CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday, July 21, 2018

LELAKI DINGIN BAB 8


BAB 8

SELESAI berhempas pulas mengedit manuskrip Kekasih Tanpa Rindu, jiwaku menjerit gembira. Terasa merdeka pula sedangkan selepas ini banyak lagi kerja yang menungguku. Untuk Julai, ada tiga manuskrip yang akan dikeluarkan. Mujur satu manuskrip pilihan bos yang terbaru itu tidak begitu tebal.
“Riah dah siapkan kerja tu?” Mak tanya apabila melihat aku membaringkan diri di hadapan laptop.
Aku mengangguk malas. Sebentar selepas itu barulah aku mengalihkan pandangan ke arah mak. Wajah mak makin dimamah usia. Rambut mak pun dah banyak putih.
Masa tak pernah menunggu. Kak Mia selalu kata begitu.
Menyedari dirinya ditenung, mak menoleh membalas renunganku..
“Kenapa pandang-pandang aje ni?” soal mak.
“Kira uban mak ada bertambah ke tak.” Aku tersengih kecil. Mak menggeleng kepala menyembunyikan senyuman dari bibir.
“Tak lama lagi mak ni hidup, Riah.” Ucapan mak berbentuk kenyataan. Aku kelu seketika. Terasa ngilu pula apabila kata-kata mak menyerap masuk ke dalam minda. Aku masih memerlukan mak di sisi dan semoga Allah pinjamkan dia lama lagi buatku.
“Mak ni, ke situ pula.”
“Berpahala bila kita ingat tentang mati, Riah. Hati kita kian lembut, jiwa semakin beringat.” Pesanan mak agak mendalam. Aku mengangguk kecil tanda setuju.
“Besar juga koyak seluar Riah ni. Tidur ke main bola?” Sindir mak seraya menggeleng kepalanya.
Aku tersengih kecil. Memang anak bongsu dia ni tidur lasak.
“Koyak waktu kat bilik air mak. Nak terjatuh pagi tadi. Bukan masa tidur.”
“Orang lain jatuh tak sampai koyak, Riah.”
“Orang makin berat mak.”
 “Berapa berat Riah sekarang?”
“53...”
“Naik 4 kilo?” Mak sedikit terkejut.
“Entah-entah sebab tak jadi kahwin.” Aku cuba melawak tapi air muka mak berubah jadi muram.
“Kamu ni Riah... Makin tak jadi kahwin makin seronok pula. Orang kalau dah tak jadi kahwin selalunya sedih. Anak Pak Cik Tiin kat hujung kampung tu jadi kurus cekeding aje sebab tak jadi kahwin.”
“Kalau Riah jadi macam anak Pak Cik Tiin tu, mesti mak lagi sedih tengok anak mak ni, kan?”
“Memanglah. Tapi jaga elok jaga berat tu. Jaga berat maksudnya kita jaga kesihatan.”
“Orang tak makan banyak pun mak!” Ucapku bersungguh-sungguh. Mak menaikkan kening seolah-olah tidak ambil kisah dengan kata-kataku. Mungkin juga dia jauh untuk mempercayai diriku. Tak makan banyak la konon, kan...
“Mak nak Isya’ dulu.” Aku bangun dari perbaringan. Kerja di laptop segera ku simpan di dalam folder untuk keselamatan kerana banyak kali kerja-kerjaku lesap begitu aje apabila aku tinggalkan tanpa disimpan. Lagi-lagi bila dah black out tiba-tiba, kepala pun macam nak black out menyesal tak charge laptop awal-awal. Selesai menghantar emel ke bahagian editor untuk simpanan, aku berdiri dan mengeliat kecil.
“Jangan lupa baca Al-Quran dua tiga helai. Sedekah pahala al-Fatihah buat arwah ayah,” ucap mak tanpa memandangku.
Aku mengangguk kecil. Selesai solat dan membaca Al-Quran, aku keluar ke ruang tamu semula. Mak yang sedang mengemaskan barang-barang jahitannya ke dalam kotak memandangku sepintas lalu.
“Ambil seluar Riah ni.”
Cepat-cepat aku menurut perintah mak.
“Mia esok datang rumah. Dia minta temankan Riah pergi doa selamat kawan dia.”
“Malas la mak... Nak duduk kat rumah aje. Baru siap kerja ni kepala masih berat lagi.” Aku merungunt kecil. Aku duduk di sisi mak dan jari jemariku mengurut lembut kaki mak.
“Orang ajak pergi doa selamat bukannya pergi parti. Pergi ajelah. Doa orang tu nanti datang kepada Riah juga.”
“Kat rumah siapa mak?” Aku memuncungkan bibir.
“Kawan dia katanya.”
“Kak Mia tak inform kat orang pun. Sekuman-kumannya whatsApp ke...”
“Dia dah minta izin mak bawa kamu keluar tu dah memadai, kan? Esok lepas Maghrib kat rumah ni katanya terus dia bawa Riah jalan.”
“Malam pula tu...” Nadaku semakin kendur dan lemah. Ini yang malas ni.
Mak tersenyum lebar memandang diriku.
“Kenapa Kak Mia tak ajak mak aje yang pergi?”
“Mak dah tua.”
“Aik? Apa kaitan tua dengan doa selamat pula mak.” Keningku bertaut rapat. Alasan mak aku tak dapat terima sama sekali.
“Mana tahu jumpa bakal suami.” Ucap mak dengan bermaksud mengusikku.
“Alaa. Ingatkan apa tadi.”
“Betullah. Mana tahu yang datang tu warak-warak orangnya, beruntung mak dapat yang warak jadi menantu.”
Aku menarik muka. “Mak janganlah kasi orang tekanan. Nanti betul orang cari suami macam mana?”
“Mencari tu tak salah, Riah. Umur Riah dah sewajarnya bernikah dan ada anak-anak seperti Kak Mia.”
“Tapi siapa yang jaga mak nanti? Orang tak berniat nak kahwin tergesa-gesa. Orang nak pilih-pilih juga. Dapat suami yang memahami dan sanggup lawat mak hari-hari pun dah cukup...”
Sebaik sahaja aku cakap begitu, mata mak terus merah dan berair. Cepat-cepat aku peluk bahu mak tanda rasa bersalahku kerana bercakap sehingga menyinggung perasaannya.
Mak sentuh bahuku lembut. “Mak tak terfikir bila Riah kahwin, anak perempuan mak dah perlu ikut suami. Sebab Riah sentiasa ada mak tak pernah rasa sunyi. Tapi bila dah kahwin, Riah kena ikut suami dan mak dah jatuh nombor dua.”
Suara mak dan wajah mak menusuk ke dalam jantung hatiku.
“Mak janganlah cakap macam tu.” Air mataku jatuh satu persatu. Tiba-tiba jadi sensitif.
“Alah mak cakap aje.”
“Kalau mak rasa sunyi cakap aje. Nanti sebelum orang kahwin, orang carikan mak bakal suami juga.”
“Eh, budak ni!” Rungut mak separuh terkejut. Dengan sisa air mata di pipi, aku menjauhkan diri dari mak dengan senyuman nakal. Tak pasal-pasal tangan mak mencubit kuat pahaku selepas itu.



TENGAH HARI Zaid masuk ke bilik pejabat dengan membawa sejambak bunga. Aku bertukar-tukar sengihan dengan Kak Ari. Takkan nak beli bunga untuk diri sendiri, kan?
“Wah, Zaid.. Dah ada mak we...” Kak Ari mengusik.
Zaid berjalan ke arah kami yang tengah duduk di meja bulat sambil makan tengah hari.
Zaid duduk di sisiku dan meletakkan bunga di tengah-tengah antara kami. Aku belek bunga tu sekali pintas dengan rasa pelik semacam.
“Wah, meremang bulu roma aku oh, tak pernah terlintas dalam otak kau jadi romeo.” Aku gelak kuat. Kak Ari pun ikut menyambung ketawaku.
Zaid menyandar di kerusi sambil menjeling ke arah aku tajam.
“Untuk kau.”
“Oh pocot!” Aku tolak bunga spontan dan terus pegang dada dengan kedua-dua tangan. Mata sudah tertala ke arah Zaid dengan riak lagak ngeri. Dia dah kenapa nak hadiahkan aku bunga bagai?
Kak Ari kat depan kami memandang aku dan Zaid silih berganti.
“Sejak bila ni?” tanya Kak Ari dengan suara yang lantang.
“Bukan dari sayalah Kak Ari. Ni dari pakwe Riah.” Zaid bangun dan berjalan bersahaja ke tempat duduknya. Aku blur lima saat.
Siapa pakwe aku?
“Riah, cuba baca kad kat tepi tu.”
Aku ikut juga arahan Kak Ari dan tarik kat yang tersisip di sisi reben dengan berhati-hati. Berdebar pula rasanya.
“Tadi orang yang hantar tu berdiri aje kat depan pejabat, jadi aku cakap la aku kenal dengan kau. Kenapa kau tak jawab panggilan telefon?” Pertanyaan Zaid aku tak boleh nak dengar dah bila terpandang nama Ainal terukir di atas kad itu. Nama dia aje dan nama aku aje. Langsung tak ada ucapan. Dan aku cukup pasti Ainal mana yang menghantar bunga ni sebab dia aje satu-satunya Ainal yang aku kenal dalam hidup ni.
“Siapa?” Kak Ari ghairah bertanya.
Aku geleng kepala. “Kawan...”
“Berminat dengan Riah kut. Dia tahu la tu Riah dah putus tunang.”
Aku diam aje tak bersuara walaupun dalam hati tak tahu apa rasanya. Aku pandang bunga tu dan menggaru dahi yang tidak gatal. Poyos la Ainal ni.
Bulu roma tiba-tiba naik.  
Sekali lagi kepala bermain persoalan yang sama. Kenapa dengan Ainal, dia serius mengurat aku ke apa?

LELAKI DINGIN BAB 7



MASUK hari bekerja, Kak Ari mengarahkan agar aku masuk ke bilik bos besar dengan membawa manuskrip yang telah kuedit siap. Pucat sebentar wajahku gara-gara menyedari date line yang ditetapkan sudah terlebih tempoh.
“Masuk ajelah, kalau tak siap cakap elok-elok. Bos okey aje tu.” Kak Ari cuba menenangkan diriku yang kelihatan menggelabah.
“Hujung minggu Riah tak buat ke?”
Aku menggeleng kepala. “Sibuk sikit tolong mak. Tak apalah Kak Ari, saya masuk bilik bos dulu.”
Setelah mengetuk pintu beberapa kali akhirnya ada sahutan dari dalam bilik kecil berhadapan dengan pejabat kami. Walaupun syarikat milik bos tidak sebesar mana tetapi gaji dan kebajikan kami tetap terjaga.
 “Assalamualaikum bos.”
“Hmmm... Riah. Waalaikumsalam. Manuskrip dah siap?”
Aku masuk ke dalam bilik kecil itu dan duduk dengan sopan. Aku hulurkan fail tebal berisi manuskrip yang telah diedit.
“100 muka surat lagi, bos. InsyaAllah hujung minggu ni boleh start printing.”
Bos dengan wajah bersahaja menarik fail di atas mejanya dan membelek satu persatu muka surat. Kadang-kadang timbul keriut di wajah itu dan kadang-kadang ada anggukan serta tarikan nafas panjang.
“Boleh siap betul ke hujung minggu ni? Sepatutnya minggu ni dah mula final editing.”
“Selalunya manuskrip tebal 350 muka surat saja bos. Ini dah 400 muka surat. Saya ambil masa sikit untuk edit. Untuk printing nanti mungkin mencecah 700 muka surat saiz novel biasa.”
“Zaid dah mula promosi?”
Aku angguk kepala. “Yup. Dia contact writer untuk buat promosi bersama. Bulan depan ni bila dah siap printing kita launch dekat Popular Melaka.”
Bos menghela nafas panjang sekali lagi.
“Siapa yang pergi?”
“Zaid.”
“Manuskrip seterusnya dah start pilih ke Riah?”
Aku mengangguk lagi. Entah kali ke berapa kepala ini naik turun naik turun untuk menyedapkan hati bos.
Queue terbit sampai bulan 6 dah penuh.”
“Bagi saya manuskrip bulan 7 dan 8 Riah.”
“Saya emel forward kepada bos,” balasku laju
“Kalau saya tak puas hati, saya ambil manuskrip lain untuk diterbitkan. Sekarang persaingan kuat. Kadang-kadang kita kena cari penulis yang memang dah lama bertapak dan ada follower sendiri untuk push jualan. Promotion dengan penulis yang ada nama ni senang sikit berbanding yang baru nak bertapak. Pastikan antara dua buku yang keluar dalam sebulan tu, satu daripadanya kena penulis yang dah pernah terbit buku. Reader ni kadang-kadang takut sikit nak ambil risiko.”
 Writer dalam blog atau wattpad pun ada follower juga bos.”
“Ada ke?”
“Ada, writer yang bulan 6 nanti follower dia dekat wattpad dekat 10 ribu.”
Bos terkejut.
Aku sengih aje. Harap-harap menjadilah strategi ambil writer dari wattpad. Tapi serius banyak lagi yang penulis tu kena belajar sebab aku macam nak mati mengedit cerita dia.
“Untuk Singapore punya promotion macam mana?”
Aku hela nafas dalam. Yang tu...
“Yang tu kita belum meeting lagi, bos.”
“Alang-alang buka booth semua sekali la pergi.”
“Saya tak contact lagi orang yang handle booth kat sana. Nombor telefon pun tak ada lagi ni.”
“Cepat sikit, Riah. Nanti tak sempat.”
Yalah cakap memang senang, tapi nak dapat contact number tu kena hadap dengan musuh ketat. Maksud aku publisher lain la sebab kalau syarikat besar sah-sah orang yang urus booth share dekat emel. Tapi kita orang publisher kecil ni kena usaha cari bahan sendiri. Terlepas pandang boleh terlepas event dan duduk gigit jari.

Monday, March 12, 2018

Venus Berbicara Ep 1 (PART 1)

BAB 1
DIAKAH?
Lelaki berkemeja jingga dengan tali leher berbunga kecil bercermin mata yang sedang tekun menulis sesuatu di atas kertas. Nampak nerd dan tenang.
Atau diakah?
Lelaki itu berkulit sawo matang. Usianya mungkin sudah menginjak separuh abad. Mustahil. Kay hampir menggeleng kepala.
Dia?
Di sebelah lelaki sebaya abahnya itu, orangnya agak muda berkulit cerah. Wajahnya agak sedap mata memandang. Hidung mancung, bibir berwarna ceri dan rambutnya lebat. Kening sudah tentu tebal. Mata sepetnya itu tak lepas merenung diri Kay tapi langsung tidak menggoyahkan keyakinan Kay. Sempat Kay mengagak usianya dalam lingkungan 20 hingga 30 an. Atau lelaki itu nampak lebih muda dari usia? Kay tak pasti. Tapi  tentu dia orang penting sehingga mampu menduduki kerusi itu sekarang.
Mata Kay mengawasi setiap tindak tanduk tiga lelaki di depannya. Hati Kay berkobar-kobar.
“Tiga kali Cik Kay Dhamina apply di sini dan menghadapi temu duga tapi tak putus asa.” Encik Shah memberi komen. Komen diawang-awangan entah lelaki itu sedang menyindir atau mengetawakan dirinya. Encik Shah itu adalah lelaki berkaca mata. Kulitnya sawo matang tetapi boleh dikategorikan sebagai sedap mata memandang.
Yang separuh abad itu, namanya Tuan Haji Rafael.
Seorang lagi, lelaki paling kacak dan Kay rasa dia orangnya… namanya Encik Ian. Ian Ghadafi tertera di atas meja.
“Dengan kelulusan you, you boleh cari kerja yang lebih baik. Ramai kompeni berlumba-lumba cari orang yang berpengalaman lagi-lagi you pernah kerja di luar negara.” Encik Ian memegang dagu merenung dalam-dalam wajah gadis di hadapannya.
“Saya tak boleh beri alasan yang kukuh, cuma saya berminat kerja dalam bidang ni,” jawab Kay yakin.
“Tapi you tak rasa skop bidang tugas terlalu berbeza? Arkitek macam you, kerja untuk interior designer?” Encik Ian menambah lagi.
Kay hela nafas dalam. Sungguh dia tak goyah. Cuma nampak gaya untuk meraih kepercayaan dari Ian Ghadafi adalah yang paling sukar antara ketiga-tiga penemu duga.
“Saya bukan minta perjawatan sebagai ketua interior designer. I apply assistant for interior designer.  Lulusan yang diperlukan pun setakat SPM sahaja kalau tak silap."
Ian Ghadafi mengangkat kening tanda sedikit terkejut dengan pernyataan berani dari bibir gadis di depannya itu. Langsung tidak kelihatan gementar.
Kay Dhamina. Getus Ian Ghadafi di dalam hati. Kreatif juga mak bapa dia bagi nama. Melalui nama ini dia boleh rasa aura Kay yang agak kuat, seiring dengan air muka yang dipaparkan oleh wanita itu. Mata Ian beralih ke arah status. Bujang lagi. Atau punya tunangan? Ian merenung ke arah jari-jari kosong Kay Dhamina.
“Hmmm, kelulusan minima memanglah SPM. Tapi kalau ada yang berkelulusan dalam bidang, itu lebih baik lagi. Ada basic. Di luar bilik ni banyak yang memohon kerja dan mereka ada basic dalam bidang. You boleh cari syarikat lebih besar kalau you nak kerja sebagai arkitek. I ada beberapa kenalan kalau you nak.”
“Ian..” Tuan Rafael mula bersuara.
Ian tersengih panjang, segan bila ditegur oleh Tuan Rafael di depan candidate.
“Sayang bakat dia, papa.”
“Tak payah masuk campur hal dia,” tegur Tuan Rafael pelan.
Kay nampak ciri-ciri pemimpin yang begitu tinggi dalam diri Tuan Rafael. Ya, tak mungkin lelaki itu yang mencari nahas dengan keluarganya. Tapi bagaimana kalau betul-betul dialah dalang sebenar?
Kay menelan air liur kasar.
Fokus Kay. Fokus!
Dia tidak boleh dikuasai emosi kerana masalahnya belum berakhir sehingga dia diiktiraf oleh ketiga-tiga lelaki itu untuk berkhidmat di syarikat kecil ini. Syarikat yang berada di rumah kedai tiga tingkat. Memang cantik dalamannya, elegan dan berkonsepkan barat. Tetapi tidak memadamkan status syarikat ini sebagai syarikat kecil dan mungkin masih tercorot dalam kalangan pesaingnya.