CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, June 22, 2012

Kuli Rumah Untuk Dia 2




BAB 2


“MAK...”

Minn duduk di sisi Puan Sri Farisha. Dia pamer muka gelisah.

“Kenapa?” Puan Sri Farisha yang sedang menyandar di sofa itu berpaling ke arah wajah anak gadisnya. Sebagai seorang ibu, dia faham Minn Alia mempunyai keinginan untuk dikongsi kerana dia perasan anaknya itu sedari tadi berada dalam kegelisahan.

“Minn nak cakap sesuatu...” rengek Minn Alia. Dia pasti mak takkan bagi dia tinggal di luar tetapi kena mintak juga sebab lusa dah nak duduk kat rumah Tengku Arshad merangkap majikan barunya.

“Cakaplah. Bukan tak biasa cakap...” Puan Sri Farisha mengerut dahi.

“Adik tu kalau nak minta benda, mulalah nak tunjuk muka malu-malu kucing!” suara Mirr Adriz kedengaran. Sinis menyindir. Minn Alia ketap bibir menjeling wajah Mirr Adriz tajam.

“Abang jangan sibuk!”

“Usik sikit pun dah berapi...” Mirr Adriz juih bibir. Puan Sri Farisha hanya mampu menggeleng kepala. Bukan tak pernah dia tegur Mirr Adriz supaya jangan terlalu bersikap sinis. Tetapi dah perangai tu tak pernah nak berubah dari dulu, tak kuasa dah menegur. Minn adik Mirr. Sinis-sinis pun, sindir-sindir pun, Mirr sayangkan Minn. Cuma sikap mengusik Mirr itulah yang mengundang rasa tidak senang di hati tuanya. Teringin juga melihat adik-beradik ini saling berkongsi dan saling menyayangi. Tapi Mirr tetap Mirr. Cara mengasihi dan menyayangi adalah berbeza. Puan Sri Farisha pun perasan kalau tak ada Mirr di rumah, si Minn jadi senyap je. Ada Mirr, rumah lebih meriah.

“Minn dah dapat kerja...”

“Serius?!” serentak suara Puan Sri Farisha dan Mirr Adriz bersatu. Muka masing-masing dah tunjuk tak percaya. Biar betul si cengeng Minn Alia dah dapat kerja? Bukannya mereka pernah nampak pun si Minn pegang fail sijil pergi ke mana-mana untuk temu duga selama ni.

“Seriuslah...”

“Kerja apa?” Mirr Adriz teruja. Minn Alia tersengih kecil. Kalau dia orang tahu, alamatnya hari Isnin ni dia dah kena mula bertapak di National Enterprise...

“Rahsia... Tapi Minn kena tinggal kat rumah kawan Minn sebab tempat kerja tu jauh...”

Minn tunjuk muka sedih. Puan Sri Farisha tercengang.

“Tinggal je lah kat rumah ni. Nanti kalau ada apa-apa senang mak nak tahu...” Minn Alia tak pernah berjauhan darinya kecuali ketika menuntut di universiti tempoh hari. Lagipun Minn pernah berjanji dah kerja nanti duduk kat rumah dengan mak dengan babah. Ni apa kes nak mungkir janji?

“Ala... Tak lama je mak. Empat bulan. Lepas empat bulan, kalau Minn lepas penilaian, Minn duduk rumah ni balik. Buat masa penilaian ni, Minn kena duduk kat rumah kawan...” pujuk Minn Alia. Mirr Adriz kerut dahi hairan.

“Minn dapat kerja apa ada penilaian bagai?”

“Abang jangan menyibuk!” bantal sofa dia baling ke muka Mirr Adriz. Biar senyap sikit!

“Dahlah tu... Kamu berdua ni asyik cari gaduh aje... Cuba berdamai sikit... Taklah pening kepala mak ni. Tapi mak tak setuju Minn tinggal kat luar. Ada apa-apa nanti susah mak nak tahu.”

“Minn janji Minn balik seminggu sekali!” tangan kiri rapat ke atas bahu seperti sedang berikrar.

“Minn kerja apa? Tinggal kat mana?” Puan Sri Farisha gelisah sendiri. Minn satu-satunya anak dara dia. Kalau terjadi apa-apa susahlah. Nak-nak lagi seorang Minn Alia bukan boleh percaya sangat. Kang tak pasal-pasal masuk kelab malam seperti tiga tahun lepas bagaimana? Puan Sri Farisha dulu hampir-hampir diserang strok gara-gara ternampak gambar Minn Alia berpelukan dengan seorang mat salleh di pub bersama-sama beberapa orang rakannya. Tetapi setahun dua ni, perangai Minn Alia sudah mulai terkawal. Walaupun baju-baju yang tersarung di tubuh gadis itu agak menjolok mata, tetapi Puan Sri Farisha percaya Minn Alia tak akan menjejak kaki ke pusat hiburan lagi. Tiga tahun lepas, elaun Minn Alia digantung bersih oleh Tan Sri Ridhuan selama tiga bulan. Gelabah cicak Minn Alia kerana seumur hidupnya hanya dipenuhi dengan duit belanja ma & pa. Bila elaun ditarik balik, mama pula sakit teruk, Mirr Adriz tak sudah-sudah menyalahkannya, Minn Alia berjanji di depan satu keluarga yang dia tak akan buat perangai masuk kelab malam atau berpelukan dengan mana-mana jantan.

“Minn janji Minn takkan buat perangai. Minn dah insaf mak...” ujar Minn Alia bersungguh-sungguh seakan-akan boleh membaca kerisauan yang terkandung di hati maknya.

“Minn kerja apa?” kali ini suara Mirr Adriz bertukar menjadi tegas. Dia abang, dan dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan yang diambil oleh adik perempuannya bila babah tak ada. Takkan nak senang-senang bagi Minn keluar dari rumah? Buat naya! Minn Alia tak boleh dipercayai. TAK BOLEH!

“Ala please bang... Minn susah nak cari kerja ni. Jadi pengurus hotel....” nak tak nak dia menipu juga. Pengurus hotel? Minn Alia ketap bibir cuba mengusir rasa bersalah.

“Tempoh percubaan empat bulan je. Nanti kalau Minn cemerlang duduk sana, barulah Minn boleh duduk kat rumah semula...” dia terang bersungguh-sungguh.

“Kau dapat sijil engineer ke pengurus perhotelan masa kat oversea?” Mirr Adriz mengerut dahi.

“Abang ni... Dah elok apa dia orang bagi Minn kerja. Ada pulak nak soal-soal. Lusa Minn dah kena mula tinggal kat rumah kawan Minn...”

“What?!” Serentak suara Mirr Adriz dan Puan Sri Farisha bertingkah. Masing-masing tercengang tak terkata.

“Please... Mak dan abang tak pernah tengok Minn jejak kaki ke ‘tanah haram’ tu lagi sejak Minn pulang ke Malaysia, kan? Minn pun dah janji akan jaga diri sendiri. Minn dah dewasa, Minn dah boleh fikir baik dan buruknya... Minn nak cuba hidup berdikari...”

“Babah benarkan...”

Minn, Mirr dan Puan Sri Farisha membuang pandangan ke arah tangga.

“Babah?!” masing-masing terjerit. Minn Alia bingkas bangun berlari ke arah babahnya.

“Thanks babah! I love you!!”

“Babahnya, saya tak kasi Minn keluar dari rumah ni...” Puan Sri Farisha berdiri merenung tajam wajah suaminya.

“Biarlah... Kalau dia buat perangai, taulah apa saya nak buat. Awak jangan risau. Lagipun Minn dah cukup besar untuk mencari kehidupannya sendiri...” Tan Sri Ridhuan menepuk bahu Minn Alia yang masih lagi tersandar memeluk tubuhnya.

Puan Sri Farisha mendengus kecil sebelum mengurut dahi. Mirr Adriz terkebil-kebil tak tahu nak cakap apa kerana Minn dah dapat penolong yang paling berkuasa di dalam rumah ni...



SYAKIRUL HAFIZ mengurut belakang tengkuknya. Kerja-kerja yang dilakukan semakin berat lebih-lebih lagi sejak cawangan hotel dibina di Langkawi. Laptop yang baru saja shut down dia tutup pelan. Tubuh dia regangkan untuk mengurangkan penat. Syakirul Hafiz tilik jam di tangan sambil mengeluh pelan. Baru pukul 8 malam. Hasri sudah keluar dari hotel sejak pukul 7 lalu. Ke mana lagi kalau tak kelab hiburan. Nak diikutkan Langkawi mana ada banyak kelab hiburan seperti di KL tapi oleh kerana hasutan Uncle Hilman yang mengatakan perempuan di Langkawi hebat-hebat, temannya itu turun padang juga. Ingatkan dah insaf sejak kena tangkap basah dengan awek sendiri dua bulan lepas tapi nampaknya Syakirul Hafiz silap membuat pertimbangan. Ah, tak ada kaitan pun dengan dirinya. Asalkan dia tak terlibat sama, cukuplah... Dia bukanlah lelaki yang open sangat sampai jejak kaki ke kelab malam seperti jejak kaki ke rumah sendiri.

Fikir pasal awek, teringat perempuan yang pijak kaki dia dua malam yang lepas di majlis makan malam yang berlangsung di hotel abah. Cantik... Mungkin tak lah cantik sangat tetapi di mata dia, perempuan itu seperti mempunyai daya tarikan yang tinggi. Muka bujur sirih, kulit pun taklah putih sangat tapi nampak cerah dan comel. Tinggi... Mungkin kerana kasut tumit tinggi yang dia pakai, kalau tak, tak adalah sampai dua hari kaki kanannya belum hilang bengkak kerana dipijak oleh gadis itu. Dan satu yang dia perasan, mata perempuan tu cantik sangat. Nampak matang dengan solekan yang agak tebal. Heeee.... Rasanya dia cantik sebab make up lah kut.

Kalau ikutkan hati, Syakirul Hafiz nak perempuan yang cantik luar dan dalam... Kalau boleh cantik sekadar dipandang suami dan natural beauty tu penting. Taknaklah bedak tebal-tebal kalahkan pelakon opera Cina. Lemah lembut dan manja satu bonus yang cukup mewah!

Dia lelaki, dia perlukan seorang wanita yang memahami, bukan setakat cantik di fizikal sahaja. Dia perlukan seorang wanita yang mampu menakluki hatinya dan yang paling penting setia. InsyaALLAH, gadis itu nanti penyeri hidupnya. Nak dibandingkan dengan perempuan yang memijak kakinya tempoh hari, simpang banyak-banyak. Dahlah seksi habis dengan gaun hitam gelap. Bahu dan belakang dada terdedah luas walaupun ditutupi dengan rambut panjang gadis itu. Nak jadikan isteri, mau putus segala urat saraf... Entah-entah perempuan tu jenis kaki clubbing? Hailaaa...

Sebab tu juga sampai sekarang Syakirul Hafiz tak ada girlfriend macam kawan-kawan dia yang lain. Dia ada harta, dia ada rupa, dan dia ada segalanya yang mampu membuat perempuan-perempuan di luar sana terjegil menggoda dirinya. Bukan mencari yang over sempurna, tetapi mencari seorang gadis yang mampu menjaga maruah dirinya dan keluarga...

Perut berbunyi dan Syakirul Hafiz tersenyum sendiri. Tiba-tiba dia rindu masakan Kak Nur. Ah, dua hari aje lagi dah nak balik KL.

Syakirul Hafiz membuka t-shirt berwarna jingga dari tubuhnya dan menarik tuala dari palang besi. Tuala itu disangkut dileher sebelum dia melangkah masuk ke bilik air.



WAJAH Minah yang terkial-kial dengan separuh badan masuk ke dalam almari itu mengundang rasa bengang di hati Minn Alia.

“Minah, takkan kau simpan IC kat dalam almari? Dompet kau mana?” Minn mengeluh.

“Sekejap cik...” Minah takut-takut. Habis diselongkar sampai ke dalam-dalam tapi IC tetap tak jumpa.

“Cik duduklah di ruang tamu, kalau saya jumpa nanti, saya beri pada cik...” Minah sebenarnya tak selesa apabila Minn tercegat di depan pintu memerhatikan dia.

“Syaminah. Cepatlah...” Minn Alia garu belakang leher melangkah menuju ke katil Minah. Duduk di sana sambil memerhati seluruh bilik Minah. Simple je... Ada katil single bed, meja sebiji di sebelah kanan katil, almari sebiji dan kerusi sebiji. Di atas meja terdapat satu cermin kecil dan pupur amoi. Agak-agak rumah PR Tengku Arshad nanti kecik lagi dari bilik Minah tak ya? Minn hela nafas panjang sambil meluruskan kakinya.

“I... Ini cik...” Minah hulur IC. Minn Alia mencapai sambil terus mengamati IC tersebut.

“Umur berapa ni?” dia tunjuk gambar.

“12 tahun...”

“Kau tak tukar lagi ke?!” Minn terkejut. Patutlah muka macam budak-budak! Gilalah Minah, dari umur 12 tahun tak tukar IC. Sekarang ni pun umur Minah dekat 30, dah berapa tahun dia tak tukar kad pengenalan cuba bayangkan. IC tu pun dah macam nak patah je dia tengok.

“Lepas aku pinjam ni, kau pi tukar IC kau. IC patutnya warna biru bukan warna kuning kau tau?” Minn menggeleng kepala kecil. Minah tak cakap apa-apa, dia sekadar mengangguk walaupun dalam hati tak ingin pun nak tukar IC.

“Sijil SPM kau?” Minn Alia hulur tangan selamba. Minah tersipu-sipu tanpa kata.

“Sijil?”

“Yelah... Kat mana sijil SPM kau? Aku nak pinjam, seminggu je pun...” gaya Minn Alia minta pinjam macamlah sijil tu sijil dia. Nasib baiklah sijil tu Minah punya, pembantu rumah keluarga Tan Sri Ridhuan jadi bolehlah dia naik tanduk sikit.

“Sekejap ye cik...” ucap Minah teragak-agak. Dia buka laci penuh sopan santun sebab tak pernah Minn Alia buang tabiat duduk di bilik pembantu rumah sejak 15 tahun dia jadi pembantu di rumah keluarga Tan Sri Ridhuan.

Sijil SPM yang dah dilipat jadi lapan bahagian itu dia hulur kepada Minn Alia.

“Ni apa?” Minn tunduk pelik tengok kertas tersebut. Dah agak kekuningan macam kertas zaman 80-an... Kertas belacan ke apa ni?

“Sijil SPM, cik...” tersipu-sipu Minah menjawab. Malu sebenarnya. Orang lain punya sijil SPM duduk dalam bingkai frame dilekat elok-elok di dinding seperti yang Minn Alia dan Mirr Adriz buat. Tapi setakat keputusan mintak kerja kat pejabat pos pun tak lepas, tak usah nak mengada sangat lekat kat dinding, buat malu diri sendiri!

Berkerut dahi Minn buka sijil SPM minah, berhati-hati takut terkoyak sebab bucu-bucu lipatan pun nampak uzur sangat.

“Susah tak jadi pembantu?” soal Minn selamba. Minah garu kepala seolah-olah berfikir.

“Taklah susah sangat...” Minah tersengih lebar. Setakat kerja kat rumah besar ni, tak pernah pula dia mengalami apa-apa kesukaran. Lagipun anak-anak Tan Sri Ridhuan baik sangat-sangat... Sebab tu juga dia bertahan lama duduk jadi PR rumah banglo tiga tingkat milik Tan Sri Ridhuan.

“Ya ALLAH Minah!” Minn Alia terlompat ke lantai. Matanya bulat luas seakan-akan tercekik tulang ikan. Minah yang berada di sisi Minn turut terkejut cicak menggelabah tak tentu pasal.

“Kenapa cik? Ada yang tak kena ke?” Minah tak keruan.

“SPM kau dapat 5 E 3 G aje ke?!!”



“MACAM MANA?” Minn pusing-pusing badan di depan Syuh. Tunjuk yang baju dia cantik sangat walhal sekadar baju kurung cotton warna pudar macam dah kena clorox. Kusam berkedut rasanya lagi cantik lap lantai kat rumah Syuh.

Tawa Syuh pecah. Geli hati melihat penampilan baru temannya itu.

“Kenapa kau transform jadi minah tepung ni?” sekali lagi ketawa terhambur di bibir.

“Minah tepung? Weh, ni bedaklah... Aku mintak dari si Minah tu...” gumam Minn tak puas hati. Sesuka hati je Syuh nak gelar dia padahal bukan Syuh tak tahu yang dia berada dalam keadaan kritikal yang amat sangat! Siap gelak bagai nak rak pula tu. Terasa nak tonyoh muka Syuh guna selipar jepun yang tersarung di kakinya.

“Tapi serius, kalah si Husna bila kau dah make over macam ni... Serius dia orang mesti percaya punya kau ni boleh jadi kuli rumah dia orang...” gelak Syuh masih bersisa.

“Mantap tak?” Minn tersengih lebar.

Syuh tunjuk ibu jari. Mantap seh... Dengan bedak tebal tiga inci, rambut menggerbang ala-ala nenek kat kampung, selipar pun jenama Jepun aje, beg baju koyak rabak berjahit sana sini mesti dia bantai si Minah punya...

“Kau tapau semua baju si Minah ke?”

“Tinggal dua tiga helai je baju dia...”

“Gila kejam!”

“Kurang asam kau. Aku kasi duit untuk dia beli baju barulah...” Minn muncungkan bibir.

“Mak kau okey ke kau pakai baju ni keluar dari rumah?”

“Aku tukar kat tandas awamlah tadi. Dah-dah. banyak tanya pula...”

Ketawa pecah lagi.

“Jom masuk kereta...” Syuh tekan alarm kereta.

“Minn...”

Minn tak jadi nak masuk kereta. Wajah Syuh dia pandang semula.

“Ha? Apa lagi?”

“Kau cantiklah harini...”

Minn tunjuk penumbuk. Syuh ni kut ya pun tak usahlah nak perli-perli... Haprak punya geng! Kecik hati!




Thursday, June 21, 2012

Kuli Rumah Untuk Dia 1

BAB 1


“DUDUK kat meja ni?” Syuh tunjuk ke arah meja bulat di hadapan mereka. Pelayan tunduk mengangguk.

Syuh tarik tangan Minn untuk duduk kerusi bersebelahan dengannya. Kalau boleh nak jauh sedikit daripada Puan Lina dan Encik Karim sebab mama dan papa duduk dengan orang-orang kenamaan. Mau kebas satu badan duduk dengan dia orang .

“Majlis apa ni?” Minn terpinga-pinga melihat kawasan sekeliling. Nak cakap majlis kahwin, tak pula ada bunga-bunga mewah atau pelamin di depan mata.

“Majlis makan malam syarikat kawan papa. Duduklah senyap-senyap. Dari tadi aku tengok muka macam nak telan orang...” perli Syuh.

Minn juih bibir. Bukan sengaja okey. Dia pun nak tau juga majlis apa yang tengah dia duduk ni.

“Majlis makan malam syarikat orang, kita yang bukan pekerja ni boleh ikut ke?” soal Minn hairan. Syuh tayang gigi.

“Rileklah... Lagipun mama aku yang suruh ikut. Kalau tak, apa kata kau mintak kerja kat dia orang?”

“Buat lawak pulak...” Minn jeling tajam. Syuh masih tersengih-sengih.

Dia pandang sekeliling dan nampak ramai orang yang mula memenuhi tempat duduk yang telah ditetapkan. Konsep hitam putih. Nasib baik juga Minn ada gaun warna hitam. Sesuai sangat dengan kulit Minn yang agak putih. Rambut disanggul tinggi dengan solekan wajah yang agak sarat. Jarang Minn nak berdandan, berdandan pun kena lihat acara apa yang dia kena hadir. Kalau setakat acara makan-makan keluarga, Minn lebih selesa dengan solekan tipis tetapi mengenangkan dia yang beria untuk menemankan Syuh ke majlis makan malam ini, dia pun buatlah solekan yang agak menonjol sedikit.

“Kau tengok mamat tu...” Syuh berbisik tiba-tiba. Minn terus lemparkan pandangan ke arah yang ditunjukkan oleh Syuh. Seorang lelaki segak bergaya menggunakan tux berwarna hitam duduk bersama beberapa orang gadis cantik berselang tiga meja daripada mereka berdua. Agak putih, sawo matang kut? Rambut spike gaya duri landak tengah berdiri dan bertubuh agak sasa.

“Anak tuan punya hotel...” Syuh kenyit mata.

“Kau arr.. Tetiba je tunjuk mamat tu apesal?” Minn dah buat kerutan seribu. Pelik.

“Hensem kan?” sengaja dia menguji reaksi Minn.

“Tak.”

“Ala...”

“Tak ada alah-alah. Kita datang sini bukan nak tengok lelaki...” tau sangat si Syuh ni mesti nak kenenkan dia macam tak ada kerja lain.

“Habis?” kening terangkat.

“Aku nak temankan kau sebab aku tau kau mesti boring punya kalau kena duduk dengan mama kau.” Minn sengih panjang. Syuh harus puji dia sebagai ‘teman sejati’.

“Motif helo? Selama ni aku ajak bukan kau nak pun. Sebab aku tolong kau carikan kerja?”

“Tau tak pe. Lepas ni tolong tepati janji ye. Sebab aku temankan kau malam ni...”

“Pulak?” Syuh menghela nafas berat. Tapi dalam diam senyuman terukir di bibir. Minn tak tahu sesuatu yang telah dia rancang. Heh!


MINN keluar dari tandas menuju ke arah meja tempat dia duduk. Sesekali keluhan terbit dari bibir. Badan dah mula terasa penat dan mengantuk sedangkan majlis baru sekerat jalan, makanan baru nak hidang. Penat dengar orang menyanyi, bukan menyanyi tetapi lebih kepada melalak seorang diri. Yang peliknya semua orang tepuk tangan bersiul riang. Eh, makan malam dia orang ni tak ada etika ke?

Minn lihat Syuh dari jauh, tengah berdiri di sisi Puan Lina. Berbisik-bisik. Kadang-kadang Puan Lina mengangguk sebelum menepuk lengan Syuh pelan.

Syuh ni cantik cuma gaya agak kelakian sikit. Nak-nak lagi bila dah guna pakaian rasmi: Seluar track + baju t besar gedabak boleh muat dua orang kat dalamnya. Nama sebenar comel, Syuhada. Tapi panggil Syuh aje sebab dia tak nak orang panggil dia Hada. Tak pun Syuha. Macam perempuan katanya. Dia bukan perempuan ke?

Minn meneruskan langkah.

“Ouch!” satu suara terjerit kecil. Minn laju berundur setapak. Kaki siapa yang dia ‘ter’ pijak pulak ni? Kepala didongakkan, spontan Minn jatuh rahang. Wala, anak pemilik hotel...

“Maaf encik...” Minn mintak maaf pun gaya macam tengah bayar tol jalan raya, selamba tak ada riak bersalah langsung. Syakirul Hafiz mencerlung wajah gadis itu tajam. Lelaki itu berdehem kecil sebelum merenung Minn ralit.

“Mata letak kat mana?”

Kerek je bunyi. Minn senyum sedikit sebelum membetulkan gaun yang terletak di badannya. Dah agak dah... Anak pemilik hotel, berlagak je lebih!

“Tuhan letak kat kepala, awak tak nampak?” Syakirul Hafiz di pandang sinis.

“Harap muka je cantik, otak dah kelam agaknya. Makan cacing banyak!” rungutan Syakirul Hafiz tertadah di telinga Minn. Hampir-hampir kasut empat inci tinggi itu dia sepak ke muka Syakirul Hafiz.

Ya ALLAH, sabar ajelah...

Melihat Syakirul Hafiz yang sudah mula beransur pergi, Minn terus menuju ke arah Syuh. Dalam hati masih merungut-rungut sebab terpaksa berhadapan dengan lelaki yang agak-tak-berapa-nak-sopan. Tapi boleh pula terpijak kaki pakwe tu walhal tadi jarak separuh batu. Mungkin jarak antara meja-meja tadi agak rapat dan dia pun tak perhati sangat kiri-kanan. Main suka mak babah berjalan pandang muka Syuh aje...

Tapi betullah kata Syuh, pakwe tu hensem. Agak-agak dah ada makwe ke belum?

“Minn,”

Minn betulkan duduk. Dia pandang wajah Syuh sekilas. “Kau dah dapat kerja.”

“Really?” Minn bulatkan mata. Cepatnya!


“KENA bawa IC... baju... Apa semua yang kau perlu. Sebab nanti nak kena sain kontrak... Kau kena tinggal kat rumah tu Minn...” ucap Syuh sambil membelek novel di tangan. Kata tomboi tapi boleh pulak layan jiwang-jiwang. Nak hairan apa sekarang ni lelaki pun dah semakin banyak yang suka baca novel cinta?

“Rumah siapa Syuh?” Minn celikkan mata yang hampir-hampir nak terpadam sebab mengantuk sangat. Malam tadi tak cukup tidur, ingatkan nak tidur sampai ke tengah hari tapi mak dah mula bising. Terpaksalah dia pergi ke persinggahan rasminya setiap hari, rumah Syuhada Yasmin.

“Tengku Arshad.”

Minn terkebil-kebil. Tengku? Wah, kena kerja dengan anak raja ke?

“Hensem ke?” spontan keluar soalan itu dari bibirnya. Syuh dah buat muka keji.

“Nak yang hensem aje kan? Merenyamlah kau... Dia umur 40 lebih, dah kahwin tapi bini dia fly ke luar negara sambung belajar. Dia ada pembantu rumah seorang... tetapi dah tua, nak masak-masak tu bolehlah tapi nak buat kerja berat tu Tengku Arshad kasihan kat pembantu dia...”

Masak tak perlu? Dah kira baik ni... Aku bukan reti nak masak pun. Getus hati Minn.

“Ada gelaran tengku, takkan pekerja seorang je? Tapikan, tengku tu tak kisah ke bini dia sambung belajar?” kalau suami umur 40 lebih lebih, isteri mesti dalam lingkungan umur tu jugak. Tua. Tua-tua sambung belajar? Gempaklah...

Syuh senyum senget. “Kau pegi tanya tuan kau sendiri.”

Muncung bibir Minn. Tanya kat Syuh mana pernah dia jawab skema soalan dapat full mark. Nak kasi setengah mark pun payah gila!

“Kena tinggal kat sana ya?” terbayang muka Minah, pembantu rumahnya yang duduk di bilik bawah rumah kediaman Minn sekeluarga. Bilik tu sempit tapi cukuplah untuk Minah sebagai pembantu rumah. Pembantu rumah kerja kemas barang je pun, bukan nak melaram-laram bersolek sakan, jadi bilik kena beri yang ala kadar.

“Rumah kau ada kat belakang rumah besar tu. Jangan risau...”

“Kayalah pembantu rumah pun ada rumah sekali,” Minn kagum. Syuh gelak kecil.

Kepala ditongkat dengan tapak tangan sambil menguraikan rambutnya ke tepi telinga. Berfikir. Harap-harap cantiklah rumah Tengku Arshad nanti... Yang penting rumah PR dia orang. Jangan yang haprak sudah sebab aku kena duduk kat sana... Minn mula digigit rasa resah.

Syuh suap ice cream ke mulut. Sesekali dia jeling ke wajah Minn. Tak sabar nak tengok Minn mulakan kerja. Tak sabar dengar suara Minn merungut dan membebel. Tu lah ada sijil belajar tinggi tak nak guna. Kerja kuli tu juga yang dia minta.

“Bila aku kena pergi sana?” Minn tanya.

“Minggu depan.”

“What?!” terjegil biji mata Minn Aliaa.

“Minggu depan...” ucap Syuh sekali lagi.

“Hari Isnin?”

“Yup!”

“What a day!” Minn teriak kecil terlompat dari kerusi. Dia tilik jam kemudian terus masuk ke dalam rumah Syuh. Terkejar-kejar mencapai beg tangan dan kunci kereta yang terdampar elok di atas meja tamu.

“Kau ke mana?!” jerit Syuh.

“Baliklah woi! Dua hari je lagi, aku tak siap apa-apa ni!”

Ketawa Syuh pecah. Kalut je kawan dia yang seorang ni, nak kerja jadi pembantu rumah? Boleh je dia bayangkan...