CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, January 4, 2013

Bitterness In You *BAB 1*









BAB 1
KAWASAN rumah dua tingkat itu penuh warna-warni. Agaknya kalau aku kahwin nanti rumah aku pun nak jadi macam tu jugak. Wajah pengantin perempuan kuperhati lama dengan penuh minat. Nampak tenang aje senyum memanjang di samping solekan yang ringan. Bahagia kut dapat kahwin dengan lelaki impian dia… Agaknya aku pun senyum begitu juga masa hari perkahwinan nanti tapi aku tak tahulah muka aku dapat tenang macam pengantin perempuan tu ke tak sebab aku ni darah gemuruh orangnya.
Ma dan ayah tak tahu pergi mana dah. Sibuk berbual dengan sanak saudara dan rakan-rakan dia orang yang lain lagipun majlis kahwin ni bukan majlis orang lain pun, majlis dua pupu aku kahwin.
“Baju nikah pengantin perempuan superb. Memang cantik habis!” suara-suara berbisik buat aku tersengih tak cukup gusi.
Aku pandang ke arah tempat mempelai berdua yang tengah bersantap dengan penuh beradat di ruang tamu. Baju nikah tu sesuai dengan wajah pengantin perempuan yang sangat-sangat cantik, sopan dan menutup aurat. Baju tu jugak dia orang tempah dari butik ma, tempat aku bekerja sekarang ni. Bangga la jugak sebab aku yang bertanggungjawab pilih baju tu untuk pengantin perempuan..
Pengantin lelaki tu pulak dua pupu aku. Sangat-sangat tampan dan aku dengar dia bakal mewarisi aset ayah dia. Tapi kalau aku kahwin nanti aku tak lah nak mimpi orang kaya meminang tapi kalau boleh nak handsome lagi daripada Syakirul Hafiz tu.
“Sengih-sengih sorang apesal?” soalan tu buat aku hampir terbatuk. Aku toleh spontan dan nampak cik gadis manis tengah tersenyum lebar terus mengambil tempat duduk di sebelah aku.
“Mesti kau menyesal gila tak ngayat abang aku dulu, kan? Kalau tak dah selamat kau orang kahwin sekarang ni!” ucap Tija tak teragak-agak. Pecah tawaku mendengar usikan Tija. Tidak pernah terlintas di kepala yang aku bakal menyesal kerana terlepas seorang lagi pemuda yang cukup serba-serbi yang bergelar abang sepupu. Ada-ada aje Tija ni.
“Agaklah… Aku mana sesuai dengan abang kau tu. Kakak ipar kau pun okey apa. Ayu aje aku tengok. Pakai tudung dan sopan santun.” Aku puji pengantin perempuan tu bukan takat nak bodek Tija tapi betul-betul ikhlas dari hati.
“Kau bila nak kahwin? Umur dah naik 25 dah…” Tija bertanya. Akupun terus angkat bahu sebab rasanya soalan dia tu soalan yang maha susah nak jawab. Siapalah yang nakkan aku ni…
“Kau pun dah naik 25 takkan dah lupa? Bila kau nak kahwin dengan Wan Adree?”
Tija sengih aje bila aku ungkit nama pakwe dia tu. “Tak lama lagi. Sekurang-kurangnya aku ada calon, tapi kau ni risau la pulak menyingle dari dulu.”
Aku gelak sebab tak pernah dengar perkataan menyingle tu. Entah dari mana budak ni tiba-tiba aje buat perkataan tak de masuk kamus dewan, aci redah aje dia.
“Kau punya calon the best bachelor of asia, aku terpaksa cari yang antarabangsa punya…” aku jawab selamba sambil pandang lagi ke depan. Susah sangat mata ni dari tak curi pandang ke wajah pengantin perempuan tu. Manis aje…
Tija tolak bahu aku pelan sambil tarik muka. “Kau ni seriuslah. Risau aku tau pasal kau tak reti nak cari boyfriend.”
Aku tercengang dengar apa yang Tija cakap. Tak sangka dia pun fikir benda yang sama dengan aku sebab selama ni pun aku risau benda yang sama, kenapalah aku tak reti nak mengayat atau tersangkut dengan mana-mana lelaki sedangkan umur aku dah capai 25 tahun. Ma kata jodoh aku belum sampai lagi… Nak ke percaya cakap ma tu? Kalau nanti sampai tua aku tak kahwin macam mana?
“Kau cantiklah Rian, carilah pakwe sorang.” Tija ambil buah yang ada kat pinggan aku. Cepat-cepat aku tolak bahu dia pula.
“Ambiklah sendiri kalau nak makan,” aku buat suara pura-pura marah. Dia gelak aje.
“Rian, Adree kata dia ada sorang lagi hero solo kat rumah dia. Adif namanya. Kau nak berkenalan tak?” soal Tija tanpa berselindung. Berona merah wajahku bila dia tenung muka aku tepat-tepat.
“Tak naklah! Kau jangan buat benda pelik-pelik sudah. Kau tu bila nak kerja? Baru balik dari oversea takkan terus tanam anggur kut?” Risau jugak kut-kut Tija buat plan gila kenenkan aku dengan adik kekasih dia karang tak pasal-pasal lelaki tu tak suka aku, mana aku nak taruh muka aku lepas tu?
Sambil-sambil tu aku telan juga buah yang masih bersisa kat atas pinggan. Bila aku toleh ke wajah Tija tiba-tiba aje mataku bertembung dengan mata seorang lelaki. Cina kut? Tengok gaya macam pemuda Cina aje mungkin kawan Syakirul Hafiz. Tapi apasal dia pandang ke arah aku pulak? Aku terasa nak raba muka bila dia pandang wajah aku tajam-tajam.
“Tija, kau tengok muka aku ada apa-apa ke tak?” aku tanya kat Tija sebelum Tija jawab soalan aku tadi. Tija geleng kepala sambil pandang aku hairan sebab tiba-tiba aje aku menggelabah sakan. Terus aje Tija toleh ke tepi tempat yang tengah duk aku pandang masa ni.
“Kau kenal ke dia?” soal Tija tiba-tiba. Aku terus angkat bahu dan pandang depan semula. Segan bila diperhati oleh lelaki yang tidak dikenali.
“Dia syok kat kau tak?” soal Tija balik. Aku rasa nak hempuk-hempuk aje minah ni sebab mengganggu konsentrasi aku nak meneutralkan perasaan. Dah la aku ni jenis yang mudah perasan sendiri, janganlah malam ni aku tidur sambil tersenyum dalam mimpi sudah.
“Dahlah, tak ada apanya. Entah-entah dia pandang kau kut,” aku cakap sambil menyuap lagi buah epal yang telah dihiris ke dalam mulut. Aku bukan cantik mana pun sampai orang pandang aku bagai terkeluar biji mata ye tak? Rasa buah ni tak dapat tertelan pulak.
“Kau ingat aku buta ke Rian? Sah-sah dia tengah tenung kau tadi. La, mana pulak perginya jejaka terhangat tu tadi?”
Aku terus pandang balik ke arah lelaki tadi tapi macam yang Tija cakap lelaki tu dah ghaib dah. Aku gelisah tanpa sebab munasabah sepanjang majlis tu mata meliar ke sana ke mari. Ish, susah betul macam ni.


PETANG lepas balik kerja aku terus lepak dengan kawan-kawan sekolej lamaku yang lain. Ma telefon suruh balik sebab ada benda dia nak bincang denganku tapi bila aku cakap aku tengah lepak ma tak suruh aku balik pulak dah.
Aku rasa baik aku balik sebab bila ma kata dia ada benda nak bincang maknanya benda tu penting jadi aku pun tak bertangguh terus balik rumah.
Aku tanya kat bibik kat mana ma dia jawab ada dalam bilik. Apa ma buat dalam bilik petang-petang macam ni?
Bila aku dah ketuk pintu dua tiga kali barulah ma buka pintu. Terkejut muka dia bila tengok aku dah balik rumah.
“Kata tadi lepak dengan kawan?” soal ma hairan. Akupun sengih aje tarik tangan ma jalan keluar dari bilik dia. Rasa nak borak kat depan rumah tiba-tiba lagipun pemandangan depan rumah cantik jugak sebab ayah upah orang hari tu buat dekorasi taman.
“Ayah tak balik lagi ke ma?” aku tarik kerusi depan kolam untuk ma duduk. Dia pun senyum bila aku tiba-tiba naik manja kat dia sambil duduk kat kerusi tadi. Aku ambil tempat duduk depan ma sambil minta bibik sediakan mimum petang untuk aku dan ma.
“Tak lagi. Ayah tu belum lepas Isya’ mana dia nak balik,” ma jawab sambil merungut kecil. Aku pun sengih aje sebab aku tahu ayah memang sayang gila dengan kompeni dia lebih daripada rumah ni kut? Tapi yang pasti dia sayang ma dan aku lebih lagilah. Dulu ayah suruh aku belajar pengurusan syarikat tapi aku tak nak walaupun aku ni satu-satu anaknya yang akan sambung usaha dia naikkan kompeni. Jadi terpaksalah ayah reda bila aku ambil course IT. Lepas habis belajar aku terus kerja kat butik ma punya. Jadi sekarang ni aku kena cari bakal suami yang terer bahagian perniagaan sambung kerja-kerja ayah supaya ayah senang hati tapi masalahnya mana aku nak cari bakal suami yang ala-ala ayah tu?
“Rian dah ada calon ke?” soal ma lembut.
“Calon apa ma?” aku tanya sambil buat muka blur. Sesaat terfikir cari calon yang boleh urus cawangan butik baharu ma dekat-dekat Wangsa Maju tapi lepas tu aku terfikir ada calon suami.
“Calon suamilah sayang…” ma gelengkan kepala berkali-kali. Aku pun sengih sampai ke pipi. Ma dah kasi soalan yang puaka tu balik dah. Aku ni ada masalah sikit sebab tak pernah dapat nak lekat dengan seorang pun jejaka. Agaknya saham aku tak berapa berharga kut sebab semua lelaki yang aku kenal dah ada makwe masing-masing. Bila aku luah kat mak dulu saham tak da orang beli terus dia marah-marah kat aku. Dia kata ada je tu jodoh cuma aku je yang malas cari. Aku agaklah dalam dunia ni aku sorang je rasa low-confident takut tak laku padahal kalau dikira aku ni taklah buruk sangat plus anak orang kaya jugak jadi sepatutnya tak ada kes aku tak laku.
“Tak adalah ma. Ma kan tahu Rian ni susah nak bercinta. Duduk kat butik ma tu aje-aje. Yang Rian menghadap hari-hari nama dia Khairi tapi Khairi tu kalau Rian bawa jumpa ayah sah-sah kena reject jadi menantu!” Aku siap gelak sakan padahal ma tunjuk muka serius semacam.
“Bukan setakat ayah reject, ma pun reject! Rian jangan cuba nak cari pasal ye…” ma beri amaran.
“Tak adalah ma. Rian pun kalau cari mesti hensem macam ayah,” aku bodek ma sambil tersengih-sengih. Ma ni setiap aku cakap mesti dia ambil serius. Khairi yang auw tu bukan aku nak pandang rendah tapi memang dia dah sah ada anak seorang takkan aku pergi ambil dia jadi laki?
“Ayah cakap dia ada calon untuk Rian…”
Aku bulatkan mata. Hati berdebar tiba-tiba.
“Nak ke tak?” soal ma. Aku terkebil-kebil sorang diri. Selama ni memang aku nak suruh ma carikan aku calon pun tapi tak sangka masa yang aku tunggu tu tiba jugak!
Bibik datang bawakan cucur udang dan seteko air teh panas.
Handsome tak ma?” soalku teragak-agak. Malu sebenarnya! Hakikatnya aku taklah demand nak dapat bakal suami handsome macam Brad Pit ke Robert Pattinson ke… Tapi sebab segan tak hengat terpaksalah aku tanya common question kat ma.
“Kalau Rian nak tau pergilah jumpa dia sendiri,” ma cakap sambil bantu bibik tuang air teh ke gelas aku.
“Ma set blind date untuk Rian ke?” aku tanya malu-malu kucing. Ma pandang aku sekilas.
“Nak tunggu Rian cari sendiri sampai tualah tak dapat-dapat jugak,” sindir ma terang-terang. Aku tersengih malu bila ma cakap macam tu. Waaa… Agaknya betullah jodoh tu dah datang. Jodoh yang selama ini aku tunggu-tunggu. Jodoh yang liat benar nak lekat pada aku. Tapi nak ngadap bakal husband tu nanti macam mana? Nak buat apa, Rian? Senyum ke? Serius ke? Atau terus goda aje dia? Aku mula fikir benda tak senonoh pulak!
“Kalau dia tak suka Rian, ma?” aku telan sebiji cucur udang ke tekak. Ma jeling aku sudahnya.
“Siapa tak suka siapa? Rian ni, cuba yakin sikit kat diri tu. Fikir kalau-kalau Rian yang tak suka dia kenapa nak fikir dia tak suka Rian pulak dah?”
Aku pun berfikir sejenak kata-kata ma tadi. Ye tak ye kan? Kenapa aku kena fikir dia tak suka aku pulak walhal benda belum jadi pun…
“Bila tarikh nak jumpa tu ma?”
“Betul nak jumpa? Nanti malam ma cakap kat ayah.”
Ma cakap macam tu dan lepas tu dia terus ajak borak pasal butik dia dan cawangan butik baru dia. Aish. Tension aku sebab terganggu hal blind date ni. Janganlah tak jadi pulak tapi betullah aku jadi haru pulak bila berfikir kalau-kalau lelaki tu nanti pandang aku dengan sebiji mata aje… Ke patut aku pergi salon sebelum pergi jumpa dia ni?
Sepanjang malam aku fikir pasal tu. Apabila aje ayah turun ke ruang tamu selepas mandi dan buat hal dia, aku pandang ma beria-ia cari eyes connection tapi hampa. Sebenarnya teringin nak tahu siapa lelaki tu tapi sebab aku segan nak bercakap tentang bakal suami jadi kes tutup macam tu aje.