CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, January 20, 2016

Paksi Cinta Mars 3

"FYARAH Richizy, pelik gila nama." Jahid duduk santai menghadap tingkap biliknya yang sengaja di buka luas.
    Teringat dia suasana ketika makan tengah hari tadi, lucu ada kasihan pun ada. Tapi yang dia kagum melihat wajah Fyarah bereaksi seperti tiada apa yang berlaku biarpun ibu terpaksa memasak semula dan makan tengah hari mereka bermula pada pukul 2 kerana nasi yang dimasak Fyarah masih terasa berasnya.
    "Kat rumah, balik kerja pun pukul 6 petang kadang-kadang. Jadi nak masak tu tak sempat langsung." Beritahu Fyarah sewaktu mereka makan tengah hari. "Jadi maaflah ya tak dapat nak perform dengan baik." Kata-kata Fyarah itu membuatkan Jahid hampir terjuling.
    Ibu ada kata Fyarah sekarang sudah jadi pensyarah. Tapi takkan kesibukan Fyarah membuatkan gadis itu failed memasak nasi?
    "Telur mata je reti masak, auntie. Kira itu pun jarang masak sebab hari-hari makan di luar. Lagipun makan memang sehari sekali."
    Jahid mengangkat kening teringat kata-kata Fyarah. Makan sehari sekali aje, patutlah badan tinggal tulang. Manusia kan sepatutnya makan tiga kali sehari?
    "Aku kalau cari isteri taklah bengong sangat. Takkan nak ambil isteri yang sibuk 24 jam, makan sehari sekali, masak nasi pun tak tahu." Komen Jahid sinis sambil meletakkan gitarnya ke atas tilam.
    "Hid nak cari isteri?" Suara halus tiba-tiba menyisip di telinga. Mata Jahid spontan terpandang Fyarah yang sedang berdiri di sisi kereta memandang dirinya. Jahid berdiri mengetap bibir. Komputer di atas meja di hidupkan.
    "Dahlah orang Indon." Gumam Jahid kecil. Bukan dia memandang rendah orang Indonesia tetapi kerana dia tidak berapa seronok dengan situasi yang terjadi membuatkan bangsa Fyarah pun dijadikan alasan untuk dia mengelak diri.
    "Hid nak cari isteri yang tak sibuk 24 jam, makan empat lima kali sehari, dan kerja jadi tukang masak ya?" Soal Fyarah menghampiri Jahid. Hanya tingkap itu sahaja memisahkan Fyarah dan Jahid dari berhadapan.
    "Jadi akak ni memang tak ada dalam list pencalonanlah kan? Tapi kenapa akak nak masuk dalam list Jahid. Akak tak faham."
    "Tak payah nak faham." Balas Jahid perlahan.
    "Auntie jemput akak ke sini mesti ada sebab." Fyarah melemparkan pandangan kosong ke arah Jahid.
    "Tak tahu ke?" Soal Jahid mengeraskan diri.
    "Tak tahu apa? Apa yang mesti akak tahu?" Fyarah semakin gusar. "Jahid nak jadikan akak isteri ke?" Matanya membulat menatap wajah Jahid yang agak berbeza dengan versi kecilnya. Jahid seolah-olah membencinya dan tidak menyukai dirinya sedangkan dia menganggap Jahid seperti adik sendiri.
    "Hah.." Jahid tersengih panjang. Apakah perempuan ni. Bisik hatinya penuh sindiran.
    Fyarah hela nafas dalam. Dia tidak suka cara Jahid memandangnya. Dia tidak suka Jahid seolah-olah menganggapnya perempuan yang tiada nilai. "Hid tak tahu ya? Akak dah ada calon sendiri."
    Wajah Jahid berubah.
    "Akak dan dia merancang untuk kahwin tahun depan. Dia dah tahu akak makan sekali sehari, akak tak reti masak dan akak sibuk 24 jam tapi dia langsung tak kisah. Dia terima akak apa adanya." Ucap Fyarah menyatakan rasa tersinggungnya dengan sikap Jahid terhadapnya.
    "Nanti Hid cakaplah dengan auntie." Sambung Fyarah melangkah pergi.
    "Fya,"
    Langkah Fyarah terhenti.
    "Bukan aku yang nak, ibu yang nak kau jadi menantu rumah ni." Ucap Jahid tenang. Fyarah menoleh ke arah Jahid tetapi tingkap kecil itu sudah tertutup rapat. Fyarah mengeluh sendiri.

Tuesday, January 19, 2016

Paksi Cinta Mars 2

JAHID memotong sedikit daun-daun bunga ibunya yang hampir panjang ke beranda. Dia agak rimas melihat daun-daun bunga kertas hampir memasuki jendela bilik tidurnya setelah tiga bulan lebih dia meninggalkan rumahnya. 
"Hid nanti alihkan pasu bunga ibu yang kat belakang rumah tu ke depan ya? Dah nak berbunga tu." Suara ibu meniti ke telinga Jahid. 
"Ibu." Jahid berdiri tegak memandang ke arah ibunya. 
"Kenapa?" 
"Dia masih ada kat sini ke?"
"Dia siapa?"
Jahid menghela nafas kecil. 
"Fyarah."
"Sampai minggu depan dia duduk kat sini, Hid." Terang ibunya tenang. Jahid telan air liur pahit. 
"Takkanlah? Hid macam mana? Tak selesalah ibu kalau ada perempuan duduk sekali di rumah." Ujar Jahid tidak sedap hati. 
"Anggap aje la kakak sepupu datang, lainlah kalau Hid nak jadikan dia isteri."
Jahid kembali menumpukan kerjanya memotong lebihan daun-daun, tidak mahu terlibat sama dalam skandal yang cuba ibunya wujudkan. Cuma jiwanya terganggu mengenangkan Fyarah yang akan tinggal bersama mereka sepanjang minggu ini. 
"Fya masak malam ni." Beritahu ibu. Jahid melirik sekilas ke pintu dapur. 
"Pandai masak ke dia?"
"Katanya tak reti tapi dia nak cuba."
"Nak masak apa?"
"Kari ayam."
Jahid diam termangu-mangu. Dia paling tidak suka ayam yang dimasak kari. Lebih baik goreng saja memandangkan kemahiran memasak Fyarah tidak menjanjikan apa-apa. 
"Pergilah tolong dia potong ayam tu, tadi ibu nak tolong tapi dia beria tak kasi. Risau pula tengok ayam tu jadi ayam cincang nanti."
"Tak naklah."
"Hid ni betul-betul fobia perempuan ya?"
Jahid menggeleng kepala. "Kecil-kecil dulu yalah. Sekarang dah besar panjang, ibu. Perempuan tu makhluk yang paling Jahid suka."
"Amboi..." Ibu menjegilkan mata. "Kalau suka pergi tolong Fya potong ayam tu sebab ibu beli semalam seekor besar. Risau tak makan kita Hid." Ucap ibu sambil berbisik.
"Malaslah ibu, biarlah dia nak buat apa dengan ayam tu." Balas Jahid tanpa perasaan. 
"Berlaparlah kita malam ni, Hid." Keluh ibunya seraya menggelengkan kepala. Tidak percaya kedua-dua mereka memiliki kedegilan yang luar biasa. 


JAHID masuk ke dalam rumah dan terus ke stor untuk menyimpan barang-barang yang digunakannya tadi. Terhidu bau pedas melampau terus dia terbersin tiga kali dengan kuat. Cepat-cepat dia meletakkan barang-barang di hadapan stor dan melangkah ke dapur yang terletak bersebelahan dengan dapur. 
Tercengang kecil dia melihat Fyarah mencampakkan ayam ke dalam kuali dengan menutup hidung dan mulut dengan tudung. Jauh juga Fyarah berdiri dari kuali untuk tidak terkena percikan minyak. 
"Ibu!" Seru Jahid keras. Fyarah terkejut besar sehingga menjatuhkan sudip di tangannya. 
"Jahid..." Fyarah menggumam. 
"Ibu! Ada orang masak cili lebih dari lauk!" Seru Jahid lagi sambil memegang daun pintu. 
"Eh, okey apa ni. Akak ikut resepi dekat buku tu betul-betul." Ujar Fyarah menunjukkan buku resepi di atas meja dapur. Jahid mengerli sekilas dan bersahaja keluar dari dapur. 
"Ibu!!" Seruan Jahid semakin kuat. Fyarah di dalam dapur terkocoh-kocoh mencuci sudip sebelum ayam di dalam kuali tadi menjadi hangus. 
"Kenapa Hid?" Ibu bergegas turun ke tingkat bawah mendengar jeritan Jahid yang pertama kali bergema di rumah teres dua tingkat ini selepas 20 tahun tidak kedengaran. 
"Ayam..." Tidak sempat Jahid menyambung ayat, ibu terbersin dua kali dan terus menutup hidungnya. 
"Cili dia letak separuh kuali." Adu Jahid menggaru bawah dahinya. 
"Ya Allah Fya!" Ibu terus berlari anak menuju ke arah dapur. Jahid menurut dari belakang. 
"Fya terlalu banyak letak cili ni. Kita di rumah ni semua tak makan pedas, Fya."
"Fya ingat tadi letak banyak rempah makin sedap..." Balas Fyarah dengan wajah yang serabut. 
Jahid yang berada di muka pintu tetap merenung ke arah Fyarah tanpa berkelip. Wajah Fya yang berpeluh-peluh itu hampir membuat Jahid ketawa besar. Kasihan juga melihat wajah itu sudah pucat sebaik sahaja ibu mematika api dapur. Pasti malu berhabis Fyarah hari ini. Itulah nak tunjuk pandai tapi tidak bertempat, mujur tak meletup dapur ni tadi. Ini ke calon isteri yang ibu nak aku jadikan isteri? Baik tak payahlah, menjengkelkan lagi ada. Ujar Jahid di dalam hati. 

Sunday, January 17, 2016

PAKSI CINTA MARS 1



"Ibu kata kena kenal dulu anak buah dia sebelah nenek. Orang Indonesia, tapi tinggal di Limbang dekat dengan Brunei." 
"Jauhnya..." Azrizal kerut dahi menatap wajah keruh temannya. 
"Jauh bukan masalah,"
"Apa masalahnya?"
"Entah, berat hati kut."
"Kau bukan muda lagi Hid. Eloklah ibu kau dah carikan sebab kerja macam kita mana ada masa mencari." Azrizal tersengih kecil. 
"Kerja macam kita?" Jahid menghela nafas berat. 
Apa yang susahnya, tentera laut dalam kalangan wanita mungkin tidak ramai tetapi sekurang-kurangnya belum pupus lagi. 
"Andai kata kau kahwin dengan anak buah ibu kau, ada peluang tak kau ikut dia ke sana?"
"Tak tentu lagi aku kahwin, Zal."
"Hid, kat sana tu dekat dengan Sabah. Kau minta ke sana dan tiba-tiba kena transfer pergi ke Lahad Datu contohnya, kau okey ke?"
"Mungkin ke adaan lebih baik, kan dah lama kejadian serangan Sulu tu berlaku." 
Azrizal diam sekejap. Keningnya bergerak-gerak tanda tidak setuju dengan kata-kata Jahid. 
"Hid, penculikan masih berlaku..."
"As if I'll marry her,"
"Hid, bayangkan kau kena hantar dan berdepan dengan peperangan..."
Azrizal sudah lebih-lebih membuat andaian. "Kalau betullah keadaan tu berlaku, Zal, aku harap kau di baris hadapan bertindak melindungi negara dengan sebaiknya. Sebab kerja kitakan memerlukan tuntutan pengorbanan." 
Azrizal mencebir kecil. 
"Sudahlah kau." Azrizal bangun keluar dari bilik mereka berdua. Jahid hela nafas dalam-dalam dan mindanya kembali menerawang mengingati permintaan ibunya yang luar biasa. Orang Indonesia. Jahid mengetap bibir. Ibu, tiada lagikah calon orang Malaysia untuk Jahid Azali? 


INI pertemuan pertama. Ibu memberitahu malam tadi yang Fyarah Richizy datang bertandang esok pagi dan mengharapkan penerimaan positif Jahid. 
"Kalau tak nak pun kena layan elok-elok Hid, dia pertama kali datang ke sini tau. Hari raya pula tu. Tiket flight bukan murah Hid."
Dia angguk-angguk saja menurut permintaan ibunya. 
"Fyarah tu okey ke Hid ni anak mami."
Terjegil mata ibunya mendengar komen. "Nak sangat ke tak kahwin sampai ke tua?"
Jahid tersenyum kecil cuba menyembunyikan rasa tidak senangnya kerana dijodohkan dengan cara begini. 
"Kenal dulu dengan Fya, ibu tak minta Hid terus kahwin."
"Budak tu warganegara Indon ke ibu?" soal Jahid memandang wajah ibunya terus. 
"Mak dan ayah dia orang seberang."
Jadi memang Indon lah tu. Rungut Jahid di dalam hati. 
"Orang India tak ada ke bu?" Jahid mengusik sinis. 
"Orang India banyak je kalau Hid nak. Tapi jumpa anak saudara ibu ni dulu. Ibu sukakan dia. Nanti bila Hid jumpa tapi tak suka, ibu tak paksa juga. Lagipun Fya tua setahun dari Hid."
"29?"
Ibu mengangguk kecil. Jahid mengangkat kening. "29 tak kahwin lagi?" 
"Apa salahnya, Hid. Sekarang ni zaman bila. Perempuan umur 35 tahun tak kahwin lagi dah biasa dah. Kalau umur 18 tahun dah kahwin tu yang luar biasa."
"Dunia akhir zaman dah bu." Komen Jahid ringkas. 
"Itulah Hid, dunia akhir zaman. Semua nak kahwin atas nama cinta, susah nak cari orang yang kahwin kerana agama."
Jahid diam terkelu. 
Gadis bernama Fyarah Richizy berusia 29 tahun itu memandang wajah Jahid tanpa berkelip. Pelik pun ada, seram ya juga. Takkan dah jatuh cinta pandang pertama kut. Nak kata dia kacak susah juga. Ke Jahid nampak buruk sangat di mata Fyarah Richizy sebenarnya?
"Ni Jahid? Dah besar panjang begini?" Soal Fyarah terkejut. Jahid terus menikus tidak berani mengiakan. 
"Hmm, dah besar panjang tapi tak berapa bijak Fya." Ujar ibu mengusik Jahid yang nampak pasif dan ketakutan. Mana pula anak jantannya yang berkhidmat sebagai polis marin itu menghilang.
"Dulu kecil aje auntie. Macam tak percaya." 
"Fya masih ingat ke?"
"Mana pula tak ingat. Dulu kuat menangis, auntie tak ada je terus mendung hari." Fyarah tergelak kecil. 
"Sekarang pun dah nak mendung dah tu." Ibu menjeling wajah Jahid yang masih membisu sepi. 
"Hid tak ingat akak lagi ke?" soal Fyarah kepada Jahid. Jahid menundukkan kepala terasa kerdil di depan Fyarah sebaik sahaja wanita itu membahaskan dirinya kakak. Betul terasa budak-budak aje dibuatnya. 
"Ke Hid masih fobia perempuan?" Fyarah gelak beria-ia. Wajah Jahid bertukar merah. 
"Fobia perempuan ke Hid? Patutlah tak pernah ada kawan perempuan." Ibu menggeleng kepala berkali-kali. Tidak pernah selama ini terlintas difikirannya Jahid fobiakan perempuan. Yang dia tahu selama ni Jahid anak yang baik dan pendiam. Tidak banyak songeh malah nak kata dia rapat dengan perempuan pun tak pernah. Jadi dia tidak pernah bimbang dengan interaksi sosial Jahid sejak dulu lagi. 
"Dia menangis dulu masa..."
"Taklah, siapa kata orang takut perempuan?" Soal Jahid dingin. Wajah Fyarah dilirik sekilas sebelum dia bangun dari sofa dan berlalu pergi. Fyarah tercengang sebentar melihat reaksi Jahid. Tiba-tiba Fyarah rasa bersalah terhadap lelaki itu. Kalau dia pun mesti tak suka orang yang tak rapat dengannya menceritakan hal-hal peribadi kepada ibu atau bapanya. Mesti Jahid marah. 
Fyarah mula tak sedap hati. 
"Biar je dia, Fya. Sikit-sikit kecil hati. Kalah kita ni yang perempuan. Tapi betul ke dia takut perempuan, Fya?"
"Mungkin dia tak takut auntie, tapi dia tak selesa berkawan dengan perempuan." Jawab Fyarah berlapik dengan senyuman kecil tersungging di bibir.