BAB 10
TURUN menjejak kaki ke halaman rumah besar itu
menyebabkan bulu romaku meremang. Kenapa ya? Tempoh hari bukannya ada kejadian
yang luar biasa terjadi sehingga menyebabkan aku jadi begini cuak.
“Tak ramai orang, kan kak?” komenku bila melihat halaman
rumah masih lengang. Terdapat empat atau lima buah kereta terparkir di tepi
jalan berhampiran pagar rumah Prof Azria. Sebab Kak Mia jadi aku bahaskan juga
wanita itu Prof Azria dalam diam.
Agaknya 10 orang saja jemputan wanita elegan dan penuh
aura pendidikan itu untuk menghadiri majlis doa selamatnya.
“Masuk ajelah,” ujar Kak Mia memimpin tanganku atau lebih
tepat menarik tanganku untuk memasuki laman rumah Prof Azria.
“Kita lewat sangat datang ya kak?” Aku tanya Kak Mia. Kak
Mia pandang muka aku dengan mata yang terkebil-kebil. Agaknya mula percaya
dengan sogokan ku tadi.
“Assalamualaikum.” Kak Mia ketuk pintu rumah yang sedia
terbuka. Beberapa mata memandang ke arah kami berdua.
“Sarmiah... Riah... Alhamdulillah, terima kasih sudi
datang ke rumah kami.” Tiba-tiba saja Prof Azria entah dari mana muncul di
hadapan kami.
Dan sewaktu aku bersalaman dengan Prof Azria, wajahku
benar-benar terasa kejang. Darah menderu laju ke muka menyedari banyak mata
yang memandang. Dalam hati sudah berura-ura untuk melarikan diri tetapi tangan
Prof Azria pula menggenggam erat tanganku seraya memimpin kami untuk masuk ke
dalam rumah itu.
“Eloklah datang ni sebab baru aje kita orang habis solat
Isya’. Baru nak mula doa selamat.”
“Prof tunggu kita orang ke? Sorry prof lambat,” ucap Kak Mia bersahaja. Aku cuba berlagak
tenang walaupun dalam hati hanya Allah yang tahu pergolakan.
“Ini anak-anak saudara saya.”
Hampir 10 orang tu anak buah dia semua. Biar betul mak
datin ni? Doa selamat ke atau makan puak-puak dia aje? Getusku di dalam hati.
“Duduklah Riah, Sarmiah.. Saya ke dapur dulu.”
“Prof saya tolong kat dapur ajelah ya.” Tiba-tiba Kak Mia
bersuara. Mungkin Kak Mia turut segan kerana perlu duduk bersama dengan lelaki
yang sebaya dengan usia Ainal. Bayangan kami mengenai majlis doa selamat itu
amat meleset sama sekali.
“Elok juga. Chatering
katanya 10 minit lagi sampai. Marilah..”
Kami bertiga jalan beriringan. Sempat lagi aku cuit
pinggang Kak Mia kuat sehingga terdengar bunyi Kak Mia menyeringai kecil.
Kenapalah dia bawa aku ke tempat pelik macam ni. Ya Tuhan...
SELESAI
doa selamat, Prof Azria meminta aku untuk masuk ke bilik tempat Ainal Aalif
duduk tempoh hari. Aku dengan jiwa kacau terpaksa mengikut aje.
“Doa selamat dah
selesai tapi Ainal tak keluar lagi dari bilik. Boleh Riah tolong pujukkan?” Itu
ayat keramat Prof Azria. Kepala bagai nak jammed
kena lampu merah. Apa dia fikir Ainal akan dengar kata-kataku sedangkan
kata-kata mak sendiri pun Ainal buat tak tahu?
“Dia buat apa dalam bilik?”
“Tengah main catur sorang. Kalau Riah yang ajak mungkin
dia nak keluar.”
Aku sengih tak ikhlas. Tak faham sungguh aku dengan logik
Prof Azria.
“Kawan-kawan dia kan banyak,” ujarku memaksudkan
anak-anak buahnya yang sedang melepak di depan televisyen beramai-ramai.
“Semua dah cuba tapi dia tak layan. Riah cubalah mana
tahu kut-kut dia nak...”
Aku aje? Kak Mia tak? Rungutku di dalam hati.
“Saya cuba aje, kalau tak berjaya tak apalah kan?”soalku
perlahan.
Tak lama lepastu, aku sendiri yang menyesal kerana
bersetuju dengan permintaan Prof Azria.
Nak tak nak terpaksa menggagahkan diri untuk memasuki
bilik bacaan.
Melihat renungan penuh tanda tanya anak-anak buah Prof
Azria ketika aku mengetuk bilik itu membuat diriku jadi lebih segan. Pandangan
mereka seolah-olah aku ni alien dari planet mana-mana atau sebenarnya mereka
terkejut dengan tindakanku itu. Melalui yang kudengar dari mereka tadi, ada
yang pernah menyaksikan sendiri Ainal mengamuk kerana dipaksa keluar dari bilik
untuk berjumpa ramai orang.
“Hai..” ucapku membuka pintu.
Mataku jatuh ke arah Ainal yang sedang duduk memandang
arah meja. Ada papan catur dan buah catur di situ. Matanya langsung tidak kalih
dari memandang catur walaupun langkahku semakin hampir dengannya.
“Ainal...” sapaku perlahan. Aku duduk di depannya.
“Saya datang lagi,” ucapku dengan senyuman.
Hairannya selepas itu dia menyambut senyumanku. Dan
senyumannya innocent sangat, cute sangat. Hati ni tiba-tiba aje jadi
tenang. Taklah seseram tempoh hari.
Dia kacak lebih-lebih lagi apabila dia senyum macam ni
Wajahnya juga bercahaya. Rambut pun dah panjang sikit. Hitam. Aku suka tengok
mata dia, serius suka. Dia ada sepasang mata yang cukup menawan. Ke aku dah tak
betul ni sampai nampak muka dia lain sangat berbanding hari tu?
“Riah?” Dia sebut namaku dengan suara yang agak garau dan
dalam.
“Masih ingat lagi nama saya?” Aku jadi sedikit teruja.
“Awak pun ingat nama saya lagi,” ucapnya.
Dia senyum lagi. Senyuman yang membuat jantungku mula
berdegup laju. Janganlah pandang lama-lama. Takut terpukau payah pula.
“Kenapa tak keluar?” Aku tanya.
“Dia orang tak ajak.” jawabnya ringan. Aku terkulat-kulat
seketika.
“Kalau orang tak ajak pun inikan rumah awak, awak
sepatutnya jenguk tetamu.”
Dia menampakkan barisan giginya. Matanya turut mengecil.
Aku terpaku sebentar melihat reaksi lelaki itu. Kalau
orang kata dia ni pelakon memang aku percaya sangat.
“Awak main apa ni?” Aku bertanya mengendurkan suara, cuba
mengalih fokus dan tumpuanku padanya.
“Catur. Tapi tak reti. Boleh tolong ajarkan?”
Aku kelu seketika apabila melihat tangan Ainal Aalif
menggerakkan knight dalam bentuk L.
“Saya tak reti main, saya tahu gerak aje,” ucapku
merendah diri. Tanpa disuruh tanganku mencapai queen dan menggerakkannya ke
depan.
“Wah.” Luahnya.
Tak kan gerak satu ni pun dia kagum kot? Rasa nak
tergelak pun ada.
Aku mengangkat muka dan pandangan kami bertembung untuk
seketika. Dia meletakkan tangannya di atas. Aku tersengih seperti orang bodoh.
“Kalau saya gerak sini.” Dia mengalihkan castle ke tepi
king.
“Saya pun gerak la bishop di sini.”
Alamak. Harap-harap dia tak perasan pergerakanku kali ini
mengundang check mate. Mataku terus menatap wajahnya tidak mahu dia terlihat
kilat kesilapan dari mataku merenung Queen yang sudah terbuka untuk di makan
oleh bishop miliknya yang satu lagi.
“Saya ke sini.”
Apabila dia menggerakkan bishop lari ke belakang serta
merta senyumanku melebar luas. Dalam diam aku hela nafas lega. Mujur dia tak
perasan dengan kesilapanku sebentar tadi. Dengan yakin aku meletakkan queen di
hadapan king.
“Check mate,” ucapku
dengan senyuman lebar.
“Check mate?” ulangnya
kurang percaya.
“Cuba tengok. Di situ king awak tak dapat bergerak lagi.
Castle awak pun tak dapat selamatkan king. Bishop jauh menyimpang dan queen awak...” Aku angkat bahu dan
kening serentak.
Dia terpinga-pinga beberapa detik cuba memahami apa yang
berlaku.
“Kenapa cepat sangat check mate.” Dia seperti tak puas
hati.
Aku sengih mempamerkan gigi. Malam ni terasa rileks pula
berdepan dengan dia.
“Gerakan empat langkah check mate. Youtube banyak la Nal.” Lancar sahaja bibir ini
menyebut namanya ‘Nal’. Apabila nama itu meniti di bibir, terasa keakraban
antara kami terjalin. Atau aku aje yang merasakan hal itu kerana Ainal masih
kebingungan memandang papan catur.
“Tadi saya buka bishop ke sini, awak boleh je makan queen
saya dengan bishop tapi awak larikan bishop pula.” Aku mengulangi pergerakan
beberapa langkah ke belakang.
“Oh...” Dia mengangguk beberapa kali. Aku pandang dia
sebentar cuba mencari dan membaca riaknya.
“Saya try aje
tadi nak tengok awak perasan ke tak..” ucapku dengan tak tahu malunya. Mujurlah
lelaki itu jenis yang lurus bendul sampai dia tak boleh nampak aku acah-acah
pandai. Rasa nak gelak pula apabila dia serius sangat pandang papan catur tu.
“Awak kena hati-hati Nal. Permainan ni bukan untuk awak
seorang. Kena tengok juga gerakan pihak lawan. Kalau awak prihatin sikit, tentu
awak boleh nampak masa saya buat silap,” ujarku memberi sedikit nasihat. Dia
tersenyum lagi.
“Macam sekarang ni, awak tak perasan orang lain di luar
sana dan awak hanya tertumpu kepada diri awak aje,” sambungku lembut. Tiba-tiba
ideaku untuk membawanya keluar dari bilik ni muncul. Lagi pula malam ni dia
nampak okey aje. Tak macam hari tu diajak berbual sepatah pun susah nak buka
mulut.
“Ajar saya lagi...”
“Hmm?” Tak berapa nak dengar ayat penuhnya.
“Ajar saya main catur lagi,” ulangnya bersungguh-sungguh.
“Saya tak reti main catur. Tahu sikit-sikit sebab Kak Mia
selalu main catur dulu masa sekolah menengah. Saya ni tak pandai.” Aku merendah
diri.
Dia memandangku lama seolah-olah kecewa. Mungkin juga dia
fikir aku sengaja mencari alasan untuk mengelak.
“Jomlah keluar. Kawan-kawan awak menunggu kat luar tu.”
“Saya..” Dia masih teragak-agak.
“Nal, terima kasih untuk bunga hari tu. Awak hantar
kepada saya, ya?” Aku teringat dengan bunga yang dia bagi.
Ainal mengangguk. “Tanda terima kasih saya sebab awak
sudi datang.”
Aku tersengih kecil. “Lepas ni awak hantar lagi bunga kat
saya ek? Saya kan datang lagi?”
Dia menggeleng kepala. Seriusnya dia... Aku gurau aje
kut!
“Betul awak tak nak keluar ni? Ramai kawan-kawan awak kat
luar sana.”
Dia pandang aku lama.
“Alah macam awak hantar bunga kat saya tu, tak perlu
fikir banyak-banyak. Cukup sekadar awak duduk dan tengok televisyen kat depan.
Tak perlu takut dengan dia orang, manusia juga kan?”
“Saya tak takut.” Dia membalas.
Ajakanku gagal membuat Ainal keluar dari bilik ni. Risau
emosinya berubah buruk, cepat-cepat aku mengangguk kecil.
“Kalau macam tu saya tak boleh nak paksa. Saya pun nak
keluar dah ni.”
“Riah,” serunya apabila aku hampir bangun dari sofa.
Lelaki itu tersenyum berat.
Lelaki itu tersenyum berat.
“Nak ikut keluar?”
Dia menggeleng kepala.
“Jomlah keluar. Saya kan ada?” Aku cuba memujuk lagi.
“Orang akan ketawakan saya.” Nampaknya dia sendiri sedar
pandangan orang lain terhadap dirinya. Dia tak pergi bukan sebab dia tak suka.
Tapi sebab tak mahu orang mengetawakan dirinya.
“Kenapa? Sebab dulu awak hebat dan sekarang awak cuma
berkurung dalam rumah?” Suka hati aku je nak kata apa. Lepas tu menyesal
sendiri apabila tengok riak Ainal jauh berubah. Entah dia marah atau sedih tapi
dia tunduk menghadap papan catur tu lagi. Kecil hatikah dia?
“Kat luar nanti, awak tak perlu bercakap pun. Cuma duduk
tengok. Macam awak bermain catur tadi. Jomlah keluar dengan saya,” ucapku masih
tidak berputus asa. Cara dia jual mahal tu membuatkan jiwaku berkobar-kobar
menariknya keluar dari dunia dia sendiri.
“Nanti awak datang lagi?”
Keningku bertaut rapat. “Bila?”
“Bila-bila.. Untuk jumpa saya.”
“InsyaALLAH. Tapi kalau saya datang pun awak duduk aje
dalam bilik tak seronoklah Nal. Susah nak berkawan kalau asyik duduk dalam bilik
ni aje. Saya kan perempuan,” ucapku lembut agar dia faham.
Dia bangun perlahan dengan senyuman di bibir.
“Jomlah.”
Aku terkejut apabila dia melangkah mendahuluiku. Aku
segera menyaingi langkahnya.
“Awak suka kat saya eh?” tanyaku spontan. Ainal
menghentikan langkahnya dan memandang diriku. Cepat-cepat aku menekup bibir
tanda rasa bersalah.
“Saya rasa tak. Mungkin kawan aje kut.” Aku membetulkan
kata-kata sendiri sambil meraba dagu yang tak gatal.
“Janji, nanti datang lagi ya.” Balasnya hampir ketawa.
Melihat dia begitu terasa virus gembira turut merebak ke seluruh jiwaku.
“Lain kali awak yang cari saya, saya segan nak masuk
rumah ni bila ada mama awak dan keluarga awak. Carilah saya, saya okey aje,” balasku
mudah.
“Cari awak?”
Aku angguk. “Hmm, takkan saya aje kut yang datang ke
rumah awak ni. Bila lagi awak nak cari saya?” tanyaku. Melihat air mukanya yang
tidak menggambarkan apa-apa, aku agak dia faham dengan kata-kataku tadi. Maksudnya
aku tak nak jumpa dia dalam rumah ni melainkan dia nak jumpa di luar.
Masa Ainal melangkah keluar bilik, aku mula tamak.
Ainal cuma perlukan seseorang untuk keluar dari zon
selesa yang dia bina. Tak salah untuk aku menolong. Sebab aku boleh bawa dia
keluar dari bilik ni, mesti dia boleh keluar juga dari rumah ni. Aku rasa rugi
apabila tengok dia sia-siakan masanya dengan terperap di rumah besar ini
sedangkan dia lebih segak berbanding lelaki lain di luar sana.
Tiba-tiba aku jadi bersemangat nak ubah kehidupan Ainal.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih sebab sudi komen... =)