CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, May 15, 2013

Bitterness In You Bab 10



TANGAN terjatuh ke atas dagu spontan. Lambat-lambat aku merenung skrin telefon yang bergegar meminta disambut. Err. Ini dah sebulan. Tak. Dah lebih dari sebulan. Sebulan lima hari tapi kenapa baru sekarang dia telefon aku? Apasal ni? Nak minta tundakan tarikh pertunangan ke apa tiba-tiba telefon secara mengejut? Aku menongkat dagu merenung skrin telefon tu sehingga ia beransur bertukar menjadi gelap. Ringtone pun dah hilang lepas tu.
“You sengaja ke Rian? Main tarik tali?” Soalan Khai aku jawab dengan menyeringai tajam. Gilalah, buat apa aku main tarik tali dengan mamat yang stone cold macam Adif tu?
“Bukan I tak tahu women’s bad style untuk memikat hati lelaki…” Khai sambung bercakap dengan sengihan nakalnya. Rasa nak hempuk-hempuk je kepala Khai masa ni.
Okay girl. I will not disturb you.” Ucap Khai menyerah saat tersedar renungan tajam dariku. Melihat Khai sudah mula tekun dengan kerja-kerjanya aku menghela nafas lega.
“Jangan nakal-nakal ya cik Rian, sesak nafas cik abang kat sana tu karang.”
“Lah! I ingat you dah berhenti tadi?”
Khai tersengih panjang bila mendengar rungutanku tadi.
Tak sampai habis Khai mengusik sekali lagi bunyi gegaran di atas meja membuat dadaku berkocak semula. Adif…
“Jawablah Rian. Kesian kat dia.”
“Sejak bila you reti kesian kat orang lain ni?”
“Sebab I lelaki I fahamlah.”
Aku dah tergelak. Macam lucu je bila dia kata dia lelaki. Siap buat muka serius pula tu. Banyak-banyak masa waktu ni sahaja yang aku nampak aura kelakian Khai terserlah.
“Jangan ketawa. Cepat jawab.” Arah Khai merenung tepat wajahku. Aku terus mengangkat bahu sambil meletakkan telefon bimbit di bawah laci.
“Penatlah Khai. You tak tahu apa yang I rasa. Kalau dia tak contact seminggu dua tak apa tapi dah dekat sebulan tak dengar berita rasanya dia saja nak dera perasaan I kut. Biar I dera dia pula.”
“Dah tu selama sebulan ni pernah ke you call dia? Salah dia ke kalau tak contact you?” Soal Khairi tergelak kecil. Biarpun seperti main-main cara Khai bercakap tapi bila diteliti betul-betul ada benarnya juga. Selama sebulan ni mana pernah aku cuba contact dia. Setakat pegang telefon tenung nama Adif beratus kali di atas skrin telefon tu pernahlah.
“Taknaklah. I malas nak jawab. Tak tahu nak cakap apa.”
Khairi meletakkan baju pengantin yang tergantung di hanger ke atas mejaku.
“You dah nak bertunang dengan dia tapi you masih tak tahu bercakap dengan dia? What a poor relationship.”
Aku tercebik kecil. Tu lah aku cakap kat dia tadi dia buat derk saja. Si Adif tu mana pernah telefon aku sejak kejadian merisik jadi salah ke kalau aku tak menjawab panggilan dia sekarang ni?
“Ha telefon dah bergegar balik kat laci tu.” Khairi memuncungkan bibir ke arah mejaku. Aku terkebil-kebil melihat kelibatan Khairi menjauhiku.
“Ke mana?”
Khairi menoleh kembali kepadaku. “Just in case you segan bercakap dengan bakal tunang depan I kan?” Khairi sengih lagi sebelum menghilang di sebalik lambakan baju-baju di belakang sana. Aku tarik nafas dan tarik laci meja sekaligus. Betullah Adif. Dia tak putus asa ke aku tak jawab call dia dekat 6 kali ni?
Lambat-lambat juga aku menekan butang accept call.
“Assalamualaikum.”
Aku telan air liur satu-persatu. “Waalaikumsalam.”
“Busy?”
“A bit.”
Sepi lagi. Aku tergaru-garu dahi sebab dah ikut mati akal nak cakap topik apa. Takkanlah tiba-tiba marah kat dia kenapa tak contact sejak sebulan lepas walaupun ikut logik memang patut untuk aku marah.
“Masih marah?”
“Marah for what?” Lagi-lagi aura dinginku muncul. Sejak berkawan dengan Adif tiba-tiba je aku jadi bijak bersikap sinis. Dingin pun ya. Sebab dia ajelah satu-satunya manusia yang paling tak dapat diselak seperti buku pemikirannya. Langsung tak dapat dibaca apa yang bakal dia lakukan selepas ini. Dia misteri.
“Sebab saya masuk merisik.”
“Oh.”
Senyap lagi. Ni kalau aku ada kudrat dah lama aku hentak telefon bimbit ke dinding. Stress sangat bila bercakap dengan manusia jenis yang tak reti bercakap.
“Kalau tak busy boleh saya ajak awak keluar?”
Dahiku sudah mula berkerut. “Keluar?”
Busy ke?”
“Tak.”
“Jom keluar. Saya belanja.”
Aku menongkat dahi dengan tapak tangan. Tertunduk menekur meja sambil mengurut pelipis kening. “Awak ada benda nak cakap ke?”
“Tak.”
“Ajak saya keluar tapi tak ada benda nak cakap?”
“Salah ke?” Dia menyoal balik.
“Tak.” Aku mengendurkan suara. Kedengaran di hujung sana dia menghela nafas dalam.
“Kita keluar sekarang nak? Saya jemput awak ke butik.”
“Saya masih kerja lagi.”
Senyap kembali. Nyaris aku matikan panggilan sebelum kedengaran suara dia bercakap semula.
“Awak kerja sampai pukul berapa?”
Aku menala mata ke arah jam dinding yang terlekat di belakang sana. Terus aku tepuk dahi bila menilik waktu yang sudah beranjak ke pukul 5.30 petang. Patutlah dia diam tiba-tiba sebab ni dah lebih masa dari waktu Butik Puteri bekerja.
“Dah habis dah…” jawabku lemah. Kantoi je menipu. Kerja sia-sia je dari tadi.
“Saya jemput awak. Kita makan malam bersama.”
“Tak-tak…” cepat-cepat aku membalas. Tak naklah dia jemput dalam keadaan aku yang separa baru keluar dari hospital gila. Serabut!
“Awak tak nak keluar ke?”
“Saya pergi sendiri dengan kereta saya. Awak cakaplah tempatnya.”
“Sungguh?”
Aku mengangguk macamlah dia boleh melihat diriku dari jauh.
Okay then.”
Dia tutup talian belum sempat aku menjawab. Tak sampai seminit text message sampai. Dia kasi alamat dan tempat sekali kepadaku. Lah apa tempat ni? Tak pernah pun aku pergi ke area ni? Tak apa nanti guna gps senang je.
Selesai aku dan Khai berkemas balik, akupun segera memandu menuju kawasan yang dia maksudkan. Oleh sebab jammed gila waktu ni jadi lebih banyak masa untuk aku mempersiapkan diri. Bila aku fikir-fikir memanglah aku ni. Asal berjumpa dengan Adif je aku rasa macam pergi bertempur di medan perang. Tempur perasaan.
Sampai di sana aku lihat Adif sudah berdiri di tepi keretaku. Bila entah dia datang tercegat kat situ akupun tak tahu.
“Kenapa tak tunggu kat dalam?” Soalku sambil membetulkan beg tangan di atas bahu. Dia tak menjawab. Selamba memeluk tubuh menyoroti wajahku. Tak apa. Dia memang berat mulut nak menjawab soalan, dah biasa pun. Alarm kereta aku tekan sebelum mengikut langkahnya menuju ke dalam restoran Chinese. Dia ni taulah mata sepet takkan selera Cina juga kut?
“Dah nak Maghrib. Dekat-dekat sini tak ada surau ke?”
“Dalam ni ada tempat solat,”
Oh? Aku mula memerhatikan reka bentuk restoran yang diliputi warna merah di depan mata. Ada banyak tanglung tergantung di atasnya dan kelihatan beberapa keluarga muslim sedang menjamu selera. Tak pernah lagi ada restoran yang aku jumpa menyediakan ruang solat untuk pelanggangnya. Terbetik perasaan kagum dalam diri.
Selesai solat aku pun mengambil tempat ditempat duduk yang telah ditempah oleh Adif tadi. 10 minit kemudian dia muncul dari belakang dengan senyuman di bibir.
“Dah order?”
Aku menggeleng. Dia orderkan makanan untukku dan kami makan tanpa bersuara. Sesekali dia berdehem sehingga menarik pandanganku ke arahnya.
“Sibuk ke sejak akhir-akhir ni?” Dia tanya.
“Ha?” Aku buat muka tak faham.
“Awak tak pernah call saya.”
Bukan patutnya aku ke yang menyoal dia begitu?
“Awak tak pernah call saya juga, Adif.”
Adif meletakkan chopstik di sisi piring. Melihat dia makan menggunakan chopstik tadi kalau aku tak kenal dia memang aku ingat dia orang Cina yang tengah makan kat restoran Cina. Dia macam biasa dengan sut bekerja formal masih melekat blazer di tubuhnya.
“Saya tak pernah call awak. Tapi saya selalu aje jumpa dengan awak.”
“Ha?” Aku ternganga terus. Bila masanya dia jumpa dengan aku sepanjang sebulan ni? Kut ya pun aku berada di alam fantasi ke apa tapi aku betul-betul pasti yang sebulan ni memang tak pernah ngadap muka Adif.
Adif meletakkan tangannya di atas meja. Smirk smile misteri dia tunjuk balik. Aku berani cakap memang banyak wanita jatuh tertiarap dengan smirk smile dia ni.
“Awak selalu tak perasan kehadiran saya, kan?”
Aku terdiam lepas tu. Lambat-lambat aku mengangkat muka menyoroti renungan dalamnya. “Lebih kuranglah.” Jawabku bersahaja.
“Tadi saya ada kat luar butik awak pun awak tak perasan.”
“Apa dia?” Keningku terus ternaik.
“Awak letak telefon awak di laci meja semata-mata tak nak jawab call saya, Rian?”
Kantoi lagi!
Berkerut mukaku mencari alasan yang terbaik tapi waktu ni otak tengah jammed jadi aku biarkan soalan dia tidak berjawab.
“Ke.. kenapa awak tak masuk terus?”
Adif kembali mengambil chopstiknya. Senyuman masih lagi terukir di hujung bibir. “Awak nak saya masuk terus masa tu ke, Rian?”
Naya je kalau dia masuk masatu. Mau biru hijau muka aku terkantoi masa-masa tu juga.
“Lepas ni kita tengok wayang nak?”
“Tengok wayang?”
Dia mengangguk. Kali ini senyuman yang terlempar lebih ikhlas dari biasa sehingga membuat diriku terpana beberapa saat.
“Awak layan ke wayang?” Aku tanya kat dia. Adif mengangguk kecil.
“Kalau saya bosan… Dulu selalu pergi dengan adik saya.”
“Oh, awak ada adik ke?”
Adif tidak menjawab. Senyuman dia terus mati dari bibir. Ada riak tidak senang terpancar dari wajahnya.
“Bila awak cerita pasal adik awak ni, tiba-tiba aje saya sedar sesuatu. Kita saling tak kenal ahli keluarga masing-masing, kan?”
“Saya kenal. Awak yang tak kenal.”
Aku terkebil-kebil merenung wajah beku Adif. Dia salahkan aku ke sebab aku tak kenal family dia? Dah tu dia tak pernah bercakap takkan la aku pergi jumpa dia dengan bawa buku nota tanya soalan-soalan pasal keluarga dia? Tak boleh ke dia cerita sendiri tentang dia pada aku?
“Keluarga awak ada berapa orang?”
“Empat.” Adif mengambil sapu tangan yang disediakan lalu mengelap hujung bibirnya.
Ni jawab ikhlas ke tak ni? Dahiku berkerut sedikit melihat tindak-balas Adif yang nak tak nak menjawab soalan.
“Awak… adik… mak dan ayah? Adik awak perempuan ke lelaki?”
“Perempuan.”
“Umur awak?”
Dia merenung wajahku tepat. Ada riak terkejut tertera pada air mukanya “Awak tak tahu umur saya?”
Aku terus tersengih panjang. Nampak sangat yang aku tak berapa kisah pasal dia. Bertunang sudah tapi satu benda pasal Adif pun aku tak tahu. “Saya tahu awak peguam, Adif.”
At least awak tahu sesuatu.”
Aku tergelak kecil menyedari yang dia menyindir diriku.
“So, your sister…?”
“Dia okey.”
“Tu aje jawapan awak? Betullah agaknya awak nak saya jadi detektif terpaksa menyiasat fasal tunang sendiri.”Keluhku menyandar tubuh di kerusi. Makan selesai minum pun selesai. Masih tinggal separuh di atas piring tapi tak ada hati nak habiskan.
“Awak kaya, Rian. Awak boleh je buat benda-benda macam tu kan?”
“Saya tak kaya.”
Adif gelak. “Tak ada orang miskin depan rumah dia ada empat buah kereta sport.”
Berubah wajahku mendengar komen Adif. “Saya tak pernah terfikir pasal tu, Adif. Saya tak pernah rasa saya orang kaya.”
“Sebab awak tak berfikiran jauh. Orang macam saya ni terpaksa fikir esok lusa nak makan apa sedangkan awak benda-benda macam tu simple aje. Buang masa dan tenaga kalau awak berfikir.”
“Adif…”
“Dari kecil saya hidup susah, Rian.”
Aku diam.
“Awak hidup dengan kesenangan, saya tak pernah merasa kesenangan itu sampailah saya habis belajar.”
Aku mencuri pandang ke tangannya. Tidak berani hendak bertentangan mata dengan Adif saat ini walaupun aku tak buat apa-apa kesilapan.

SELEPAS menonton wayang aku lihat Adif sudah keletihan. Mungkin kerja-kerja kat pejabat dia tu bertimbun lainlah aku ni setakat kerja rutin kat butik tu tak adalah buat aku sampai terlelap masa tengok wayang tadi. Dia yang beria nak tengok cerita movie cinta last-last dia yang tumbang awal kat kerusi bila keluar ayat-ayat cinta dari mulut hero filem Thai tu.
“Penat sangat ke?” soalku ketika sudah berada di petak tempat letak kereta. Adif mengangkat bahu sambil memberikanku blazer yang dia buka kat panggung wayang tadi.
“Kenapa?”
“Pakailah.”
“Err. Saya tak sejuk pun.” Ujarku tidak menyambut hulurannya. Kalau aku terima juga blazer dia tu gerenti otak aku dah senget sebelah. Ingat ni macam cerita cinta romantik Thai tadi ke?
“Ambil je.” Dia menyangkutkan blazernya di bahuku. Aku terpempan lima saat kerana terkejut dengan tindakannya. Nasib baik dia tak sentuh mana-mana bahagian anggota tubuhku kalau tidak sah nak kena backhand sulung Cik Rian Aulia.
“Dah sampai.” Ucapku ketika berada di hadapan kereta. Adif menilik jam kemudian kembali memasukkan tangannya di dalam poket seluar.
“Nak pergi ke Padang Merdeka tak?”
Lah. Aku ingat dah habis jelajah rupanya masih ada lagi rancangan dia.
“Dah pukul 11…”
“Tak lama, kejap aje.” Ujar Adif seolah-olah memujuk. Aku dah mula serba-salah sebab dia bersandar lepas di pintu keretaku. Ni maksud dia aku kena wajib juga ikut cadangan dia lah ya?
“Tapi..”
“Sekejap aje…”
Aku telan air liur sebiji-sebiji. “Nak buat apa kat tempat tu?”
“Adalah…”
“Saya tak boleh tahu?”
“I need you, Rian. Kepala saya tengah serabut sekarang ni. Saya perlu awak ada di depan mata barulah saya boleh berfikir dengan tenang.”
“Kenapa? Awak nak batalkan pertunangan kita ke?” Soalku meneka. Adif segera menggelengkan kepala. Aku mengeluh lega. Ingatkan dia tengah berfikir nak batalkan pertunangan ke tidak sebab dia kata dia perlu tengok aku baru boleh berfikir. Tapi kalau bukan sebab aku, takkan pasal kerja melambak kat pejabat dia kut?
“Pukul berapa kita balik?”
“Sebelum pukul 12.”
Aku mula berkira-kira sendiri. Aku keluar sampai tengah malam ni pun tak cakap kat ma dan ayah.
“Saya call ma saya dulu.”
“Saya dah minta izin kat dia tadi.”
Aku membulatkan mata kerana terkejut. “Awak dah call?”
“Ya. Masa awak solat Maghrib tadi saya dah call ma awak. Cakap kat dia yang kita berdua candle light dinner..” dia mengenyit mata spontan.
“Kita candle light dinner?” Ucapku seakan-akan tidak percaya dengan kata-katanya. Sengal gila Adif. Nasib baik dia memang bakal suami kalau tak sah-sah ma dan ayah mengamuk sebab aku keluar dengan lelaki sampai tengah malam.
“Kenapa? Awak tak pernah dating ke selama ni?”
Aku dengan muka tidak berdosa terus menggeleng kepala. Adif gelak.
“Anak orang kaya tak pernah date ya? Awak ni lain sangat Rian..”
“Tu pujian ke sindiran?”
Adif tersenyum cuma. “Awak ikut kereta saya dari belakang. Pakailah blazer tu. Takut kena sejuk sebab baju awak nipis.”
Aku pandang ke bawah. Menilik kain blaus ku sendiri. Mana ada nipis pun? Tapi mungkit dia tak tahu aku pakai inner jadi dia bertanggapan aku kesejukan. Lagipun masa kat dalam panggung tadi memang aku sedikit menggigil.
“Ada ke Padang Merdeka kat sini?”
“Ada..”
“Jadi saya kena ikut awak juga ke?”
Adif mengangguk kemudian terus membuka pintu keretanya yang bersebelahan denganku. Dia parking kereta menghadap ke depan, aku pula menghadap ke belakang.
“Jangan pandu laju sangat macam tadi.” Pesanku sebelum dia menutup pintu keretanya.
“Okay madam…” Sekali lagi dia mengenyit matanya kepadaku. Aku mengangkat bahu sambil tersenyum lebar.
“Apa-apa jelah.” Ucapku pelan. Madam pun madam nak buat macam mana, kan?
Sampai aje di kawasan tempat yang dia kata Padang Merdeka tu aku terus mengeluh kecil. Dia menantiku dengan bersandar di badan keretanya sambil merenung jauh menghadap padang bola sepak yang luas tu.
Lambat-lambat aku keluar dari kereta setelah memastikan terdapat beberapa pengunjung lain berada di sana. Jangan sampai Adif buat naya sudah. Aku ni kira penakut juga tapi sebab Adif tu ada keturunan darah sejuk beku jadi aku ambil positif keluar dari kereta dan menghampirinya.
“Padang Merdeka?”
“Ni padang tempat saya duduk-duduk.”
Aku naikkan sebelah kening sambil menggaru dahi kanan. “Ni bukan padang bola sepak ke?”
“Padang bola sepak sekolah lama saya.” Dia jawab dengan murah hatinya. Selalunya kalau aku tanya dia soal balik tapi hari ini okey pula dia menjawab.
“Jomlah, awak nak cakap apa saya dengar.” Aku terus memeluk tubuh turut bersandar di badan kereta Adif.
“Awak tak pakai ke blazer saya tadi?” Soal Adif menyoroti lenganku yang dibaluti dengan blazernya. Aku senyum kecil.
“Saya tak biasa pakai baju orang lain.”
Adif mengecilkan anak matanya mungkin terkejut dengan kenyataanku. “Takkan anak orang kaya tak pernah pakai baju orang lain?”
Aku dah buat muka pelik. “Awak kongsi baju dengan orang lain ke?”
“Tak. Tapi sekali-sekala ya. Pakailah bukannya saya ada penyakit kulit pun…” luah Adif pelan. Akhirnya aku pakai juga blazer dia walaupun sebenarnya aku betul-betul tak nak pakai blazer ni. Apabila aje blazer dia tersarung di tubuh, tiba-tiba perasaanku berdebar hebat. Betullah orang cakap kalau kita pakai baju lelaki perasaan kita ni jadi lemah sikit. Lagi-lagi pada Adif yang langsung tak romantik bila dia buat aksi romantik buat hati orang jadi cair habis. Belum lagi bila dia lemparkan senyuman dia yang jarang-jarang tertera di wajah, nak sawan aku dibuatnya. Nasib baik dia lebih suka pamer senyuman sinis dia tu.
 Adif membuka pintu keretanya dan mencapai sweater di dalam seat tempat duduk lalu memakainya selamba di depanku.
“Jomlah.” Dia cakap seraya menarik lenganku. Agak pantas sehingga aku tidak mampu mengelak.
“Adif, saya boleh jalan sendirilah!” Aku terjerit kecil kerana terkejut dengan tingkahnya yang spontan. Dia melepaskan tanganku perlahan.
“Sorry. Awak nampak macam urban tapi sebenarnya taklah urban sangat.” Adif tersengih kecil. Aku yang dah kekok tak mampu nak cakap apa-apa.
“Adif, you behave yourself..” Aku beri amaran bila dia hulur semula tangan dia seperti meminta aku menyambut huluran tangannya. Adif ketawa.
“Cuaknya awak,”
Aku julingkan mata ke atas. Gila apa tak cuak, ni dah pukul berapa yang aku ikut jadi bodoh macam Adif tu pun dah kira berdosa. Keluar sampai pukul berapa dengan dia ni kalau jadi apa-apa karang sebenarnya akulah yang patut dipersalahkan.
Sampai aje di tengah padang dia terus duduk di atas rumput yang agak basah. Aku berdiri aje kat sisi dia. Takut blaus dan seluar jeans kotor duduk kat rumput ni.
“Duduklah…”
Tak sempat aku tahan Adif sudah menarik tanganku. Rasa tak tertelan air liur bila dah duduk di tepi dia. Ini dah berapa kali dia pegang tangan aku secara sengaja. Diulang, secara sengaja ya. Bukan tak sengaja. Ini ke yang ayah selalu cakap the best man tu? Aku mengerut kening sambil menala mata ke atas untuk menghilangkan rasa cemas yang mampir di hati.
“Saya orang biasa-biasa aje. Awak tak menyesal tak pilih anak YB ke Dato’ ke Tan Sri jadi suami?”
Dia dah mulakan apa yang patut dimulakan sejak sebulan yang lepas. Sebelum dia datang merisik kenapa dia tak tanya soalan itu kepadaku?
“Kita bincang dari hati ke hati ke ni?”
Adif mengangguk tanpa memandang wajahku.
“Kalau saya pilih anak YB, dah lama saya kahwin.”
Terbayang muka Abang Afeeq yang sudah lama tidak menghubungiku. Khabarnya dia sudah bertugas di Sarawak tapi mungkin sebab hari tu aku marah kat dia jadi sikit pun dia tak cakap pada aku.
“Jadi awak memang nak kahwin dengan saya ke?”
Aku mengangkat bahu. “Awak orang pertama yang mengaku sayangkan saya…”
Adif terbatuk kecil. Tak lama kemudian dia berdehem dituruti dengan ketawa yang agak janggal. “Sebab tu awak terima saya?”
Aku dengan muka yang tak berdosa menganggukkan kepala.
“Kalau saya kata saya tak sayang awak, pertunangan kita lusa tu macam mana?” Soalnya menguji. Bijak betul encik lawyer memerangkap sehingga aku tak terjawab soalan dia tu.
“Adif, awak suka perempuan yang macam mana?”
“Kenapa awak tanya?”
“At least awak bukan mengharap stok gadis-gadis yang daring nak mati tu sudahlah sebab saya bukan jenis macam tu.” Ucapku berterus-terang.
“Awak ingat saya suka gadis urban ke?”
Ye-ye je dia urban. Orang pakai tudung labuh tu pun urban juga bukannya diaorang tinggal kat zaman purbakala. Golongan marhaen pun sekarang dah ada laptop canggih telefon bimbit yang boleh online ke mana-mana.
“Jadi awak suka yang ayu bertudung labuh ke?”
“Kalau saya suka orang yang macam tu buat apa saya buang masa dengan awak. Baik lagi saya cari wanita yang alim.”
Wah, rasa kena penampar sekali kat muka. Itulah kau Rian, lagi tanya soalan-soalan pelik kan dah kena sindir. Aku terus mengunci mulut dan merenung rumput di hujung kaki.
“Awak ingat tak kali pertama kita berjumpa?” Adif memandang wajahku. Aku terus mengangkat bahu. Bukan tak tahu tapi malas hendak menjawab soalan dia lagi dah. Karang tak pasal-pasal kena sindir lagi buat penat hati aje cakap dengan peguam.
“Saya ni tak menarik ke di mata awak? Kenapa awak tak pernah ingat apa-apa tentang saya?”
Aku terkebil-kebil tidak memahami maksud Adif.
“Kita berjumpa waktu di restoran bawah butik awak tu, ingat tak? Yang awak tenung muka saya semacam waktu tu.”
Rasa tertelan guli bila dia cakap macam tu. “Saya tenung awak?” Dia perasan ke aku tenung dia masa tu? Alahai malunya! Tapi setahu aku kali pertama kami bertemu sewaktu aku menghadiri majlis pernikahan Syakirul Hafiz dan Minn Alia. Biar betul Adif ni?
“Awak tenung saya bagai nak terkeluar biji mata. Saya handsome sangat masa tu kan?”
Aku terus jelir lidah. “Banyaklah awak punya perasan.”
Tawa kami pecah berdua. Kenapa selama ni aku dan dia tak pernah begini? Kenapa selama ni dia bertindak misteri kepadaku? Kalau awal-awal lagi kami mesra begini tak de la aku pening kepala tak tidur malam kerana memikirkan tentang Adif aje.
“Nanti kalau kita kahwin, saya minta maaf banyak-banyak.”
“Kenapa?”
“Adalah. Tapi saya nak awak tahu bila tiba masanya nanti, saya betul-betul rasa bersalah pada awak. Awak gadis baik, Rian.”
Aku menggigit bibir apabila aje dia menyudahkan kata-katanya. Mesti ada sesuatu yang dia rahsiakan tapi aku tahu aku takkan mampu mengorek rahsia itu hari ini. Tahu sangat Adif jenis yang degil biarpun baru beberapa kali bertemu. Kalau tak, tak mungkin dia datang merisik walaupun dia tahu aku tengah marah masa tu. Dan tak mungkin aku berada di sini kalau tidak kerana desakan dia hari ini.
“Awak fikir saya baik ke, Adif?”
Adif mengangkat sebelah keningnya. Terpancar seribu rasa di wajahnya kepadaku. “Kalau awak tak baik, awak tak akan terima saya, Rian. Saya orang susah.”
Lagi-lagi perkataan susah itu terungkap dari bibirnya. Tahu ke dia yang aku tak pandang pangkat dan harta jadi kenapa perlu perkataan itu diulangi berkali-kali?
“Jom ikut saya lari…”
“Ha?”
“Jom!” Dia tarik lenganku lagi dan beria-ia mengajakku berlari. Aku rasa masa ni dia tengah tak normal kut dengan seluar slack nak berlari tiba-tiba.
“Adif, awak je yang lari saya tak boleh..”
“Kenapa?” soal Adif serentak melepaskan tanganku bila aku meronta kecil dari genggamannya.
“Saya tak biasa. Kalau nak berlari baik awal-awal awak pesan kat saya pakai baju sukan tadi.”
Adif tergelak. Dia berlari laju lepas tu sampai aku dah buka mulut ternganga tak percaya. Biar betul dia ni beria-ia berlari macam nak lepaskan tekanan? Bila dia habiskan satu pusingan dan berhenti betul-betul di depanku sambil menunduk mengurangkan rasa cungapnya, aku jadi terpaku tanpa bicara. Hati ini sesungguhnya sudah terikat pada nama Ahmad Adif. Entah bila perasaan ini muncul tapi aku pasti sangat yang jiwa aku sudah terpatri untuknya. Tidak pernah aku rasa seindah ini dan dialah yang pertama berjaya mengundang rasa indah di hati dengan caranya sendiri.
Adif mendongak muka ke arahku dengan keadaan yang masih membongkok itu. Tangannya kemas memegang lutut sambil mengorakkan senyuman kecil kepadaku.
“Maafkan saya, Rian…”
Aku hanya mampu memandangnya tanpa kata.
“Saya tak boleh berpatah balik. Saya nak awak tahu yang saya sayangkan awak…”










*sekadar ilustrasi penulis, reader sila imagine sendiri :')*

7 Komen untuk Cik Rin:

NurAtiZa

Best....
So sweet.... #^_^

ONE MOMENT IN TIME

suka sgt citer ni...any of your manuscripts published AA?

kak ju

masih misteri lg citer ni. Tak sabar nak tunggu next entry.

RinsyaRyc

Nur Atiza- terima kasih dear.. ^_^

1 moment in time - ada. Lelaki Versi Dia terbitan Kaki Novel :)

kak ju - haaa.. tpi ada org yg dh dpt teka pun hari tu... hehehe.. :D

kak na

salam rin...nak n3 tiap hari boleh?
best citer ni

RinsyaRyc

kak na - wslm..
sebenarnya mmng nak buat hari2 tpi tngan ni agak malas. sob3. asyik nak tngok drama, baca novel, melepak-lepak... terima kasih kerana menunggu kak Na.. I heart you!

aisyah

Something wrong with adif...