CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, August 19, 2012

Jutawan Cintaku Bab 9



BAB 9

SETELAH solat Subuh, Harris hantar mesej padaku supaya jangan membuta semula. Eh, macam tahu-tahu aje aku nak sambung tidur... Kalau hujung minggu seperti ini selalunya aku membuta sampai pukul 10 pagi. Eheh...

Aku turun ke bawah dengan perasaan malas. Aku pack sebotol air mineral besar dan sekeping coklat sebagai bekalan. Teringat masa pertama kali naik gunung, aku bawa dua botol air mineral besar tapi luaknya tak sampai setengah botol mineral. Penat je usung sana sini...

Aku sekadar berpakaian ringkas. Bertopi, seluar tracksuit dan t-shirt lengan panjang. Aku membawa sweater sebab bila dah sampai puncak sejuknya menggigit sampai ke tulang.

“Dah siap?” Suara abang menyapa telingaku. Aku mengangkat bahu.

“Kenapa buat muka macam tu? Kena paksa rela ke?” Abang tersengih lebar sambil membetulkan lipatan tangan kemejanya. Aku mencebik.

“Malas.” Ucapku sepatah.

“Baguslah Mir, boleh buang peluh sekali-sekala...” Abang mengambil tempat duduk di hadapanku. Aku hulurkan segelas air milo dan sepinggan nasi goreng.

“Abang nak pergi mana?” Tanyaku mengerut kening. Sepatutnya hujung minggu seperti ini abang hanya lepak di rumah.

“Ada kerja sikit kat pejabat...” Ucap abang.

“Mimi?” Tanyaku hairan.

“Abang bawa dia... Takkan abang nak tinggalkan dia kat rumah pulak... Kalau Mir lain cerita, dah besar panjang.” Ujar abang dengan nada mengusik. Aku mencebir.

“Mir hati-hati pergi ikut Harris tu. Baca doa sebelum panjat gunung.” Aku mendongak mencari wajah abang. Aku ketawa kecil apabila melihat wajah abang seperti sedang gusar. Tadi beria kata baik untuk kesihatanlah... Sekarang takut pula nak lepaskan kita...

“A’ah. Nanti Mir baca doa naik dan turun sekali. Abang tunggu Mir petang nanti, ya... He he he...” Aku tersengih-sengih. Abang tersenyum mendengar gurauanku.

“Jaga diri Mir...” Abang berdiri kemudian mengetuk kepalaku lembut. Aku hanya memandang langkah abang naik ke tingkat atas. Mir pandai jaga diri sendiri... Bisik hatiku senyum.

Tak lama kemudian aku dengar suara abang memujuk Mimi untuk bangun. Aku naik ke tingkat atas untuk mengambil beg sandangku. Telefon bimbitku tertera satu mesej yang belum dibaca.

‘Mir, aku ambil pukul 8. Make sure kau dah bangun.’

Serta merta aku tarik muka masam. Satu-satu aku tekan keypaid membalas mesejnya.

‘Tahulah! Aku dah pun siap. Cepat sikit tau!’

Send.

Tittttiitt... Aku baca lagi mesej yang datang.

K aku.’

Satu persatu ayat itu aku baca. Aku memasukkan telefon bimbit di dalam beg sandang dan turun ke tingkat bawah.

Aku terpandang abang yang sedang menyikat rambut anaknya dengan penuh kasih. Aku tersenyum apabila ada rasa bahagia yang bertamu di hati. Kalaulah ayah masih hidup.... Aku beristighfar pelan. Sepatutnya aku doakan kesejahteraan arwah, bukannya mengharap yang bukan-bukan...

Setelah abang dan Mimi pergi, aku cepat-cepat mengunci semua tingkap dan pintu dapur berkunci rapat. Risau terlupa nanti. Selepas itu aku duduk di ruang tamu sehingga pukul 8.30 pagi. Janji pukul berapa?

Tunggu punya tunggu, percayalah sangat mamat tu nak datang tepat pada waktunya. Pukul 9 baru dia tiba. Aku berpenat lelah kebosanan menunggu akhirnya terpaksa mempamerkan muka manis apabila melihat semua kawan-kawan Harris sudah tersengih-sengih menanti kedatanganku. Rasa nak ketuk-ketuk kepala Tok Mat. Geram!

Tiga buah kereta berderet di belakang kereta Harris. Aku hanya menghela nafas apabila aku ditempatkan bersebelah Tok Mat yang bertugas sebagai pemandu.

“Hello.. Your name is Mir, right?”Tanya seorang lelaki padaku. Dia berkumis nipis dan cukup segak menandakan dia seorang lelaki yang berkerjaya. Aku terpinga-pinga. Eh, aku kat Malaysia ke ni? Wah, cakap omputih pulak tu! Aku hanya mengangguk-angguk sambil menoleh ke belakang. Dua orang lelaki duduk tersengih memandangku.

Nice to meet you... Mir baru lepas SPM kan? Samalah dengan Aizad ni...” Kata lelaki berkumis itu sambil menepuk bahu temannya. Aku melemparkan pandangan kepada Aizad dan senyum. Aizad mengangguk-angguk kecil. Menunjuk rasa hormat kepadaku barangkali. Aku amati wajah dia sekali pintas, memang boleh tahan handsome jugaklah. Hish! Pantang pandang lelaki ada rupa sikit, mulalah mata aku nak menggatal. Dah sudah Mir!

“Nama abang siapa?” Tanyaku mengalih pandangan ke wajah lelaki berkumis tipis itu lagi.

“Abang...” Aku nampak mimik wajah Harris mengajukkan suaraku tapi dalam versi gedik. Aku jeling dia tajam. Sibuk aje dia.

“Firdaus. Abang ni sama tempat kerja dengan boyfriend Mir. Aizad is my cousin.” Balas abang kumis nipis sambil tersengih lebar. Sesekali matanya dilemparkan ke arah Harris yang sedang memandu. Aku mengerut dahi. Boyfriend? Bila masa aku ada boyfriend? Boifrank adela... Aku tergelak kecil. Harris jeling-jeling aku macam tak puas hati. Tak tahu apa yang dia tak puas hati sangat tu. Dari tadi macam nak cari pasal dengan aku. Sejak aku masuk dalam kereta ni, sepatah perkataan pun dia tak ucapkan untuk aku padahal semalam dia yang beria-ia mengajak aku temankan dia naik gunung.

“Siapa boyfriend Mir?” aku soal sambil memusing kepala ke belakang.

“Harrislah siapa lagi?” balas Abang Firdaus cepat sambil ketawa kecil.

Aku kerut kening menoleh ke arah Tok Mat yang berada di sampingku. Sejak bila dia jadi boyfrank aku?

Alamak! Kenapalah pulak aku kena jadi girlfriend Tok Mat? Hancus la saham aku nanti...

“Ehemm... Mir belum ada boyfriend lagi ye...” Aku menjawab kata-kata Abang Firdaus dengan nada bersungguh-sungguh.

Abang Firdaus ketawa besar. Aku turut tertawa sama. Tiba-tiba aje boleh mesra-mesra dengan Abang Firdaus walhal kami baru aje kenal. Siap panggil abang-abang lagi...

Tapi tulah... Rasa selesa bila bersama seseorang bukan boleh diukur dengan masa. Kadang-kadang dah kenal 10 tahun masih lagi tak reti nak berbual sama. Kawan aku kata, di alam roh lagi kita sudah ada kawan. Jadi kalau tiba-tiba baru aje terjumpa tapi rasa macam dah kenal lama, jangan nak hairan sangat sebab mungkin di alam roh kita kamceng-manceng dengan dia. Aku tak pasti betul ke tak tapi aku betul-betul ingat ayat tu sampai hari ini. He he he...

“Kau tipu kami ke Ris? Kau bagitahu kat kita orang tadi Mir girlfriend kau? Ke kau yang syok sendiri?” usik Abang Firdaus.

Aku terkejut. Mataku memandang tepat ke muka Harris Fikri dengan pandangan tak percaya. Dia kata macam tu kat kawan-kawan dia?

Wajah Harris berubah merah.

“Aku gurau je tadi. Saja nak buat gimik.” Dia senyum kecil. Tapi macam terpaksa aje. Nampak sangat cover line!

Aku jadi hairan. Kenapa dia cakap aku girlfriend dia? Isk... Dah sah-sahlah ni dia suka kat aku jugak?

Aku tersengih-sengih sendirian. Perasan tahap gaban tak boleh nak tolong dah. Aku cuba untuk tidak tersenyum tapi punyalah susah nak sembunyikan gigi. Akhirnya aku ketawa terkekeh-kekeh. Bukan lucu kerana dia menganggap aku girlfriend dia, tetapi lebih kepada mengetawakan diri sendiri sebab berfikiran terlalu extreme. Tak mungkin Harris Fikri yang ada perempuan keliling pinggang nak suka kat perempuan biasa-biasa seperti aku.

Harris tiba-tiba mengeluh dalam. Aku pandang wajah dia yang mencuka itu dan aku jadi hairan lagi.

Seperti biasa, aku gagal untuk membaca fikiran lelaki yang satu ini.

“Iyelah tu... Kenal sangat dengan kau, tak pernah kau buat perangai macam ni,” usik Abang Firdaus lagi. Aku berkira-kira sendiri. Ye ke dia tak pernah buat perangai macam tu? Habis sebelum ni hari-hari dia pergi ke tempat kerja aku sebab dia nak jumpa Cik Normah tu apa cerita pula?

“Dia memang selalu macam tulah Abang Firdaus... Kakak jual sate kat tepi jalan pun dia rembat jadi girlfriend dia. Memang kaki perempuan nombor satu!” Aku mengapi-apikan. Abang Firdaus dan Aizad tertawa berdekah-dekah.

“Tak sangka Abang Harris orangnya begitu...” kata Aizad tersengih-sengih. Tok Mat jeling aku tajam.

“Aku bukan playboy okey... Aku tak pernah rapat dengan mana-mana perempuan kecuali kau,” ujarnya serius kepadaku. Aku terbayang kejadian lima hari lepas semasa aku terserempak dengan Harris. Cuma mungkin Harris tidak menyedari aku menyaksikan dia berpeluk-peluk tangan dengan seorang perempuan. Tak pernah rapat dengan mana-mana perempuan? Menipu sangat! Hati aku jadi panas tiba-tiba.

“Tipu...” Aku mencebik. Dia toleh aku lagi.

“Mana ada tipu! Kau sorang je kawan perempuan aku... Yang lain tu semua ringan-ringan.” Ho? Ringan-ringan konon... Aku angkat sebelah kening. Ada istilah ‘ringan-ringan’ dalam hidup dia sah-sah lelaki keturunan buaya tembaga.

Aizad dan Abang Firdaus diam. Jadi pemerhati aje. Wajah Harris merona merah.

“A’ah kau memang rapat dengan aku sebab aku adik kau, kan? Yang ringan-ringan-ringan tu lepas ni boleh la kau serius-seriuskan.” Aku lemparkan pandangan sepi. Tak nak percaya kat dia. Kalau betul dia suka tak apa. Tapi kalau tak? Aku jugak yang merana!

Harris mengeluh dalam. “Aku tak pernah anggap kau adik okey. Jangan nak perasan... Satu lagi, aku bukan playboy! Ada dengar?” Suaranya mulai meninggi. Keningnya pula dah bertaut. Ada tegang pada seraut wajah dia. Marahlah kot...

Kalau dia tak anggap aku macam adik, aku lagi-lagilah tak nak dia jadi abang! Lantaklah kalau dia playboy ke, buaya darat ke...Tak ada kaitan dengan I okay... Apa kes nak sentap bagai?

‘Huh, cakap dengan Tok Mat, tak pernah nak aman. Cakap dengan tunggul kayu lagi best!’ Desis aku kecil.

“Lepas ni kita naik Gunung Santubong, kau cakaplah puas-puas dengan tunggul kayu.” Sergah Harris tiba-tiba. Aku terkejut. Dia dengar ke? Tajam giler telinga...

Kedengaran tawa Aizad dan Abang Firdaus dari belakang. Aku diamkan diri aje sehinggalah tiba ke destinasi sebab aku tahu hari ini mood Encik Harris Fikri tak berapa elok.