CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday, July 21, 2018

LELAKI DINGIN BAB 10



BAB 10

TURUN menjejak kaki ke halaman rumah besar itu menyebabkan bulu romaku meremang. Kenapa ya? Tempoh hari bukannya ada kejadian yang luar biasa terjadi sehingga menyebabkan aku jadi begini cuak.
“Tak ramai orang, kan kak?” komenku bila melihat halaman rumah masih lengang. Terdapat empat atau lima buah kereta terparkir di tepi jalan berhampiran pagar rumah Prof Azria. Sebab Kak Mia jadi aku bahaskan juga wanita itu Prof Azria dalam diam.
Agaknya 10 orang saja jemputan wanita elegan dan penuh aura pendidikan itu untuk menghadiri majlis doa selamatnya.
“Masuk ajelah,” ujar Kak Mia memimpin tanganku atau lebih tepat menarik tanganku untuk memasuki laman rumah Prof Azria.
“Kita lewat sangat datang ya kak?” Aku tanya Kak Mia. Kak Mia pandang muka aku dengan mata yang terkebil-kebil. Agaknya mula percaya dengan sogokan ku tadi.
“Assalamualaikum.” Kak Mia ketuk pintu rumah yang sedia terbuka. Beberapa mata memandang ke arah kami berdua.
“Sarmiah... Riah... Alhamdulillah, terima kasih sudi datang ke rumah kami.” Tiba-tiba saja Prof Azria entah dari mana muncul di hadapan kami.
Dan sewaktu aku bersalaman dengan Prof Azria, wajahku benar-benar terasa kejang. Darah menderu laju ke muka menyedari banyak mata yang memandang. Dalam hati sudah berura-ura untuk melarikan diri tetapi tangan Prof Azria pula menggenggam erat tanganku seraya memimpin kami untuk masuk ke dalam rumah itu.
“Eloklah datang ni sebab baru aje kita orang habis solat Isya’. Baru nak mula doa selamat.”
“Prof tunggu kita orang ke? Sorry prof lambat,” ucap Kak Mia bersahaja. Aku cuba berlagak tenang walaupun dalam hati hanya Allah yang tahu pergolakan.
“Ini anak-anak saudara saya.”
Hampir 10 orang tu anak buah dia semua. Biar betul mak datin ni? Doa selamat ke atau makan puak-puak dia aje? Getusku di dalam hati.
“Duduklah Riah, Sarmiah.. Saya ke dapur dulu.”
“Prof saya tolong kat dapur ajelah ya.” Tiba-tiba Kak Mia bersuara. Mungkin Kak Mia turut segan kerana perlu duduk bersama dengan lelaki yang sebaya dengan usia Ainal. Bayangan kami mengenai majlis doa selamat itu amat meleset sama sekali.
“Elok juga. Chatering katanya 10 minit lagi sampai. Marilah..”
Kami bertiga jalan beriringan. Sempat lagi aku cuit pinggang Kak Mia kuat sehingga terdengar bunyi Kak Mia menyeringai kecil. Kenapalah dia bawa aku ke tempat pelik macam ni. Ya Tuhan...



SELESAI doa selamat, Prof Azria meminta aku untuk masuk ke bilik tempat Ainal Aalif duduk tempoh hari. Aku dengan jiwa kacau terpaksa mengikut aje.
   “Doa selamat dah selesai tapi Ainal tak keluar lagi dari bilik. Boleh Riah tolong pujukkan?” Itu ayat keramat Prof Azria. Kepala bagai nak jammed kena lampu merah. Apa dia fikir Ainal akan dengar kata-kataku sedangkan kata-kata mak sendiri pun Ainal buat tak tahu?
“Dia buat apa dalam bilik?”
“Tengah main catur sorang. Kalau Riah yang ajak mungkin dia nak keluar.”
Aku sengih tak ikhlas. Tak faham sungguh aku dengan logik Prof Azria.
“Kawan-kawan dia kan banyak,” ujarku memaksudkan anak-anak buahnya yang sedang melepak di depan televisyen beramai-ramai.
“Semua dah cuba tapi dia tak layan. Riah cubalah mana tahu kut-kut dia nak...”
Aku aje? Kak Mia tak? Rungutku di dalam hati.
“Saya cuba aje, kalau tak berjaya tak apalah kan?”soalku perlahan.
Tak lama lepastu, aku sendiri yang menyesal kerana bersetuju dengan permintaan Prof Azria.
Nak tak nak terpaksa menggagahkan diri untuk memasuki bilik bacaan.
Melihat renungan penuh tanda tanya anak-anak buah Prof Azria ketika aku mengetuk bilik itu membuat diriku jadi lebih segan. Pandangan mereka seolah-olah aku ni alien dari planet mana-mana atau sebenarnya mereka terkejut dengan tindakanku itu. Melalui yang kudengar dari mereka tadi, ada yang pernah menyaksikan sendiri Ainal mengamuk kerana dipaksa keluar dari bilik untuk berjumpa ramai orang.
“Hai..” ucapku membuka pintu.
Mataku jatuh ke arah Ainal yang sedang duduk memandang arah meja. Ada papan catur dan buah catur di situ. Matanya langsung tidak kalih dari memandang catur walaupun langkahku semakin hampir dengannya.
“Ainal...” sapaku perlahan. Aku duduk di depannya.
“Saya datang lagi,” ucapku dengan senyuman.
Hairannya selepas itu dia menyambut senyumanku. Dan senyumannya innocent sangat, cute sangat. Hati ni tiba-tiba aje jadi tenang. Taklah seseram tempoh hari.
Dia kacak lebih-lebih lagi apabila dia senyum macam ni Wajahnya juga bercahaya. Rambut pun dah panjang sikit. Hitam. Aku suka tengok mata dia, serius suka. Dia ada sepasang mata yang cukup menawan. Ke aku dah tak betul ni sampai nampak muka dia lain sangat berbanding hari tu?
“Riah?” Dia sebut namaku dengan suara yang agak garau dan dalam.
“Masih ingat lagi nama saya?” Aku jadi sedikit teruja.
“Awak pun ingat nama saya lagi,” ucapnya.
Dia senyum lagi. Senyuman yang membuat jantungku mula berdegup laju. Janganlah pandang lama-lama. Takut terpukau payah pula.
“Kenapa tak keluar?” Aku tanya.
“Dia orang tak ajak.” jawabnya ringan. Aku terkulat-kulat seketika.
“Kalau orang tak ajak pun inikan rumah awak, awak sepatutnya jenguk tetamu.”
Dia menampakkan barisan giginya. Matanya turut mengecil.
Aku terpaku sebentar melihat reaksi lelaki itu. Kalau orang kata dia ni pelakon memang aku percaya sangat.
“Awak main apa ni?” Aku bertanya mengendurkan suara, cuba mengalih fokus dan tumpuanku padanya.
“Catur. Tapi tak reti. Boleh tolong ajarkan?”
Aku kelu seketika apabila melihat tangan Ainal Aalif menggerakkan knight dalam bentuk L.
“Saya tak reti main, saya tahu gerak aje,” ucapku merendah diri. Tanpa disuruh tanganku mencapai queen dan menggerakkannya ke depan.
“Wah.” Luahnya.
Tak kan gerak satu ni pun dia kagum kot? Rasa nak tergelak pun ada.
Aku mengangkat muka dan pandangan kami bertembung untuk seketika. Dia meletakkan tangannya di atas. Aku tersengih seperti orang bodoh.
“Kalau saya gerak sini.” Dia mengalihkan castle ke tepi king.
“Saya pun gerak la bishop di sini.”
Alamak. Harap-harap dia tak perasan pergerakanku kali ini mengundang check mate. Mataku terus menatap wajahnya tidak mahu dia terlihat kilat kesilapan dari mataku merenung Queen yang sudah terbuka untuk di makan oleh bishop miliknya yang satu lagi.
“Saya ke sini.”
Apabila dia menggerakkan bishop lari ke belakang serta merta senyumanku melebar luas. Dalam diam aku hela nafas lega. Mujur dia tak perasan dengan kesilapanku sebentar tadi. Dengan yakin aku meletakkan queen di hadapan king.
Check mate,” ucapku dengan senyuman lebar.
Check mate?” ulangnya kurang percaya.
“Cuba tengok. Di situ king awak tak dapat bergerak lagi. Castle awak pun tak dapat selamatkan king. Bishop jauh menyimpang dan queen awak...” Aku angkat bahu dan kening serentak.
Dia terpinga-pinga beberapa detik cuba memahami apa yang berlaku.
“Kenapa cepat sangat check mate.” Dia seperti tak puas hati.
Aku sengih mempamerkan gigi. Malam ni terasa rileks pula berdepan dengan dia.
“Gerakan empat langkah check mate. Youtube banyak la Nal.” Lancar sahaja bibir ini menyebut namanya ‘Nal’. Apabila nama itu meniti di bibir, terasa keakraban antara kami terjalin. Atau aku aje yang merasakan hal itu kerana Ainal masih kebingungan memandang papan catur.
“Tadi saya buka bishop ke sini, awak boleh je makan queen saya dengan bishop tapi awak larikan bishop pula.” Aku mengulangi pergerakan beberapa langkah ke belakang.
“Oh...” Dia mengangguk beberapa kali. Aku pandang dia sebentar cuba mencari dan membaca riaknya.
“Saya try aje tadi nak tengok awak perasan ke tak..” ucapku dengan tak tahu malunya. Mujurlah lelaki itu jenis yang lurus bendul sampai dia tak boleh nampak aku acah-acah pandai. Rasa nak gelak pula apabila dia serius sangat pandang papan catur tu.
“Awak kena hati-hati Nal. Permainan ni bukan untuk awak seorang. Kena tengok juga gerakan pihak lawan. Kalau awak prihatin sikit, tentu awak boleh nampak masa saya buat silap,” ujarku memberi sedikit nasihat. Dia tersenyum lagi.
“Macam sekarang ni, awak tak perasan orang lain di luar sana dan awak hanya tertumpu kepada diri awak aje,” sambungku lembut. Tiba-tiba ideaku untuk membawanya keluar dari bilik ni muncul. Lagi pula malam ni dia nampak okey aje. Tak macam hari tu diajak berbual sepatah pun susah nak buka mulut.
“Ajar saya lagi...”
“Hmm?” Tak berapa nak dengar ayat penuhnya.
“Ajar saya main catur lagi,” ulangnya bersungguh-sungguh.
“Saya tak reti main catur. Tahu sikit-sikit sebab Kak Mia selalu main catur dulu masa sekolah menengah. Saya ni tak pandai.” Aku merendah diri.
Dia memandangku lama seolah-olah kecewa. Mungkin juga dia fikir aku sengaja mencari alasan untuk mengelak.
“Jomlah keluar. Kawan-kawan awak menunggu kat luar tu.”
“Saya..” Dia masih teragak-agak.
“Nal, terima kasih untuk bunga hari tu. Awak hantar kepada saya, ya?” Aku teringat dengan bunga yang dia bagi.
Ainal mengangguk. “Tanda terima kasih saya sebab awak sudi datang.”
Aku tersengih kecil. “Lepas ni awak hantar lagi bunga kat saya ek? Saya kan datang lagi?”
Dia menggeleng kepala. Seriusnya dia... Aku gurau aje kut!
“Betul awak tak nak keluar ni? Ramai kawan-kawan awak kat luar sana.”
Dia pandang aku lama.
“Alah macam awak hantar bunga kat saya tu, tak perlu fikir banyak-banyak. Cukup sekadar awak duduk dan tengok televisyen kat depan. Tak perlu takut dengan dia orang, manusia juga kan?”
“Saya tak takut.” Dia membalas.
Ajakanku gagal membuat Ainal keluar dari bilik ni. Risau emosinya berubah buruk, cepat-cepat aku mengangguk kecil.
“Kalau macam tu saya tak boleh nak paksa. Saya pun nak keluar dah ni.”
“Riah,” serunya apabila aku hampir bangun dari sofa.
Lelaki itu tersenyum berat.
“Nak ikut keluar?”
Dia menggeleng kepala.
“Jomlah keluar. Saya kan ada?” Aku cuba memujuk lagi.
“Orang akan ketawakan saya.” Nampaknya dia sendiri sedar pandangan orang lain terhadap dirinya. Dia tak pergi bukan sebab dia tak suka. Tapi sebab tak mahu orang mengetawakan dirinya.
“Kenapa? Sebab dulu awak hebat dan sekarang awak cuma berkurung dalam rumah?” Suka hati aku je nak kata apa. Lepas tu menyesal sendiri apabila tengok riak Ainal jauh berubah. Entah dia marah atau sedih tapi dia tunduk menghadap papan catur tu lagi. Kecil hatikah dia?
“Kat luar nanti, awak tak perlu bercakap pun. Cuma duduk tengok. Macam awak bermain catur tadi. Jomlah keluar dengan saya,” ucapku masih tidak berputus asa. Cara dia jual mahal tu membuatkan jiwaku berkobar-kobar menariknya keluar dari dunia dia sendiri.
“Nanti awak datang lagi?”
Keningku bertaut rapat. “Bila?”
“Bila-bila.. Untuk jumpa saya.”
“InsyaALLAH. Tapi kalau saya datang pun awak duduk aje dalam bilik tak seronoklah Nal. Susah nak berkawan kalau asyik duduk dalam bilik ni aje. Saya kan perempuan,” ucapku lembut agar dia faham.
Dia bangun perlahan dengan senyuman di bibir.
“Jomlah.”
Aku terkejut apabila dia melangkah mendahuluiku. Aku segera menyaingi langkahnya.
“Awak suka kat saya eh?” tanyaku spontan. Ainal menghentikan langkahnya dan memandang diriku. Cepat-cepat aku menekup bibir tanda rasa bersalah.
“Saya rasa tak. Mungkin kawan aje kut.” Aku membetulkan kata-kata sendiri sambil meraba dagu yang tak gatal.
“Janji, nanti datang lagi ya.” Balasnya hampir ketawa. Melihat dia begitu terasa virus gembira turut merebak ke seluruh jiwaku.
“Lain kali awak yang cari saya, saya segan nak masuk rumah ni bila ada mama awak dan keluarga awak. Carilah saya, saya okey aje,” balasku mudah.
“Cari awak?”
Aku angguk. “Hmm, takkan saya aje kut yang datang ke rumah awak ni. Bila lagi awak nak cari saya?” tanyaku. Melihat air mukanya yang tidak menggambarkan apa-apa, aku agak dia faham dengan kata-kataku tadi. Maksudnya aku tak nak jumpa dia dalam rumah ni melainkan dia nak jumpa di luar.
Masa Ainal melangkah keluar bilik, aku mula tamak.
Ainal cuma perlukan seseorang untuk keluar dari zon selesa yang dia bina. Tak salah untuk aku menolong. Sebab aku boleh bawa dia keluar dari bilik ni, mesti dia boleh keluar juga dari rumah ni. Aku rasa rugi apabila tengok dia sia-siakan masanya dengan terperap di rumah besar ini sedangkan dia lebih segak berbanding lelaki lain di luar sana.
Tiba-tiba aku jadi bersemangat nak ubah kehidupan Ainal.

0 Komen untuk Cik Rin: