Datuk Mikayel gelisah sendiri.
Setelah menyelidik latar belakang Hid Johar, perasaannya semakin tidak
tenteram. Datin Alia perasan dengan perubahan Datuk Mikayel namun dia tidak
berani untuk bersuara. Jika Datuk Mikayel buat muka muram begitu, itu tandanya
ada sesuatu yang mengganggu fikiran Datuk Mikayel. Kalau Datuk Mikayel tidak
mampu menyelesaikan masalah itu apatah lagi Datin Alia.
“Air nak lagi ke? Dah sejuk
tu, bang.” Datin Alia menegur. Sekurang-kurangnya walaupun fikir pasal kerja
tapi makanan tu perlu juga dilayan.
Datuk Mikayel membuang pandang
ke arah pinggan berisi kuih dan secawan kopi yang dah sejuk.
“Tak apa, saya minum nanti.”
“Kerja okey, bang?”
“Okey.” Balas Datuk Mikayel
sepatah.
Kalau bukan pasal kerja...
“Awina okey?”
Wajah Datuk Mikayel berubah.
Tahulah Datin Alia apa yang mengganggu fikiran Datuk Mikayel.
“Kenapa dengan Awina? Dia
kerja teruk atau prestasi dia yang teruk?” Soal Datin Alia perlahan. Cuba
menarik rambut di dalam tepung, tepung tak berselerak, rambut pun tak putus.
Sangat berhati-hati.
“Saya tengok cctv luar, Win
jumpa seorang lelaki dua kali pada waktu malam. Lia tak sedar?”
Datin Alia terkejut.
Terkebil-kebil untuk beberapa saat cuba menghadam kata-kata Datuk Mikayel.
“Saya tak tahu dia bercinta,
bang!”
“Sekali saya tertangkap mereka
berdua tapi Win belum tahu lagi pasal ni.”
“Budak elok-elok ke atau tak
elok?” tanya Datin Alia lagi. Tahu suaminya pasti sudah menyiasat latar
belakang lelaki yang menjadi teman baru Awina.
“Saya tahu dia gila motor.”
Datin Alia jadi gelisah. “Mat
motor ke bang?”
“Dia bukan mat rempit. Tapi ke
mana-mana pakai motorlah juga.”
“Win naik motor dia sekali ke
bang?”
Mungkin sudah kerana
kedudukannya, di mata Datin Alia, orang yang menunggang motorsikal ni adalah
orang yang bermasalah. Anak-anak nakal atau remaja yang kurang perhatian dari
ibu bapa.
“Apa pendapat awak?” Datuk
Mikayel merenung wajah isterinya. Sudah tua juga seperti dirinya tapi manis
tetap terletak tidak hilang dari wajah. Tampak tenang walau Datuk Mikayel sedar
gelisah si isteri untuk anak kesayangan.
“Lewat malam ke dia orang
berjumpa?” tanya Datin Alia lagi, inginkan kepastian. Datuk Mikayel mengangguk.
“Orangnya ada kerja ke tak?”
“Ada.”
“Abang pula, bagaimana? Sedia
terima dia jadi menantu?”
Datuk Mikayel senyap.
Senyapnya membawa arti lain. Senyap kerana tahu bahawa lelaki bernama Hid Johar
itu ada kaitan dengan Azri, arwah suami Awina. Complicated sudahnya. Takkan dunia ini berputar untuk Azri sahaja?
Dejavu? Atau dah memang takdir jantung Azri mencari Awina semula? Tapi Awina
dan Azri, bukankah hubungan mereka seperti retak menunggu belah. Datuk Mikayel
bukan buta menilai. Antara Awina dan Azri, hubungan mereka sentiasa berada
dalam ambang kegelapan. Awina tak bahagia. Begitu juga arwah. Jadi tak akan ada
kemungkinan kisah dongeng yang seperti ini kerana kisah cinta mereka bukan
kisah cinta abadi.
“Saya kalau boleh tak nak Awina dengan lelaki
begitu. Masa depan Win boleh jadi cerah jika dia kahwin dengan lelaki yang
lebih berjaya.”
“Tapi abang tengoklah arwah
Azri dan Awina, abang nak ulang sejarah tu semula? Kahwin tanpa cinta, kahwin
dirancang keluarga. Mana tahu rupanya arwah ada kekasih hati sebelum ini, kan?”
Sebab tak nak sejarah tu
berulanglah Datuk Mikayel tak mahu Awina dengan Hid Johar berkasih!
“Awak fikir dulu, baik-baik,
lepas tu tolong pujuk Win untuk jangan berkawan dengan budak tu.”
“Saya tak nak masuk campur
lagi, bang. Biar Win yang kendalikan hidup dia.”
Datuk Mikayel mengeluh kecil.
Kali ini dia tidak berjaya memerangkap Datin Alia untuk menuruti kehendaknya,
seperti ketika dia mempengaruhi Datin Alia untuk memujuk Awina menerima arwah
Azri sebagai suami.
Kenangan semalam mengejar
kembali. Di mana Awina meluahkan perasaan sukanya terhadap arwah Azri sehingga
Datuk Mikayel sendiri yang mengambil tindakan meminta arwah Azri mengambil
Awina sebagai isteri. Adakah Datin Alia akan percaya dengan ceritanya itu?
MESEJ untuk ke 21 kalinya dari Hid Johar. Hairan.
Masih lagi lelaki itu tidak berputus asa untuk mengajaknya ke pantai walaupun
dia sudah menolak dengan alasan yang dia sibuk hari ini.
‘Saya tunggu di bawah pejabat awak.’
Ah, sudah!
Ramai yang bergosip Awina
punya pengganti baharu. Dan sekarang secara suka rela pula Hid Johar
mempromosikan diri di bawah. Awina mengetuk meja sambil mengeluh kecil.
Dia suka Hid, tapi dalam masa
yang sama perlakuan Hid agak di luar jangkauan. Sukar untuk diagak. Dan selalu
buat jiwa Awina merusuh untuk turut keluar dari rasional.
‘Tunggu kat restoran depan pejabat tu. Nanti ramai yang bergosip.’
‘Sebab awak anak pemilik company ni?’
Mesej Hid tidak berbalas. Hid
sengaja bermain api dengannya kah? Agaknya Hid tak tahu dia paling benci bila
kedudukan papanya diungkit-ungkit dan dijadikan bahan gurauan.
‘Ok saya tunggu di restoran depan. Sorry mengganggu.’ Hid mesej
lagi. Tak sampai 10 minit, telefon Awina bergetar semula.
‘Sorry, saya pun tak faham kenapa saya beria sangat nak ajak awak ke tempat
jauh. Saya nak bawa awak sangat. Tapi saya tak berniat apa-apa. Tak tahu awak
nak percaya atau tak. Saya balik dulu, Awina. Saya faham awak tak nak jumpa
saya.’
Keluhan dalam terlepas dari
bibir Awina. Lain pula jadinya. Lelaki ini cukup pandai bermain emosi dan
perkataan. Awina dikejar rasa bersalah.
‘Tunggu je. Tak lama lagi saya turun. Saya ada kerja sikit lagi.’ Balas Awina seraya mengeluh dalam. Telefon
pintar diletak di atas meja, begitu juga kepalanya.
Dia garu pipi yang tidak gatal
sambil cuba berfikir dalam apa yang dia nak buat dengan Hid Johar. Lelaki itu
seperti ikhlas tapi dia asyik mengelak dan mahu berada dalam zon selamat.
Normal la kut. Sebab baru berkenalan. Cuma bila Hid selalu mendesak begini,
Awina rasa kurang selesa.
15 minit begitu akhirnya Awina
bangun dari kerusi. Beg tangan di bimbit dan telefon dicapai. Langkahnya kemas
keluar dari bilik pejabat.
“Nur, saya off half day.” Pinta Awina kepada PA
nya.
“Datuk Mikayel nak jumpa pukul
3 petang ni..”
“Cakap kat Datuk Mikayel,
Awina ada urusan petang ni yang tak dapat dielak.”
Awina melangkah keluar dari
jabatan membiarkan Nur terpinga-pinga di tempat duduknya.
“Untunglah orang kaya, off day pun tak perlu isi borang cuti.”
Bisik Nur dalam hati.
SENYUMAN lebar Hid Johar mampir di anak mata
Awina. Tidak marah atau merajukkah? Fikir Awina tentu Hid Johar berkecil hati
dengan dirinya tadi. Yalah, menjawab mesej pun bagai nak tak nak. Tapi Hid
senyum seperti anak kecil yang menunggu seseorang datang kepadanya.
Hairan senyuman itu langsung
tiada rasa canggung. Senyuman seperti Hid nak tunjuk kepada Awina yang dia
betul-betul rasa gembira saat ini. Saat Awina masuk ke dalam restoran sehingga
duduk di depan matanya.
“Hai!” Tegur Hid sebaik sahaja
Awina duduk di atas kerusi. Awina ikut membalas senyuman itu walau tidak
semanis senyuman Hid Johar.
“Hai, sorry, saya busy sangat
tadi,” ucap Awina pelan, ada unsur tipu dalam ayatnya tapi itu sebagai helah
penyelamat diri.
“Saya yang patut minta maaf
ganggu awak macam ni.”
“Awak tak kerja?”
Hid angkat bahu sambil
merenung wajah Awina, cuba menangkap reaksi wanita di hadapannya.
“Just in case awak tak tahu, saya dulu kerja bersyarah di kolej
swasta tapi lepas keadaan saya makin memburuk... sebab saya sakit masa tu, saya
quit. Sekarang ni saya kerja dengan
kakak saya. Bila kerja dengan kakak, saya buat time kerja sendiri aje. Dia minta saya hantar kain malam-malam pun
saya on.”
“Sakit?”
“Tak lama dulu saya belah dada,”
ucap Hid separuh bergurau.
“Are you serious?” Awina menekan suara. Dia rasa Hid berjenaka tapi
Awina tak suka jenaka tentang perkara sebegitu. Dalam dunia ni, paling
pentinglah kesihatan. Tak sihat maknanya sakit. Dan sakit, maknanya sesuatu
yang buruk bakal terjadi. Nikmat sihat itu adalah segalanya bagi diri Awina.
Perkara seperti itu mana boleh dibawa main.
Hid angguk, “Kuku saya ni
kalau awak nampak masa tu bukan warna macam sekarang ni. Jantung sekarang ni
pun jantung fake. Not the real one.”
“Mana jantung awak?”
“Dah mati.” Hid menjawab
dengan nada bersahaja. Awina hela nafas panjang.
“Jadi sekarang ni jantung awak
jantung main-main?”
Hid ketawa mendengar pertanyaan
Awina.
“Taklah main-main. Tapi bukan
saya punya. Orang lain punya. Tapi sebab jantung ni, saya masih hidup dan buat
benda yang saya suka. Berada dengan orang-orang yang saya sayang untuk dalam
tempoh yang saya pun tak boleh nak jangka.”
“Awak serius ni?”
“Saya tak pernah serius macam
ni, Wina.”
Awina mengertap bibir. Dadanya
berdenyut laju.
“Mungkin sebab tu la saya
berani approach anak orang kaya
dengan keadaan saya yang macam ni. Saya lebih berani untuk menikmati hidup dan
saya tak takut apa-apa. ALLAH beri saya peluang untuk hidup sekali ni tapi saya
tak tahu bila saya mati. Jantung ni bukan saya punya, bila-bila masa dia akan reject saya.”
“Jangan cakap macam tu.” Awina
pandang muka Hid dengan perasaan yang berbaur. Sempat dia tangkap tawa kecil
dari bibir Hid.
“Tapi jangan salah faham. Saya
tak nak cari simpati atau nak tarik perasaan empati awak pada saya. Saya suka
kita berkawan macam ni.”
“Macam ni?” Awina keliru.
“Ya. Kita tak tahu apa yang
akan jadi pada masa hadapan. Tapi saya nak tunjuk kat awak segala benda yang
saya kena tunjuk.”
“But I’m not like you.”
“Maksud awak?” Berkerut dahi
Hid. Jantungnya berdegup lebih laju dari biasa.
“Saya berfikir tentang masa
hadapan, apa yang saya akan lalui. Saya merancang lebih dari orang lain. Berkawan?
Saya bukan tak nak berkawan tapi saya dah pernah kahwin. Awak rasa janda macam
saya ada hak berkawan ke? Orang akan mengata.”
“Hmmm..” Hid terkerdip-kerdip
cuba menghadam semula kata-kata Awina. Takkan dia nak suruh aku masuk meminang
terus? Bisik hati kecilnya.
“Tapi jangan salah faham. Saya
tak desperate cari suami.” Awina
sambung kata-katanya. Hid menyengih kecil. Dia macam familiar dengan kata-kata
Awina sebentar tadi.
“Tapi jangan salah faham tu
trademark hari ni ke?”
“Mungkin, Hid. Kerja dengan
kakak awak, awak boleh escape
bila-bila masa kan?”
“Tak lah juga. Tapi hari ni
saya free sebab Kak Ji balik rumah
keluarga mertua dia.”
“Kak Ji dah kahwin?” Awina
terkejut.
Hid angguk kepala.
“Dia baru aje kahwin tempoh
hari, suami keduanya. Saya aje yang belum kahwin.” Ujar Hid mengangkat kening.
“Saya tak tanya pun.” Awina
buat muka batu. Konon dia tak kisah kenyataan Hid Johar sebentar tadi walaupun
Awina 100% faham maksud Hid Johar tu.
“Kalau-kalau awak tak tahu
status sebenar saya, kan? Lagipun elok berterus-terang.” Balas Hid Johar sambil
membaca jam di tangan. Awina pasti perlu menyambung kerja-kerjanya yang
tertinggal.
“Awak nak balik ke pejabat dah
ke?” tanya Hid Johar bersahaja. Dia senang bertemu dengan Awina tapi Hid juga
sedar ada batas yang dia tak boleh langgar sesuka hati. Sekurang-kurangnya dia
baru sedar hari ini yang Awina ada tanggungjawab yang menanti.
Awina turut pandang jam
seperti Hid. “Saya dah ambil half day
tadi.”
“Oh ya? Kenapa?” Hid angkat
muka. Kut-kut la Awina nak ikut dia ke pantai...
“Awak kata nak tunjukkan
sesuatu...”
“Awak nak ikut saya?” Hid
Johar tak mampu menutup keterujuaannya. Dia hampir-hampir berdiri kerana
diterjah rasa gembira.
“Awak nak bawa, saya ikut aje.
Saya pun nak tahu apa yang awak nak tunjuk sangat tu.”
“You’ll never regret your decision, Win.”
“Hope so. Jom lah. Nanti lambat. Nak tengok matahari terbenam ke
ni?” soal Awina menyembunyikan senyuman. Hid Johar ceria. Hatinya juga ikut
ceria. Aura lelaki itu saja sudah cukup buat dia rasa lapang selapang-lapangnya.
“Awak tak kisah order tak
sampai lagi?”
“Esok-esok saya boleh makan
kek tu. Kan dekat aje dari pejabat saya,” balas Awina menyangkut tali beg besi
kecil di bahu.
“Saya belanja awak yang tu.”
“Yang mana?”
“Kek untuk esok-esok tu. Sebab
saya awak tak jadi nak menjamah kek.”
Awina mengangkat punggung.
Alah, setakat kek tu pun nak berkira juga si Hid Johar. Bukan dia lapar sangat
pun. Secret recipe lagi best.
“Saya bayar dulu kat kaunter,
awak pergilah tunggu di luar.” Pinta Hid.
“Awak tak bawa saya tunggang
motor kan?” tanya Awina tiba-tiba. Teringat yang Hid ni bawa motor hari-hari.
Ngeri pula dia duduk jadi pembonceng berjam-jam di atas motor.
“Bagus juga cadangan tu. Tapi
saya bawa kereta pula hari ni.”
Awina menghela lega. Hid
bergurau lagi. Tapi sekurang-kurangnya Awina tak payah jadi pembonceng motor
hari ni.
0 Komen untuk Cik Rin:
Post a Comment