CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, August 19, 2012

Jutawan Cintaku Bab 8




BAB 8

PUKUL 5.30 petang aku duduk bersendirian di stesen bas menunggu abang. Aku mendengus nafas dalam. Selalunya waktu-waktu ini aku sudah bertapa di dalam kereta abang ataupun tengah melepak tengok televisyen di dalam rumah. Akhirnya aku mengeluarkan telefon bimbit dalam tas tangan.

“Assalamualaikum! Hello abang.”

“Walaikumsalam. Ha Mir. Kenapa?” Balas abang. Aku menghela nafas berat.

Kenapa? Eeee... Dah la lambat ambil orang, boleh pula tanya kenapa? Aku jadi geram tiba-tiba.

“Abang kat mana?” Tanyaku lagi sambil menilik jam tangan. Dah dekat pukul 5.40 petang. Jiwa ragaku rasa terseksa sebab terpaksa duduk tercengang-cengang begini hampir satu jam.

“Oh, abang dengan Mimi kat kedai buku. Tadi jalan raya jam teruk. Lepas abang ambil Mimi dari nursery, abang terus lepak kat kedai buku sebelah nursery Mimi. Nanti dekat pukul 6 abang ambil Mir okay?” jawab abang.

Aku mengangguk-angguk kecil walaupun terbit rasa hairan kerana jalan dari tempat kerja aku menuju ke rumah kami tidak pernah berlaku kesesakan teruk.

“Okay,” jawabku sepatah. Abang sepatutnya lebih awal ambil Mimi dari nursery supaya tak mungkin kita orang akan lambat balik ke rumah. Nampaknya lama lagilah aku kena duduk kat sini... Keluh hatiku sambil memandang kereta yang lalu lalang di hadapanku. Alamak, dah petang sangat dah ni.

Aku menahan sebuah teksi selepas menghantar mesej kepada abang yang aku akan balik sendiri menggunakan teksi.

Sepanjang berada di dalam teksi, wajah Harris muncul dan menghanyutkan fikiranku. Hari ini genap empat hari dia tak jenguk kedai kakak dia. Sibuk sangat ke? Aku nak tanya pada kak Mar tapi aku segan. Nanti nampak sangat aku mengharap kehadiran lelaki itu.

Sampai saja di rumah, aku terus mandi dan solat Maghrib sebab dah masuk waktu. Sambil-sambil aku menunggu abang dan Mimi balik, aku duduk di ruang tamu menonton televisyen keseorangan. Ada rasa takut menggigit hati tetapi aku cepat-cepat buka televisyen dengan volume yang agak tinggi.

Terdengar aje azan Isya’, aku melompat dari sofa menuju ke bilik untuk menunaikan solat. Setelah itu aku ke ruang tamu semula apabila terdengar suara Mimi dan abang bercerita di tingkat bawah.

“Wah, Mimi... Banyaknya beli buku!” Aku terus mengambil plastik yang berisi buku-buku di meja ruang tamu. Abang melirik tajam kepadaku.

“Bersepah aje rumah ni... Tak kemas ke? Kek atas meja ni tak di makan.” Tegur abang menunjukkan sepiring kek keju yang aku ambil dari peti ais tadi sebelum solat Isya’. Aku tersengih aje menjawab pertanyaan abang.

“Nanti ah Mir kemas. Abang beli buku Rayyan Fantasi eh?” tanyaku galak sambil menayangkan buku itu tepat ke wajah abang. Abang mencebik.

“Abang dulu baca ya.” Awal-awal abang kasi warning. Aku mencemik muka.

“Abang ni...” Aku tarik muka masam. Konon-kononnya tunjuk rasa tak puas hati walaupun aku memang akan beri abang baca dulu sebab dia yang beli buku tu bukannya aku.

“Mir, minggu depan RAM datang ke Boulevard. Nak ikut minta signature dia?” Aku tersengih memandang wajah abang. Amboi, fanatiknya abang aku!

“Ikut ikut juga... Solat jangan lupa.” Sindirku menghadiahkan lirikan tajam pada abang. Abang tersengih-sengih sebelum menapak ke tingkat atas meninggalkan aku dan Mimi di ruang tamu.



MALAM itu tidurku terganggu oleh bunyi telefon. Pemanggilnya bernama Harris Fikri. Harris Fikri? Aku jadi segar tiba-tiba. Kenapa dia telefon aku malam-malam begini?

“Assalamualaikum. Hai Mir... Dah tidur ke?”

Aku jawab salam dia dengan macam-macam perasaan.

“A’ah. Tengah tidurlah ni...” Jawabku sengaja mengenakan dia.

“Rindu aku tak?” Pertanyaan dia membuat aku berdebar. Rindu?

“A’ah. Rindu.” Jawabku sambil menggigit bibir sendiri.

“Betul ke?” Aku dengar dia tergelak kecil. Aku menyembam wajah pada bantal. Jantungku semakin laju berdetak. Alamak, Mir... Kenapa dengan kau ni?

“Tipu aje. Nak buat apa rindu-rindu kat kau? Lebih baik aku rindu kat mamat nepal,” balasku selamba. Kedengaran tawa Harris di hujung talian.

“Amboi. Mat nepal jugak yang kau nak... Jangan cakap besar tak rindu aku, nanti rindu betul-betul baru tau.” Usik suara itu lagi.

“Tak kisahlah kalau rindu tipu-tipu ke... Rindu betul-betul ke... Itu aku punya pasal. Kau telefon malam-malam ni kenapa?” tanyaku.

“Tak boleh ke?” Dia sahut soalan aku dengan soalan juga.

“Aku tengah tidur tadi.” Jawabku sambil menghela nafas panjang.

“Awal kau tidur? Baru aje pukul 11 malam...”

“Aku memang selalu tidur awal.” Balasku sambil mengurut tengkuk.

“Aku nak ajak kau pergi naik gunung esok nak?” Tanyanya tiba-tiba. Aku mengerut dahi.

“Aku malaslah.” Balasku separuh merungut.

“Alah Wijdan... Please...” Rayunya. Aku terkesima mendengar nama aku meniti di bibir Harris. Walaupun bunyinya agak janggal, dia orang pertama yang memanggil namaku Wijdan. Jiwaku berkocak tetapi akalku menidakkan. Kenapa akal dan hati sering tidak selari?

“Malaslah Fikri...” Jawabku dengan nada lucu. Harris ketawa lepas.

“Aku rindu kau la Mir...” ucapannya itu membawa perasaanku terbang entah ke mana-mana. Aku tahan nafas menunggu kata-kata seterusnya dari dia.

“Kita pergi ya esok?” Kali ini suara dia betul-betul serius. Aku menghela nafas panjang.

“Kena pergi ke? Aku tak sedap hatilah... Kau pergi dengan kawan-kawan kau. Kalau kau bawa aku, nampak macam pelik aje.” Aku tetap bagi alasan.

“Kawan-kawan aku dah ada partner. Aku je tak ada...” Bohong. Sepatah perkataan itu terus singgah difikiranku.

“Nak tak nak, kau kena pergi dengan aku jugak! Esok pagi aku jemput kau ... Aku dah inform kat abang kau tadi.” Eh, suka suka dia inform kat abang aku. Terbayang bentuk Gunung Santubong jelas di mataku. Aiyarkk... Tinggi gila!

“Kau main paksa eh?” aku soal.

“Tak lah...”

“Tak lah? Kalau macam tu aku dah buat keputusan tak nak ikut kau. Nanti kau tinggal aku lagi macam hari tu.” Aku ungkit balik cerita lama. Harris menghela nafas panjang.

“Mir... Kau masih marahkan aku ke?” Tanya Harris pelan. Aku terdiam.

“Tak apalah kalau kau tak sudi nak kawan dengan aku lagi...” Ucapnya serentak terus memutuskan talian.

Aku terpanar. Rasa bersalah mula terbit di hati. Kenapa aku ungkit lagi benda dah lama sedangkan Harris dah minta maaf padaku dan pada abang? Aku raup wajah dengan tapak tangan.

Aku kembali membetulkan tidurku dan cuba melelapkan mata.

Satu minit, dua minit, sepuluh minit... La... Kenapa mata tak nak tutup ni?

Aku gelisah sendirian. Wajah Harris kian terbayang dalam minda. Kecil hatikah dia?

15 minit kemudian aku mencapai telefon bimbitku. Aku telefon dia menyatakan persetujuanku. Aku tahu dia agak terkejut dengan keputusan aku. Aku juga turut terkejut dengan keputusan aku sendiri. Mir Wijdan panjat gunung? Aku geleng-geleng kepala. Tak boleh nak fikir apa.

“Betul ni? Thanks Mir... Aku sayang kau sangat-sangat!” Nyata dia benar-benar seronok. Aku memintal-mintal jari sendiri.

Wah... Wah... Dia kata dia sayangkan aku. Separuh rasa hati bersorak riang, tetapi tetap... Akalku sekali lagi menidakkan. Jauh di sudut hatiku, aku tidak mahu terjatuh cinta pada dia kerana aku tidak pasti perasaan sebenar dia kepadaku. Bagaimana ya? Aku keliru dengan perasaan sendiri.

Apa yang pasti suara Harris menemani aku sepanjang malam ini. Aku sayang kau!