CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, February 10, 2013

Cerpen : Kerna Itu Yang Telah Tertulis







JANGAN kata dia bodoh. Dia tak bodoh mana tapi kalau dah nikah tak dapat-dapat juga anak ke mana harus dia bawa hati tu berlari? Jauh dari umpat keji? Jadi keputusan untuk bercerai dengan Leuk bukan satu keputusan yang salah. Mirza tak tahan! Tak tahan dengan suara-suara tak bermoral keluarga Leuk, suara-suara orang luar yang tidak kurang sumbangnya, suara-suara keluarga terdekat dan terjauh menyatakan dirinya mandul!
Mata Mirza entah berapa ratus kali jadi merah saat air mata jatuh ke pipi. Entah berapa kali Leuk terdiam melihat wajah kecewa Mirza yang cemburukan rakan-rakan yang lain mendapat zuriat yang dinanti-nanti. Mereka berkahwin kerana cinta, umur pun baru menjengah dunia. 18 tahun! 18 tahun kerana cinta sanggup menentang larangan keluarga yang kepingin melihat mereka berdua berjaya. Leuk mahupun Mirza dua-dua dah berjaya, seorang jadi arkitek seorang menjadi guru. Setakat itu aje mulut-mulut jahat mula mendiamkan diri tapi sekarang kenapa soal anak hubungan Mirza dan Leuk menjadi longgar menanti terputus sedangkan dahulu biarpun kena caci maki katanya sudah terlanjur sebab tu nak kahwin awal dia orang hanya pekakkan telinga.
Sudah 10 tahun berkahwin! 10 tahun bukan jangka masa yang pendek saban hari dia mengharap dan mengharap. Adik beradik lain yang baru aje kahwin pun dah berderet anak tapi kenapa Leuk dan Mirza tak dapat-dapat juga? Mirza teringin hendak mendengar suara anak kecil menangis. Mirza teringin melihat Leuk tersenyum riang mengelek zuriat yang hadir dari rahimnya tapi itu semua di luar kuasa Mirza. Mungkin pembalasan tuhan angkara dia dan Leuk derhaka pada orang tua.
“Kita ambil anak angkat aje la Mir,” cadang Leuk. Hampir terpecah perut Mirza tergelak. Leuk tak faham ke? Atau tak nak faham? Dia wanita, dia ada hati nurani juga. Dia tahu Leuk nakkan anak dari darah dagingnya sepertimana dia mengkehendaki anak dari zuriatnya.
“Mami tak kan mahu kita ambik anak angkat. Awak kahwin aje yang lain, dapatkan cucu untuk dia.” Suara Mirza tidak bernada meneruskan kerja-kerjanya melipat kain baju. Tidak langsung dia peduli wajah Leuk yang sudah berubah kerana kecil hati.
“Awak nak saya kahwin lain?” soal Leuk sepatah-sepatah. Terasa sesak dadanya kerana inilah kali pertama Mirza lepas kata. Terasa dirinya tidak dihargai oleh seorang wanita yang bergelar isteri hampir sedekat lamanya.
“Kenapa? Awak dah fikir nak ceraikan saya?” nada suara Mirza sudah menaik tinggi, lirikan tajam sudah terlempat di wajah Leuk tanpa simpati.
“Siapa yang kecilkan hati awak, Mir? Kenapa tiba-tiba cakap macam tu di depan saya?” Leuk mengangkat punggung. Dia mendekati Mirza selepas meletakkan buku inggeris yang dibacanya di atas meja. Bahu Mirza dipeluk dari belakang.
“Tepilah saya tengah lipat baju ni.” Mirza menepis tangan Leuk yang sudah pun melingkari pinggangnya. Lama-lama dibiarkan saja Leuk apabila tangan sasa lelaki itu tidak berjaya ditepisnya.
Mirza mengeluh panjang, teringat kata-kata mami Leuk pagi tadi yang menoreh luka di hati Mirza.
“Kalau dah mandul tu tak payah mimpi nak beranak! Sampai mati pun Leuk takkan ada anak! Itulah masa aku cakap jangan kahwin dulu tak dengar. Cinta aje mana cukup tapi si Leuk tu degil tak dengar cakap. Sekarang padan muka!”
Padan muka.
Biarpun Mirza dikeji, dimaki, sedih hatinya mendengar sumpahan seorang ibu untuk Leuk, anaknya sendiri. Wajah Leuk masih tetap terpahat di hati walaupun mungkin satu hari nanti jodoh itu tidak berpanjangan. Leuk manusia, dia pun manusia. Dua-dua ada hati. Ada naluri.

WAH! Ingatkan dia aje yang bijak merancang tapi Leuk bertindak lebih awal. Terbelah jiwa Mirza melihat wajah Leuk ceria di sisi wanita lain di hadapan matanya. Encik arkitek yang disayangi, awak dah lukakan hati saya! Mirza berhempas-pulas menahan sesak yang merasuk di dada. Hampir-hampir dia meraung melihat tangan gadis itu singgah sesaat di wajah Leuk. Leuk tak halang pun malah selamba menyuakan wajah menatap tangan gadis itu.
Mirza… Mirza… dan Mirza… Sabarlah. Sabarlah. Leuk itu manusia juga, mungkin sudah tiba masanya perpisahan menanti kerana jodoh ini sudah retak menanti pecahnya.
Tapi Mirza bukan si kecundang pengecut tiada suara. Mirza pun ada egonya. Setelah pasti hati dia kukuh, Mirza menghampiri kelibatan dua orang pasangan di depan mata selamba. Wajah Leuk ditenung penuh sinis. Dia sedih tapi tidak mungkin dia hendak menangis di hadapan Leuk saat ini. Biarlah benci jangan sedih kerana kesedihan itu takkan membuat hati Mirza lembut untuk perpisahan. Mirza kena kuat menghadapi segala rintangan kerana rasa sayangnya pada Leuk bukan biasa-biasa saja. Berpuluh tahun menganyam cinta tidak mungkin Mirza betah hati untuk sebuah perpisahan dan hanya perasaan benci saja yang memungkinkan segalanya.
“Seronok makan?” soal Mirza lembut. Leuk tatap wajah masam Mirza. Dia terkejut namun sepatah pun tidak terkeluar dari bibirnya.
“Siapa ni?” soal gadis yang duduk berhadapan dengan Leuk. Mirza melemparkan senyuman segaris buat gadis itu. Gadis yang mungkin jadi isteri Leuk tidak lama lagi.
My wife…” jawab Leuk lambat-lambat. Matanya bercahaya menatap wajah kosong Mirza, mengharapkan butir bicara yang keluar dari bibirnya tadi membunuh bibit-bibit keraguan di hati isteri tercinta.
“Oh! Isteri Encik Lukman rupanya… Nice to meet you, I am Sarah. Teman sekerja Encik Lukman,” sapa gadis itu lembut. Mirza mengetap bibir kuat. Wajah Luek ditenung tajam-tajam.
Spontan air oren di atas meja milik Leuk dicapai, diminum sedikit sebelum dicurah ke wajah Leuk.
“Mir!” jerit Leuk terkejut. Wajah basah Leuk dipandang tanpa perasaan sebelum kakinya melangkah menjauhi kedua-dua mereka.
“Mir wait for me! Why you do this to me?!” Leuk tarik tangan Mirza kuat. Jiwanya membara kerana isteri sendiri memperdajalkan dirinya. Apa salah dia pada Mirza? Kenapa sampai begini sekali layananan Mirza padanya? Sungguh dia marah namun tetap disabarkan dirinya kerana mengenangkan jiwa Mirza yang akhir-akhir ini tidak berpaksi dilandasan yang sepatutnya.
“Untuk kecurangan awak Leuk,” balas Mirza kuat. Leuk terpempan kecewa. Kecurangan? Detik hati Leuk hampir-hampir membuat jiwanya tewas. Duhai isteri, sedarkah betapa awak telah melukai hati suami awak ni? Air liur ditelan sebiji-sebiji terasa berpasir. Kecewa dan terluka silih berganti menghenyak perasaannya sebagai seorang lelaki yang setia pada cinta.
“Saya tak pernah curang, Mir…” bergetar suara yang terlontar dari bibir Leuk. Egonya hancur melihat wajah dingin Mirza yang tidak pernah terpamer di wajah isterinya itu selama ini. Kenapa setelah 10 tahun baru Mirza tunjukkan wajah ini kepadanya? Kenapa tidak sejak dari mula-mula dahulu supaya Leuk terbiasa dengan layanan Mirza ini? Supaya hatinya tidak tertoreh maha dalam tanpa luka sehingga membuat jiwanya meronta menggila dijiwa…
“Awak keluar makan berdua dengan rakan sekerja awak. Awak ingat saya percaya ke awak setia pada saya, Leuk? You’re not the kind of guy yang boleh keluar dengan mana-mana perempuan randomly. I know who you are, Leuk. Kalau bukan saya lihat di depan mata saya, saya tak mungkin percaya awak sanggup keluar makan dengan rakan sekerja wanita awak berdua-duaan. Saya dah tak kenal siapa awak, Leuk!”
Tangan Leuk ditepis dari lengannya. Biarpun jiwanya turut terluka tapi dia kuatkan juga hatinya. Lukman berhak mendapatkan gadis yang lebih baik, Mir. Dia boleh mendapatkan anak jika wanita itu bukan bernama Mirza, seperti sumpahan mami Leuk tempoh hari. Doa ibu adalah doa yang paling makbul. Mirza tahu itu.
Dia hendak meletakkan semua kesalahan di bahu Leuk tapi ternyata perasaan Leuk padanya begitu kukuh. Dia ingatkan Leuk bertindak awal dengan menduakan dirinya tapi ternyata Leuk berani memperkenal dia sebagai isteri di hadapan wanita itu. Jauh di sudut hatinya dia terharu. Dia terasa dihargai. Tapi bukan itu yang Mirza mahu. Menidakkan Leuk begitu sahaja, mengenepikan perasaan Leuk dan menuduh Leuk yang bukan-bukan…. Mirza bukan wanita berhati batu. Bohong kiranya dia bencikan Leuk dalam erti kata yang sebenar. Dia hanya berlakon! Jiwanya turut berdarah melihat wajah Leuk yang kosong itu.
Kakinya menghala ke arah kereta. Meninggalkan Leuk seorang diri berdiri di tepi jalan raya dengan hati yang membengkak terluka.

“BILA nak bercerai?”
Mirza terkesima mendengar pertanyaan mami Leuk. Wajahnya ditundukkan ke lantai kerana tidak mampu menjawab soalan wanita di hadapannya. Sungguh hati Mirza meraung saat itu! Lama dulu hubungan mami dan Leuk jadi seperti musuh kerana mengahwini Mirza. Lama sehingga bertahun Leuk dan mami tidak bertegur sapa sehingga mami Leuk membenci Mirza sesungguhnya. Tiada kata maaf yang mampu melenturkan hati mami Leuk semula. Tidakkah Mirza akan jadi kejam sekiranya hubungan yang mula terjalin antara mami dan Leuk terpecah semula hanya kerana dirinya yang bukan siapa-siapa? Betul kata mami, dia takkan mampu melahirkan zuriat untuk Leuk kerana mami Leuk tidak pernah redha dengan kehadirannya sebagai menantu. Bukankah itu putarannya? Melukakan hati seorang ibu bermakna dia tidak layak untuk menjadi seorang ibu!
“Mami nak kamu berdua bercerai sebelum hujung tahun ni. Kalau tak mami sendiri akan bertindak. Masa tu Leuk bukan aje akan membenci kau. Tapi mami akan pastikan nak menghadap muka kau pun dia tak ada hati!”
Bibir Mirza bergetar. Ingin diluahkan pada mami betapa cintanya dia pada Leuk tapi segalanya tersekat di situ saja.
“Dan ingat, kalau kau tak juga bercerai, mami tak teragak-agak untuk menarik balik duit yang kau nak gunakan untuk pemindahan tulang sum-sum adik kau tu! Ingat!”
“Mir ingat…”
Dan buat kesekian kalinya air mata jatuh ke pipi. Terngiang kata-kata mami tempoh hari. Cinta aje tak cukup. Cinta aje tak cukup….

LEUK balik setelah mami pulang ke rumahnya sendiri. Leuk balik dengan wajah yang serabut. Dan buat kali pertama Leuk balik tidak memanggil namanya seperti selalu. Leuk masuk ke bilik tanpa menegurnya walaupun dia hanya berada di ruang tamu. Mirza berdiri menghampiri pintu bilik utama milik mereka berdua. Kepala disandarkan ke pintu dengan hati yang mengamuk sendu. Leuk dah bencikan dia! Leuk dah bencikan Mirza!
Leuk, maafkan saya….
Wajah adiknya silih berganti dengan wajah kecewa Leuk. Wajah umi dan abi yang mengharap silih berganti dengan wajah beku Datin Gaiya, mami Leuk.

LANGKAH Mirza sekali-sekali terasa sumbang menghampiri Fikri, sepupunya yang dahulu pernah tergila-gilakan dirinya. Tapi itu dulu, sekarang Fikri sudah ada isteri, anaknya ada empat orang dan semuanya comel-comel. Wajah Fikri tidak mampu dipandang sementelah terasa pipinya pijar menahan segan.
“Hai Mir, kenapa nak jumpa?” soal Fikri tersenyum kecil. Mirza menundukkan kepalanya.
“Abang orderkan jus oren untuk Mir tadi. Minumlah. Jangan risau abang tak letak pil tidur punya…” Fikri tersengih menyuakan air oren di gelas ke arah Mirza. Di mejanya sendiri terdapat air milo ais yang sudah diminum sehingga setengah.
“Terima kasih…”
“Kenapa nak jumpa abang ni? Lama dah kita tak bertemu seperti ini…” Fikri merenung wajah kusut Mirza. Di dalam hatinya mengakui Mirza masih tetap cantik seperti dahulu namun perasaan untuk wanita itu telah mati saat dia terjatuh hati kepada isterinya. Mirza dianggap seperti adik saja.
“Adik Mir sakit…”
Jeda lima saat.
“Abang tahu, abang ada dengar dari mak..”
“Mir perlukan duit…”
Sekiranya ini saja cara untuk dia membantu adik dan menyelamatkan hubungannya dengan Leuk apa salahnya? Dibuang rasa malu yang menyesak di kepala.
“Bohong kalau abang kata abang tak ada duit, Mir. Tapi sekarang ni abang perlu duit tu untuk bayar deposit rumah abang. Isteri abang dah lama nakkan rumah tu, abang dah janji akan hadiahkan dia untuk ulang tahun perkahwinan kami. Abang ada pun tak banyak, kira tujuh lapan ribu aje… Isteri abang pun bukannya bekerja.”
“Oh…”
Mirza menundukkan wajahnya. Fikri yang akauntan itu pun kesuntukan duit, apatah lagi dirinya yang hanya bergelar seorang guru…
“Suami Mir tak diberitahu ke yang Mir perlukan duit?” soal Fikri hairan. Mirza menggelengkan kepala.
“Dia tak boleh tahu…”
“Kenapa?”
Mirza terdiam. Tiada jawapan untuk soalan itu. Kata-kata mami dahulu sudahpun meracuni fikirannya. Jangan sampai Leuk tahu. Kalau Leuk tahu, mami akan buang Leuk dari keluarga mereka. Leuk takkan bertemu dengan mereka lagi walaupun mami sudah mati.
“Mir minta maaf tapi tolong jangan cakap pada sesiapa yang Mir perlukan duit…”
“Tapi Mir, suami Mir kena tahu.”
“Mir minta tolong pada abang…”
“Mir, nanti abang tanya pada kawan-kawan abang ya? Mir jangan sedih…”
Mirza mengangguk kepala. Air mata yang hendak tumpah ditahan-tahan. Janganlah… Jangan sampai dia menangis di sini. Jiwanya tersentuh dalam, sekurang-kurangnya Fikri akan berusaha menolong dirinya. Sekurang-kurangnya dia tidak keseorangan…


MASUK ke dalam rumah pun Mirza tiada tenaga. Wajah Leuk yang tengah duduk di ruang tamu tidak diendahkan sedikitpun. Bukan sehari mereka begini, sudah lima hari mereka tidak bertegur sapa. Lima hari itu juga rasanya Mirza keluar makan di luar. Leuk pun mungkin begitu juga. Tidur pun dia sudah tidak bersama bilik dengan Leuk, dia tidur di bilik tetamu, Leuk tidur di bilik utama. Mirza tidak berkecil hati dengan layanan dingin Leuk kerana dia tahu Leuk manusia biasa yang punya hati. Suami mana yang tidak marah disimbah dengan air di hadapan orang lain? Tidakkah dia telah menjatuhkan air muka Leuk di hadapan teman sekerja Leuk?
“Tadi ke mana?” suara Leuk kedengaran ketika Mirza ingin membuka pintu bilik tetamu. Langkah Mirza terpaku di hujung pintu. Tangannya sedikit menggeletar. Lama sudah dia tidak mendengar suara Leuk. Setiap saat Mirza merindukan suara itu tapi dimarahi juga hati yang ingin bermanja supaya menjadi tabah kerana dia sedar apa yang telah terjadi adalah angkara dari permainannya sendiri.
“Kerja cikgu setakat pukul 2 petang. Tapi ni dah dua pagi. Ke mana Mir pergi?”
Mirza memejam mata serapat mungkin meminjam kekuatan yang tinggal sedetik cuma.
“Mir pergi jumpa Fikri?”
Dang!
Terasa dunianya berputar sesaat. Mirza menggenggam kedua-dua tangannya kuat. Dari mana Leuk tahu dia keluar dengan Fikri petang tadi?
“Mir answer me… Saya takkan salahkan awak, saya faham kalau awak perlukan teman untuk meluahkan perasaan…. Tapi sampai bila kita kena jadi macam ni? Awak hidup dengan saya dekat 11 tahun lamanya tapi kenapa kita jadi macam ni? Saya tak faham apa yang tengah terjadi antara kita. Did I hurt your feeling? Saya dah buat silap ke, Mir?”
“Mana awak tahu saya keluar dengan Abang Fikri?”
Mirza, kenapa dingin sangat suara kau pada Lukman. Dia kan suami? Dari mana datangnya kekuatan untuk kau berkasar dengan dirinya?
“Saya keluar dengan mami tadi. Dan mami tengok awak duduk berdua dengan Fikri.”
Mami.
Tawa kecil meniti dari bibir Mirza. Tahulah dia selepas ini pasti mami Leuk akan menjadikan perkara itu sebagai alat untuk menjarakkan lagi hubungannya dengan Leuk. Perkara yang paling dia takuti apabila Leuk bermesra dan rapat dengan maminya tapi Leuk itu anak, bagaimana harus dia menghalang perkara yang telah termaktub di dalam suratan kehidupan?
“Mami suruh kita berpisah, awak tahu kan?” Mirza bertanya polos, menatap kedua-dua anak mata Leuk. 
“Kita tak akan berpisah…” Leuk mengambil tangan Mirza, cuba memujuk Mirza untuk kembali berjalan seiring dengannya.
“Saya akan dapat anak kalau saya kahwin dengan Fikri lama dulu…”
Kedengaran Leuk beristighfar panjang. Mirza menundukkan wajah sedar bahawa apa yang telah keluar dari bibirnya boleh merobohkan hubungannya dengan Leuk sekelip mata.
“Kalau awak nak lepaskan saya, saya redha. Syurga isteri di tangan suami, tapi syurga lelaki di tangan seorang ibu. Saya minta maaf sebab selama ni awak berada dalam dilemma antara saya dan ibu awak. Saya bukannya bodoh, buta dan tuli tidak mengerti gerak hati awak, Leuk. Awak sayangkan ibu awak lebih dari awak sayangkan saya. Awak rindukan ibu awak lebih dari awak rindukan saya. Seperti mana saya yang juga lebih menyayangi umi daripada saya menyayangi awak. Sejauh mana kita hidup bersama tapi mereka itu darah daging kita. Bila mami nak awak lepaskan saya, saya sudah bersedia, Leuk. Bila-bila masa aje awak boleh lepaskan perempuan macam saya ni. Perempuan yang mungkin boleh membuatkan awak hilang kasih daripada ibu awak sampai bila-bila.”
“Awak redha?” dua patah pertanyaan Leuk membuat Mirza menjatuhkan air matanya.
“Saya redha….”
“Mir… kita dah 10 tahun awak sedar ke tak?” tangan Leuk mencapai pipi Mirza. Mirza menggeleng kepala berkali-kali dan menjauhi Leuk.
“Kita tak ada 10 tahun. 10 tahun tu anggap aje mimpi Leuk. Kita tak ada anak. Kita tak ada seorang pun zuriat. Saya dengan awak tak sesuai Leuk…”
“Saya tak kisah anak ke zuriat ke… Saya nak awak aje, Mir!”
“Awak tak apa tapi saya yang menanggungnya! Saya benci bila dengar dari orang lain yang saya ni mandul! Saya benci awak tahu tak?!”
Tubuh Leuk ditolak kuat sebelum Mirza memasuki kamarnya. Leuk menahan pintu bilik daripada ditutup oleh Mirza sehingga lengannya tersepit antara pintu. Mirza yang meraung tidak lagi dipedulikannya. Tubuh Mirza dirangkul kuat sehingga wanita itu meronta tanpa suara.
I love you… I love you!” Leuk terjerit. Dia sudah mula takut kehilangan Mirza. Dia tahu apabila Mirza sudah membuat keputusan tidak mungkin lagi Mirza berpaling. Dia kenal siapa Mirza dari 10 tahun yang lepas. Kerana itu juga dia boleh berkahwin dengan gadis sedegil Mirza dahulu walaupun beratus orang yang menghalang.
10 minit dia disitu menemani esakan Mirza dan akhirnya Mirza terlena di dalam pelukannya. Dia mengangkat Mirza ke atas katil. Leuk menghela nafas dalam. Jiwanya pedih melihat wajah kusam Mirza. Mirza… Mirza… Kenapa sampai meminta perpisahan yang selama ini tidak terfikir olehnya? Tidakkah selama ini mereka berdua hidup bahagia berdua?
Telefon bimbit Mirza berdering, nama Fikri tertera. Biarpun pahit terasa di hati namun dia paksa juga dirinya untuk menerima panggilan itu.


“ADIK dah ada penderma tulang sum-sum…”
Alhamdulillah..
“Bayaran operation dia pun dah langsai. Hari Isnin minggu depan ni adik operation.”
“Umi? Siapa yang bayarkan?” Mirza meletakkan bukunya di atas meja guru. Dia duduk di atas kerusi dengan jiwa yang kelam-kabut. Siapa yang baik hati nak dermakan tulang sum-sum untuk adik? Siapa yang baik hati nak bayarkan adik untuk operation tu?
“Suami adik…”
“Ha?”
“Lukman Ameer yang bayarkan…”
“Leuk?”
“Ya, Leuk yang bayarkan. Lepas ni bolehlah kita lihat adik sihat semula. Umi nak berterima kasih pada Mir dan Leuk… tak terbayar hutang budi Mir dan Leuk…”
“Umi…” ayat Mirza tergantung sampai situ aje. Dia kembali kelu tanpa kata. Leuk tahu masalah dia ke?
“Oh ya, ucapkan terima kasih juga pada Leuk sebab sudi menjadi penderma tulang sum-sum untuk adik. Tak sangka Leuk sesuai untuk dijadikan penderma untuk adik…”
Mirza terjeda. Allahuakhbar! Hatinya menyeru hebat, Leuk….


AIR mata yang mengalir ke pipi disekat lambat-lambat. Wajah Leuk diperhati lama.
“Mungkin ada jangkitan tapi kemungkinannya sangat-sangat kecil. Side effect pula encik akan rasa kebas tapi proses ni tak berbahaya kerana ia akan pulih untuk seketika waktu. Lagi pula tulang sum-sum ni boleh tumbuh semula setelah dikeluarkan selama seminggu. Jadi jangan risau ya…”
“Leuk?”
“Hmmm…”
“Saya berdosa pada awak…”
“Saya tak marah. Saya tahu isteri saya tengah tertekan…” Wajah Mirza dipegang dengan kedua-dua tangannya. Derma sum-sum tulang mana ada berbahaya. Serupa dengan derma darah aje pun... Tu adik tu yang patutnya diberikan perhatian sebab dia tengah sakit…
“Tapi saya dah sakitkan hati awak. Saya tak layan awak seminggu ni…” esakan Mirza mengundang pilu di hati Leuk.
“Dengar sini, saya tak marah Mir. Saya sayangkan awak lebih daripada rasa marah tu. Saya tahu awak ada masalah, saya tak marah sebab awak tak berkongsi, mungkin ada sesuatu yang mengganggu awak buat masa tu. Tapi percayalah, kalau ada apa-apa yang berlaku pada saya, awak tak pernah berdosa pada saya, Mir…”
Mirza ketapkan bibir kuat. “Awak takkan apa-apa kan?”
Leuk tergelak kecil. “Awak tak usah risaukan saya… Awak risaukan adik awak tu, dia tengah sakit, perlukan sokongan awak…”
“Leuk, saya sayangkan awak…”
“Saya tahu…”
“Saya sayangkan awak Leuk. Saya minta ampun…”
“Saya maafkan. Jangan menangis lagi…”
Air mata di pipi Mirza dikesat. Dicium juga pipi Mirza kanan dan kiri sebelum dirinya masuk ke dalam bilik mengikut langkah doktor tadi.


LANGKAH Mirza perlahan menuju ke dalam bilik rawatan. Wajah pucat Leuk diperhati penuh kasih-sayang. Inilah suaminya, suami yang patut dibanggakan. Betapa dirinya bodoh menginginkan perpisahan sedangkan Leuk sudi berkorban apa-apa saja deminya. Di mana dia akan mendapat seorang lagi lelaki seperti Leuk sekiranya perpisahan itu benar-benar terjadi.
Seharian dia menemani Leuk di hospital, doktor kata esok lusa Leuk dah boleh keluar. Kesihatan adik juga semakin meningkat, Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi ALLAH. Dia yang akan menentukan rezeki, menetapkan rezeki, barulah Mirza sedar qada’ dan qadar. Dia akan jadi seperti Leuk, kuat dalam menempuh segala cabaran.
Wajah Leuk diusap lembut, cinta kasihnya semakin menyubur di dalam hati. 10 tahun ini dia telah hidup bahagia bersama Leuk. Dan tahun-tahun seterusnya Mirza berjanji selagi hayat dikandung badan mereka akan terus hidup bersama.
“Mir?”
“Tidurlah Leuk… Saya tunggu awak di sini…”
Senyuman Leuk terukir di bibir redup kelihatan. Jiwanya kembali tenang. Mirza miliknya sehingga ke akhir hayat nanti…

13 Komen untuk Cik Rin:

Lieynaim mohd noor

nak lagi... mesti ada sambungannya...

anis farzana

oishhhh... menarik! ada sambungan tak ni?? :D

kesian mirza... T.T mesti dia menderita gila dgr umpat keji org... ah, mulut manusia kalau mgutuk mg mcm longkang.. x pernah nak fikir perasaan org yg dikutuk tu.. huhu

Anonymous

best..plz, sambung la lg.

baby mio

Ya x kan dah habis kut.

Anonymous

sambung2....

azila

please buat sambungan...happy ending please :)

ONE MOMENT IN TIME

sambungla citer ni Arin...plssssssss..nakla jugak Mir dan leuk ada anak sendiri...usahakan lah..love you la

salmi fasliena

tak puas baca...sambungla algi citer ni...nak tahu diorang ni ada anak tak nanti...

norihan mohd yusof

sungguh menarik walau pun tk puas akk menghayati nyer...best kira nyer ade kesinabungan nyer...heeheee bnyk yg sokong tuh dek....

Syaz Azman dan Pa'ah Mohd Isdris

Assalamualaikum tuan punya blog. Ni first time melawat dan membaca. Cerpen ni memang best dan sedih. Saya menangis sampai basah baju. Hihihi. Tapi tak puas baca lah..Ending mcm tergantung. Keep it up okey ?


Pa'ah Mohd Isdris

miZz_nizZ

mulut mnusia mmg cmtu. nice entry! dpt jugak sy bca smpai abeh.haha

Anonymous

Bile nak smbg novel CCC bab 11?

Anonymous

Best