JANGAN kata dia bodoh. Dia tak bodoh mana tapi kalau
dah nikah tak dapat-dapat juga anak ke mana harus dia bawa hati tu berlari?
Jauh dari umpat keji? Jadi keputusan untuk bercerai dengan Leuk bukan satu
keputusan yang salah. Mirza tak tahan! Tak tahan dengan suara-suara tak bermoral
keluarga Leuk, suara-suara orang luar yang tidak kurang sumbangnya, suara-suara
keluarga terdekat dan terjauh menyatakan dirinya mandul!
Mata Mirza entah berapa ratus kali jadi merah saat air mata
jatuh ke pipi. Entah berapa kali Leuk terdiam melihat wajah kecewa Mirza yang
cemburukan rakan-rakan yang lain mendapat zuriat yang dinanti-nanti. Mereka
berkahwin kerana cinta, umur pun baru menjengah dunia. 18 tahun! 18 tahun
kerana cinta sanggup menentang larangan keluarga yang kepingin melihat mereka
berdua berjaya. Leuk mahupun Mirza dua-dua dah berjaya, seorang jadi arkitek
seorang menjadi guru. Setakat itu aje mulut-mulut jahat mula mendiamkan diri
tapi sekarang kenapa soal anak hubungan Mirza dan Leuk menjadi longgar menanti
terputus sedangkan dahulu biarpun kena caci maki katanya sudah terlanjur sebab
tu nak kahwin awal dia orang hanya pekakkan telinga.
Sudah 10 tahun berkahwin! 10 tahun bukan jangka masa yang
pendek saban hari dia mengharap dan mengharap. Adik beradik lain yang baru aje
kahwin pun dah berderet anak tapi kenapa Leuk dan Mirza tak dapat-dapat juga?
Mirza teringin hendak mendengar suara anak kecil menangis. Mirza teringin
melihat Leuk tersenyum riang mengelek zuriat yang hadir dari rahimnya tapi itu
semua di luar kuasa Mirza. Mungkin pembalasan tuhan angkara dia dan Leuk
derhaka pada orang tua.
“Kita ambil anak angkat aje la Mir,” cadang Leuk. Hampir
terpecah perut Mirza tergelak. Leuk tak faham ke? Atau tak nak faham? Dia
wanita, dia ada hati nurani juga. Dia tahu Leuk nakkan anak dari darah
dagingnya sepertimana dia mengkehendaki anak dari zuriatnya.
“Mami tak kan mahu kita ambik anak angkat. Awak kahwin aje
yang lain, dapatkan cucu untuk dia.” Suara Mirza tidak bernada meneruskan
kerja-kerjanya melipat kain baju. Tidak langsung dia peduli wajah Leuk yang
sudah berubah kerana kecil hati.
“Awak nak saya kahwin lain?” soal Leuk sepatah-sepatah.
Terasa sesak dadanya kerana inilah kali pertama Mirza lepas kata. Terasa
dirinya tidak dihargai oleh seorang wanita yang bergelar isteri hampir sedekat
lamanya.
“Kenapa? Awak dah fikir nak ceraikan saya?” nada suara Mirza
sudah menaik tinggi, lirikan tajam sudah terlempat di wajah Leuk tanpa simpati.
“Siapa yang kecilkan hati awak, Mir? Kenapa tiba-tiba cakap
macam tu di depan saya?” Leuk mengangkat punggung. Dia mendekati Mirza selepas
meletakkan buku inggeris yang dibacanya di atas meja. Bahu Mirza dipeluk dari
belakang.
“Tepilah saya tengah lipat baju ni.” Mirza menepis tangan
Leuk yang sudah pun melingkari pinggangnya. Lama-lama dibiarkan saja Leuk
apabila tangan sasa lelaki itu tidak berjaya ditepisnya.
Mirza mengeluh panjang, teringat kata-kata mami Leuk pagi
tadi yang menoreh luka di hati Mirza.
“Kalau dah mandul tu tak payah mimpi nak beranak! Sampai
mati pun Leuk takkan ada anak! Itulah masa aku cakap jangan kahwin dulu tak
dengar. Cinta aje mana cukup tapi si Leuk tu degil tak dengar cakap. Sekarang
padan muka!”
Padan muka.
Biarpun Mirza dikeji, dimaki, sedih hatinya mendengar
sumpahan seorang ibu untuk Leuk, anaknya sendiri. Wajah Leuk masih tetap
terpahat di hati walaupun mungkin satu hari nanti jodoh itu tidak berpanjangan.
Leuk manusia, dia pun manusia. Dua-dua ada hati. Ada naluri.
WAH! Ingatkan dia aje yang bijak merancang
tapi Leuk bertindak lebih awal. Terbelah jiwa Mirza melihat wajah Leuk ceria di
sisi wanita lain di hadapan matanya. Encik arkitek yang disayangi, awak dah
lukakan hati saya! Mirza berhempas-pulas menahan sesak yang merasuk di dada.
Hampir-hampir dia meraung melihat tangan gadis itu singgah sesaat di wajah Leuk.
Leuk tak halang pun malah selamba menyuakan wajah menatap tangan gadis itu.
Mirza… Mirza… dan Mirza… Sabarlah. Sabarlah. Leuk itu
manusia juga, mungkin sudah tiba masanya perpisahan menanti kerana jodoh ini
sudah retak menanti pecahnya.
Tapi Mirza bukan si kecundang pengecut tiada suara. Mirza
pun ada egonya. Setelah pasti hati dia kukuh, Mirza menghampiri kelibatan dua
orang pasangan di depan mata selamba. Wajah Leuk ditenung penuh sinis. Dia
sedih tapi tidak mungkin dia hendak menangis di hadapan Leuk saat ini. Biarlah
benci jangan sedih kerana kesedihan itu takkan membuat hati Mirza lembut untuk
perpisahan. Mirza kena kuat menghadapi segala rintangan kerana rasa sayangnya
pada Leuk bukan biasa-biasa saja. Berpuluh tahun menganyam cinta tidak mungkin
Mirza betah hati untuk sebuah perpisahan dan hanya perasaan benci saja yang
memungkinkan segalanya.
“Seronok makan?” soal Mirza lembut. Leuk tatap wajah masam
Mirza. Dia terkejut namun sepatah pun tidak terkeluar dari bibirnya.
“Siapa ni?” soal gadis yang duduk berhadapan dengan Leuk.
Mirza melemparkan senyuman segaris buat gadis itu. Gadis yang mungkin jadi
isteri Leuk tidak lama lagi.
“My wife…” jawab Leuk lambat-lambat. Matanya
bercahaya menatap wajah kosong Mirza, mengharapkan butir bicara yang keluar
dari bibirnya tadi membunuh bibit-bibit keraguan di hati isteri tercinta.
“Oh! Isteri Encik Lukman rupanya… Nice to meet you, I am
Sarah. Teman sekerja Encik Lukman,” sapa gadis itu lembut. Mirza mengetap bibir
kuat. Wajah Luek ditenung tajam-tajam.
Spontan air oren di atas meja milik Leuk dicapai, diminum
sedikit sebelum dicurah ke wajah Leuk.
“Mir!” jerit Leuk terkejut. Wajah basah Leuk dipandang tanpa
perasaan sebelum kakinya melangkah menjauhi kedua-dua mereka.
“Mir wait for me! Why you do this to me?!” Leuk tarik
tangan Mirza kuat. Jiwanya membara kerana isteri sendiri memperdajalkan
dirinya. Apa salah dia pada Mirza? Kenapa sampai begini sekali layananan Mirza
padanya? Sungguh dia marah namun tetap disabarkan dirinya kerana mengenangkan
jiwa Mirza yang akhir-akhir ini tidak berpaksi dilandasan yang sepatutnya.
“Untuk kecurangan awak Leuk,” balas Mirza kuat. Leuk
terpempan kecewa. Kecurangan? Detik hati Leuk hampir-hampir membuat jiwanya
tewas. Duhai isteri, sedarkah betapa awak telah melukai hati suami awak ni? Air
liur ditelan sebiji-sebiji terasa berpasir. Kecewa dan terluka silih berganti
menghenyak perasaannya sebagai seorang lelaki yang setia pada cinta.
“Saya tak pernah curang, Mir…” bergetar suara yang terlontar
dari bibir Leuk. Egonya hancur melihat wajah dingin Mirza yang tidak pernah
terpamer di wajah isterinya itu selama ini. Kenapa setelah 10 tahun baru Mirza
tunjukkan wajah ini kepadanya? Kenapa tidak sejak dari mula-mula dahulu supaya
Leuk terbiasa dengan layanan Mirza ini? Supaya hatinya tidak tertoreh maha
dalam tanpa luka sehingga membuat jiwanya meronta menggila dijiwa…
“Awak keluar makan berdua dengan rakan sekerja awak. Awak
ingat saya percaya ke awak setia pada saya, Leuk? You’re not the kind of guy
yang boleh keluar dengan mana-mana perempuan randomly. I know who you
are, Leuk. Kalau bukan saya lihat di depan mata saya, saya tak mungkin
percaya awak sanggup keluar makan dengan rakan sekerja wanita awak
berdua-duaan. Saya dah tak kenal siapa awak, Leuk!”
Tangan Leuk ditepis dari lengannya. Biarpun jiwanya turut
terluka tapi dia kuatkan juga hatinya. Lukman berhak mendapatkan gadis yang
lebih baik, Mir. Dia boleh mendapatkan anak jika wanita itu bukan bernama
Mirza, seperti sumpahan mami Leuk tempoh hari. Doa ibu adalah doa yang paling
makbul. Mirza tahu itu.
Dia hendak meletakkan semua kesalahan di bahu Leuk tapi
ternyata perasaan Leuk padanya begitu kukuh. Dia ingatkan Leuk bertindak awal
dengan menduakan dirinya tapi ternyata Leuk berani memperkenal dia sebagai
isteri di hadapan wanita itu. Jauh di sudut hatinya dia terharu. Dia terasa
dihargai. Tapi bukan itu yang Mirza mahu. Menidakkan Leuk begitu sahaja,
mengenepikan perasaan Leuk dan menuduh Leuk yang bukan-bukan…. Mirza bukan
wanita berhati batu. Bohong kiranya dia bencikan Leuk dalam erti kata yang
sebenar. Dia hanya berlakon! Jiwanya turut berdarah melihat wajah Leuk yang
kosong itu.
Kakinya menghala ke arah kereta. Meninggalkan Leuk seorang
diri berdiri di tepi jalan raya dengan hati yang membengkak terluka.
“BILA nak bercerai?”
Mirza terkesima mendengar pertanyaan mami Leuk. Wajahnya
ditundukkan ke lantai kerana tidak mampu menjawab soalan wanita di hadapannya.
Sungguh hati Mirza meraung saat itu! Lama dulu hubungan mami dan Leuk jadi
seperti musuh kerana mengahwini Mirza. Lama sehingga bertahun Leuk dan mami
tidak bertegur sapa sehingga mami Leuk membenci Mirza sesungguhnya. Tiada kata
maaf yang mampu melenturkan hati mami Leuk semula. Tidakkah Mirza akan jadi
kejam sekiranya hubungan yang mula terjalin antara mami dan Leuk terpecah
semula hanya kerana dirinya yang bukan siapa-siapa? Betul kata mami, dia takkan
mampu melahirkan zuriat untuk Leuk kerana mami Leuk tidak pernah redha dengan
kehadirannya sebagai menantu. Bukankah itu putarannya? Melukakan hati seorang
ibu bermakna dia tidak layak untuk menjadi seorang ibu!
“Mami nak kamu berdua bercerai sebelum hujung tahun ni.
Kalau tak mami sendiri akan bertindak. Masa tu Leuk bukan aje akan membenci
kau. Tapi mami akan pastikan nak menghadap muka kau pun dia tak ada hati!”
Bibir Mirza bergetar. Ingin diluahkan pada mami betapa
cintanya dia pada Leuk tapi segalanya tersekat di situ saja.
“Dan ingat, kalau kau tak juga bercerai, mami tak
teragak-agak untuk menarik balik duit yang kau nak gunakan untuk pemindahan
tulang sum-sum adik kau tu! Ingat!”
“Mir ingat…”
Dan buat kesekian kalinya air mata jatuh ke pipi. Terngiang
kata-kata mami tempoh hari. Cinta aje tak cukup. Cinta aje tak cukup….
LEUK balik setelah mami pulang ke rumahnya
sendiri. Leuk balik dengan wajah yang serabut. Dan buat kali pertama Leuk balik
tidak memanggil namanya seperti selalu. Leuk masuk ke bilik tanpa menegurnya
walaupun dia hanya berada di ruang tamu. Mirza berdiri menghampiri pintu bilik
utama milik mereka berdua. Kepala disandarkan ke pintu dengan hati yang
mengamuk sendu. Leuk dah bencikan dia! Leuk dah bencikan Mirza!
Leuk, maafkan saya….
Wajah adiknya silih berganti dengan wajah kecewa Leuk. Wajah
umi dan abi yang mengharap silih berganti dengan wajah beku Datin Gaiya, mami
Leuk.
LANGKAH Mirza sekali-sekali terasa sumbang
menghampiri Fikri, sepupunya yang dahulu pernah tergila-gilakan dirinya. Tapi
itu dulu, sekarang Fikri sudah ada isteri, anaknya ada empat orang dan semuanya
comel-comel. Wajah Fikri tidak mampu dipandang sementelah terasa pipinya pijar
menahan segan.
“Hai Mir, kenapa nak jumpa?” soal Fikri
tersenyum kecil. Mirza menundukkan kepalanya.
“Abang orderkan jus oren untuk Mir tadi.
Minumlah. Jangan risau abang tak letak pil tidur punya…” Fikri tersengih
menyuakan air oren di gelas ke arah Mirza. Di mejanya sendiri terdapat air milo
ais yang sudah diminum sehingga setengah.
“Terima kasih…”
“Kenapa nak jumpa abang ni? Lama dah kita
tak bertemu seperti ini…” Fikri merenung wajah kusut Mirza. Di dalam hatinya
mengakui Mirza masih tetap cantik seperti dahulu namun perasaan untuk wanita
itu telah mati saat dia terjatuh hati kepada isterinya. Mirza dianggap seperti
adik saja.
“Adik Mir sakit…”
Jeda lima saat.
“Abang tahu, abang ada dengar dari mak..”
“Mir perlukan duit…”
Sekiranya ini saja cara untuk dia membantu
adik dan menyelamatkan hubungannya dengan Leuk apa salahnya? Dibuang rasa malu
yang menyesak di kepala.
“Bohong kalau abang kata abang tak ada
duit, Mir. Tapi sekarang ni abang perlu duit tu untuk bayar deposit rumah
abang. Isteri abang dah lama nakkan rumah tu, abang dah janji akan hadiahkan
dia untuk ulang tahun perkahwinan kami. Abang ada pun tak banyak, kira tujuh
lapan ribu aje… Isteri abang pun bukannya bekerja.”
“Oh…”
Mirza menundukkan wajahnya. Fikri yang
akauntan itu pun kesuntukan duit, apatah lagi dirinya yang hanya bergelar
seorang guru…
“Suami Mir tak diberitahu ke yang Mir
perlukan duit?” soal Fikri hairan. Mirza menggelengkan kepala.
“Dia tak boleh tahu…”
“Kenapa?”
Mirza terdiam. Tiada jawapan untuk soalan
itu. Kata-kata mami dahulu sudahpun meracuni fikirannya. Jangan sampai Leuk
tahu. Kalau Leuk tahu, mami akan buang Leuk dari keluarga mereka. Leuk takkan
bertemu dengan mereka lagi walaupun mami sudah mati.
“Mir minta maaf tapi tolong jangan cakap
pada sesiapa yang Mir perlukan duit…”
“Tapi Mir, suami Mir kena tahu.”
“Mir minta tolong pada abang…”
“Mir, nanti abang tanya pada kawan-kawan
abang ya? Mir jangan sedih…”
Mirza mengangguk kepala. Air mata yang
hendak tumpah ditahan-tahan. Janganlah… Jangan sampai dia menangis di sini.
Jiwanya tersentuh dalam, sekurang-kurangnya Fikri akan berusaha menolong
dirinya. Sekurang-kurangnya dia tidak keseorangan…
MASUK ke dalam rumah pun Mirza tiada tenaga.
Wajah Leuk yang tengah duduk di ruang tamu tidak diendahkan sedikitpun. Bukan
sehari mereka begini, sudah lima hari mereka tidak bertegur sapa. Lima hari itu
juga rasanya Mirza keluar makan di luar. Leuk pun mungkin begitu juga. Tidur
pun dia sudah tidak bersama bilik dengan Leuk, dia tidur di bilik tetamu, Leuk
tidur di bilik utama. Mirza tidak berkecil hati dengan layanan dingin Leuk kerana
dia tahu Leuk manusia biasa yang punya hati. Suami mana yang tidak marah
disimbah dengan air di hadapan orang lain? Tidakkah dia telah menjatuhkan air
muka Leuk di hadapan teman sekerja Leuk?
“Tadi ke mana?” suara Leuk kedengaran
ketika Mirza ingin membuka pintu bilik tetamu. Langkah Mirza terpaku di hujung
pintu. Tangannya sedikit menggeletar. Lama sudah dia tidak mendengar suara
Leuk. Setiap saat Mirza merindukan suara itu tapi dimarahi juga hati yang ingin
bermanja supaya menjadi tabah kerana dia sedar apa yang telah terjadi adalah
angkara dari permainannya sendiri.
“Kerja cikgu setakat pukul 2 petang. Tapi
ni dah dua pagi. Ke mana Mir pergi?”
Mirza memejam mata serapat mungkin meminjam
kekuatan yang tinggal sedetik cuma.
“Mir pergi jumpa Fikri?”
Dang!
Terasa dunianya berputar sesaat. Mirza
menggenggam kedua-dua tangannya kuat. Dari mana Leuk tahu dia keluar dengan
Fikri petang tadi?
“Mir answer me… Saya takkan salahkan
awak, saya faham kalau awak perlukan teman untuk meluahkan perasaan…. Tapi sampai
bila kita kena jadi macam ni? Awak hidup dengan saya dekat 11 tahun lamanya
tapi kenapa kita jadi macam ni? Saya tak faham apa yang tengah terjadi antara
kita. Did I hurt your feeling? Saya dah buat silap ke, Mir?”
“Mana awak tahu saya keluar dengan Abang Fikri?”
Mirza, kenapa dingin sangat suara kau pada
Lukman. Dia kan suami? Dari mana datangnya kekuatan untuk kau berkasar dengan
dirinya?
“Saya keluar dengan mami tadi. Dan mami
tengok awak duduk berdua dengan Fikri.”
Mami.
Tawa kecil meniti dari bibir Mirza. Tahulah
dia selepas ini pasti mami Leuk akan menjadikan perkara itu sebagai alat untuk
menjarakkan lagi hubungannya dengan Leuk. Perkara yang paling dia takuti
apabila Leuk bermesra dan rapat dengan maminya tapi Leuk itu anak, bagaimana
harus dia menghalang perkara yang telah termaktub di dalam suratan kehidupan?
“Mami suruh kita berpisah, awak tahu kan?”
Mirza bertanya polos, menatap kedua-dua anak mata Leuk.
“Kita tak akan berpisah…” Leuk mengambil
tangan Mirza, cuba memujuk Mirza untuk kembali berjalan seiring dengannya.
“Saya akan dapat anak kalau saya kahwin
dengan Fikri lama dulu…”
Kedengaran Leuk beristighfar panjang. Mirza
menundukkan wajah sedar bahawa apa yang telah keluar dari bibirnya boleh
merobohkan hubungannya dengan Leuk sekelip mata.
“Kalau awak nak lepaskan saya, saya redha. Syurga
isteri di tangan suami, tapi syurga lelaki di tangan seorang ibu. Saya minta
maaf sebab selama ni awak berada dalam dilemma antara saya dan ibu awak. Saya
bukannya bodoh, buta dan tuli tidak mengerti gerak hati awak, Leuk. Awak
sayangkan ibu awak lebih dari awak sayangkan saya. Awak rindukan ibu awak lebih
dari awak rindukan saya. Seperti mana saya yang juga lebih menyayangi umi
daripada saya menyayangi awak. Sejauh mana kita hidup bersama tapi mereka itu
darah daging kita. Bila mami nak awak lepaskan saya, saya sudah bersedia, Leuk.
Bila-bila masa aje awak boleh lepaskan perempuan macam saya ni. Perempuan yang
mungkin boleh membuatkan awak hilang kasih daripada ibu awak sampai bila-bila.”
“Awak redha?” dua patah pertanyaan Leuk
membuat Mirza menjatuhkan air matanya.
“Saya redha….”
“Mir… kita dah 10 tahun awak sedar ke tak?”
tangan Leuk mencapai pipi Mirza. Mirza menggeleng kepala berkali-kali dan
menjauhi Leuk.
“Kita tak ada 10 tahun. 10 tahun tu anggap
aje mimpi Leuk. Kita tak ada anak. Kita tak ada seorang pun zuriat. Saya dengan
awak tak sesuai Leuk…”
“Saya tak kisah anak ke zuriat ke… Saya nak
awak aje, Mir!”
“Awak tak apa tapi saya yang menanggungnya!
Saya benci bila dengar dari orang lain yang saya ni mandul! Saya benci awak
tahu tak?!”
Tubuh Leuk ditolak kuat sebelum Mirza
memasuki kamarnya. Leuk menahan pintu bilik daripada ditutup oleh Mirza
sehingga lengannya tersepit antara pintu. Mirza yang meraung tidak lagi
dipedulikannya. Tubuh Mirza dirangkul kuat sehingga wanita itu meronta tanpa
suara.
“I love you… I love you!” Leuk
terjerit. Dia sudah mula takut kehilangan Mirza. Dia tahu apabila Mirza sudah membuat
keputusan tidak mungkin lagi Mirza berpaling. Dia kenal siapa Mirza dari 10
tahun yang lepas. Kerana itu juga dia boleh berkahwin dengan gadis sedegil
Mirza dahulu walaupun beratus orang yang menghalang.
10 minit dia disitu menemani esakan Mirza
dan akhirnya Mirza terlena di dalam pelukannya. Dia mengangkat Mirza ke atas
katil. Leuk menghela nafas dalam. Jiwanya pedih melihat wajah kusam Mirza.
Mirza… Mirza… Kenapa sampai meminta perpisahan yang selama ini tidak terfikir
olehnya? Tidakkah selama ini mereka berdua hidup bahagia berdua?
Telefon bimbit Mirza berdering, nama Fikri
tertera. Biarpun pahit terasa di hati namun dia paksa juga dirinya untuk
menerima panggilan itu.
“ADIK dah ada penderma tulang sum-sum…”
Alhamdulillah..
“Bayaran operation dia pun dah langsai. Hari Isnin
minggu depan ni adik operation.”
“Umi? Siapa yang bayarkan?” Mirza meletakkan bukunya di atas
meja guru. Dia duduk di atas kerusi dengan jiwa yang kelam-kabut. Siapa yang
baik hati nak dermakan tulang sum-sum untuk adik? Siapa yang baik hati nak
bayarkan adik untuk operation tu?
“Suami adik…”
“Ha?”
“Lukman Ameer yang bayarkan…”
“Leuk?”
“Ya, Leuk yang bayarkan. Lepas ni bolehlah kita lihat adik
sihat semula. Umi nak berterima kasih pada Mir dan Leuk… tak terbayar hutang
budi Mir dan Leuk…”
“Umi…” ayat Mirza tergantung sampai situ aje. Dia kembali
kelu tanpa kata. Leuk tahu masalah dia ke?
“Oh ya, ucapkan terima kasih juga pada Leuk sebab sudi
menjadi penderma tulang sum-sum untuk adik. Tak sangka Leuk sesuai untuk
dijadikan penderma untuk adik…”
Mirza terjeda. Allahuakhbar! Hatinya menyeru hebat, Leuk….
AIR mata yang mengalir ke pipi disekat
lambat-lambat. Wajah Leuk diperhati lama.
“Mungkin ada jangkitan tapi kemungkinannya sangat-sangat
kecil. Side effect pula encik akan rasa kebas tapi proses ni tak
berbahaya kerana ia akan pulih untuk seketika waktu. Lagi pula tulang sum-sum
ni boleh tumbuh semula setelah dikeluarkan selama seminggu. Jadi jangan risau
ya…”
“Leuk?”
“Hmmm…”
“Saya berdosa pada awak…”
“Saya tak marah. Saya tahu isteri saya tengah tertekan…”
Wajah Mirza dipegang dengan kedua-dua tangannya. Derma sum-sum tulang mana ada
berbahaya. Serupa dengan derma darah aje pun... Tu adik tu yang patutnya
diberikan perhatian sebab dia tengah sakit…
“Tapi saya dah sakitkan hati awak. Saya tak layan awak
seminggu ni…” esakan Mirza mengundang pilu di hati Leuk.
“Dengar sini, saya tak marah Mir. Saya sayangkan awak lebih
daripada rasa marah tu. Saya tahu awak ada masalah, saya tak marah sebab awak
tak berkongsi, mungkin ada sesuatu yang mengganggu awak buat masa tu. Tapi percayalah,
kalau ada apa-apa yang berlaku pada saya, awak tak pernah berdosa pada saya,
Mir…”
Mirza ketapkan bibir kuat. “Awak takkan apa-apa kan?”
Leuk tergelak kecil. “Awak tak usah risaukan saya… Awak
risaukan adik awak tu, dia tengah sakit, perlukan sokongan awak…”
“Leuk, saya sayangkan awak…”
“Saya tahu…”
“Saya sayangkan awak Leuk. Saya minta ampun…”
“Saya maafkan. Jangan menangis lagi…”
Air mata di pipi Mirza dikesat. Dicium juga pipi Mirza kanan
dan kiri sebelum dirinya masuk ke dalam bilik mengikut langkah doktor tadi.
LANGKAH Mirza perlahan menuju ke dalam bilik
rawatan. Wajah pucat Leuk diperhati penuh kasih-sayang. Inilah suaminya, suami
yang patut dibanggakan. Betapa dirinya bodoh menginginkan perpisahan sedangkan
Leuk sudi berkorban apa-apa saja deminya. Di mana dia akan mendapat seorang
lagi lelaki seperti Leuk sekiranya perpisahan itu benar-benar terjadi.
Seharian dia menemani Leuk di hospital,
doktor kata esok lusa Leuk dah boleh keluar. Kesihatan adik juga semakin
meningkat, Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi ALLAH. Dia yang akan
menentukan rezeki, menetapkan rezeki, barulah Mirza sedar qada’ dan qadar. Dia
akan jadi seperti Leuk, kuat dalam menempuh segala cabaran.
Wajah Leuk diusap lembut, cinta kasihnya
semakin menyubur di dalam hati. 10 tahun ini dia telah hidup bahagia bersama
Leuk. Dan tahun-tahun seterusnya Mirza berjanji selagi hayat dikandung badan
mereka akan terus hidup bersama.
“Mir?”
“Tidurlah Leuk… Saya tunggu awak di sini…”
Senyuman Leuk terukir di bibir redup
kelihatan. Jiwanya kembali tenang. Mirza miliknya sehingga ke akhir hayat nanti…
14 Komen untuk Cik Rin:
nak lagi... mesti ada sambungannya...
oishhhh... menarik! ada sambungan tak ni?? :D
kesian mirza... T.T mesti dia menderita gila dgr umpat keji org... ah, mulut manusia kalau mgutuk mg mcm longkang.. x pernah nak fikir perasaan org yg dikutuk tu.. huhu
best..plz, sambung la lg.
Ya x kan dah habis kut.
sambung2....
please buat sambungan...happy ending please :)
sambungla citer ni Arin...plssssssss..nakla jugak Mir dan leuk ada anak sendiri...usahakan lah..love you la
tak puas baca...sambungla algi citer ni...nak tahu diorang ni ada anak tak nanti...
sungguh menarik walau pun tk puas akk menghayati nyer...best kira nyer ade kesinabungan nyer...heeheee bnyk yg sokong tuh dek....
Assalamualaikum tuan punya blog. Ni first time melawat dan membaca. Cerpen ni memang best dan sedih. Saya menangis sampai basah baju. Hihihi. Tapi tak puas baca lah..Ending mcm tergantung. Keep it up okey ?
Pa'ah Mohd Isdris
mulut mnusia mmg cmtu. nice entry! dpt jugak sy bca smpai abeh.haha
Bile nak smbg novel CCC bab 11?
Best
Dear reader... tq so much! saya baca komen dengan senyuman .. belum ada rezeki nak sambung cerita ni~
Post a Comment