CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, August 19, 2012

Jutawan Cintaku Prolog




PROLOG

AKU tahu perangai aku teruk. Kalau nak kata aku ni paling teruk kat muka bumipun aku tak kisah. Mir Wijdan tidak sebaik pada pandangan mata orang-orang yang mengenali dia dari jauh. Mir Wijdan pentingkan diri sendiri, Mir Wijdan selfish, Mir Wijdan prejudis.

Tapi Mir Wijdan pun manusia. Mir Wijdan perlukan orang-orang yang menyayanginya... Mir Wijdan ada rasa sedih bila dijauhi, Mir Wijdan ada rasa marah bila dikhianati, Mir Wijdan sangat-sangat sensitif bila melibatkan orang-orang yang disayangi. Dan akulah Mir Wijdan itu.

Melihat wajah Harris yang tidak beriak turun dari tangga, aku jadi gentar tanpa kata. Ada sendu pada setiap langkahnya dan sendu itu bukan dia yang cipta kerana aku sendiri yang membinanya.

Harris Fikri berdiri tegak di hadapanku sambil membetulkan kancing lengan kemejanya. Dia masih kacak seperti dulu. Kerana itu juga aku pernah hanyut dalam cintanya sewaktu ketika dulu.

“Mir, saya keluar dulu. Malam ni lewat sikit jadi tak perlu tunggu saya balik.” Dingin. Dingin sangat sehingga aku terasa jauh dari dirinya.

Aku terpaku memandang wajahnya.

“Awak keluar dengan siapa?” Soalku pelan. Dia menjatuhkan pandangannya ke arahku. Wajahnya berkerut sedikit sebelum dia melemparkan senyuman kepadaku.

“Sejak bila ambil tahu dengan siapa suami awak ni nak keluar?” sinis. Aku terus berdiri mendekatinya.

“Tiada siapa yang cuba ambil tahu sebab saya bertanya sekadar suka-suka... Awak nak keluar dengan siapa, bila awak balik, itu terpulang pada awak. Saya tak kisah.” Aku betulkan butang kemejanya yang paling atas. Sengaja menyimbah bara pada hatinya. Dia memandang wajahku dengan mata yang agak bercahaya.

“Saya sayang awak Mir...” bisik Harris Fikri pelan. Tangannya mula menjalar pada bahuku. Aku tahu dia menginginkan diriku tapi tak mungkin itu terjadi.

“Sayang tidak diterima.” Ucapku sambil memegang kedua-dua tangannya. Aku turunkan tangannya dari bahuku.

“Sampai bila kita nak macam ni?” Ada getar pada suara Harris Fikri. Wajahku dia tenung lama bila aku berundur jauh darinya.

“Sampai bila-bila.” Ucapku pelan. Kakiku mula melangkah menuju ke tangga tanpa mempedulikan lagi Harris Fikir.

“Awak bencikan saya sampai macam tu sekali?” Soalan dia meniti ke telingaku. Langkahku terhenti. Aku toleh ke wajahnya dengan perasaan berbaur-baur. Sebenarnya aku cintakan dia. Sebenarnya aku sayangkan dia... Tetapi kalau aku tak boleh terima diri aku sendiri, takkan aku nak suruh orang lain terima diriku?

“Awak sendiri tahu...” Balasku melemparkan senyuman pahit kepada dirinya. Aku dengar Harris mengeluh panjang. Wajah dia tekur ke lantai.

“Pergilah Ris. Lambat pula makwe awak tu tunggu nanti...” Aku memanjat satu persatu anak tangga. Bohonglah kiranya aku tiada perasaan sedih bila dia keluar dengan wanita lain. Saban waktu saban saat aku mengharap kesetiaan seorang suami tetapi bukan salah dia kalaupun dia mencari kasih di luar sana.

Melihat dia mula melangkah menuju ke pintu utama, terasa diriku adalah perempuan yang paling bodoh dan malang. Bodoh kerana membiarkan dia terus jauh dariku, dan malang kerana nasibku tidak sebaik wanita lain.

Aku bersandar pada dinding tatkala pintu rumah ditutup tanda Harris Fikri sudahpun pergi. Bunyi enjin kereta Harris semakin menjauh dan air mataku semakin laju mengalir. Sedih. Sedih sangat!

Sampai hati dia pergi begitu saja... Takkan dia tak tahu takkan ada isteri kat dunia ni yang mahu ditinggal-tinggalkan oleh suami kerana wanita lain? Selama inipun Harris begitu menjaga perasaan dan hatiku. Ke mana Harris Fikri yang dulu menyayangiku? Ke mana perginya Harris Fikri yang sentiasa ada di sisiku? Tiba-tiba terasa diri ini tidak dihargai. Kalau dia tak nak aku, aku sepuluh kali ribu juta tak nakkan dia.

Aku naik tangga, masuk ke dalam bilik dan keluarkan beg pakaian. Satu persatu baju kupunggah masuk ke dalam beg.

Tinggal kat sini lama-lamapun bukan dapat apa-apa. Orang dah tak sayang tak naklah terhegeh-hegeh kat dia lagi.

Kehadapan Harris Fikri...

Terima kasih kerana sudi menjadi suami saya walaupun sekejap aje. Saya tahu awak dah mula bosan pada saya.... Jadi izinkan untuk saya pergi dari sisi awak untuk sementara waktu.

Saya tak pernah menyesal dengan apa yang telah terjadi. Awakpun pernah kata kalau cinta tu tak hadir, kita putuskan untuk berpisah saja. Dan kali ini, berilah saya peluang mencari kebahagiaan sendiri...

Akhir sekali, halalkan segala-galanya yang awak berikan pada saya.

Sekian dari saya,

Mir Wijdan Hj. Shafiee.

Bodoh tak aku? Kiranya nak berpisahpun guna surat menyurat seperti zaman nenek moyang. Tapi air mata ni dah tak dapat berhenti mengalir. Sebak sangat...

Selama ini, aku ingat akulah satu-satunya wanita di hatinya. Aku lupa yang dia mampu mencari wanita lain bila-bila masa saja...

Aku meletakkan surat di bawah pintu biliknya. Kemudian aku bergegas mengheret beg pakaian aku ke tingkat bawah.

Buka aje pintu rumah, aku beristighfar panjang. Kunci kereta tertinggal kat tingkat atas mungkin sebab aku tergesa-gesa nak lari dari kenyataan. Aku tinggalkan beg kat tepi kereta dan bergegas ke tingkat atas semula.

Bila aku turun ke bawah semula, langkah aku terhenti melihat Harris Fikri menyandar di pintu keretaku. Tiba-tiba aje kaki rasa digam tak mampu nak bergerak. Melihat dia memandang wajahku tajam saja sudah cukup membuat hatiku dipalu gelisah.

“Harris?” Sepatah. Dia mendekati aku dan berdiri betul-betul di hadapanku. Tangan Harris tiba-tiba menepuk dadanya kuat.

“Nak saya mati?”

Aku kelu. “Saya tak boleh hidup tanpa awak. Nak saya mati?” Sekali lagi dia ulangi ayat yang sama. Rahangnya bergerak-gerak bila aku tak jawab apa-apa.

“Cinta saya, kalau saya beri bulan dan bintang, kalau saya berikan awak kebahagiaan, tak pernah cukup untuk awak bukan?” Suara dia mula meninggi.

Lima minit terpaku tanpa kata. Lepas tu dia ambil beg pakaianku dan menyeret aku untuk masuk ke dalam rumah.

“Permainan kita belum selesai Mir...” Harris memandang wajahku tajam sambil melempar beg pakaian aku di lantai. Aku terkejut. Dia dah gila ke apa main lontar-lontar beg orang? Air liur aku teguk terasa tersekat di leher. Harris tetap memandang wajahku tajam.

“Jangan pandai-pandai hendak melarikan diri. Semakin awak lari, semakin saya kejar. Ke mana awak pergi, jangan ingat awak terlepas dari genggaman saya.” Harris berbisik sambil mencengkam pergelangan tangan aku.

Aku cuba melepaskan pegangan tangannya tetapi dia genggam semakin erat. Harris Fikri tak pernah berkasar seperti ini pada diriku. Sampai hati... Aku sandarkan wajahku di dadanya.

“Lepaskan saya.. Saya tak bahagia...” Bergetar suaraku menahan sebak. Ayat yang aku ucap tadi seperti membunuh separuh jiwaku. Perit sangat tapi itulah hakikatnya.

Tubuhku tiba-tiba ditolak kaut. “Kalau awak tak bahagia, saya pun tak akan bahagia!!” Dia tempelak kuat. Aku tersentak.

“Kalau awak pergi, awak tak akan jumpa saya lagi kecuali mayat saya Mir.” Suara dia mula kendur tetapi matanya masih tajam menikam anak mataku. Amaran.

Don’t you dare to leave me, Mir. I begging you.” Harris berjalan menuju ke arah pintu dan menghempas pintu rumah kuat sebelum menguncinya.

Aku memejamkan mata bila dia menghampiriku semula. Kali ini kalau dia nak lempang aku, aku pasrah je. Tapi bila tubuhku dirangkul kuat oleh Harris, hatiku tersentuh dalam. Dia letak bibirnya di pipiku buat pertama kalinya dan mengusap wajahku penuh perasaan. Aku nampak matanya berkaca-kaca merenung wajahku.

Harris melepaskan rangkulannya pada diriku dan melangkah menaiki tangga dengan air mata di pipi. Aku hanya mampu memandang dengan perasaan yang tersiat-siat. I’m sorry Harris. Maafkan saya sebab dah lukakan hati awak...

Tiba-tiba minda jadi rasional. Tiba-tiba hati berdetak laju. Tiba-tiba aku tersedar sesuatu. Surat yang aku letak di bawah pintu bilik dia! Janganlah dia sempat baca... Janganlah...

Aku berlari menuju ke tingkat atas dan jantungku hampir jatuh melihat Harris Fikri mengoyakkan surat yang aku tulis tadi sambil bersandar di muka pintu. Dia menoleh ke arah aku dan aku hanya berdiri kaku. Diriku terasa gelap seketika. Darahku berderau melihat pandangan matanya yang penuh luka. Aku rasa bersalah yang amat sangat. Aku hela nafas panjang bila Harris masuk bilik dia tanpa sepatah kata. Aku sandar pada dinding sambil meraup wajah kasar. Air mata mengalir ke pipi.