MAY kata Aminul study
bagai nak rak. Siang malam study. May pun kata, Aminul salah faham. Berita yang
hari tu tersebar luas bukan sebab Sara yang hebohkan, tetapi Dayyan sendiri
yang cakap kat orang sebab Cikgu Hamidi sendiri yang tanya sama ada Dayyan sudi
ke tak pikul tanggung jawab sebagai ketua pengawas sesi 2010 tahun depan. Hah.
Memang sudi sangatlah Dayyan, ulam di cita pucuk mendatang. Aminul mengaku
salah sebab dah menuduh Sara tetapi tak pernah pula bercakap dengan Sara
semula. Tengok Sara pun tak hendak, asyik dengan muka beku dia tu.
Tahulah Sara
yang Aminul mamat ego gila, dah tahu salah tak reti nak minta maaf. Huh.
Pinggan tak retak nasi tak dingin, Aminul tak hendak aku pun tak hingin…
Pasal Dayyan dan dia, langsung
Sara tak nak lagi kirim salam cute ke comel ke cinta ke kasih ke… Allergic.
Sebab Dayyan hubungan dia dan Aminul dah jadi berpecah. Mana nak sekolah pun
turun naik kereta lain-lain walhal rumah sebelah menyebelah sekolah pun sama.
Dayyan tanya juga kat May kenapa
Sara tiba-tiba tak nak layan dia. May jawab Kak Sara nak tumpu pada STPM.
Alasan aje. Sara dah hilang minat pada Dayyan sebenarnya sebab asyik
terfikir-fikir mamat-hati-tak-macam-manusia tu.
Dari jauh bila terserempak
Aminul, kalau dulu Sara pun ikut buat muka batu juga buat-buat tak tahu bila
berselisih bahu. Tapi sekarang dah lain. Sara sanggup pusing langkah tak nak
ketemu muka Aminul lagi. Dari jadi kawan nuh jadi musuh tanpa alasan. Memanglah
Sara sedih dan pedih campur sekali geram sebab Aminul tak reti menghargai
persahabatan. Minta maaf pun susah ke?
Tapi satu ajelah yang jelas.
Sekarang ni kalau kerja satu kumpulan dengan Aminul atau cikgu sengaja padukan
mereka untuk program apa-apa je, hati Sara berdebar macam nak terlompat. Nervous
melihat wajah Aminul yang beku diselitkan dengan lirikan bersahaja.
Aminul dah lain. Tak pedulikan
tentang Sara lagi. Dan Sara kena terima hakikat yang Aminul bukan Aminul yang
dulu lagi. Sara tak pasti dari mana debaran itu datang tetapi yang pasti dia
tak nak terjatuh cinta pada Aminul setelah hubungan mereka jadi beku begini.
Nak mampus ke apa? Hati kalau dah tersuka pada orang yang tak suka kita,
lagilah pedih tak terkata… Sara tak nak itu terjadi pada akhirnya.
“SARA
tak makan sotong masak kicap ni? Sedap tau. Aminul suka..” Puan Hasanah, ibu
Aminul bertanya sekadar berbasa-basi. Dilihat dari tadi Sara diam aje sedangkan
sebelum ini tak dengar suara Sara memang tak sah.
“Sara tak suka…” jawab Sara
spontan sambil tersenyum tipis. Apa yang Aminul suka, Sara dah benci dah. Dia
tak nak ada apa-apa kaitan dengan Aminul lagi.
Puan Hasanah berpandangan dengan
Puan Iris. Menghidu sesuatu yang kurang enak antara Aminul dan Sara. Aminul
dari tadi diam memanjang tak cakap apa-apa.
“Sara habis STP ni nak sambung
belajar kat mana?” soal Encik Haadi lembut.
“Dah dapat tawaran UNIMAS…”
“Amboi jauhnya…” gumam Puan
Hasanah.
“Dia memanglah kak. Katanya
teringin nak duduk bumi Sarawak tu. Nak tengok-tengok tempat orang…” Puan Iris
geleng kepala kecil. Ikutkan dalam UPU tu dia teringin juga nak paksa Sara
minta UITM ke USM ke UIA ke… Asal yang dekat-dekat dengan bumi Malaya ni aje.
Duduk jauh bukan dapat nak escort pergerakan anak daranya yang seorang itu.
“Aminul pula sambung ke mana?” soal
Encik Firdausi pula, ayah Sara.
Aminul yang dari tadi sekadar
tunduk akhirnya angkat juga muka.
“Dapat tawaran ke Jepun dalam
bidang ekonomi.”
Sara tersentak. Jepun?
Mata terarah ke wajah Aminul. Kut
ya Sara nak lari ke bumi Kenyalang, Aminul lari ke bumi matahari terbit… Lagi
jauh hujung alam. Mata Sara terasa pedas. Aminul tak pernah pun cakap nak
sambung belajar ke oversea. Patutlah May kata Aminul belajar bagai nak rak. Nampaknya
makin jauhlah perhubungan mereka berdua. Kalau orang kata masa dapat
merapatkan, ini pula, masa semakin memisahkan. Aminul bukan lagi untuk Sara.
Sara kena terima juga walaupun jauh di sudut hati dia masih lagi mahu Aminul
mendekatinya, memohon maaf atas tuduhan tak berasas Aminul dahulu. Ah, kalau
Aminul dah ego sangat dengan pendirian dia tu, Sara pun tak akan mengalah.
Orang tak hendak lah Sara, tak
usah nak letak harapan lagi…
Makan malam keluarga Aminul
diakhiri dengan suasana yang paling hambar bagi Sara Suhaila. Kalau dulu Sara
rasa mereka masih lagi dapat berbaik-baik semula, bila perkhabaran Aminul
hendak ke Jepun itu sampai ke telinga, maka Sara sedar apa yang perlu
dilakukannya. Lupakan Aminul Khusairy untuk selama-lamanya.
Pulangnya Sara, Sara tak sedar
mata Aminul asyik mengekori langkah gadis itu. Mulut terkunci melihat Sara
langsung tak nak pandang wajah Aminul. Nampak sangat Sara tak nak berkawan
dengannya semenjak kes dia tuduh Sara yang Sara hebohkan berita pasal ketua
pengawas itu. Sedangkan Aminul nak minta maaf, Sara pula beria mengelak diri
dari terserempak dengan Aminul. Aminul tahan hati aje walaupun sebenarnya pedih
bila gadis yang dia sayang pandang dia dengan sebelah mata.
Yelah Sara kan dah ada Dayyan
nya… Sape ajelah Aminul ni kan?
Aminul tunduk meraup wajah.
Tiba-tiba seseorang mengusap belakang tubuhnya. Aminul toleh.
“Nak May kata kat Kak Sara yang
abang nak minta maaf pada Kak Sara?” soal May lembut. Aminul geleng kepala.
“Tak pe. Kak Sara masih tengah
marahkan abang tu…” Aminul senyum segaris.
“Hah, kan… Abang dengan Kak Sara
ni satu aje masalahnya… Dua-dua tak reti mengalah, dua-dua tunggu-menunggu…
Bila nak baiknya?”
“May…” Aminul mengeluh kecil.
Tidak suka apabila didesak berkali-kali. Bukan ini masanya untuk dia memujuk
Sara dan lelaki bernama Aminul ini juga tidak pernah memujuk sesiapa. Jadi
bagaimana caranya untuk memujuk Sara Suhaila?
May angkat bahu. “Kalau macam tu
tak pe la. Abang pandai-pandailah pujuk Kak Sara…”
Aminul hela nafas dalam melihat
langkah May naik ke tingkat atas. May adik yang baik, faham yang Aminul rasa. Yang
May tak tahu, Aminul tak reti nak pujuk bila benda dah jadi lama sangat. Kalau
sekarang-sekarang ni benda berlaku, tentu dia dah kejar Sara untuk meminta
maaf. Tapi silapnya juga dia biarkan benda jadi lama sehingga dia terlupa cara
bagaimana untuk menegur Sara semula.
2 Komen untuk Cik Rin:
ego snbrnya dua2 makhluk ni.hehe
Haish masing-masing hati batu.
Post a Comment