CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, January 26, 2016

Paksi Cinta Mars part 6

KEPUTUSAN untuk menghantar Fyarah ke sini bukanlah satu keputusan yang bijak. Melihat wanita itu berpura-pura membetulkan anak tudungnya membuatkan rasa tidak senang di hati Jahid. Masa yang Fyarah ambil bukan sedikit. Memilih jenis sayuran pun memakan masa dekat sejam. Dan sekarang hampir bertanduk dia menunggu Fyarah memilik ayam sedangkan dilihat Jahid semua bahagian ayam di situ nampak sama aje.
    "Tak sama Hid. Yang ini kan lebam sampai hijau jadi yang ni lama punya. Kita kena pilih yang fresh."
    "Sama je." Balas Jahid tanpa nada. Fyarah menarik mulut ingin memarahi lelaki itu tetapi ditahannya saja. Risau nanti Jahid hilang sabar, ada juga dia balik dengan teksi. Bukan dia tak perasan Jahid menarik muka masam dari tadi. Tadi lagi dia meminta Jahid membawa haluannya sendiri namun lelaki itu masih berkeras mengikut langkahnya.
    "Tak sama... Kena ambil yang fresh. Akak tak boleh terima benda yang tak fresh, allergic nanti."
    Jahid mengeluh lambat-lambat.
    "Hid tahu pilih ikan tak? Akak tak reti pilih pula. Kalau nak cari ikan yang baru lagi kita kena tengok apa dia ae?"
    Jahid memeluh tubuh memandang Fyarah yang sedang sibuk membelek ikan-ikan di depan mata.
    "Hid?"
    "Entah, pilih ajelah."
    "Alah, nanti auntie kecewa pula bila kita salah pilih. Sekejap ae, akak nak google kejap."
    Okey, sempat pula dia google sekarang ni. Berasap telingaA Jahid melihat tingkah Fyarah yang bersahaja.
    "Aku tunggu kat parking lah. 20 minit lagi aku blah."
    "Eh, kejaplah! Tak lama lagi ni." Pujuk Fyarah menarik sisi baju Jahid yang hampir melangkah pergi.
    "Dah dekat 2 jam tapi banyak ni aje kau dapat, buang masa aku aje." Jahid melirik tajam. Fyarah memandang ke arah bekas yang berada di sisinya. Tiga jenis sayur-sayuran, bawang merah dan putih serta dada ayam sebungkus.
    "Hid bukan ada buat apa kat rumah tu." Lagipun taklah sampai 2 jam sebenarnya. Rungut Fyarah di dalam hati.
    "Cepat sikit."
    Fyarah menarik muka. Geram juga dia dengan telatah Jahid yang tidak reti bersabar. Tetapi untuk membiarkan Jahid pergi ke tempat parking risau pula dia ditinggalkan di sini.
    "Hairan akak, macam Jahid tak suka akak aje."
    "Memang pun."
    Fyarah menala pandangan ke atas sambil mengeraskan bibirnya.
    "Hid, salah akak ke bila akak nak jadi rapat dengan adik sepupu sendiri? Bukannya orang lain pun kan?"
    "Memang pun."
    "Hid sengaja ulang ayat yang sama nak buat akak marah."
    "Memang pun."
    "Memang pun??" Fyarah menghentak kaki meluahkan rasa hatinya.
    "Memang." Ucap Jahid bersahaja. Melihat wajah Fyarah yang kemerah-merahan, bibirnya mengukir sedikit senyuman.
    "Hid tunggulah nanti. Ambil yang ini ajelah." Fyarah mengangkat seekor ikan yang bersaiz sederhana dan terus memasukkan ke dalam plastik. Cepat sahaja dia ke kaunter untuk mendapatkan harga sebelum meminta Jahid pergi membayarnya. Dia menyusup masuk ke rak-rak lain di dalam mart untuk membeli sedikit barang keperluan wanita meninggalkan Jahid yang masih terpinga-pinga. Selesai membayar, dia segera keluar dari mart sebelum ternampak Jahid yang setia berdiri bersandar di sisi pintu keluar.
    "Ingat dah ke parking tadi."
    Jahid berjalan ke sisi Fyarah. "Ke mana tadi?"
    "Adalah."
    "Beli roti ke?"
    Fyarah menghadap Jahid hairan.
    "Roti apa?"
    "Roti bulan." Jahid tertawa sendiri sambil melajukan langkah. Fyarah mengangkat beg plastik yang sedikit lutsinar seraya mengeluh kecil. Benda ni dia kata roti bulan? Ujar Fyarah di dalam hati dengan rasa tidak percaya.
    a

Monday, January 25, 2016

Paksi Cinta Mars Part 5


"WEI! Agak-agaklah!" Fyarah menolak daun pintu laju sebelum mata Jahid lebih meliar ke arahnya. Mujur juga dia berdiri berdekatan dengan pintu demi menghadap cermin tadi, kalau tidak memang selamat Fyarah dijadikan kenduri mata jahat Jahid.
    "Cepat sikitlah, aku tunggu dalam kereta." Jahid bersuara sebaik sahaja perasan ibu bergegas menuju keluar dapur.
    "Kenapa Fya menjerit?" Soal ibu panik. Jahid tersengih kecil.
    "Tak ada apalah, bu."
    "Jahid usik Fya ke?" Berkerut-kerut dahi ibu Jahid merenung tajam ke arah anak bujangnya yang satu itu. Perasaannya sebagai seorang ibu mula tidak sedap, risau Jahid mengusik Fyarah secara melampau. Walaupun Jahid sentiasa menunjukkan sikap yang berhati-hati di hadapannnya tetapi untuk percaya 100% itu agak sukar memandangkan Jahid lelaki.
    "Eh, taklah ibu. Hid ketuk pintu dan beritahu Fya nak tunggu dalam kereta."
    "Kunci dah ada ke?"
    "Ha?" Terkial-kial Jahid nak jawab. "Tadi nak ambil..." Jawab Jahid teragak-agak.
    "Dalam bilik lagi, jadi macam mana Jahid nak tunggu dalam kereta?"
    "Ibu jangan salah faham,"
    "Hid jangan buat perkara mengarut lagi ya, ibu tak suka." Ibu memotong kata-kata Jahid sebelum sempat anak lelakinya menerangkan apa-apa yang lebih mencurigakan hatinya. Jahid kalau dah menipu, semua maklumat akan nampak bercanggah antara satu sama lain.
    "Ibu.."
    Tanpa mengendahkan keluhan bersalah Jahid, ibu menuju ke arah daun pintu dan mengetuk pintu perlahan.
    "Fya okey kat dalam?" Soal ibu.
    "Okey, auntie."
    "Dah siap ke?"
    "Dah, sikit lagi."
    "Fya nanti terus ambil kunci kereta kat atas meja rias auntie ya?"
    "Oh.. Okey auntie."
    Setelah Fyarah menjawab, ibu menjeling ke wajah Jahid dengan lebih tajam.
    "Apa ni Hid?" Soal ibu seraya memukul bahu Jahid kuat.
    "Sorry ibu." Balas Jahid sambil menyeringai kesakitan. Tahu memang dia yang bersalah dalam hal ini. Tindakannya walaupun berniat mengenakan tetapi terlalu melampau kerana Fyarah, gadis bukan mahramnya.
    "Lagi sekali Hid buat hal, kena Hid nanti. Benda tak boleh main dia buat main. Pening kepala ibu." Ujar ibu serius. Rasa geram masih melingkari rasa hati kerana selama ini ibu benar-benar menghormati Jahid sebagai seorang anak yang budiman.
    "Tersasar sikit bu." Jahid tersengih pahit.
    "Tersasar sikit ke besar tetap sama Hid. Lain kali elok-elok sikit. Tak pasal-pasal ibu paksa Hid bertanggungjawab dekat Fya nanti, nak?"
    Jahid membuat muka. "Dia dah ada pakwe, bu. Prinsip hidup Hid, takkan ganggu perempuan yang dah jadi milik orang."
    "Kalau dah tahu tu jangan lah ganggu Fya lagi, di mata ibu sekarang ni macam Hid dah ada hati dekat Fya."
    "Wah!" Jahid memandang ibunya tidak percaya. Dia nakal sikit aje kot ibu sudah fikir jauh ke depan. Ibu fikir anak lelaki dia ni malaikat yang baik dan tak pernah buat silap ke?
    Pintu bilik dibuka dari dalam dan Fya muncul sambil bercekak pinggang.
    "Fya okey?"
    "Okey auntie." Balas Fya laju, tidak mahu menimbulkan konflik yang sedia ada.
    "Fya kalau Hid buat benda tak elok, cepat-cepat report kat auntie. Entah sejak bila dia ada perangai tak senonoh tu."
    Jahid membesarkan matanya, terganggu dengan kata-kata ibu yang agak kejam menggambarkan dirinya.
    "Tak adalah auntie, tadi pun Fya dah pakai anak tudung, cuma nak elokkan tudung sikit aje. Jangan marah kat Jahid."
    Kali ini Jahid tersenyum senget. Hatinya menyumpah-nyumpah Fyarah kerana berpura-pura baik di hadapan ibunya.
    "Dengar tu Hid? Dibuatnya Hid buka masa Fya belum pakai tudung, dosa besar aje Hid dapat. Senang hati macam tu?"
    Berkerut dahi Jahid tidak mampu menyanggah kata-kata ibunya.
    "Alhamdulillah tak ada apa-apa tadi. Auntie janganlah risau. Kalau Hid nak buat benda tak elok lagi lain kali, tahulah Fya nak buat apa." Ujar Fyarah sambil menjeling tajam ke arah Jahid.
    Rahang Jahid jatuh sedikit. Salah dia besar sangat ke? Walhal dia buka pintu bilik Fyarah tadi tanpa mencuri pandang ke dalam bilik itu. Malah kepalanya tadi pun terteleng menuju ke arah dapur sebelum Fyarah menjerit dan menghempas pintu laju.
    "Jahid jangan nak buat malu kat ibu lagi!" Kuat suara ibunya. Jahid memejam mata rapat sambil menghela nafas dalam cuba menahan sabar. Sabarnya hampir tipis melihat senyuman mengarut Fyarah yang konon suci tidak bersalah. Entah kenapa hati Jahid berbahang walaupun nyata-nyata Fyarah langsung tidak bersalah. Dia rasa semua yang berlaku ini adalah berpunca dari kesilapan Fyarah. Kalaulah Fyarah tidak wujud di rumah ini, pasti Jahid tidak dipandang seolah-olah dia penjenayah besar. Penjenayah besar? Entah-entah ibunya menganggap dia pencabul sekarang ni.

Thursday, January 21, 2016

Paksi Cinta Mars 4

JAHID bangun dari tidur dan duduk di atas sofa sejenak. Badannya agak sakit kerana saiz sofa tidak mampu menampung tubuhnya yang agak tinggi dan sasa. Dipandang pintu biliknya sekilas sambil mengeluh kecil. Sudah bangunkah Fyarah?
    Malam tadi dia dikerah oleh ibu untuk meminjamkan bilik tidurnya kepada Fyarah memandangkan bilik tamu yang satu lagi sudah menjadi bilik stor ibu. Kalau tidak kerana Fyarah pasti Jahid tidur dengan selesa malam tadi. Hampir pukul 2 pagi dia masih belum dapat memejamkan mata kerana terganggu dengan bermacam-macam bunyi dari luar.
    "Dah bangun Hid?"
    "Hmm.." Sahut Jahid tanpa memandang ibunya.
    "Kalau penat lagi sambung tidur dalam bilik."
    "Fya?"
    "Fya.."
    "Dah balik?" Jahid mengangkat muka dengan wajah teruja. Namun keterujaannya mati serta-merta apabila terpandang Fyarah sedang berdiri di sisi ibu sambil memandang ke arahnya.
    "Subuh lagi, nak balik pun entah-entah tak ada flight." Balas Fyarah sengaja memulangkan paku keras. Hairan dia dengan perangai Jahid yang kurang menghormatinya malah langsung tidak memanggilnya 'kakak'.
    "Subuh dulu kat bilik, ibu dan Fya nak masak dulu."
    Jahid bangun perlahan menuju ke arah pintu biliknya. "Hangus nanti ibu." Sempat dia menyindir Fyarah sebelum menutup pintu biliknya.
    "Kenapa Jahid macam tak suka je dengan Fya, auntie?"
    Ibu terdiam sebentar. Wajah Fyarah dipandang dengan pelbagai perasaan.
    "Salah auntie juga."
    "Kenapa?" Soal Fyarah bersungguh-sungguh. Harapannya ibu Jahid bertindak jujur dan memberitahunya sendiri walaupun dia hampir mengetahui semua cerita itu dari Jahid sendiri semalam.
    "Auntie kata nak jadikan Fya menantu. Auntie nak dia kenal dengan Fya dulu. Tapi Hid tu lain macam pula. Auntie dah cakap dah eloklah anggap Fya sebagai kakak sepupu aje kalau dah tak nak sangat tapi perangai dia tak berubah. Auntie minta maaflah Fya kalau-kalau Fya rasa tak selesa duduk kat sini kerana Hid."
    "Tapikan auntie, Fya dah ada pilihan sendiri."
    "Iya? Orang mana?"
    "Sabah."
    "Ohh..." Ada nada kecewa terselit pada suara ibu Jahid.
    "Auntie nak Fya kenalkan dengan beberapa orang kenalan Fya? Sebab dia orang tu kebanyakannya bujang lagi dan elok orangnya."
    "Hmm.. Tak payahlah Fya, karang Jahid marah lagi kat auntie. Payah bila anak bujang merajuk, tak macam anak perempuan senang sikit nak pujuk."
    Fyarah mengangguk kecil. "Kalau auntie ada apa-apa nak cerita, Fya sedia mendengar. Fya lagi suka auntie luahkan perasaan pada Fya."
    Ibu Jahid tersenyum lebar sambil menepuk bahu Fyarah. Walaupun kata-kata itu dia sedar hanya sebagai penyedap perasaan, namun dia benar-benar menghargai Fyarah kerana bersungguh-sungguh menunjukkan keikhlasannya.
    "Semoga Jahid buka hati dia, nak juga auntie tengok dia kahwin dengan perempuan yang baik-baik."
    Fyarah mengangguk kecil. "Fya rasa Fya tersilap. Hid tak ada fobia perempuan pun. Maaf ya auntie sebab dulu bercakap tak berfikir panjang. Kan Hid dah besar sekarang, Fya tak terfikir orang boleh berubah dengan usia."
    "Mana Fya tahu."
    "Kita orang ada berbual semalam." Beritahu Fyarah perlahan. Lama dia terdiam dan berfikir.
    "Auntie.."
    "Apa dia?"
    Fyarah hela nafas dalam-dalam. "Cuma Fya rasa, Hid macam benci kat perempuan."
    "Ei?"
    



"HID temankan Fya ya, hantar Fya ke mart depan simpang sana. Fya tak konfiden lagi bawa jalan kat sini takut ada apa-apa jadi."
    "Hid yang hantar?" Kenapa tak ibu aje yang hantar, lagi senang nak pilih barang. Jawab Jahid di dalam hati.
    "Hmm... Pakai kereta ibu aje. Anggaplah Fya tu macam kakak sepupu Hid. Lagipun dia dah ada buah hati kat Borneo tu, melepaslah Hid nak jadikan dia isteri."
    "Banyak lagi perempuan..." Gumam Jahid tak senang hati. Cara ibunya bercakap macamlah dia langsung tak laku di mata wanita lain. Apa kurangnya Jahid Azali? Kulit dia pun bukan hitam ke apa, putih melepak juga macam orang Cina. Nak kata dia pendek pun tidak, buruk berjerawat batu pun jauh sekali. Takkan sebab Fyarah dia terus jadi loser, jadi rugi.
    "Pergilah bersiap sekarang, ibu tengah jaga kek yang dikukus tadi."
    "Bukan kelmarin banyak lagi barang ke ibu."
    "Wah, banyak songeh pula sekarang. Sebelum ni ibu minta tolong cepat aje." Ibu mula bercekak pinggang. Jahid tersengih kecil dengan rasa bersalah mencicip ulu hati.
    "Maaf ibu, tak sengaja. Kunci cereta ibu letak kat bilik ibu?"
    "Atas meja tu aje. Fyarah tengah bersiap dalam bilik ibu tu, nanti kalau dah dia keluar barulah Jahid masuk ya?"
    Jahid angguk kecil. Melihat ibunya beransur ke dapur, Jahid termangu keseorangan. Tiba-tiba mindanya terbetik perancangan nakal. Kakinya melangkah laju ke pintu bilik ibunya. Dengan senyuman separuh keji dia mengetuk pintu bilik ibunya dan membuka tanpa menunggu sesaat pun.
    "Wei!" Suara Fyarah bergema kuat.