AKU menghitung langkah mendekati Ahmad Iqmal Rizuan bin Mohd. Rashid Anwar, suamiku. Langkah ini bagaikan kaku kerana sudah lama aku pendam perasaan aku pada dia. Selama kami berkahwin, tidak pernah sekalipun aku mendekati dia. Yang lebih hanyalah mengelak dan mengelak. Yang banyak ialah perasaan sangsi dan ragu-ragu untuk jatuh cinta padanya.
Aku lihat dia duduk menghadap televisyen tetapi aku tahu otak dia melayang entah ke mana-mana. Aku buka bibir untuk tegur dia tetapi satu ayat pun tidak mampu untuk aku cipta. Aku mengeluh sendiri.
“Kak, duduklah! Abang Iq baru je sampai tadi.” Rizna menepuk sofa di sebelahnya. Aku terkelu menahan rasa debar yang bertandang.
Rizuan sikitpun tak toleh nak pandang aku. Kecil hati dengan sikapnya tetapi aku tahu aku tidak boleh terlalu emosi dalam hal-hal remeh seperti ini. Kalau hari ini dia tak pandang aku, sebab selama kami kahwin, aku tak pernah pandang wajah dia. Kalau hari ini dia tak bercakap dengan aku, sebab selama aku kahwin, satu ayat itu sudah cukup susah keluar dari bibir isterinya ini.
“Hmmm...” Jawabku sambil terus menapak ke sisi Rizna. Aku duduk lalu mencuri pandang ke arah Rizuan. Rizuan diam tanpa kata dan sekali lagi, hati aku cukup terusik kerana dia tidak pedulikan kedatangan aku.
“Akak dah sihat?” Tanya Rizna mengurut bahuku perlahan. Aku tersenyum kepada adik ipar aku yang satu itu.
“Dah...” Balasku cuba meyakinkan Rizna.
Semalam aku hampir-hampir mati lemas dalam kolam di tepi rumah. Syukurlah ada Rizuan yang menyelamatkan aku. Jika tidak, mungkin aku mati sia-sia tanpa redha seorang suami dan tanpa sempat mengetahui yang sebenarnya masih ada cinta di hati Rizuan untuk aku.
Suasana jadi sunyi sepi. Aku tak peduli Rizna yang memandang wajahku penuh tanda-tanya. Mataku tepat terarah ke arah Rizuan yang ‘hilang’ entah ke mana.
“Abang, Kak Ari ni.” Tegur Rizna setelah kami masing-masing menyepi diri. Rizuan membuang pandangan ke arah Rizna kemudian berpindah ke wajahku. Kosong.
“Kenapa?” Tanya Rizuan kepada Rizna semula. Aku gigit bibir bila dia lebih rela bertanya kepada Rizna berbanding diri aku sendiri.
“Kenapa dengan abang ni? Bad mood semacam? Takkan Riz nak kena ajarkan abang bila isteri datang kita kena sapa dia?” Tanya Rizna emosi. Jantung aku rasa cukup berdetak saat itu. Tak sangka Rizna buat aku macam ni... Cara dia bercakap seolah-olah aku ni hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.
“Dia tak tegur abang boleh pula?”
Tiba-tiba aje aku rasa jadi blank. Kosong sekosong-kosongnya.
“Awak ungkit cerita lama?” Tanyaku memandang wajahnya tajam. Kali ini dia balas renungan aku dengan wajah selamba.
“Cerita lama adalah penyebab berlakunya cerita baru.” Sinis sangat ucapan dia sehingga aku rasa tersisih tanpa sempat mempertahankan hati sendiri.
“Awak sindir saya?” Tanyaku berani. Rizuan menghela nafas panjang sebelum berdiri.
“Awak nak ke mana?” Spontan aku bertanya. Rizuan memandang wajahku lama sebelum tersenyum kecil. Senyuman dia nampak pahit sangat.
“Saya tak sindir awak. Saya cakap benda yang betul. Saya rasa terkilan sebab cerita lama dulu, hidup kita berdua jadi macam ni.”
Aku dapat rasakan dia seperti kecewa dan menyesal berkahwin dengan aku. Aku melepaskan nafas berat. “Macam apa?” Soalku lagi.
“Macam inilah. Seorang bawa diri ke kanan, seorang bawa diri ke kiri.”
Dia terus melangkah ke tingkat atas. Aku memandang Rizna yang berpura-pura menumpukan perhatian di depan kaca televisyen.
“Kakak naik atas dulu, Riz.” Aku meminta diri dan terus berlalu mengekori langkah Rizuan.
Aku buka pintu bilik dan memandang Rizuan yang masih duduk di tepi katil. “Lelaki terlalu cintakan kesempurnaan.” Ucapku tatkala mata dia dan aku bertemu. Rizuan masih diam.
“Tak betul ke?” Tanya aku kecil. Cuba menarik perhatiannya. Rizuan memejam mata rapat-rapat sebelum meletakkan pandangannya ke padaku.
“Itu waktu saya muda. Awak jangan nak salahkan saya.”
Aku rasa terpukul dengan kata-kata dia. Jangan salahkan dia? Tahu tak awak dah hancurkan separuh kepercayaan saya pada sebuah nama cinta sepanjang masa ini?
“Itu tak penting sekarang.” Aku cuba bertolak ansur pada dia kerana aku tahu jika cerita lama terus dibincangkan, luka lama pasti terkoyak semula.
“Tak penting bagi awak. Tapi penting bagi saya. Saya lebih rela lepaskan awak daripada hidup kita terus jadi seperti ini. Awak tak pernah bahagia, saya pun begitu juga.”
Kelopak mataku jadi panas serta-merta. Sampai hati Rizuan hukum aku begini...
9 Komen untuk Cik Rin:
sambungannya.........>.<..hehehe..not bad laa..
x cukup nak lagiii.=) thanks^^
intro yg menarik..
teruskan akak.. hehe..
best...sambung cepat
best..suka! hihi..ops, lupak nak madah yg cerpen 'BISU' maybe next week bok publish sebab ada masalah teknikal sikit..sori k..
Ade smbungannye tak
Cite ni ade sambungan takkk? Nak bace huhu
Kenape xleh tekan link tu ek :'(
Knape saye tak dpt bukak link utk cerpen aku takpercaya cinta tu ek?
Post a Comment