CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, August 19, 2012

Curi-Curi Cinta Bab 6




BAB 6

“NAK pergi mana ni?” soal Adami setelah mendapatkan tempat letak kereta. Aku yang termenung jauh menghadap cermin kereta tersentak daripada lamunan. Terpinga-pinga memandang wajahnya kerana agak janggal setelah lama tidak mendengar suara Adami bernada lembut kepadaku.

“Nak pergi beli...” balasku lambat-lambat. Adami menghela nafas panjang. Dahi ditekan perlahan.

“Nak beli apa?” soal Adami lagi. Kali ini suaranya bernada keras. Aku memandang wajah Adami sekilas sebelum kembali tala mata ke depan.

“Beli barang-barang dapur.”

“Turunlah...” dia cakap. Tapi aku tengok dia masih lagi duduk diam di tempatnya. Aku angkat kening melihat Adami masih lagi belum mematikan enjin kereta. Takkan dia nak tunggu aku kat dalam kereta kut? Aku bukannya tau sangat jalan kat sini... Tapi manalah tau dia malas nak turun, jadi dia tunggu kat kereta dan biarkan aku beli barang sorang-sorang. Aku telan air liur kelat bila perasan Adami Hafizi tenung wajahku tajam-tajam. Takpelah kut. Biar aku aje yang turun kalau dia tak nak teman... Bukan sesat mana pun. Kalau sesat nak ke dia cari aku ya? Agak-agak nak ke? Atau dia biarkan aje aku kat sini sampai bila-bila?

Aku buka pintu kereta tanpa pandang muka Adami lagi. Kalau betullah dia nak biarkan aku sesat dan tak jumpa dia lagi, aku rasa lebih baik aku redha atas segala-galanya. Tapi perasaan ingin menduga ini begitu kuat menggigit tangkai jiwa jadi aku harap sangat-sangat dia tetap tunggu aku di sini walaupun hati kuat sangat menyatakan lepas aku keluar dari kereta ni, dia pergi begitu saja.

Tapi baru aje aku jejak kaki ke lantai simen, dia membuka pintu kereta dan terus keluar dari kereta. Aku tercengang-cengang bila dia tarik tanganku dengan kuat. Masuk ke pintu gerbang pusat membeli-belah dia terus lepaskan tanganku tanpa bersuara satu apapun.

Dia masuk dan aku berjalan di belakangnya. Pandang tubuhnya dari belakang saja mampu membuat jiwaku terbuai lantaran lelaki inilah yang aku damba sejak kecil lagi. Aku tahu dia tidak mahu beriringan berjalan denganku kerana perasaan malu. Yelah aku ni perempuan comot dan kekampungan, dan dia pula lelaki yang segak bergaya dan mampu menjadi tumpuan semua mata. Aku keluh kecil. Antara kami berdua terlalu jauh berbeza dan aku langsung tidak menepati ciri-ciri perempuan yang dia suka. Kalau tak, takdenya dia nak benci kat aku tanpa sebab yang kukuh sebab dah sah-sah dari dulu lagi kami berkawan rapat.

Sesekali langkahku terhenti memandang kiri dan kanan kagum dengan apa yang terbentang didepan mata. Dia pula terus berjalan ke depan tanpa peduli aku ikut dia ke tak. Sampai di satu kedai, aku terpaku melihat kasut-kasut yang tersusun cantik di atas rak-rak. Cantik!

Aku tunduk melihat selipar yang aku pakai. Lusuh sangat nak dibandingkan dengan orang lain yang ada kat pusat membeli-belah ini. Aku tersengih kecil tanpa perasaan.

Mustahil untuk aku membeli selipar yang ada di situ kerana aku pasti harganya teramat mahal untukku.

“Ica.”

Aku menoleh ke hadapan. Adami berdiri tegak sambil memeluk tubuh dan memandang wajahku tajam. Aku senyum dan berlari menuju ke arahnya.

“Nanti sesat padan muka...” kutukan Adami tidak berbekas di hatiku malah membuat aku semakin tersenyum lebar. Nampak sangat telahanku sewaktu berada di parking lot tadi salah. Adami tak da niat nak tinggalkan aku sorang-sorang kat sini, aku je fikir terlalu jauh...

Adami tunjuk hadapan tanda dia mahu aku dulu yang berjalan di hadapannya. Akupun terus jalan melepasi tubuh Adami dan dia ketuk kepala aku sebelum berlalu pergi. Entah apa yang ada dihatinya... Mentang-mentanglah aku orang gaji dia sesuka hati nak buat apa kat aku... Orang gaji?

Aku mengikut langkahnya sambil menggaru kepala. Aku gigit bibir. Nampak sangat aku dah mula terbiasa dengan status baru ini. Orang gaji? Sejalur senyuman terukir di bibir. Aku orang gaji tercantik di Malaysia lah kut...

“Senyum-senyum dari tadi. Happy sangat ke?” tiba-tiba je dia tanya. Aku terpinga-pinga tak tahu nak jawab apa sebab selama ni aku dan dia rapat tapi bila dah jadi renggang macam ni, dia sendiri nak jauhkan dirinya daripada aku, lidah pun dah cukup terkelu untuk meluahkan kata-kataku untuknya. Aku tertunduk apabila Adami berjalan menghampiriku. Perlahan aku terasa seolah-olah tangannya di bawa ke atas kepalaku, seperti bertahun dulu.

“Jalan dekat abang.”

Jeda.

Abang? Aku terkesima pandang sepasang anak mata redup milik Adami. Ya tuhan... Aku dah salah dengar atau benar yang Adami Hafizi kembali membahaskan dirinya sebagai abang? Melihat dia lama merenung wajahku, aku tahu yang aku dengar tadi itu benar-benar terjadi. Senyumanku melebar. Cepat-cepat aku berganjak ke sisinya. Berjalan seiring dengan Adam. Seperti... Seperti adiknya.

Aku mengikut ke mana sahaja langkahnya tanpa mengendahkan pandangan dan renungan orang lain. Mungkin sebab Adami dah kembali melayan aku seperti dulu-dulu, jiwaku seakan menari-nari. Bagiku dia segalanya dan hanya dia yang ada di dalam hidup Irisya Sareefa. Tiba-tiba dia berhenti di satu persimpangan. Aku turut berhenti dan mendongak mencari wajahnya. Lepas tu aku senyum balik. Lega sebab muka dia masih lembut seperti tadi. Bayangkan kalau kat tengah-tengah ramai orang ni dia boleh mengamuk lagi kat aku, malu satu hal, sedih lagi satu hal. Yelah kita ni pakai baju pun bukan cantik dan sepadan jika digandingkan dengan Adami Hafizi punya baju. Jauh beza. Tang mata orang lain semua pandang kat aku mesti dia orang fikir aku ni orang gaji lelaki terhensem abad ini. Keluhan terbit dari bibir.

“Belilah apa-apa yang patut...” Adami tunjuk deretan rak sayur-sayuran.

“Wah!” Aku tengok harga sayur sawi yang ada di situ RM 1.23 sen paling murah. Tu pun bungkusan sikit je cukuplah aku dan Adami makan tapi masalahnya aku mana ada duit nak bayar. Setakat RM 5 bolehlah aku cekau mana-mana sikit pun tapi nak kena beli banyak barang untuk stok. Takkan nak mintak duit kat Adami? Dia nak ke? Aku telan air liur.

Aku pandang wajah Adami sekilas sebelum tertunduk lama. Nak minta pun kena fikir jauh sebab aku tak nak dia marah kat aku. Aku nak dia tengok aku yang sempurna. Aduhai... Irisya Sareefa tidak akan bertukar menjadi puteri-puteri yang punya rupa dan harta biar bersungguh mana pun dia mencuba. Sebab tu ke aku tak padan dengan suamiku sendiri?

Aku ambil timun dan tilik harga sambil melepaskan sebuah keluhan kecil. Adam buat tidak tahu. Aku garu kepala sendiri. Beli ke tak ke? Tak ke beli ke? Terasa rimas terpaksa fikir benda-benda macam ni. Kalau aku tahu dulu, sebelum jadi isteri Adami aku pergi ambil upah jahit baju.

“Ica!” Aku terkejut mendengar suara Adam yang betul-betul berada di belakangku.

“Ada bawa duit?” soalnya ringkas. Aku buat muka sambil geleng kepala. Taklah kan dia fikir aku ada duit sedangkan lepas SPM aje aku terus kahwin dengan dia... Nak harap mak beri duit poket, sampai aku dah bersuami ni pun paling banyak dia beri RM 0.50 je.

Dia ketuk dahi aku lagi. Aku bulatkan mata pandang muka dia. Ini apa kes dari tadi dia main ketuk-ketuk kepala? Kalau dah gatal sangat nak ketuk kepala orang, pergilah beli drum ke baldi ke... Aku gosok dahi kuat untuk kurangkan rasa sakit sambil menarik muka masam. Dalam diam Adami tersenyum kecil menahan geli hati.

“Kan aku dah beri buku bank?”

‘Aku’ balik dah dia guna. Baru je tadi hati nak berbunga riang sebab dia bahaskan diri sebagai abang. Adami ada split personality ke? Aku pandang dia dengan muka penuh tanda tanya tapi dia buat muka tak beriak dan dingin kepadaku. Keluhan terlepas dari hujung bibir.

“Buku bank ada, nak keluar duit kat mana?” aku balas. Tapi sebenarnya aku tak bawa pun buku bank yang dia beri sebab bagi aku itu hak Adami dan aku tak berhak nak ambil hak dia sebab aku dah ambil banyak benda dari hidupnya. Contohnya... kehidupan Adami sendiri? Dia mana nak nak kahwin dengan Irisya Sareefa kalau boleh.

“Nanti buat kad bank. Beli je apa-apa. Nanti aku bayar.”

Aku tinggalkan dia dan memilih udang kering yang di jual di situ. Akhirnya aku angkat semua barang-barang masak yang aku rasa aku perlu beli. Hampir satu bakul penuh. Aku jeling Adami, dan Adami hanya pandang aku sambil letak tangan dalam poket. Aku jalan pada dia setelah selesai memilih.

Kalau tak fikir dulu, buku bank dia, bukan buku bank aku... Aku pun tahu kalau nak keluarkan duit dari bank kena ada IC, cap jari bagai. Dan cap jari itu cap jari dia, bukan cap jari aku. Aku mengutuknya di dalam hati.

“Dah ke?”

Aku angguk.

“Kalau gitu kita balik terus.”

Dia nak melangkah tapi aku cepat-cepat keraskan diri.

“Abang, kita beli koko krunch? Ica teringin nak makan dari dulu lagi...” jari-jari dah tunjuk kotak-kotak bijirin yang ada di tepi Adami.

Dia angguk aje tak banyak cakap.

Aku angkat satu koko krunch yang harga dia RM 15. Dia rampas kotak tu dan ambil kotak yang lebih kecil. Taulah duit dia, tu pun kedekut.

Dia ambil susu putih Everyday, aku tanya untuk apa, dia tak jawab. Adami bawa aku ambil sos cili, jem, roti, kicap manis, kicap masin, garam, ajinomoto, bawang, dan aku yang tukang angkut semua barang-barang yang dia ambil tu.

Dia mengambil dua keping coklat cadburry dan selepas tu kami ke kaunter pembayaran. Aku rasa dia suka makan coklet sebab sebelum ni aku ada tengok juga dia makan coklet dengan kawan-kawan dia di padang.

Bila dah bayar, aku bergegas angkat dua buah beg plastik dan tunggu Adami di tepi kaunter. Masa tu Adami pun dah tengok aku sambil kerut kening.

“Tak berat ke?”

Berat-la-jugak. Tapi kata-kata itu sekadar di dalam hati sebab aku nak Adami nampak yang aku ni kadang-kadang berguna untuk dirinya. Sebab aku dah rasa yang aku ni selalu menyusahkan dia.


0 Komen untuk Cik Rin: