sampai sanggup tipu mama dan papa yang aku ni nak buat kau jadi isteri... Dan satu lagi, jangan fikir aku adalah Adami yang dulu, yang mudah kau perguna. Kau salah tentang aku, Ica... Dan kau sendiri yang akan terima akibatnya, aku janji!” terasa terlalu sinis kata-kata yang keluar daripada bibir Adami Hafizi, lelaki yang selama ini aku sanjung tinggi.

“Ingat Ica, kau tak akan bahagia berada di sisi aku.”

Aku terkesima mendengar kata-katanya bersama hempasan pintu. Nampak sangat aku ni sekadar perempuan tak tau malu terkejar-kejarkan dia di matanya. Di matanya tidak ada lagi rasa hormat akan diriku. Tak mengapa dia tak hormatkan aku sebab aku yang dah buat benda melampau, tipu mama dan papa Adami semata-mata nakkan dia jadi suami dan pelindung seluruh hidupku. Aku fikir Adami berkongsi rasa yang sama denganku, rupa-rupanya tidak... Malah dianggap sebagai penipu lebih pedih rasanya daripada dianggap sebagai orang gaji.

“Kalau aku tahu jadi macam ni...” Air mata jatuh di pipi buat kesekian kali. Ica, kau kena kuat... Kena kuat sebab kau dah pun masuk ke jalan ni dan tak mungkin undur balik semula ke belakang. Biar takdir menentukan tapi buat masa sekarang, kau kena kuat... Kena curi hati dia tak kira apa yang terjadi, tak kira betapa dalam dia membenci... Aku cuba memujuk diri sendiri.

Aku mengesat air mata dan menuju ke arah katil bujang yang tersedia. Tiada bantal, tiada selimut, tiada cadar.

Kehadiran aku tidak dialu-alukan di sini. Mulai hari ini, aku perlu berdikari. Tiada lagi ‘abang’ yang mampu melindungiku dan sentiasa ada di sisiku apabila aku kesedihan. Nak kata dia kejam, dia tak pernah mengejami aku. Mungkin dia tak suka aku jadi isteri dia, sebab tu dia layan aku macam ni...

Tadi hampir-hampir aku terlupa dan melayaninya seperti ‘abang’ yang selalu ada.. Hampir-hampir terlupa tatkala dia berkata lembut untuk keluar daripada kereta dan masuk ke dalam rumah. Dan hampir-hampir terlupa yang Adami Hafizi sudah membenciku sejak perkahwinan antara kami terjadi. Bagi dia aku pemusnah... Mulai hari ini, Irisya Sareefa akan selalu ingat bahawa ‘abang’ sudah tiada lagi...

“Abang, kalau Ica sakit, abang susah hati tak?”

“Abang tak suka Ica sakit.. Abang tak suka Ica nangis. Abang sayang Ica...”

“Ica pun! Abang janji jangan biarkan Ica seorang diri ek?”

“Ya, abang janji...”

Sungguh, aku rindu saat-saat dulu. Dia sebagai abang dan juga pelindung, dan aku boleh berlindung dan bergantung kepadanya. Aku akhirnya terlelap bersama air mata di pipi.



AKU terbangun tepat pukul lima petang. Perut kosong sepanjang hari dan aku mula rasa lapar. Aku keluar dari bilik dan tercari-cari Adami Hafizi. Perlahan-lahan aku ke ruang tamu, kemudian menuju ke arah tingkap, menyelak langsir.

Kereta dia sudah tiada. Aku menghela nafas panjang. Kenapa dia tak beritahu dia nak keluar pagi ni?

Sekurang-kurangnya, aku tahu bahawa aku sedang keseorangan di dalam rumah ini. Susah sangat ke nak cakap, ‘abang keluar dulu’, atau ‘aku keluar dulu’? Aku gigit bibir cuba membuang prasangka buruk yang bermain diminda. Biarpun dia anggap aku ni macam orang gaji ke, macam makcik cleaner ke, amah ke, tak boleh sekurang-kurangnya jaga hati aku sikit? Nampak sangat dia tak sayang aku lagi dah. Aku janji yang aku akan terus berada di sisinya tak kira apa yang akan terjadi, kan? Jadi jangan ambil hati sangat.

Laju langkah kakiku menuju ke arah dapur. Dan aku terpaku di sisi pintu dapur bila mata terpandang satu polistrin makanan di atas meja dapur. Aku melangkah menghampiri meja dengan hati yang sebak dan membuka polistrin itu. Nasi bersama kari ayam dan sayur campur. Entah kenapa air mataku membasahi pipi semula.

Abang masih sayang Ica kan? Sebab tu abang tetap fikir pasal Ica biarpun abang tak suka Ica jadi isteri abang?

Seleraku mati tiba-tiba. Keliru bersama rentak degupan jantung yang semakin tidak sekata. Ini kali terakhir aku menangis... Aku tidak mahu menangis lagi.


3 Komen untuk Cik Rin:

kisahkasihkita

great ica.. xpayah nk nangis sgt utk mamat sudu plastik tu!

Anonymous

haha..mamat sudu plastik..tp btl jgk kn??biaq pi la mamat tu...x pyh lyn die sgt..tunjuk kt die yg ica x cengeng..

Anonymous

geram nyer... yups. buat aje yang ica x kisah pun