CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, August 19, 2012

Curi-Curi Cinta Bab 5




BAB 5

PUKUL 10 malam, Adami Hafizi belum lagi pulang ke rumah. Aku risau yang amat tapi nak cari dia adalah benda yang paling mustahil. Dari pagi aku menunggu kelibatannya. Penat duduk di sofa, aku beralih menuju ke tingkap, menyelak langsir dan mengharapkan lelaki itu selamat tiba di rumah. Aku mengeluh kecil apabila penantianku sia-sia.

Aku tidak mampu menghindari daripada rasa ingin tahu ke mana Adam pergi. Setelah lama berdiam diri, akhirnya aku mula menuju ke arah bilik Adam dan membuka pintu biliknya perlahan-lahan.

Tepat tekaan aku, Adam tiada di bilik.

Aku sedikit tercengang melihat bilik lelaki itu yang amat kemas dan tersusun lengkap dengan almari dua buah, katil saiz king, meja lampu di tepi katil dan meja rias. Aku menuju ke arah meja kerjanya yang berada di tepi pintu. Ada beberapa gulung kerta panjang di situ. Aku membelek-belek lukisan bangunan yang ada di atas meja kerjanya.

Kemudian aku membuka lampu bilik yang berada di sisi meja kerja Adam. Warna coklet cair bersama warna putih menjadi tema biliknya. Dia penggemar warna coklet cair, aku tahu itu. Aku tersenyum sendiri. Aku terpaku tatkala mataku terpandang sebingkai gambar di sisi meja tidur Adam. Gambar seorang wanita sedang tersenyum bahagia. Cantik. Amat cantik! Aku menggigit bibir kuat. Adami mempunyai teman wanita kah? Kenapa selama ini aku tak tahu tentang kewujudan wanita di dalam gambar ini dalam hidup Adami Hafizi? Dadaku berdetak laju.Muka terasa pucat tak berdarah. Tanganku mula menggigil menahan sebak di dada. Aku lemas bertarung dengan kemelut hati keseorangan tanpa dia sebagai suami.

“Ica, apa kau buat kat sini?”

Aku tersentak. Hampir-hampir terjerit saat Adami menegurku keras. Mata Adami mula melilau ke arahku dengan pandangan menyinga dan aku jadi cuak serta-merta.

“Err.. Ica... Ica...” Aku tergagap-gagap untuk memberikan alasan. Tajam mata Adami membuat lututku terasa longgar. Akhirnya aku tertunduk tanpa bicara.

“Keluar sekarang. Mulai hari ini, jangan sesekali masuk ke bilik aku!” dia cakap macam nak jerit.

Aku tahu dia marah dan aku tahu siapa diriku di matanya. Kalau boleh dia tak nak kewujudan aku di rumahnya ini... Kalau boleh dia nak bencikan aku selagi nafasnya bernyawa. Macam mak... Macam mak benci kat aku. Air mata yang tiba-tiba jatuh ke pipi kukesat dengan belakang tangan segera. Tak nak dia tahu yang aku sedih sebab aku tahu air mataku ini tidak bernilai untuknya. Aku sekadar mengangguk kecil untuk menjawab arahan Adami.

“Ingat, jangan nak masuk-masuk bilik aku lagi. Kalau aku tahu, aku tak teragak-agak nak bawa kau balik semula ke kampung.” Dia ugut. Aku pandang muka dia lama. Entah rasa sedih ini seakan-akan terbang digantikan rasa sebal yang menggunung. Tak luak mana kalau aku masuk bilik dia pun...

“Habis nak cuci dan iron baju abang?” aku soal pelan.

“Aku letak dalam bakul, kalau kau dah cuci dan iron, kau gantung saja kat ruang tamu.”

Aku mengangguk kecil mendengar arahannya. Langkah satu-persatu kususun keluar daripada bilik itu dengan perasaan yang berbelah bahagi. Agaknya sampai bila aku nak hidup begini di sisi Adami? Tiada kebahagiaankah yang sudi menyinggahi diriku ini? Tidak padankah aku untuk mencicipi walau sedikit nikmatnya hidup?

“Ica,”Adam memanggil namaku. Langkahku mati di muka pintu. Aku menanti ayatnya dengan debar di dada.

“Perempuan dalam gambar itu, girlfriend abang.”

Abang? Dia bahaskan dirinya ‘abang’ dan beritahu aku bahawa wanita itu kekasihnya? Apakah dia ingin menyatakan bahawa hatinya adalah milik wanita lain? Hatiku terguris dalam. Aku melangkah laju keluar dari bilik itu dengan wajah yang merah padam.

“Abang milik Ica seorang,” bisikku geram.

Aku masuk ke bilik dan duduk di tirai katil. Aku belum mandi, belum makan, belum berkemas, dan otak aku tengah berserabut. Aku mengeluarkan semua baju-bajuku dan membuka almari. Tiada penyangkut baju untukku gantung pakaianku. Aku mengeluh kecil dan melipat baju satu persatu lalu kuletakkan di almari. Beg pakaian aku letak di bawah katil. Kain batik aku tebar menjadi alas tidur bersama sehelai sweater menjadi selimut. Aku menutup lampu bilik dan terus merebahkan diri ke tilam.

Aku benar-benar rasa keseorangan. Tiada kawan dan jauh daripada tempat asal. Di mana aku sekarang? Aku inginkan perlindungan tetapi kenapa bukan Adami yang mengambil tempat itu setelah antara kami sudah ada hubungan sah? Aku sedar aku hanyalah beban kepadanya. Aku sedar itu. Tapi aku amat-amat perlukan dia sebagai pelindungku. Takkan dia tak sedar?

‘Perempuan dalam gambar itu, girlfriend abang.’

Sedikitpun tidak aku hargai kejujuran Adam. Aku tidak suka apa yang dia katakan. Mungkin pada dia, itu hak dia. Tetapi pada aku kata-kata dia umpama belati melibas jiwa. Aku tidak mahu sesiapa menjadi alasan untuk Adami jatuh cinta kepadaku. Dia dah kahwin dengan Irisya Sareefa jadi dia adalah milik aku seorang!

“Ica, kau tak makan lagi lauk kat atas meja tu? Pergi makan sekarang.”

Ketukan pintu itu tidak ku hiraukan. Aku benar-benar terluka saat ini. Kata tak sayang, tak usah nak peduli sangat pasal aku dah makan ke tak. Agaknya kalau aku mati kebuluran lagi dia suka. Dia kan benci pada aku? Rajuk di hati semakin kuat. Aku memusingkan badan menghadap dinding.

“Ica?” serunya.

Aku sedar pintu dikuak. Tetapi tidak sampai sesaat, dia menutupnya semula.

Kalau aku tak makan pun, dia tidak akan kisah. Aku sedar siapa diriku. Tapi aku dah berazam nak dapatkan cinta dia.

Aku tidak peduli siapa wanita itu di dalam hati Adami kerana biar apapun yang menghalang, Adami Hafizi akan tetap jadi milik aku seorang. Aku akan mencuri cintanya sehingga dia sedar bahawa orang seperti aku layak mendapat cintanya. Aku tak cacat dan masih muda, kenapa harus aku mengalah mendapatkan cintanya? Nampak sangat kebodohan aku jika aku mengalah! Beria-ia merayu pada mama dan papa untuk dikahwinkan dengan Adami Hafizi, kemudian pulang dengan kecewa mengaku bahawa tidak mampu memenangi hati Adami? Aku masih ada harga diri. Aku telah berjanji, dan janji itu harus aku tepati.

Menagih cinta dan kasih kepada suami itu tidak salah! Aku tidak peduli kalaupun setakat terpaksa merayu dan meminta-minta kepada Adami Hafizi, suamiku sendiri.

AKU bangun pukul 5.40 dan solat Subuh. Aku tahu pagi ini Adami Hafizi pergi ke pejabatnya. Aku segera berlalu untuk mandi kerana dari semalaman aku tidak mandi. Sejuk! Aku tidak kisah sebab selama ni pun aku memang sentiasa mandi dalam kesejukan, lebih-lebih lagi di kampung. Aku masuk ke bilik dan memakai baju kurung. Itu sahaja baju yang aku ada. Baju kurung untuk siang, dan baju t-shirt serta kain batik sewaktu malam. Nak kata seluar track tu memang ada tapi aku tak berapa selesa pakai seluar di dalam rumah.

Aku bergegas ke dapur setelah bersiap dan membuka peti sejuk untuk mencari sesuatu untuk di masak. Mata aku terarah melihat tong sampah dan aku lihat makanan semalam di buang ke tong sampah. Aku mengeluh kecil, faham bahawa makanan itu terbazir tanpa disentuh.

Aku mengeluarkan dua biji telur daripada peti sejuk dan bungkusan sosej. Aku menilik periuk nasi dengan harapan ada isi tapi nampak macam nasi tu dah basi je. Nak masak ke? Aku menilik jam, pukul 5.50. Aku cuba cari beras tapi tak jumpa. Adami ni bila last time dia masak ya? Nasi yang dah basi aku rendam dengan air sekejap dan buang dalam tong sampah. Tahan juga loya nak buang walaupun kat tekak dah mual-mual.

Langkah kuhayun ke bilik Adami.

Aku ketuk pintu biliknya berkali-kali tapi dia tak jawab. Aku cuba pintu bilik dia tapi tak dapat. Aku menggaru-garu kepala sendiri. Pagi ini serba tak kena rasanya.

“Abang Adam,”seruku.

“Aku tengah mandi!” Dia terjerit. Aku teragak-agak untuk bertanya.

“Kat mana abang letak beras?”

“Ha?”

“Beras..!!”

“Kat peti sejuk, bawah sekali!”

Beras kat peti sejuk? Aku segera menuju ke dapur dan membuka peti sejuk bahagian bawah. Aku lega melihat satu pek beras belum dibuka tapi yang dia letak dalam peti sejuk ni, memang orang-orang kaya letak kat situ ke?

Aku memasak nasi goreng serta membancuh air milo. Adami muncul tatkala semua telah tersedia di atas meja. Hati aku turut berbunga-bunga melihat wajahnya tenang memandang hidangan di atas meja. Dia duduk dan makan sementara aku hanya memerhati. Aku mahu dia yang mempelawa kerana dia tuan rumah ini ttapi dia tidak mengendahkan aku. Laju saja dia makan tanpa menyentuh milo yang aku buat.

“Aku suka nescafe,”ujarnya tiba-tiba setelah menghabiskan makanannya. Aku kerut dahi. Selama aku kenal Adami, tak pernah pun aku nampak dia sentuh nescafe atau kopi atai sewaktu dengannya. Aku cukup-cukup tahu apa yang dia suka dan apa yang dia tak suka.

“Abang bukan suka milo, ke?” tanyaku hairan. Dia berdiri sambil mencuci tangannya. Dia mendekatiku yang sedang berdiri di tepi meja. Jantungku tidak berhenti daripada berdegup kencang.

“Apa salahnya tukar selera?” bisiknya tepat di tepi telingaku sinis, terasa mencucuk ulu jantung walaupun aku tak tahu maksud kata-katanya. Selera sudah bertukar. Dulu suka, sekarang tak suka... dulu tak suka, sekarang suka... Macam aku kan? Dulu dia sayang, sekarang dia benci!

Aku hanya mampu melihat dia berlalu pergi. Sekali lagi, aku dikuasai satu perasaan yang aku sendiri pun tidak pasti. Jantung aku berdebar-debar, tetapi hati aku terluka dalam.

Bunyi pintu dibuka dan ditutup semula. Aku tahu dia sudah pergi dari rumah ini. Aku melangkah ke tempat mencuci pinggan dan membuka pili air. Aku termenung memandang air yang mengalir deras daripada paip. Kosong. Fikiranku benar-benar kosong!

Aku tersedar dari lamunan apabila terdengar bunyi enjin kereta. Aku segera mengemas meja dan mencuci pinggan-pinggan yang telah digunakan. Pingganku, aku letak semula di tempat pinggan mangkuk. Tak ada selera nak makan lepas dengar apa yang Adami cakap kat aku tadi.

Aku ke ruang tamu untuk membersih dan menyapu. Setelah selesai, aku menuju ke bilik Adam. Kunci. Pakaian kotornya di letak di tepi pintu. Aku gigit bibir sendiri sedar Adami sanggup letak baju di luar pintu sebab tak bagi aku masuk bilik dia.

Lepas semua kerja dah habis, aku menuju ke dalam bilik dan mengambil sebuah buku. Aku mengambil pen dan menulis sesuatu di atas kertas.

‘Cara memikat hati Adam’

Aku menggeleng-geleng kepala laju. Aku conteng ayat itu dan aku tulis ayat baru.

‘Cara mencuri cinta abang’

Aku menggaru kepala. Berfikir sesuatu.

1. Kena jadi isteri yang taat dan jangan lawan cakap abang

2. Selalu ada masa dia sakit

3. Siapkan semua keperluan abang

4. Tunggu abang setiap kali balik dari kerja

5. Masak sedap-sedap

Aku menggigit pen di tangan. Masak sedap-sedap? Bagaimana hendak memasak jika ada sosej dan telur sahaja di dalam peti sejuk? Nanti tanya abang. Bisik hatiku. Setelah setengah jam berguling-guling di atas katil memikirkan pelbagai cara, akhirnya aku mengambil keputusan untuk ke ruang tamu. Macam poyo je kena fikir cara curi hati dia sedangkan aku tahu hati Adami sekarang ni dah jadi keras macam besi. Macam mimpi kalau aku dapat pikat hati lelaki itu.

Aku membuka televisyen. Tiada satupun rancangan yang menarik hatiku. Aku menyelak langsir dan menilik ke arah luar. Ada seorang gadis yang sedang menjemur pakaian di luar sana. Aku menjejak kaki ke luar rumah. Cuba menegur gadis yang aku rasa berumur 20 tahun itu.

“Hai..” aku menyapanya. Dia memandang aku hairan.

“Hai,” balasnya berhenti menyidai pakaian. Dia melangkah menuju ke tepi pagar yang membezakan rumah ini dan rumahnya.

“Awak siapa eh? Tak pernah nampak pun...?”

Aku tersentak mendengar soalan gadis itu. Soalan maut...

“Sa.. Saya orang gaji sini,” balasku lambat-lambat. Seribu satu rasa hati terbuku demi mengucapkan aku hanya orang gaji di sini. Aku isteri Adami Hafizi!

Dia menghulurkan senyuman ramah.

“Indonesia?” soal gadis itu. Aku geleng kepala.

“Tak, Malaysia,” jawabku sambil tersenyum kecil. Aku ni, ada rupa macam orang sebelah nuh ke?

“Oh, tak pernah pula encik sebelah rumah ni ambil pembantu rumah. Dia sibuk sangat kut. Dia handsome, kan?”

Aku terdiam. Rasa cemburu mula terbit di hati. Handsome? Ye kut?

Menyedari aku tidak menyenangi soalannya, gadis itu tersenyum ramah. “Nama saya Lina. Tinggal kat sini, rumah mak long saya.”

“Saya Irisya, umur 18 tahun.”

“Eh, muda lagi... Akak 24 tahun. Panggil Kak Lina.”

Kak Lina... Orangnya mesra, suka tersenyum, berwajah manis juga... Sekali pandang aku dah jatuh suka nak berkawan dengannya.

“Kak Lina dah kahwin?”aku tanya ingin tahu. Dia gelak kecil.

“Tak lah! Akak ni tak reti nak goda lelaki.” Kak Lina jawab selamba.

“Nak kahwin kena goda ke?” Aku menggaru kepala. Boleh pakai ke Kak Lina punya hipotesis ni? Kak Lina hanya ketawa melihat wajahku yang mula kehilangan riak.

“Nak pikat seorang lelaki, kena goda dia. Senang saja..”

Bila tawa Kak Lina semakin kuat, aku tahu Kak Lina hanya bergurau denganku. Malah aku turut tertawa mendengar kata-katanya.

“Kalau senang, kenapa belum kahwin?”

“Akak ni mana ada orang yang nak. Lainlah Irisya, cantik.”

“Mana ada cantik...” Aku menafikan. Wajahku sudah merona merah.

“Irisya cantik! Nama pun cantik.”

“Tak adalah, kak.. Biasa aje.. Kak Lina pun cantik jugak.”

Pertama kali aku dipuji sebegitu. Terasa dihargai walaupun aku sedar Kak Lina mungkin hanya sekadar menyedapkan hatiku saja.

“Irisya baru kat sini, kan? Jom akak bawa jalan-jalan...” Pelawaan kak Lina aku jawab dengan gelengan kepala.

“Tak berani lah kak.. Takut Encik Adam marah..” Aku memberi alasan. Kak Lina mengangguk akhirnya.

“Irisya tinggal kat sini ke?”tanya Kak Lina. Aku angguk. Berkerut dahi Kak Lina. Aku cukup jelas apa yang difikirkan olehnya. Tetapi aku diamkan saja sebab aku tak ada jawapan untuk persoalan yang berada diminda Kak Lina.

“Irisya tak nak cari kerja lain?” Aku terdiam mendengar pertanyaan kak Lina. Kerja tempat lain? Tempat ini adalah impianku sejak kecil. Tempat di mana aku berada di sisi Adami Hafizi.

“Ada ke kak?” soalku sekadar berbasa-basi.

“Akak pun tengah mencari tau. Akak teringin nak kerja kat tempat lain. Result SPM akak memang tak baik. Sebab tu akak okay je kalau sekadar kerja kilang.” Kak Lina tersengih. Aku sekadar mengangguk. Nak kata jauh beza aku dan Kak Lina tu taklah tapi result SPM okey je kecuali keputusan aku tak nak belajar lebih jauh lagi.

“Nanti kalau akak ada tempat yang bagus, akak beritahu Irisya..”

Aku mengangguk lagi.

“Eh, akak nak sambung sidai pakaian dulu. Nanti apa kata mak long tak bersidai sampai tengah hari.”

“Saya pun nak masuk dulu. Terima kasih Kak Lina,”ucapku ikhlas. Kak Lina senyum mengangkat ibu jarinya.

“No hal lah!”

Aku melangkah masuk ke rumah setelah bertukar senyuman dengan Kak Lina. Dia amat mesra dan peramah. Nasib baik ada Kak Lina jadi adalah tempat untuk aku berbual dan bergurau senda selepas ini. Hidup sorang-sorang kat rumah ni walau hakikatnya ada Adami tidak mampu mengurangkan rasa kesunyian di hatiku.

Aku senyum sendirian sebelum mengunci pintu dari dalam dan duduk di sofa ruang tamu menonton televisyen. Drama tv 2 yang aku sendiri tidak pasti tajuknya.

“Itu bukan cinta! Itu obses!”

Aku terkelu mendengar ucapan seorang watak lelaki kepada watak perempuan yang sedang menangis. Aku bukan budak kecil untuk menilai apa yang dikatakan oleh watak-watak di dalam drama itu.

Jadi, apa yang aku rasa sekarang ini, cinta atau sekadar obsesi aku terhadap Adami Hafizi? Aku menggigit bibir. Tak mungkin obses sebab aku percaya cinta ini datang dari hati.

“Ini cinta.” Putus hatiku kuat. Ya, ini cinta. Aku tak bodoh untuk menilai perasaanku sendiri dan aku juga tak bodoh untuk mendapatkan Adami sebagai obsesi. Aku perlukan dia sebagai pelindung dan bukankah itu adalah salah satu tanggungjawabnya?



PETANG pukul 5, bunyi kereta Adami masuk ke perkarangan rumah. Aku bingkas menutup televisyen dan menuju ke arah pintu rumah. Membuka pintu dan tersenyum lebar melihat Adami sudah turun dari kereta dengan wajah yang lesu. Penat sangat kut?

Aku memberi ruang untuk dia masuk ke dalam rumah.

“Abang, abang dah balik?” Tegurku ramah.

Adami terus menuju ke dalam bilik tanpa sepatah perkataan pun. Dia tunjuk muka dingin tak nak layan aku walaupun aku hulur tangan untuk menyalaminya, salah satu tanggungjawab seorang isteri seperti yang mama dah buat pada papa. Aku terasa hati. Tahulah dia benci kat aku sangat-sangat kan tapi takkan nak pandang muka aku pun dah jadi kudis pada dirinya?

Aku menutup pintu dan duduk di sofa menanti dia keluar dari biliknya. Beginikah agaknya jadual hidup aku setiap hari? Bangun awal pagi, masak untuk dia, tunggu dia dan bila dia balik, kena duduk dalam bilik senyap-senyap. Bosan dan geram bertukar jadi satu.

Dia keluar setengah jam selepas itu. Aku tahu dia sudah pun mandi sebab rambut Adami agak basa dan di lehernya tersangkut sehelai tuala.

“Abang, barang dapur kurang, Ica nak masak...” Aku ingin meminta dia membeli barang-barang dapur, tetapi mulut aku terkelu apabila dia memandang mata aku tajam.

“Ta.. Tak boleh ke?” soalku tersekat-sekat. Hanya dia yang mampu membuat aku menggelabah tahap tak ingat sebab hanya dia aje yang mampu membuat jantungku berdegup dengan pantas. Tak kira walau apapun bentuk pandangan matanya kepadaku, marah, sayang, dingin, semua itu cukup membuat hatiku bergelora hebat. Dia menuju ke arahku tiba-tiba.

“Esok kau pergilah sendiri.”

Dia ambil tempat untuk duduk di sisiku. “Tapi...” Aku pantas menyampuk. Dan mataku jatuh ke lantai bila dia membalas pandanganku dengan anak mata yang seperti berapi.

“Ica tak kenal tempat...” aku sambung dengan nada yang hampir-hampir tenggelam, takut dia marah.

“Kita pergi sekarang, bersiap dulu.”

Aku terkejut mendengar kata-katanya. Tadi dia nampak marah aje tapi sekarang ni macam tak kisah pulak. Beberapa saat kemudian aku tersenyum lebar dan bergegas menuju ke dalam bilik. Jalan-jalanke? Hatiku berbunga riang.

Aku menyikat rambut dan mengikat satu ke belakang kemudian membetulkan baju kurung yang aku pakai. Aku mengambil dompet dan kemudian menuju ke ruang tamu semula dengan senyuman terlekat di bibir. Aku tak mampu menepis rasa bahagia apabila Adami sudi menerima cadanganku tadi.

Melihat aku sudah terpacak di hadapannya, Adami mengambil kunci kereta di atas meja. Aku masih tersenyum seronok. Aku tahu dia dapat mengagak apa yang aku rasa ketika ini, tetapi dia tidak menghalang kegembiraan aku dengan tindakan sinis yang seperti selalu dia lakukan dah cukup bagus dah. Beberapa hari kami berkahwin, tetapi sudah 10 tahun kami saling mengenali. Dia tahu aku dan aku tahu siapa dia. Dia kenal aku lebih daripada orang lain.

Aku bergegas keluar rumah saat matanya seakan-akan memberi amaran untuk aku bergerak cepat. Selepas itu dia mengunci pintu rumah.

Awal-awal dia menyuruh aku mengambil plastik yang ada di dapur tetapi aku lebih selesa untuk membawa sebuah bakul berwarna merah yang ada di dapur.

Dia berhenti memandang aku yang masih terpaku berdiri di sisinya. Dia melihat aku dari atas ke bawah, mungkin terkejut dengan penampilan aku yang agak biasa aje walhal kami nak keluar berjalan dan bertemu orang luar. Tapi tengok pandangan dia macam nak makan aku, aku mula rasa sedikit tidak selesa. Aku tahu dia menyembunyikan senyumannya. Tahu sangat mesti dia tengah fikir apa punya old-fashion la pakaian yang aku guna sekarang tapi aku tak da baju lain kerana mak tidak pernah memanjakan aku. Sekadar membuatkan aku sepasang dua pasang baju kurung untuk beberapa tahun sebelum aku meningkat dewasa. Mak tidak pernah memanja-manjakan aku!

Adami masuk ke dalam keretanya dan aku juga duduk di tepi tempat duduk pemandu. Aku diam saja sepanjang perjalanan kerana ingatanku berputar pada mak.

“Penat aku sekolahkan kau, habis sekolah kau nak kahwin? Bila kau nak balas jasa mak kau ni? Sejak ayah kau meninggal, aku yang menyara kau, tahu?”

“Mak, Ica nak kahwin juga dengan abang Adam.”

Pangg!! Wajahku di tampar mak. Perit tak terkata tapi aku dah biasa. Biarpun mata berair tetapi aku tetap dengan keputusan aku. Memang aku seorang pengecut takut dengan kemarahan yang terhambur oleh mak untuk aku tapi kali ini aku tetap akan berkeras sebab aku percaya, Adami aje yang mampu melindungi dan mengasihi aku.

“Kahwin? Kahwinlah! Tetapi lepas kau kahwin, jangan datang rumah ini lagi!!”

“Sampai hati mak..” getar suara Irisya Sareefa ini tidak pernah menjatuhkan rasa simpati mak kepada diriku.

“Kau yang kurang ajar sangat!”

“Mak, Ica mintak ampun, tapi Ica tetap nak kahwin dengan Abang Adam...”

Aku mengetap bibir teringat mak. Ada rindu di hati tetapi aku cuba menafikan. Dia bukan lah ibu yang sempurna! Dia terlalu banyak melukakan hati aku! Dari dulu lagi aku ingin lepas daripada sangkar milik mak dan dari dulu lagi aku ingin memberontak pada mak, tetapi aku terlalu takut padanya.

Lantas itu, aku mengikut kursus kahwin bersama Adeera, jiran sebelah rumahku yang turut akan berkahwin selepas tamat SPM. Masa hadapan aku kini hanya pada Adami, dan aku percaya Adami mampu menjaga aku sampai bila-bila seperti yang dia janjikan dulu. Aku pasti.