CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, August 19, 2012

Jutawan Cintaku Bab 2




BAB 2

“TERSEBUTLAH kisah, anak beruang telah makan anak panda..”

“Mak usu! Panda kena makan beruang ek? Jahatnya beruang tu...” petah lidah Mimi bertanya. Aku sumbat pakai bubur ni baru dia tahu tinggi rendah langit dan bumi. Abang tersengih-sengih lagi. Biasalah tu, nak menyakitkan hati aku.

“Sini Mimi, cerita papa lebih logik dari cerita mak usu kamu tu...” sindir abang.

“Sibuk ajelah abang ni, tadi abang juga yang suruh orang bercerita...” rungutku sambil mengacau rambut Mimi yang terikat tinggi cun kat atas kepala dia. Comel siot...

“Memanglah. Tapi cerita kamu tu mengarut tahap dewa. Abang takut kalau Mimi ikut jadi sengal macam Mir.” Abang berkata dengan kejamnya. Aku ambil blok permainan di hadapan aku dan aku lontar ke arah abang. Nasib baik dia cepat je tangkap kalau tak, benjol dahi tu.

“Ni nak bagi dahi orang benjol ke? Tajamlah benda ni....” Abang menggeleng kepala. Aku mencebik. Itulah padahnya kalau melabelkan adik sendiri ‘sengal’. Padan muka. Aku jeling abang. Mencari point untuk mengenakan dia semula.

“Mimi nak mami baru tak Mi?” Aku agah Mimi. Mimi angguk pantas. Aku toleh ke arah abang dengan pandangan, ‘puas hati aku’. Abang mengetap bibir sambil mengacukan penumbuk dia. Aku ketawa terkekeh-kekeh. Padan muka kan?

Aku tergolek-golek di tepi Mimi. Tangan Mimi menyentuh rambut aku sambil ketawa.

“Rambut mak usu cantik, kan?” Tanya aku angkat-angkat kening. Mimi yang innocent angguk-angguk aje mengiyakan. Kembang semangkuklah aku lepas tu.

“Mir... Semalam mak tanya. Bila Mir nak balik? Sekarang pun Mir dah masuk dua bulan kerja,” ujar abang. Aku menjeling manja.

“Abang cakaplah kat mak yang Mir tolong jaga anak abang...” Aku tersengih kecil buat muka ‘kasihan’. Abang cebik bibir sambil menyuapkan bubur kepada Mimi. Aku ditolaknya ke tepi. Tak beradap sungguh...

“Mak dah tau Mir kerja kat sini... Dia pasang spy. Abang pun tak tahu mana dia dapat tahu. Mak membebel kat abang tau... Mak kata, kenapalah Mir kerja macam mak tak boleh nak kasi makan kat Mir,” berkerut-kerut muka abang aku yang seorang ni.

Aku menghitung-hitung jari. Memang lengkap 10 tapi aku masih juga mahu menghitung. Apa pula spy? Mak nak pasang spy? Mana dia nak cari spy sampai ke sini pula? Aku garu kepala yang tidak gatal.

“Orang nak belajar tinggi-tinggilah bang…” Aku bagi alasan yang cukup bernas. Bukan abang tak tahu cita-citaku nak menuntut kat universiti luar negara.

“Abang tahulah. Tapi mak yang tak faham-faham. Dia kata buat apalah hang nak susah-susah pergi luar negara kalau kat dalam negara pun universiti banyak lagi tempat yang kosong...” Abang buat gaya mimik macam mak tengah bercakap. Aku tahan-tahan aje ketawa melihat wajah abang. Abang memang copy & paste muka mak. Sebab tu muka abang ada ‘keayuan’ tersendiri.

“Apa kelas belajar dalam Malaysia...” Aku mencemik muka.

Ammar Wajdie toleh ke arah adik kesayangan dia. Alahai Mir.. Mir... Bisik hati Ammar sambil tersenyum di dalam hati.

“Kelas tak kelas, Mir tu rakyat Malaysia jugak. Kita kena bangga jadi rakyat Malaysia... Alah membeli, menang memakai...” Kata-kata abang mengundang rasa hairan di hati. Apa kaitan membeli dan memakai dengan cita-cita aku untuk belajar kat oversea?

“Mimi nak belajar tinggi-tinggi juga, pa… Macam mak cu nak pergi Korea.” Mimi tiba-tiba menyampuk. Aku membulat mata kepada Mimi. Aku angkat dua-dua tapak tangan aku, Mimi sambut sambil jerit ‘high five!’. Cun! Anak saudara aku sangat-sangat sporting!

“Korea ya Mi, kita jumpa kat sana!” Aku mengangkat-angkat kening.

“Okey!” Jeritan Mimi mengundang tawa aku. Semangat sokmo si kecik nih..

“Eleh, sombong sangat... Pergilah ke Korea tu... Abang nak tengok berapa lama Mir boleh hidup tanpa keluarga. Universiti kat Malaysia lagi standart tau... Boleh jumpa mak selalu...” Abang buat muka semangat. Tahulah dia tu pegang topi ijazah daripada universiti tempatan... Aku sengih aje. Dalam hati berkata, Mir tau bang, Mir gurau aje tadi... Mir pun tak sanggup nak jauh-jauh daripada mak. Tapi Mir nak jenguk jugak dunia seberang-seberang tu!



AKU menuju ke arah Tok Mat. Dia sudah tersengih-sengih menanti aku di kaunter pembayaran. Awal betul pakcik seorang ni? Awal gila sampai! Orang kerja engineer memang free memanjang ke? Selalu dia datang dari pukul 7.30 sampai pukul 8.30 pagi sebab pejabat dia pun memang boleh jalan kaki dari sini. Tetapi hari ini, dia sampai awal dari aku. Siap dah buka kedai lagi. Kalau orang beli bunga pun, bukannya dia tahu harga.

“Hai Mir…” Tok Mat menyapa mesra. Siap bagi kenyit-kenyit mata kepada aku. Uwekss… Rasa nak muntah biru.

“Janganlah suka kacau aku ni.. Aku masih budak lagi. Kau pergilah kacau Cik Normah pelayan restoran depan tu. Umur dia pun dah sampai seru nak kahwin...” ucapku selamba sambil meletakkan beg sandangku di kaunter. Dia mencapai dan meletakkannya di dalam laci kaunter.

“Aku mana kira budak ke, tua ke, yang aku tahu kau perempuan sudah la,”

Aku membulatkan mata. Dia punya statement... okey, sangat buaya!

Aku terus berlalu meninggalkannya. Malas nak layan buaya. Buaya ok. Tak pasal-pasal arwah kalau duduk dekat-dekat dia. Harris mengekori aku yang menyusun pasu-pasu bunga di sisi kedai. Dia tolong aku menyusun pasu-pasu bunga itu sambil sesekali tersengih pada aku.

“Aku result SPM pun belum dapat. Janganlah bagi aku culture shock!” Aku menekankan suara dengan harapan dia akan faham yang aku ni taklah sekuat mana untuk menepis ‘godaan-godaan’nya. Dia lemparkan killer smile kepada aku dan aku mula menjauhkan diri daripadanya. Takut terjatuh cinta pada sang buaya! Nahas...

“Kena buat persiapan Mir, kau kan nak belajar kat luar negara...” Hai... Sindir nampak?

Bila aku toleh memandang wajahnya, dia hanya tersengih. Memang satu dunia dah tau yang aku nak sangat belajar kat Korea tu. Kalau boleh terus jadi artis kat sana. Biar gempak nama Malaysia. Hehehe... Eleh, perasan je lebih. Di Malaysia ni pun belum ada tawaran jadi artis, lagilah kat Korea sana. Simpang 44 malaikat kalau betul aku jadi artis. Kesian mak aku!

“Mianglah kau ni. Aku dah set nak cari calon suami orang Korea. Biar muka anak-anak aku macam muka Kim Hyun Joong semuanya. Kau jangan jealous pulak! Muka kau, tak nak aku!” Aku mencemik wajah ke arahnya.

“Jangan sombong Mir, orang Malaysia pun ada juga yang muka ‘gempak’... Kau tengok macam aku ni, sama muka macam Brad Pitt. Kira dia klon akulah tu. Orang Korea ni Mir, yang handsome macho-macho dalam tv aje. Sebenarnya taklah gempak mana pun... ” Dia bersungguh-sungguh sedangkan aku pula rasa geli hati mendengar apa yang dia katakan. Muka ‘gempak’ eh?

“Muka Brad Pitt?” Aku buat muka tak percaya. Dia angguk-angguk laju. Sekali lagi aku ketawa besar. Dia nak cakap yang muka dia handsome ke? Harris menjawab soalanku dengan segaris senyuman. Aku terpana lagi!

Telefon Harris berbunyi tiba-tiba dan aku mula mengubah kedudukan pasu-pasu tanpa mempedulikannya.

“Hello..” jawabnya serius. Aku memerhati. First time dia buat muka serius macam bakso.

“Harris.”dia sebut nama dia.

“Ya nanti I pergi ke site..” Dia meletakkan telefonnya. Memandang aku dengan muka yang masih serius. Tiba-tiba aku ternampak sedikit senyuman terbit di bibirnya.

“Hei, Mir.. Mulut tak boleh nak tutup ke?” Dia tertawa. Aku tersentak. Aik? Terbuka ke mulut aku...? Cepat-cepat aku gigit bibir.

Melihatnya begitu serius mengambil briefcasenya dan menyapa aku untuk pergi, barulah aku teringat yang sebenarnya lelaki di hadapan aku tua 8 tahun daripada aku. Aku ekori langkah kakinya dengan lirikan mata. Dia nampak sangat bergaya. Hurmmm…Tak ada calon ke?

Tipulah kalau aku cakap aku tak ada ‘rasa’ kat dia. Dengan gaya Harris ala-ala jejaka idaman Malaya, sikit lagi aku nak tercair. Tapi taklah teruk sangat kut cair tu. Masih berada dalam zon selamat.