CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, June 4, 2013

Bitterness In You Bab 13

BAB 13
AKU ingat dah 10 kali aku call Ahmad Adif tapi satu pun dia tak jawab. Pedih juga hati mengenang dari semalam call tapi dia tak angkat-angkat. Bukan saja-saja pun aku call, sebab ma dan ayah yang minta aku call Adif untuk confirmkan majlis esok ni.Takkan sehari suntuk bateri handphone dia condemn kut? Tak pun telefon jatuh ke dalam toilet rosak sebab tu tak berjaya untuk dihubungi? Ke dia sengaja tak nak jawab call aku?
Sehari suntuk aku duduk di rumah menyiapkan serba-sedikit persediaan yang belum siap termasuklah tempat untuk aku dan Adif di akadkan esok pagi. Tapi kerja-kerja macam tu tak susah sangat pun sebab ada wedding planner ma dah tempah jadi aku tinggal buat permintaan dia orang yang uruskan. Aku duduk di tepi kolam ni dah serupa macam orang tengah memancing ikan, senyap tak bercakap. Susah hati sebab esok aku kena jadi isteri kepada lelaki misteri. Atau memang orang yang nak kahwin ni memang akan rasa seram-sejuk satu badan sehari sebelum nikah? Masa ma membantu Rohayu menguruskan pelamin tadi pun aku rasa macam nak menitis air mata je. Tak pernah tengok ma bersungguh-sungguh begitu. Mungkin sebab aku seorang anak dia jadi ma nak majlis esok dibuat selancar yang mungkin.
“Rian, dah call Adif tak?” Suara ma muncul masa aku tengah sedih-sedih mengelamun mengenangkan bakal suami yang tak ambil peduli tentang keadaan nasib bakal isteri yang mahu dinikahi tak kurang dari 24 jam ni.
Aku menoleh ke arah ma yang sedang berjalan menghampiriku dengan dulang di tangannya. Biasanya orang gaji yang membawakan minuman petang ke tepi kolam setiap kali kami melepak di sini tetapi kenapa tiba-tiba ma jadi baik hati membawa minuman petang ke tepi kolam hari ini? Semakin aku kenang semakin aku rasa macam nak menangis. Terharu ya sedih pun ya. Agaknya kalau aku ada anak perempuan nanti masa dia orang nak bernikah mesti aku jadi macam ma, bersusah-payah menyiapkan segala keperluan mereka buat kali terakhir sebelum memberi hak sepenuhnya buat si suami. Aku belum buta hati melihat kesungguhan ma dan aku tahu ma pun sedih sebab hari ini merupakan hari terakhir dia menjaga diriku sepenuh hatinya sebelum terpaksa berkongsikan diriku dengan menantunya, Ahmad Adif.
“Ma, Rian nak keluar kejap petang ni boleh tak?” Soalku pada ma apabila aje ma duduk di sisiku. Ma mengangkat keningnya sambil tersenyum penuh makna.
“Jumpa dengan Adif ya?”
Aku diam sahaja. Mengiakan tidak menidakkan pun tidak. Risau kalau ma tahu yang Adif tidak berjaya untuk kuhubungi.
“Jangan balik lambat sangat, Rian. Tak manis pengantin berjalan sehingga malam-malam buta ni. Takut apa-apa terjadi.” Nasihat ma padaku. Aku mengangguk kecil.
“Ma jangan risaulah, Rian dah besar panjang, dah nak jadi isteri orang pun…” pujukku sambil tersengih panjang. Ma sekadar menggeleng kepala bila aku cakap macam tu.
“Nak jadi isteri oranglah ma risau ni. Rian dah bersedia?”
Aku mengangguk.
“Adif tu baik ke melayan Rian?”
Angguk lagi.
“Rian bahagia dengan dia? Rian sayang dia?”
Angguk lagi dan lagi.
Ma mengeluh kecil akhirnya bila sepatah pun aku tak jawab soalan dia. Aku hulurkan senyuman lebar untuk membalut keresahan hati ma.
“Ma tak usah risau. Ma juga yang kata perkahwinan adalah salah satu cabaran kehidupan. Sama ada kita berjaya atau tak dalam perkahwinan adalah bergantung kepada panjang dan pendeknya jodoh. InsyaAllah kalau hari-hari kita minta jodoh kita dipanjang, Allah akan perkenankan…”
“Ma sayang Rian…”
“Rian pun.” Aku jawab sambil menggenggam kedua-dua tangan ma yang berada di atas meja. “Rian sentiasa sayangkan ma. Lebih dari sesiapapun di dunia ni…”
Senyuman ma yang terukir membawa kelegaan dihatiku.
“Rian nak ke atas dulu ya ma…”
“Eh kan ma baru bawakan Rian minum petang. Duduklah lama sikit berbual dengan ma.”
Aku menggeleng kepala lambat-lambat. “Rian bersiap keluar dulu, ma. Dua hari terperap aje dalam rumah ni rasa tak sedap badan pula ma…”
“Jangan balik lambat sangat. Esok majlis Rian.”
Aku mengangguk kecil sambil tersenyum meyakinkan ma. “Rian balik awal…” ucapku sebelum menghantar langkah menuju ke dalam rumah.


BERDIRI di hadapan rumah Adif ni buat aku macam orang bodoh aje. Dalam hati rasa nak marah kat diri sendiri. Kenapalah aku sibuk-sibuk menunggu dia sedangkan dia mengangkat call aku pun tak sudi? Tapi mengenangkan kemungkinan bahawa dia kesuntukan masa atau ada sesuatu yang berlaku pada telefon bimbit dia maka aku pun buat muka tak malu menunggu Adif yang entah bilanya menghabiskan kerjanya. Sebenarnya boleh saja aku masuk ke rumah ini sementelah Adif pun sudah memberikan kata laluan rumah kepadaku, tapi aku tahu kalau aku masuk begitu sahaja nampaklah ketidaksopanan seorang hawa. Belum jadi isteri lagi, kan? Bila dah jadi isteri nanti lainlah, maruah aku adalah maruah dia dan begitu juga sebaliknya.
Apabila sehingga pukul 6.30 petang dia masih belum muncul-muncul, aku mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Lagi pula aku sudah berjanji kepada ma yang aku kena balik awal hari ini. Sampai saja ke tingkat bawah kondominium milik Adif aku pun bergegas melangkah ke tapak tempat aku meletakkan kereta tadi. Belum sempat aku menghidupkan enjin kereta, aku lihat kereta Adif memasuki laluan hadapan keretaku dan dia letakkan keretanya berhadapan dengan keretaku. Mungkin dia tak perasan yang aku ada kat sini ataupun memang dia tak kenal kereta aku jadi dia pun buat muka batu mengambil barang-barangnya lalu keluar dari kereta tanpa menoleh kiri dan kanan. Melihat dia begitu membuatkan hatiku sedikit tertanya-tanya. Kenapa serius sangat muka dia ya? Kenapa dia macam tak happy dengan hidup dia? Bosan sangat ke sehingga di wajah dia hanya tertera kekosongan tanpa apa-apa emosi?
Aku keluar dari kereta ingin menyapanya tapi melihat dia sudah berada jauh dariku jadi aku batalkan niatku untuk menegurnya. Cepat-cepat aku mendail nombor telefonnya melalui telefon bimbitku. Adif menghentikan langkah apabila aje telefon bimbitnya berbunyi. Dia menarik telefon bimbit dari poket seluarnya aku nampak sebab dia betul-betul menghadapi diriku.
Berdebar dadaku apabila dia menilik skrin telefon bimbitnya. Tetapi debaran itu mati sesaat melihat Adif selamba menolak panggilanku dan terus memasukkan semula telefon bimbitnya ke dalam poket. Aku terpempan melihat dia begitu. Tak tahu apa yang kena aku buat tapi sungguh aku rasa tak dihargai langsung. Beberapa minggu lalu aku rasa dia benar-benar menyayangiku tapi apa yang aku lihat hari ini seakan-akan sukar untuk aku percayai. Adifkah itu? Retak hatiku melihat Adif langsung tidak mengendahkan panggilanku tadi.
Apabila benda sudah terang berlaku di hadapan mata akhirnya jawapan untuk segala persoalan yang berlegar di kepala sejak malam semalam terjawab juga. Adif memang sengaja tidak mahu menjawab panggilan bakal isterinya ini! Bakal isteri? Aku rasa bagai nak tergelak dengan gelaran itu. Hati ni mula goyah dengan kesungguhan Adif. Bagaimana kalau esok tiba-tiba dia melarikan diri daripadaku dan majlis kami? Bagaimana untuk aku menghadapi segala kemungkinan yang terjadi pada majlis esok? Dia sanggup menolak panggilanku dan tidak sukar untuk dia menolak terus diriku dari hidupnya. Kalau sekali dua dia tolak mungkin aku faham. Tapi setelah apa yang berlaku di hadapan mata dengan misscall yang hampir aku lakukan setiap sejam itu membuatkan firasatku semakin kuat tentang Adif.
Dia tidak serius dengan hubungan kami berdua!
Tapi kalau tak serius kenapa masuk melamar dan meminang? Mengapa tidak terus menjauhkan dirinya dari diriku sejak awal lagi? Kenapa mengaku mencintai diriku sedangkan aku tidak penting baginya? Antara kesedaran normal dan tidak menjadikan aku hampir hilang pertimbangan. Kalau difikir secara logik nak aje aku menghadapi dia sekarang ni dan memarahi dia kerana memperlakukan aku sebegitu. Nak aje aku pinta kata putus dari Adif tapi apabila memikirkan yang aku berada di tempatnya dengan maruahku yang hampir tercalar, mungkin Adif akan ketawa dengan kesungguhanku sehingga sanggup menunggunya di kodominium semata-mata untuk bertemu dengannya, aku melangkah berpatah semula untuk masuk ke dalam kereta.
Nantilah baru fikir. Jangan fikir masa tengah kusut-kusut ni… Aku pujuk diri sendiri. Air mata yang hampir jatuh ke pipi kutahan bersungguh-sungguh.
“Rian?”
Suara Adif yang menyapa menghentikan langkahku sesaat. Tetapi teringatkan hati ini sudah terbalar kerana sikap Adif yang endah tak endah itu membuatkan aku tekad untuk membuka pintu kereta dan memandunya tanpa menoleh ke belakang. Orang tu dah jadi hati beku tak mahu menjawab telefon aku yang entah kali ke berapa kalau aku toleh sekarang ni dengan muka tersenyum nampak sangatlah yang aku ni terdesak. Aku tak mahu jadi manusia yang hilang harga diri bila orang lain sudah tidak menghargai.
Orang tak hendak, Rian… Tapi kalau tak hendak esok pun kena kahwin juga. Kalau tak hendak semua keputusan dah tak boleh lari dari perkahwinan. Aku mengeluh kecil.
Sedihnya kat hati ni hanya Allah yang tahu. Kalau tahu lebih awalkan bagus. Aku bukannya orang yang jenis memaksa sesiapa untuk memberikan hati mereka kepadaku. Dan jika Adif tidak mampu memberikan hati dia kepadaku, aku sama sekali tidak akan merayu-rayu. Tapi apabila aje dia sudah sah menjadi milikku, segala-galanya akan berbeza. Kalau dia tak cinta maknanya aku kena memikat Adif sehingga dia menyayangiku. Tapi perkataan memikat itu membuat hatiku terasa terlambung jatuh. Aku benci. Benci pada diri sendiri. Benci pada keadaan yang menghambatku kini.


“KAU buat apa sampai ke sana, Rian?” Soalan Nur mematikan lamunan pendekku lagi.
“Jalan-jalan.”
“Esok kau nikah tau tak?” Rina pula yang bersuara. Aku menghela nafas dalam.
“Kau orang jomlah kita lepak kat Sate Kajang. Aku belanja..”
“Kau gila??!” Serentak dia orang bertiga menjerit. Aku tersenyum akhirnya. Tersenyum tawar yang belum mampu menghentikan parah di hati ini.
“Jomlah. Aku tengah tension ni..”
“Rumah aku kat Putrajaya lah. Kau ingat best ke drive jauh malam-malam buta ni? Esok pagi-pagi aku dah kena ke rumah kau untuk majlis kau…” rungut Rina di hujung talian.
“Entah jadi ke tak,” gumamku kecil.
“Rian… bawa-bawalah bersabar. Dugaan orang nak kahwin memang macam ni. Kau akan rasa sangsi apa  semua tu normallah. Aku pun rasa macam tu waktu nak kahwin dulu. Tapi tu pun adalah satu pengajaran buat kita sebab alam rumah tangga lagi dahsyat ujiannya.”
Hatiku terdetik mendengar nasihat Nur. Sedikit demi sedikit rasa lega mula membanjiri hati. Maknanya bukan aku seorang rasa begitu rupanya. Orang lain pun akan jadi macam ni juga bila dah dekat masa untuk disunting menjadi isteri.
“A’ah kau ni mulut tu tak ada tol jalan je tiba-tiba je cakap benda macam tu, tak baik tau!” tegur Mun.
“Yalah-yalah my mistake my bad. Kau orang tak nak teman aku lepak ke? Hari ni je esok lusa aku dah jadi bini orang kut.”
“Esok lusa boleh lepak pun, pergi balik cepat!”
“Sampai hati kau Mun. Lepak esok lusa lain feel dia.”
“Banyaklah kau punya feel. Kejap aku tanya husband aku dapat tak lepak dengan kau malam-malam buta ni!”
Aku tersenyum lagi. Kali ini senyuman senang hati kerana Nur memahamiku akhirnya. Suami Nur tak payah kata sebab suami dia tu jenis sporting dan aku memang positif  Nur akan datang juga ke sini.
“Aku sekejap lagi sampai, rumah aku pun tak jauh dari sana.”
“Aku tak bolehlah Rian. Takkan nak naik train kut malam-malam ni sebab malas nak drive sorang-sorang,” Rina mengeluh kecil.
“Tak pe Rina, Nur dengan Mun ada.”
“Aku minta maaf Rian masa-masa ni pula tak dapat temankan kau. Aku tahu kau tengah sedih.”
“Tak pe Rina. Aku ni dah kira menyusahkan Mun dan Nur. Kalau kau orang semua sibuk tak pe la aku boleh je lepak sorang-sorang.”
“Jangan nak mengada!” Ketiga-tiga mereka terjerit serentak. Aku gelak je. Rasanya dia oranglah sahabatku sehingga akhirat nanti, insyaAllah.. Hati yang tak tenteram tadi sudah disapa sedikit rasa lega, alhamdulillah.


“RINA kata ada pakwe mengurat dia kat pejabat. Tapi laki orang. Katanya laki orang tu nampak macam baik-baik je dan isteri dia curang kat belakang,” ucap Nur sambil menggigit sate daging dia.
“Sure ke?” Soalanku disambut dengan bahu Nur terangkat sedikit tanda tidak tahu.
“Apa mimpi kau malam-malam lepak ke sini? Jauh pula tu.” Mun meletakkan kuah sate ke mangkuk kecil dan menghulurkannya kepadaku.
“Aku saja je.”
“Rian, kita orang tahu kau ada masalah.” Mata Nur menala ke wajahku seakan-akan cuba membaca perasaanku. Aku mengangkat bahu sedikit sebelum mengeluh kecil.
“Kalau bakal suami tiba-tiba tak jawab call dan mesej, kau rasa macam mana?” Bukan nak burukkan dia tapi setakat nak tahu apa yang tersarang di hati orang lain sekiranya mengalami situasiku ini.
Mun dan Nur berpandangan spontan. Aku perasan ada kerutan di dahi Mun tapi lepas tu Nur cepat-cepat cakap, “Biasalah lelaki, dia orang ni memang ketul ais sikit. Nanti lepas kahwin baru okey.”
“Tapi aku call dia dekat berpuluh kali…”  aku mengeluh kecil. Nur tepuk bahuku lembut seakan-akan cuba melegakan perasaanku. Sekurang-kurangnya aku ada teman untuk berkongsi masalah. “Dan esok pula aku kahwin…” sambungku lemah.
“Lelaki tak suka dikongkong, Rian.” Ucap Mun tiba-tiba. Aku gelengkan kepala beberapa kali tanda menidakkan kata-kata Mun yang satu itu. Mana pernah aku mengongkong Adif pun. Mengongkong pada aku kalau perempuan tu 24 jam asyik tanya lelaki tu buat apa, dengan siapa, kenapa, aku ni boleh kira dengan jari tanya benda-benda tu semua sepanjang kenal dengan Adif.
“Dia call..” Nur cakap sambil menunjukkan telefon bimbitku yang sengaja aku letak dalam mode senyap risau kalau ma dan ayah call di atas meja.  Nama Adif tertera kat sana. Dah empat kali dia misscall. Waktu macam ni baru dia telefon aku buat apa? Nak pujuk ke? Dalam mimpi je kut Adif mahu memujuk. Malas aku menjawab telefon dia ni sebab aku tak tahu nak cakap pasal apa. Benda yang aku memang nak cakap kat dia pun aku rasa macam dah sia-sia je kalau beritahu dia sekarang ni. Hilang mood.
“10 kali dia call baru aku angkat.” Jawabku selamba. Nur dan Mun serentak membulatkan mata.
“Melampaulah kau, Rian!” Nur tergelak kuat. Aku mencemikkan muka tanda hatiku masih lagi terluka dengan tindakan Adif. Lagipun mustahil Adif telefon aku 10 kali. Mungkin kali yang ke lima nanti dia putus asalah tu. Malas aku peduli lagi dah. Siapa suruh kejam sangat kat aku, kalau aku telefon dia boleh matikan telefon tu, aku pun boleh. Macam dia seorang je yang hebat, kan? Hatiku berbisik geram.
“Dia telefon lagi tu…” kata Mun setelah kami menyepi. Aku memandang sepi ke arah telefon tu sambil mengerutkan dahi. Apa yang dia nak sebenarnya dari aku? Nak cakap yang perkahwinan ini tak perlu diteruskan ke? Kalau dia cakap macam tu memang aku jadi gila malam ni. Tiba-tiba hati dimamah perasaan bimbang. Kalau betul Adif menelefon sekadar untuk memutuskan tali pertunangan ini bagaimana aku nanti? Aku tak apa. Kecewa itu tidak mengapa. Tapi ma dan ayah aku bagaimana? Dia orang dah jemput rakan-rakan dia orang, dah hebahkan pernikahan ini dan bersungguh-sungguh menyediakan perkahwinan aku ni supaya berlangsung dengan baik.
“Mana pernah dibuat orang esok menikah lepak kat Sate Kajang,” usik Nur tergelak kecil. Aku tersenyum kecil.
“Orang menikah esok hari ni gaduh dengan bakal suami lagi la tak pernah di buat orang,” Mun sudah menyengih sendiri. Aku ketawa akhirnya.
“Aku ni teruk, kan?”
Mun dan Nur masing-masing sudah menggeleng kepala. Siap Mun hulur satu ayam yang sudah dimasukkan kuah ke mulutku. Nak bermanjalah tu.
“Jawab je Rian. Kalau ada apa-apa kang susah pula kau nanti.”
Riakku berubah bila Mun kata begitu. Rasa bimbang yang terselit di hati semakin kuat menyentak jiwa. Kalau betul Adif buat hal nanti apa yang perlu aku buat? Takkan kut cari kambing hitam untuk dijadikan ganti suami aku macam dalam novel-novel Melayu? Lepas tu dibenci suami sendiri dah terluka seluka-lukanya baru diambil balik oleh suami. Nauzubillah benda macam tu sepatutnya tidak terjadi dalam hidup Rian Aulia. Aku tak harapkan cinta setinggi Everest atau sesakti persemadian cinta Taj Mahal, cukuplah seorang Rian Aulia boleh tersenyum saja memadai bagiku.
“Tak naklah aku, tak sedia lagi.”
“Tunggu esok ke baru bersedia?” Soal Mun lambat-lambat.
Nur mencapai telefon bimbitku dan diletakkannya di depanku. “Rian, dengar sini. Apa-apa yang terjadi kau mesti juga jawab telefon Adif ni. Mana tahu dia minta maaf ke apa ke, ada sebab dia buat kau macam ni ke, kena minta penjelasan. Hal-hal lain lepas ni boleh bincang tapi tak elok kau diamkan aje macam ni. Nanti teruk jadinya.”
Aku meraup wajah berkali-kali cuba menenangkan diri sendiri. 
“Jawablah dia dah telefon lagi tu.” Mun menolak bahuku sedikit.
“Nantilah… Tak selera aku nak makan ni,” jawabku lirih. Mun mengeluh kecil.
“Aku rasa dia telefon lebih dari sepuluh kali lah  Rian. Angkatlah kesian kat Adif.”
Aku mencerlung ke wajah Mun yang sedang tersengih kecil. Dia yang kasihan kat Adif pula dah. Aku ni macam mana?
“Jawablah, nanti dia merajuk betul baru padan muka kau, mau esok tergolek-golek minta ampun dengan suami.” Ucap Nur selamba sambil meminum jus tembikainya.
“Kau ni…” aku dah buat muka. Sampai hati betul Nur curse aku macam tu sekali.
“Ha tak nak jadi macam tu sila jawab telefon saudara Adif awak tu, Rian. Tak pasal-pasal lepas kahwin kena dera baru padan muka,” ucap Mun berbaur usikan. Aku buat muka bengang sambil mengambil telefon bimbit yang terletak di atas meja agak kasar. Mun dan Nur masing-masing tergelak. Nak perli akulah tu.
“Hello.”
“Rian?”
“Ha. Saya ni.”
“Tak angkat telefon saya sebab marah?”
Dia tanya dengan nada lembut sehingga membuat hatiku berkocak sedikit. Tapi cepat-cepat aku buat muka semula bila melihat wajah Mun yang sudah tersengih-sengih memandang diriku.
“Kenapa nak marah awak?” Reverse psichology question. Adif juga yang ajar jadi tak rugi pun kalau aku praktikkan.
“I’m sorry.” Lembut aje suara dia menyapa telingaku. Aku diam tidak menjawab, mahu dia tahu bahawa hatiku sudah terluka olehnya.
“Awak kat mana ni?”
“Kat sinilah.”
“Kat sini tu kat mana? Saya kat depan rumah awak ni, nak saya masuk ke?”
Terkejut aku mendengar kata-katanya. Kalau dia masuk ke dalam rumah mati kena goreng dek ma nanti!
“Tak payah-tak payah. Awak balik ajelah dulu.”
“Rian, saya perlu jumpa awak…”
“Untuk apa?” Sedaya-upaya kukawal nada suaraku yang hampir masuk ke dalam kerongkong.
“Nak minta maaf kat awak.” Aku menghela nafas lega bila dia cakap macam tu. Nasib baik dia tak cakap nak putuskan tali pertunangan kalau tak mahu aku menangis kat sini juga.
“Saya tak ada kat rumah.”
“Awak kat mana?” Suara Adif berbaur risau dapat kutangkap. Senyumanku sedikit terbit di hujung bibir sehingga membuatkan Nur dan Mun turut tersenyum sama.
“Saya kat Sate Kajang dengan kawan-kawan saya.”
“Awak buat apa malam-malam pergi sana?” Jelas Adif terkejut. Kalau aku jadi dia, bakal isteri pergi makan sate kat Sate Kajang malam-malam buta mesti terkejut juga. Tak payah kata bakal isteri, kalau Adif sendiri pergi makan ikan bakar kat Bangi esok nak menikah mau aku terjerit tak ingat dunia.
“Lepak dengan kawan.”
“Marah kat saya sampai ke Kajang?”
“Salah ke?”
“Saya ke sana sekarang.”
“Tak payahlah…”
“Saya nak jumpa awak, nak minta maaf.” Dia sampuk kata-kataku.
Dahiku terus berkerut. Berdetik juga hatiku mendengar kata-kata dia. Adif betul ke bersalah dalam hal ini. “Kenapa awak tak jawab telefon saya selama ni?”
“Saya minta maaf..”
“Adif, awak tak perlu ke sini. Saya dah nak balik.”
“Tunggu saya kat sana. Saya dah gerak ni, assalamualaikum.”
Adif letak telefon tanpa menunggu kata-kata aku satu pun. Aku terkebil-kebil tanpa kata. Biar betul dia ni nak datang ke sini sebab minta maaf aje?
“Kenapa? Dia datang ke sini?” Soalan Mun aku jawab dengan anggukan.
“Gila! I mean, like seriously?!” Mun membulatkan mata. Nur tersengih aje. “Biasalah tu bakal isteri dia pergi jauh-jauh malam-malam mesti dia risau…”
Aku pandang wajah Nur sebentar sebelum kembali mengambil sebatang sate di pinggan. Aku tak rasapun Adif risaukan aku?
Dan setengah jam selepas itu Adif sampai ke tempat duduk aku. Nur dah balik, Mun pun dah balik sebab dah masuk pukul 11.00 malam. Aku terpaksa menunggu Adif walaupun dalam hati memang meronta-ronta balik ke rumah nak biarkan aje Adif datang ke sini sia-sia.
“Lama tunggu?” Dia soal sambil mengambil tempat duduk di hadapanku. Dia senyum kecil walaupun jelas kat wajah dia keletihan.
“Tak pun. Saya nak balik dah ni. Nanti ma risau,” sengaja aku cakap awal-awal lagi macam tu kerana takut kalau-kalau Adif minta aku temankan dia makan kat sini pula.
“Awak merajuk sampai lari ke sini?” Dia tanya berbaur usikan. Aku dah pandang muka dia pelik. Kenapa tiba-tiba jadi mesra alam dengan aku ni? Bukan dia dah naik menyampah ke kat aku sampai jawab call pun tak mahu?
“Kenapa awak tak angkat telefon saya?” Aku soal dengan nada serius. Tak mahu lepas ni dia main-mainkan aku lagi.
“Awak ke rumah saya semata-mata nak tahu kenapa saya tak jawab telefon awak ke?”
Aku termalu sendiri dengan soalan yang dilemparkan oleh Adif. Sungguh kan dah kantoi? Keputusan aku ke rumah dia tadi memang satu kesilapan dari mulanya. Terasa nak marah diri sendiri pun ada waktu ni tapi kenangkan Adif ada di hadapanku jadi aku tahan juga diri yang sudah bercelaru saat ini. 
“Awak tak suka saya ke Adif?” Aku tanya dia lambat-lambat, risau kalau-kalau dia jawab memang dia tak pernah sukakan aku haru pula aku menangis depan dia pula.
Adif merenung wajahku dalam dengan riak yang serius.
“Saya cintakan awak, Rian. Kan saya dah kata?”
“Cinta?” Tiba-tiba dia cakap pasal cinta pula. Tapi tiba-tiba pula aku tak faham apa maksud cinta yang sebenarnya walaupun ada sedikit rasa berkocak dihatiku. Bukan kalau kita cinta kat orang tu kita akan jawab telefon orang tu walaupun kita letih tahap petala lapan ke? Ke memang cara cinta Adif lain dari yang lain.
“Saya ada sebab-sebab tertentu, Rian. Saya pun ada hati, ada perasaan dan ada pemikiran saya sendiri. Buat sementara waktu saya fikir lebih baik saya mendiamkan diri tapi ternyata saya silap.” Adif meletakkan telefon bimbitnya di atas meja bersebelahan dengan telefon bimbitku.
“Lepas ni kalau awak nak telefon saya hari-hari pun tak mengapa.” Sambung Adif pelan. Aku memicing mata ke arahnya. Betullah kata pepatah dulu-dulu, sudah terhantuk baru terngadah, aku merajuk baru dia sedar kesilapan dia yang satu itu.
“Bukan sebab awak dah tak suka saya atau awak dah menyampah kat saya sebab tu awak tak jawab telefon saya?” Lagi aku soal pada dia. Soalan yang berbaur rajuk tersembunyi walaupun dalam bentuk pertanyaan.
Adif diam tidak menjawab. Aku faham kalau dia tak suka dengan pertanyaanku yang sedikit menghentamnya tadi. Keluhan kecil meniti di bibir. Terlupa fitrah lelaki yang tidak gemar tindak-tanduknya dipersoalkan.
“Saya tak mengapa. Dah tak marah pun kat awak. Saya nak balik ke rumah ni. Esok jumpa lagi.” Aku mengambil beg tanganku yang berada di tempat duduk sebelah. Adif  merenung wajahku galak.
“Awak telefon saya sebelum ni sebab apa?”
Aku melemparkan pandangan ke wajahnya sejenak sebelum mengambil telefon bimbit yang terletak di atas meja.
“Saya nak tahu awak datang ke tak masa akad tu nanti. Jangan tiba-tiba tak datang, kesian kat ma dan ayah. Kalau awak tak nak datang pun awak kena datang. Kalau awak tak suka saya sekali pun awak kena terima akad nikah saya, lepas dah terima terpulang pada awak  nak buat apa kat saya.” Aku cakap tanpa memandang Adif. Memang itu pun yang aku fikirkan sebelum ni. Yang Adif akan tinggalkan aku sewaktu hari akad esok.
“Saya sayang awak, Rian.” Dia tegaskan sekali lagi. Aku terkedu dengan luahan Adif yang agak berterus-terang. Berkocak lagi hatiku buat kali yang kedua.
“Saya tak harap sayang awak, Adif. Saya cuma nak tanggungjawab awak. Itu aje.” Aku membalas renungan redup Adif, meminta dia untuk memahami situasi aku sekarang ni. Melihat aku sudah berdiri, Adif turut serta berdiri.
“Rian…” Dia memanggil namaku dengan suara yang agak tenggelam. Lunak di pendengaranku sehingga memagut rantaian perasaanku.
“Saya datang.”
Aku menghela nafas dalam. Di dalam hati masih lagi sangsi dengan kesungguhan dia tapi aku harap kali ini dia benar-benar memaknakan kata-katanya.
“Terima kasih…”
Aku terus melangkah pergi. Membiarkan Adif seorang diri di situ walaupun sebenarnya teringin sangat untuk menemani dia. Mustahil tiada rasa yang mencuit bila dia katakan dia sayang dan cintakan aku tapi tak wajar rasanya untuk aku hanyut dalam perasaan itu sedangkan Adif masih lagi begitu. Bukan lagi hak aku.



Off menulis dulu.. Kita tengah kat kampung bercuti jadi line tenet kita tenat. :(