"AWINA," sapa Hid Johar sebaik sahaja
melihat kelibatan Awina keluar dari bangunan 11 tingkat.
"Hai Hid." Senyuman Awina
melebar dan tangannya spontan melambai. Kaki Awina melangkah laju ke arah
lelaki yang sedang duduk di atas motor berkuasa tinggi dengan jaket denim dan
helmet hitam di tangan.
“Akhirnya awak jumpa juga dengan tempat
ni.” Awina memeluk tubuh apabila dia berada betul-betul di hadapan Hid Johar.
“Tiga kali pusing area sini sebelum awak akhirnya hantar lokasi dekat whatsApp.” Hid
Johar tersengih.
Awina mengangkat bahu. Siapa suruh awal
sangat sampai. Waktu Hid contact dia
masa tu telefon dekat pejabat dan Awina pula tengah meeting di bilik mesyuarat.
Menyedari mata Hid tidak lepas ke arahnya,
Awina berdeham kecil agak janggal. Senyap seketika tanpa reaksi di wajah lelaki
itu. Apa yang Hid tengah fikir agaknya? Awina jadi ingin tahu.
"Seorang aje?" soal Awina lagi,
sengaja memecahkan kesunyian antara mereka.
Hid mengangguk.
"So, where are we going?"
tanya Awina membetulkan beg tangannya.
"Oh, makan."
"Makan? Saya ingat awak nak bawa ke
tempat yang special..." ucap
Awina sedikit kendur. Malam semalam sibuk dia berfikir tempat apa yang Hid
hendak bawa dia pergi tapi rupanya Hid sekadar nak bawa dia keluar makan aje.
“Tak banyak tempat yang istimewa tapi saya
nak bawa awak ke tempat yang saya suka.” Hid tersengih.
Matanya jatuh spontan ke arah sekumpulan
lelaki yang memandang ke arah mereka berdua.
"Siapa tu?" Hid bangun dan
berdiri bersebelahan Awina.
"Mana?" Awina menoleh. Kelibatan
Nasir, Shahril dan dua lagi eksekutif syarikat papanya sedang memandang tepat
ke arah mereka. Awina mengangkat tangan tanda hormat sebelum mengalihkan
perhatian ke arah Hid Johar semula.
"Kawan sekerja.”
"Dia orang tengok awak macam nak
makan."
Nak makan? Awina tergelak kecil.
"Tapi dia orang tak boleh makan saya.
Tak sedap pun." Awina bergurau.
"Hmm?" Lelaki itu keliru.
"Betullah. Siapa yang nak makan
manusia. Baik makan ayam KFC aje." Awina ketawa.
Hid mengukir senyuman. Manis dipandang
tapi Awina cepat-cepat mengalihkan pandangannya risau hati semakin tergugat.
Hid bila begini nampak ranggi dan kacak.
“Lelaki ni lain dari perempuan Win. Awak
fikir lurus, tapi lelaki menyimpang ke arah lain.”
“Jadi awak nak cakap dia orang tengah
pandang saya sebagai mangsa la?”
Hid menggeleng kepala. “Tak juga la. Tapi
kena lebih hati-hati, jangan cepat percaya lelaki.”
“Contohnya seperti saya percayakan awak...”
Awina menyampuk.
Hid tahu dirinya terkena kali ini.
“Awak boleh percayakan saya, saya ni
berbeza dari lelaki lain kat Malaysia ni.” Hid mengangkat sebelah keningnya
sehingga membuat Awina tercebik kecil. Perasan sangat la dia lain dari lelaki
lain. Awina tak nampak pun kelainan Hid berbanding orang-orang yang tengah
pandang mereka sekarang. Agaknya Hid lupa sudah beberapa kali dia menangkap
lelaki itu mampir ke rumahnya hampir waktu tengah malam tanpa memberitahu
terlebih dahulu.
Awak tu kira macam stalker dah Hid. Getus Awina di dalam hati. Mujurlah stalker ni sedap mata memandang, cuba
kalau muka dia tak berapa kacak... Lama dah kut Awina buat tak layan.
Awina pun manusia biasa juga reti menilai
kecantikan. Tapi lebih dari itu, Hid kan dah tolong dia beberapa kali dan
mungkin kerana itu Awina rasa selesa dengan Hid.
"Naik motor ni nak?" Hid tanya
Awina selamba.
Cepat-cepat Awina menggeleng kepala.
Takkan nak pakai motor kut. Dia sedang pakai baju pejabat ni macam tak sesuai
pula duduk atas motor besar Hid Johar. Lagipun Awina tak minatlah menunggang
motor lebih-lebih lagi dengan lelaki. Tak pasal-pasal terpaksa buat skinship, peluk contohnya. Kan dah jatuh
dosa besar tu.
"Parent
awak mesti risau," ucap Awina tersengih. "Sebab awak pakai motor. Mana
kereta yang selalu awak pakai tu?" Sambung Awina lagi.
"Kakak saya tengah guna."
"Okey, tapi saya tak boleh naik motor
dengan pakaian macam ni. Apa kata kita naik kereta saya aje."
"Juke awak tu?"
Bola mata Awina bergerak-gerak. Ada yang
tak kena dengan kereta dia ke?
"Aha, Juke saya."
"Awak drive ikut saya boleh?" soal Hid tiba-tiba.
"Boleh juga. Lagi senang awak atau
saya nak balik terus. Asing-asing."
"Jauh sikit tapi tak jammed. Jomlah." Ajak Hid seraya
mengenakan helmet tertutup keseluruhannya. Awina senyum aje. Ada debaran di
dada dan peliknya cara Hid mengenakan helmet tu membuat jiwa Awina jadi tak
keruan.
"Okey," balas Awina bergerak
menuju ke keretanya yang tidak jauh terparkir.
Sempat Awina memandang ke arah pekerja
Datuk Mikayel yang masih berdiri di depan pintu bangunan. Ah, paling-paling pun
dia orang bergosip yang Awina Mikayel sudah punya pengganti baru arwah
suaminya.
“I like this
place.” Puji Awina kecil. Ya, dia jujur suka tempat yang Hid bawa ni.
Restoran luar bangunan. Betulkah interpretasi dia tu?
Tempat duduk lebih kepada
pondok-pondok di taman bunga dengan privasi yang sangat menyenangkan. Duduk pun
gaya ala-ala orang Jepun, bersila di atas lapik dengan meja searas pinggang.
“Saya lama
dah nak bawa awak ke sini?”
Awina angkat
kening sambil tersenyum kecil. “Itu ayat penyata ke atau ayat tanya?”
“Ayat
penyata la. Cuma tak confident.” Hid
balas sambil menuang air di dalam jag ke gelas Awina.
“Oh...”
“Macam dah lama saya tunggu saat-saat ni. Nak
bawa awak dan nak kongsi dengan awak benda-benda yang saya suka.”
“Ehem...”
Awina angguk lagi.
“Jujur, saya
rasa berbeza akhir-akhir ni. Lebih-lebih lagi lepas bila jumpa dengan awak. I can’t control my feelings. Termasuk
apa yang saya nak buat.”
“Is that positive or in negative way?” tanya
Awina berhati-hati. Yalah, dia kan janda. Macam mustahil rasanya dia buat orang
lelaki jatuh cinta head over heal sampai
tak boleh kawal perasaan sendiri...
Janda
mestilah sedar diri, kan?
Hid tu,
bujang trang-trang lagi. Muka boleh tahan, muda pula.
“Saya pun tak pasti dengan diri saya, apatah
lagi nak menjawab soalan awak.”
“Boleh tak
awak pastikan jawapan awak lepas ni? Asyik tak faham aje kat diri sendiri,
macam mana saya nak faham awak pula lepas ni?” Awina cuba menguji keikhlasan
Hid Johar. Mata lelaki itu ditenungnya lurus. Nak tahu juga apa yang bermain
dalam fikiran lelaki itu tapi nampak gaya Hid tidak berminat untuk mengulas
lebih lanjut. Geram pula Awina rasa.
“Makanan dah
sampai,” ucap Hid sebaik sahaja terpandang pelayan mendekati pondok kecil
mereka berdua sambil menatang menu makanan yang dipesan.
Sebaik saja
pelayan itu pergi, Awina menarik makanannya lebih dekat dan mengambil sudu di
dalam bekas anyaman rotan. Tanpa sengaja tangan Hid menyentuh tangannya. Awina
segera menarik tangannya dan memandang ke arah lelaki itu.
Untuk
beberapa saat Awina jadi robot di sana, menarik tangan dan menunggu Hid
sehingga lelaki itu menyuap makanan ke dalam mulut.
“Sebab saya
janda eh awak masih lagi tak faham dengan yang awak rasa?”
Hid tidak
menjawab.
“Awak nak
main-main aje kan dengan saya?” Awina menduga lagi.
“Hmm?” Hid
tidak jadi mengangkat sudu.
“Saya banyak
jumpa lelaki yang nampak berminat untuk berkenalan tapi bila tahu saya dah
pernah berkahwin, mereka mula menjauhkan diri. Ada je yang sudi berkawan tapi
macam tu la, tak sampai serius dah lari.” Awina mengangkat bahu kecil
seolah-olah kecewa walhal apa yang keluar dari mulutnya adalah bohong
semata-mata. Dia mengertap bibir menahan tawa. Sejak bila pula ada yang nak
berkenalan dengan dia, kan?
Berubah
wajah Hid mendengar luahan Awina.
“I’m so sorry. Saya tak berniat nak
lukakan hati awak. Saya tak kisah berkawan dengan awak. In fact saya risau sebab awak anak orang berada, berkawan pula
dengan saya ni..”
Awina
menunduk kepala ingin kepastian. Suara Hid Johar menunjukkan lelaki itu ikhlas
tapi sebelah hatinya enggan percaya. “Apa maksud awak yang awak pun tak pasti
dengan diri awak?”
“Ni pertama
kali saya buat begini pada perempuan yang saya baru kenal. Pertama kali saya approach wanita. Jadi saya tak tahu nak
buat apa dan nak rasa apa. I’m so
clueless.”
“Bohong...”
“You should believe in me,” Hid Johar
tersenyum kecil. Dia jujur dan dia tidak mahu sikap serta sifatnya disalaherti
oleh Awina.
Mustahil
juga Awina tak boleh menghidu langsung niatnya untuk membawa keluar wanita itu.
“Takkan
zaman-zaman remaja pun tak ada yang berminat?”
“Dalam dunia
ni antara seribu lelaki, ada dua tiga orang yang sangat rare. Saya salah seorang darinya.” Hid menyembunyikan senyuman
melihat wajah keliru Awina.
“Serius
dengan muka awak dan manner awak, tak
pernah bercinta?”
“Muka dan
sikap aje tak cukup untuk memastikan semua orang bahagia kat sini.” Hid tunjuk
dada kirinya.
“Jadi kenapa
awak tak pernah bercinta selama ni?” tanya Awina ingin tahu. Dia rasa berpeluh
pula gara-gara kepedasan tertelan biji cili. Tangannya dikibas ke muka untuk
mengurangkan rasa panas.
Hid menarik
tisu yang berada di sisinya dan dihulur kepada Awina. Bibir Awina merah menyala
gara-gara tak biasa makan hidangan pedas yang terlebih pedas. Awina segera
menyambut dan mengelap di dahi.
“Macam-macam
yang berlaku dalam keluarga saya dan diri saya sendiri. Sampai tak ada peluang
untuk fokus ke arah lain.”
Kening
Awina hampir bertaut.
“Peliknya
alasan awak.”
Hid menuang
lagi air ke dalam gelas Awina yang hampir habis. Awina tersentuh melihat
keprihatinan lelaki itu. Dengan sikap dia yang caring macam ni takkan la tak
pernah bercinta langsung. Susah untuk Awina percaya kenyataan Hid tadi.
“Crush tu pernah tapi tak de la sampai
mengurat atau mencari dia,” ujar Hid dan kemudian meneguk air dari gelasnya.
Dia pun sebenarnya sedang kepedasan tapi memang Hid suka makan makanan pedas.
“Kan?” Awina
puas hati dengan jawapan Hid Johar kali ini.
“Awak?
Pernah bercinta ke? Macam banyak aje history...”
Air muka
Awina berubah mendengar pertanyaan Hid Johar. “Awak tahukan saya pernah
berkahwin?”
Lelaki itu lah
yang berjaya merebut hatinya satu ketika dulu.
Hid Johar
terkebil-kebil melihat Awina yang menundukkan kepala. Ada biasan kesedihan yang
terpancar pada wajah wanita itu. Tiba-tiba Hid rasa menyesal dengan kelancangan
mulutnya sebentar tadi.
“Sorry, saya sensitif sangat agaknya,” ucap
Awina gelisah.
“It’s okay, enjoy your food, Win. And I’m so sorry...” Hid ikhlas.
Awina
terkesima. Cara Hid panggil nama dia, seolah-olah mereka dah rapat lama.
Seolah-olah dia dan Hid ada apa-apa hubungan sedangkan hubungan itu belum
pernah wujud antara mereka.
Awina mengambil
sudu dan menjamah semula makanannya. Sesekali matanya terjatuh ke wajah kacak Hid.
Satu perasaan pelik timbul di hati.
Aura Hid,
seperti pernah dia rasa di mana-mana. Apakah dia pernah mengenali Hid sebelum
ini? Tapi di mana?
Hid makan
tanpa memandangnya.
Tiba-tiba
wajah Azri terlintas dalam fikiran Awina. Azri pun begitu. Azri makan tak
pernah pandang isteri sendiri.
“Fikir apa?”
tanya Hid seolah-olah dapat membaca jiwa kacau yang Awina rasai.
Awina cepat-cepat
menggeleng dan tersenyum kecil.
“Tak ada
apa.” Sambut Awina menyenangkan perasaan. Apa pula kata Hid nanti kalau lelaki
itu tahu dia sedang membandingkan Hid dengan arwah suaminya dulu.
Awina
menarik nafas panjang. Adakah masih terselit rindu di hatinya buat arwah Azri
sehingga beberapa kali juga dia merenung Hid Johar dengan renungannya kepada
arwah?
“Ada benda
lagi yang awak nak kongsi dengan saya, Hid?”
“Banyak!”
Wajah Hid bertukar ceria. “Sangat banyak.”
Awina
pandang Hid dengan senyuman kecil, senyuman terpaksa. Kenapa banyak yang dia
nak tunjuk kepada aku? Kami baru aje kenal satu sama lain. Hati Awina berbisik
kecil. Keliru.
0 Komen untuk Cik Rin:
Post a Comment