CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, August 19, 2012

Jutawan Cintaku Bab 6








BAB 6

“HAI MIR...”

Aku menoleh. Harris Fikri melemparkan senyumannya kepadaku. Aku mengeluh pelan. Loya nak melayan dia. Dia mencangkung di hadapanku sambil tersenyum lebar. Aku jeling aje sebab tak ada benda nak dicakapkan. Harris tersengih kecil melihat reaksi aku. Aku tengah marah merajuk, dia boleh tersengih-sengih macam kerang busuk. Memang bebal tahap dewa!

“Kau marah lagi ke Mir?” Tanya Harris kepadaku. Aku diam aje. Betul-betul tak tahu nak kata apa kat dia. Dia buat muka kasihan.

“Tak nak cakap dengan aku lagi ke?” Kata Harris dengan nada memujuk. Aku menghela nafas kecil. Harris tu kalau di beri peluang kedua, bukannya reti nak insaf. Getus hatiku geram.

“Mir Wijdan...” Suara dia mendayu menyeru nama penuhku. Jantung aku mula berdetak laju. Harris masih merenung jauh ke anak mataku. Alamak. Kalau macam ni gayanya, memang sah aku pula yang kena penyakit angau akhirnya.

It’s okay. Aku tak fikir lagi,” ujarku menghulur senyuman tipis. Risau kalau-kalau aku bertambah rajuk, dia pula mengayat lebih-lebih. Boleh pengsan Mir Wijdan lepas ni.

“Maaf ye?” pintanya lagi. Aku merenung tajam ke arah wajahnya. Berapa kali dia nak minta maaf agaknya? Aku menggumam sendiri. Harris hanya tersenyum melihat aku tarik muka masam.

“Aku ada belikan something untuk kau... Nah! Thanks sebab tak merajuk lama-lama ye sayang,” ujarnya sambil mengenyit mata. Wajahku terasa berbahang. Bukan kerana hadiah yang dia katakan itu tetapi perkataan ‘sayang’ yang dia gunakan untukku.

Aku terpaku melihat dia berlalu masuk ke dalam kedai. Sesaat aku tersedar dari lamunan. Kenapalah jiwa aku terasa kacau sekarang ni? Sebab Harris panggil aku sayang ke? Mir, dia anggap kau macam adik aje sebab tu lah dia panggil sayang! Getus hati aku kecil.

Tetapi kenapa hati ini tidak mahu Harris Fikri sekadar menganggap aku sebagai seorang adik? Aku mahu dia anggap lebih dari itu... Aku nak dia anggap aku sebagai seorang wanita.

“Nah,” dia mencapai tanganku dan meletakkan sebuah kotak kecil pada tapak tanganku. Dia lemparkan renungan tajam ke arahku. Aku tunduk. Pura-pura tidak menyedari renungannya. Aku sedar dia tersenyum kecil dari ekor mataku. Aku mengetap bibir sendiri.

Ah, kenapa jiwa ini mudah goyah apabila bersama dengannya? Semasa di sekolah dahulu, walaupun surat cinta berkotak-kotak disuakan kepada aku, aku hanya memandang sepi tanpa perasaan. Tetapi Harris Fikri sekadar senyumannya saja sudah mampu menggetarkan seluruh perasaan aku. Mungkin dia sendiri sedar kelebihan yang dia ada dan sebab itulah dia gunakan untuk menarik perhatian wanita disekelilingnya. Termasuk aku!

Aku menghela nafas dalam. Dah-dah... Tak payah nak berangan lebih, Mir. Mata aku jatuh kepada kotak di atas tanganku. Aku membelek-belek kotak tersebut sebelum membuka penutupnya.

“Bukalah,” suara Harris Fikri menyapa diriku. Aku memandangnya sambil mengangkat kening. Harris menatap wajahku lama tetapi aku buat tak tahu. Aku buka kotak kat tangan aku dan isi dia kerongsang warna keemasan. Cantik. Cuma...

“Kerongsang aje?” tanyaku sambil membulatkan mata. Air muka Harris berubah.

“Tak suka ke? Kalau macam tu aku tukar dengan benda lainlah...” ujarnya cemas sambil mencapai kotak di tanganku. Aku cepat mengelak. Eh, kenapa dia menggelabah semacam? Kalau dia nak hadiahkan kerongsang aje pun aku masih menghargainya. Cuma mulut aku tadi tergelincir sedikit. Aku pandang wajah Harris dengan harapan mampu memujuknya.

“Tak apa. Cantik. Lagipun aku bukan girlfriend kau nak mintak macam-macam.”Jawabku separuh bergurau. Risau sekiranya dia berkecil hati dengan kata-kata aku tadi. Dia tersenyum sedikit dan kali ini aku gagal memberi tafsiran untuk makna senyumannya itu.

“Kerongsang ni, kau jaga baik-baik, ye... Kalau kau rindu aku, tengok aje kerongsang tu sebab kerongsang ni ada kuasa ajaib.” Ujarnya kepadaku. Aku terkebil-kebil cuba mencerna kata-katanya. Mana pula benda macam ni keluar kuasa ajaib? Aku ketawa kecil.

“Ketawa pula dia...” Harris spontan mencuit pipiku. Tawaku berhenti serta merta. Aku memegang pipi sendiri bekas cubitan Harris. Wajahku berubah warna. Segan sangat-sangat dan malu sangat-sangat.

“Aku pergi dulu, Mir... Thanks ya!” Harris menghadiahkan aku senyumannya dan aku terus-terusan terpaku. Hal semalam jadi kosong dalam ingatan aku. Aku seolah-olah tidak terkesan hati padahal aku paling pantang dengan orang yang suka memungkiri janji. Apa yang telah terjadi pada diriku?

Harris melangkah keluar sambil hujung jari telunjuknya memusing-musingkan kunci yang dia pegang. Lelaki itu punya karisma. Agak kacak, tinggi, bekerjaya, dan sudah tentu lulus syarat untuk jadi bakal menantu ibu bapa yang memiliki anak gadis di luar sana. Aku tersenyum sendirian. Aku dengar ayah dia sudah tiada seperti aku juga. Tetapi Alhamdulillah, ibu masih ada...



AKU sibuk meletakkan pinggan-pinggan yang berisi lauk di atas meja makan. Abang membantu apa-apa yang patut sambil sekali-sekala kedengaran dia batuk-batuk kecil. Sejak malam semalam, abang diserang penyakit selesma. Anehnya Mimi okay aje tak ada pula tanda-tanda terkena sejuk malam.

“Mir, Harris ada telefon abang tadi. Dia minta maaf dengan abang sebab biarkan Mir tinggal sorang-sorang kat tempat kolam renang malam tadi. Harris cakap memang dia ada hal urgent sebab mak dia minta temankan pergi hospital. Mak dia ada sakit jantung sebab tu dia tergesa-gesa pergi.” Abang mencuri pandang ke wajahku. Aku mencebik kecil. Macamlah dia tak ada anak lain... Kak Mar ada, Abang Rizwan ada...

And kalau Mir terfikir Harris ada adik-beradik yang lain untuk uruskan mak dia, Mir silap sebab dalam hati setiap anak, ibu itu adalah insan terpenting. Kalau mak Mir sakit, Mir tak akan biarkan abang seorang aje yang jaga, kan?”

Aku jeling ke arah abang. Abang nampak tak marah lagi pada Harris walaupun malam tadi riaknya menunjukkan dia agak kurang senang dengan tindakan Harris yang meninggalkan aku seorang diri.

‘Sudahlah bawa adik orang, kita pula yang disuruh ambil balik. Kalau tak reti nak menjaga, tak usah meminta...’ Itulah rungutan yang aku dengar daripada abang malam tadi.

Tapi aku sedar abang adalah seorang yang pemaaf berbanding aku. Mak ajar kami beradik supaya tidak menyimpan dendam terhadap sesiapapun. Maka kami terdidik untuk tidak berdendam cuma mungkin aku lebih panas baran serta cepat terasa hati antara kami dalam kalangan adik beradik.

Aku menuju ke dapur untuk mengambil sudu. Abang mengambil tempat duduk di hadapanku sementara Mimi seorang diri bermain di ruang tamu.

“Abang tak kisah?” soalku kepada abang. Abang tersenyum sambil mengangkat bahu.

“Maafkan ajelah dik. Kalau kita yang berada di tempat dia, kita mesti buat perkara yang sama. Ibu lebih penting daripada segala-galanya,” ucap abang lembut. Aku terdiam sebelum mengangguk pelan.

“Okey,” jawabku sambil menghela nafas panjang. Abang tersenyum lebar.

That’s my girl...” Abang nampak seperti lega.

Tidak lama, suara abang membaca doa makan dan aku tukang mengaminkan.

“Sedap Mir masak,” puji abang mengangguk-angguk kecil sambil mengambil sesudu sayur campur. Aku tersengih besar.

“Belum makan pun dah cakap sedap. Abanglah orang yang paling suka membodek dalam dunia ni.” Aku sengih. Abang ketawa dan tawanya mengundang rasa bahagia di sudut jiwaku.

Untuk abang, kasih sayangku padanya terlalu mendalam. Dia adalah orang yang ingin aku lindungi. Dan dia jugalah orang yang paling aku sayangi setelah tempat mak dan arwah ayah. Dia payungku dan dialah penawarku. Aku tidak mahu dia terluka sebagaimana aku tidak mahu ada yang melukai hati mak. Hanya mereka yang aku ada untuk siang dan malamku. Betullah kata abang, berbanding aku tentu kasih sayang Harris lebih kuat untuk ibunya.

Aku berlalu ke bilik selepas makan malam untuk menunaikan solat Isya’. Setelah solat, aku mengambil al-Quran di atas rak buku. Mak kata, baca sekurang-kurangnya sehari sekali dan selagi aku dapat amalkan, aku akan amalkan untuk kesejahteraan kami sekeluarga.

Setelah aku selesai membaca surah Al-Mulk, aku duduk di depan meja rias. Aku membelek kotak yang diberikan oleh Tok Mat tadi. Serta merta senyumanku mekar di bibir.

Hehe.. Perlahan-lahan aku membuka kotak tersebut. Membelek-belek kerongsang berwarna keemasan yang terletak cantik pada spannya. Satu kerongsang kecil dan satu lagi besar.

Murah aje kot... Tetapi, kenapa hati aku seakan sayang? Kenapa aku rasa cukup bahagia dengan hanya sepasang kerongsang?

‘Kerongsang ni, kau jaga baik-baik, ye... Kalau kau rindu aku, tengok aje kerongsang tu sebab kerongsang ni ada kuasa ajaib.’

Kata-kata Harris terngiang-ngiang di telinga.