"HID? Hid dah sedar?"
"Hmm..?" Remang cahaya menembusi
anak mata Hid Johar. Dia rasa sungguh tidak selesa. Nafasnya juga sukar untuk
dihela.
"Alhamdulillah... Doktor kata lagi
cepat Hid sedar, lagi elok untuk keselamatan Hid. Umi, Hid dah sedar."
"Jiha panggilkan nurse." Pinta Puan Aniqah. Wajah anaknya yang lesu tidak
bermaya disentuh lembut. Kembang juga seluruh tubuh Hid Johar sampai ke jari
jemari. Tentu anak lelakinya itu sedang bertempur dengan rasa sakit yang bukan
calang-calang.
"Alhamdulillah Hid. Allah beri Hid
peluang untuk bernafas lagi di muka bumi. Segala puji bagi Allah." Puan Aniqah
berbisik di sisi wajah Hid Johar, mahu Hid menitipkan rasa bersyukur walaupun
masih dalam keadaan lemah. Sekurang-kurangnya, ALLAH beri peluang kedua untuk
Hid Johar kembali bernafas setelah pembedahan ini berjaya. Dan harapan Puan Aniqah
untuk melihat Hid kembali seperti biasa menjadi semakin besar.
Seorang doktor dan jururawat segera datang
dan membuat pemeriksaan sebelum tersenyum kepada Puan Aniqah.
"Tahniah puan, anak puan sangat kuat
mental dan fizikal."
Puan Aniqah mengangguk dengan air mata berderai
tanpa segan silu.
"Terima kasih doktor. Terima
kasih."
"Sudah tentu. Terima kasih kembali.
Pesakit perlu banyak berehat...."
"Saya faham doktor. Saya takkan
ganggu Hid buat masa ni." Puan Aniqah cepat-cepat memotong kata-kata
doktor di hadapannya. Melihat Hid Johar saja sudah cukup membuat Puan Aniqah rasa
lega dan berterima kasih atas usaha doktor ke atas anaknya.
Tiada lagi yang Puan Aniqah inginkan
kecuali cuba memberi yang terbaik untuk Hid sepanjang proses penyembuhan anak
lelakinya itu.
"Terima kasih sekali lagi,” ucap Puan
Aniqah sebelum doktor dan jururawat yang memeriksa Hid Johar berlalu pergi.
Senyuman Puan Aniqah terukir indah. Terharu dan bersyukur menjadi satu.
"Hid, terima kasih kerana Hid terus
kuat. Umi nak Hid jadi kuat dari sebelum ini. Tidurlah, umi tunggu Hid sampai
Hid sedar balik,” ujar Puan Aniqah saja menyentuh jari jemari Hid Johar. Air
mata Puan Aniqah jatuh apabila Hid Johar menggerakkan jari-jemari dan cuba
membalas genggaman Puan Aniqah.
AWINA menghentikan langkahnya tiba-tiba. Rasa
tidak sedap hati bertaut menjadi nanah di dalam diri. Malam tadi dia langsung tak
dapat tidur walau puas memejamkan mata. Ingatannya pada Azri sangat kuat dan
segala kenangan mengejar Awina biarpun mata Awina terbuka luas. Sayangnya
kenangan mereka tiada yang indah-indah. Azri yang dingin tidak mengendahkan
dirinya, Azri yang tidak memandangnya walaupun Awina beria-ia menarik Azri
untuk berbual, Azri yang menolaknya apabila Awina cuba menggoda, Azri yang
tersenyum sinis ketika Awina cuba menunaikan tanggungjawabnya menguruskan
perkakas sehari-hari Azri, kemudian bayangan Azri marah kerana Awina cuba
mencabar ego Azri, pergaduhan-pergaduhan yang tiada penghujung serta kenangan
dia mengamuk diberanda gara-gara Azri tidak pulang ke rumah empat hari tanpa
memberi sebarang pesanan.
Awina mengeluh dalam meneruskan langkah
menuju ke wad ICU.
"Win nak ke mana?" soal Datin
Alia pelik apabila melihat langkah Awina menyimpang dari laluan ke rumah mayat.
"Mami boleh tolong uruskan jenazah
Azri tak? Win nak tengok balik tempat arwah Azri hari tu."
Datin Alia menarik tangan Awina lembut. "Win
nak tengok apa? Win tertinggal barang kat sana ya?"
Awina menggeleng kepala.
"Win nak tengok sekejap aje,
mami."
Perasaannya seperti kuat memanggil ke
sana.
"Alah, tak payahlah ke sana lagi.
Arwah Azri dah tak ada lagi, Win." Datin Alia memujuk lembut.
"Sekejap aje. Tak lama. Win tak buat
benda lain..."
"Mami risaukan Win." Kelmarin
Datin Alia berfikir yang Awina hilang akal kerana tidak peduli keadaan suaminya
sendiri.
Namun bila Awina jadi begini, fikirannya
menjadi lebih gusar. Menyesal juga Datin Alia meminta Awina menjenguk Azri buat
kali yang terakhir semalam.
"Win tak menangis, Win tak meraung,
Win takkan mengamuk kat sana. Mami tak perlu risau. Win setakat nak tengok aje.
Hati Win suruh Win jenguk lagi kat sana."
"Kalau tak ada keluarga atau saudara
yang duduk kat sana, kita tak boleh masuk unit ICU tu sesuka hati, Win."
"Kat luar pun tak apa..."
Datin Alia menghela nafas dalam-dalam.
"Jangan lama. Lepas ni kita nak balik
untuk kebumikan arwah Azri."
Awina mengangguk kecil. Kakinya melangkah
lambat-lambat ke lif dan menekan butang tingkat 3 yang menempatkan unit rawatan
ICU. Langkahnya seperti diawang-awangan sehingga dia tidak sedar masuk ke dalam
dan mendekati katil yang menempati arwah Azri, suaminya.
Tangan Awina menyelak tabir yang menutupi
katil itu. Dia kelu melihat seorang lelaki terbaring lesu di atas katil. Awina
memejam mata rapat-rapat sebelum membuka matanya semula dan merenung pesakit
yang terbaring kaku itu.
"Bukan Azri..." sebut Awina
perlahan. Ya, dia bukan Azri. Azri dah tak ada. Bisik minda Awina dalam sedar.
Cepat-cepat dia meraup wajah dan menghela
nafas panjang. Dia tak boleh begini, hidup kena diteruskan. Dulu pun dia
bukannya rapat dengan Azri. Awina yakin esok atau lusa dia akan berjaya
melupakan lelaki itu dari ingatan.
"Siapa ya? Kawan Hid ke?"
Awina tersentak apabila ditegur dari
belakang.
"Maaf." Awina segera menundukkan
kepala. Dia dihujani rasa bersalah gara-gara memasuki kawasan privacy orang yang tidak dikenali.
"Kawan Hid ya? Tak pernah tengok pun
selama ni."
"Tak, bukan... Maaf saya silap
orang." Awina cuba bergerak tetapi langkahnya terhenti semula kerana
wanita di hadapannya tidak berganjak dan menghalang laluannya untuk keluar.
"Saya Jihana, kakak Hid. Awak
siapa?"
"Tak.. Tak. Saya cari suami
saya."
"Suami?" Berkerut dahi Jihana.
Awina menggigit bibir cuba merangka ayat
agar wanita di hadapannya itu faham.
"Err, suami saya dulu duduk kat katil
ni."
"Oh ya ke? Sekarang suami kat
mana?" Jihana jadi hairan.
"Dia dah tak ada. Semalam dia duduk
kat sini... Maaf sangat sebab mengganggu, saya tak berniat jahat." Awina
segan dan malu tapi dia perlu menjelaskan kepada wanita itu agar tidak berlaku
salah faham yang lebih besar.
"Eh tak apa... Saya minta maaf atas
kehilangan suami awak." Jihana bersimpati.
Hatinya jadi lembut melihat wajah Awina
yang tidak bermaya. Kalaulah dia berada di tempat wanita muda itu, entah-entah
dia pun seperti Awina juga. Melawat semula tempat yang memberi kenangan setelah
ketiadaan seseorang yang begitu rapat dan bermakna.
"Nama awak?" soal Jihana.
"Hmm?”
“Mana tahu takdir sebenarnya yang membawa
awak ke sini.”
“Panggil Win." Awina menggigit bibir.
Biarpun dia sedar dengan kesilapannya tapi tidak bermakna dia boleh terbuka
pada sesiapa saja. Dia sebenarnya rasa tidak selesa berhadapan dengan wanita di
hadapannya saat ini.
“Lelaki yang kemalangan beberapa hari yang
lepas tu suami awaklah ya?”
Awina terpaku tidak menjawab.
“Sebelum ni adik saya di sebelah ni, tapi
staf nurse kata semalam orangnya dah meninggal masa adik saya dalam bilik
pembedahan. Takziah dari kami sekeluarga.” Jihanna mahu memeluk dan menepuk
bahu Awina untuk berkongsi kesedihan namun dia juga sedar wanita yang bernama
Win itu mungkin menganggapnya sebagai orang asing.
"Win..." Suara Hid Johar
mengejutkan mereka berdua. Jihana cepat-cepat mendekati Hid.
"Hid nak apa-apa?"
Hid Johar tidak bereaksi. Matanya menala
ke arah Awina. Jihana menepuk tangan Hid perlahan. Mungkin kesan ubat
membuatkan Hid Johar seolah-olah khayal di dunia sendiri.
"Hid okey? Nak akak panggilkan
doktor?" soal Jihana risau. Melihat Hid tidak juga bergerak, Jihana segera
keluar memanggil doktor tanpa mempedulikan Awina. Awina memandang wajah Hid
Johar dari jauh. Wajah itu kelihatan lesu seperti hilang harapan. Sakit
sangatkah? Mata Awina bergenang tanpa dipinta.
Pasti lelaki itu merasa sakit yang tidak
pernah tercapai oleh Awina. Tapi kenapa air matanya mengalir ke pipi? Dia bukannya kenal lelaki itu...
Hid melirik ke arah Awina. Buat beberapa
saat mata mereka bertaut sebelum kolam mata Hid juga turut bergenang berat.
Awina mengangkat tangan kanan dan menekan
dada kirinya kuat. Dia tidak dapat mengawal air mata dari berhenti mengalir dan
jiwanya juga semakin bergelodak. Tiba-tiba Awina rasa jauh. Jauh dari
segalanya. Seolah-olah tiada apa yang tertinggal untuknya.
'I cintakan you...' Dada Hid Johar
bergelombang kasar. 'I cintakan you...' Sekali lagi ayat itu terlintas ke dalam
telinga Hid. Tangan Hid menggenggam kuat cuba untuk bergerak tetapi kudratnya
tidak mengizinkan. Bacaan mesin di sisi Hid tidak menentu dan berbunyi kuat.
Awina berundur beberapa tapak terkejut melihat keadaan Hid Johar yang tidak
stabil.
"Astaghfirullah, Hid? Hid
kenapa?" Mendengar suara Jihana, Awina jadi takut. Cepat-cepat dia berlalu
pergi setelah tabir diselak lebih luas oleh beberapa orang doktor.
Awina berjalan laju keluar dari wad sambil
mengesat air matanya. Dia terasa pelik. Terbayang-bayang penderitaan lelaki
yang tidak dikenalinya tadi di depan mata. Mujur dia cepat-cepat berlalu.
Andainya Awina menyaksikan pemergian lelaki itu tadi, pasti dia tidak dapat
tidur malam ini. Jauh di sudut hati masih mengharap adik kepada Jihana tadi
selamat dan terus hidup.
Awina menghentikan langkah sebaik sahaja
masuk ke dalam lif. Dia menyandar lemah ke dinding lif dengan jiwa yang kosong.
Bayangan mata Hid yang berkaca-kaca tadi masih melekat di minda seolah-olah
lelaki itu meminta pertolongan agar dikurangkan kesakitan yang ditanggungnya. Awina
mengeluh sambil menekan dahinya berkali-kali dengan kedua-dua tangan.
Perasaannya kini langsung tidak dapat digambarkan oleh kata-kata.
0 Komen untuk Cik Rin:
Post a Comment