CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, April 3, 2017

LELAKI DI BAWAH TEMPURUNG BAB 1




PROLOG

Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. (Iaitu) jalan orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka dan bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. AL-FATIHAH; ayat 6-7
Di luar,
Kehidupan masih panjang.
Nafasku,
Jiwaku,
Masih ada yang kurang.
Aku kesepian,
Bila malam  terundang, bila siang menghilang,
Sakitnya rindu pergi dan datang.












BAB 1

“DAH putus tunang?”
“Hmm. Jangan kacau orang boleh tak.” Aku menggumam kecil. Kata-kata Kak Mia yang sekadar kata-kata itu seakan-akan sebuah sindiran yang menghiris hati
“Eleh, menjawab pun macam tak ada tenaga. Putuslah tu.”
Aku ketap hujung bibir. Mata memanah ke wajah Kak Mia tajam. “Mana ada.”
“Apa yang tak adanya?”
“Mana ada putus tunang?” Ujarku menekan suara. Kak Mia membalas pandanganku dengan tenungan sinis.
“Ada Riah tengok muka dia sekarang ni, ada? Hilang macam tu aje encik tunang awak tu Riah. Ni jadi ke nak print out semua kad jemputan kahwin ni. Akak penat-penat design cari orang untuk cetak, dia pula hilang gitu aje.”
“Esok-esoklah kak.”
“Tak sempat lagi esok-esok, banyak mana esoknya. Jelas-jelas dia saja nak sembunyikan diri tu, Riah. Tak percaya sekarang esok menyesal.” Balas Kak Mia bersahaja. Aku hela nafas dalam-dalam.
“Dia ada aje, masih lagi keluar kerja, balik rumah... Azri yang cakap.”
“Azri tu Riah nak percaya sangat buat apa. Dia bukannya tahu apa-apa pasal Azli. Kalau dulu sangkut dengan Azri kan senang cerita, kawan Riah sendiri. Tak la kena pening kepala handle abang dia tu.” Kak Mia menanggalkan cermin mata bulatnya ke atas meja. Laptop yang masih menyala dibiarkan saja dan matanya terarah ke wajahku lama.
  “Tak nak dengar la kak.” Ucapku diiringi rasa kurang senang.
 “Akak bukan nak menyibuk, akak sayangkan Riah. Daripada Riah frust hari-hari dia tak jawab call, mesej tak balas, baik Riah tanya betul-betul kat dia jadi ke tak ni. Semua orang dalam rumah ni Riah, dah perasan perangai Azli dekat Riah.” Ujar Kak Mia panjang lebar.
Aku termangu kecil.
Kalau semua orang perasan sekalipun, bukannya kami betul-betul putus. Dia biasa aje. Memang dari dulu dia buat layan tak layan je aku. Tup-tup hantar wakil masuk merisik, bertunang, dan sejak tu pun dia tak pernah melayan aku lebih-lebih. Mungkin dah sifat dia aku nak paksa bagaimana?
“Mak, cuba cakap sikit dengan Riah mak. Sekarang ni boleh la endah tak endah tapi nanti dah kahwin nanti pun begitu juga perangai, Riah juga yang makan hati. Percayalah akak, Riah. Dia tu sebenarnya tak ada perasaan kat Riah.” Kak Mia beralih pula kepada mak yang tengah duduk di depan pintu rumah.
“Mia, janganlah cakap benda-benda buruk. Nanti Riah ni terpengaruh susah kita.” Balas mak pendek. Mujur mak tak panjang-panjangkan isu ni sebab kata-kata Kak Ria dah cukup buat hati jadi tak senang.
“Mia minta Riah tanya kat Azli nak print berapa keping kad jemputan, empat hari pula soalan semudah abc tu tunang Riah tak balas, mak. Empat hari, tunang sendiri tu bukan tunang si Azri.”
Aku tercebik sikit melihat Kak Mia beria-ia bercerita dengan mak tentang sikap Azli. Mak lempar pandangan simpati aje, tak ulas lebih-lebih sebab nak jaga hati aku. Kalau mak faham perasaanku masa ni, mesti dia sedih tapi aku cuba tak tunjukkan apa-apa. Nak menyesal pun tak berguna sebab benda dah jadi.
“Mak dia tak hantar wakil lagi.” Balasku separa melirik ke wajah Kak Mia.
“Wakil apa?” soal Kak Mia hilang sabar.
“Wakil putuskan pertunangan.” Jawabku kecil. Bulat mata Kak Mia memandangku.
“Jadi masih tak putus lagi la.” Aku menggumam kecil. Takut dimarahi walau apa yang aku luahkan tu jujur dari hati.
“Nak tunggu mak dia hantar wakil putuskan tunang sampai bila pula? Tanya Azli betul-betul, kalau dia tak nak kat adik akak ni, minta baik-baik kat dia putuskan aje. Akak tahu si Azli tu kerja bagus, ada harta, ada rupa, tapi melalui pemerhatian yang akak tengok selama ni, melalui analisis dapatan akak la kan Riah, dia tu sebenarnya tak ada perasaan pun kat Riah.” Kak Mia berbahas panjang lebar sambil bercekak pinggang. Mentang-mentang sekarang ni dia tengah sambung PhD, benda begini pun boleh masuk jadi bahan kajian juga.
“Kena ada perasaan juga ke? Dulu akak juga yang cakap kahwin jangan nak cinta sangat.”
“Memanglah akak ada cakap macam tu, sayanggg.. Tapi di pihak lelaki kena ada kesungguhan juga.” Kak Mia tepuk dahi dia perlahan. Aku menikus lagi, kalah dengan kata-kata Kak Mia kali ini.
“Riah kena tampil lebih yakin, jangan duk senyap je nanti kena buli. Cuba Riah sekali-sekala buat Azli tu terkesima kan baru dia sedar tinggi rendahnya langit. Rugi dia kalau terlepas Riah, bukan Riah tak ada ijazah, kerja pun okey apa.” Kak Mia masih lagi beremosi sedangkan aku dan mak sudah berpura-pura sibuk dengan benda lain. Mak dengan kerja menjahitnya, aku pula sibuk berperang dengan papan keyboard komputer kecil.
“Riah masih duduk under publishing tu ke?”
Aku mengangguk kecil. “Hmm...”
“Tak nak berhenti ke dik? Kerja dengan Abang Hafni sama juga gajinya.”
“Abang Hafni tak perlukan editor. Kan dia ada empat editor dah, nanti esok suami akak yang gulung tikar sebab tak dapat bayar gaji pekerja. Pekerja melebihi nisbah keperluan bekerja.” Ucapku separuh bergurau.
“Riah, Riah kena jumpa dengan Azli tu. Kalau tak berani seorang, biar akak temankan. Tanya betul-betul pasal kad jemputan dan baju kahwin. Takkan pilih baju kahwin asing-asing. Nanti seorang pakai putih, seorang lagi pakai hitam. Kalau baju kahwin orang putih tak apalah, gaun match dengan sut, tapi baju kurung dengan baju melayu nak buat hitam putih ngeri akak.”
Kata-kata Kak Mia terkesan dalam di hatiku. Tapi nak jumpa Azli memang tak lah. Aku pun ada egoku sendiri. Jumpa mak Azli ke? Mindaku mula berfikir mencari penyelesaian.
“Kalau susah sangat nak jumpa mesej pun jadilah.”
“Mesej apa?” Aku menyoal perlahan.
“Kalau sudi katakan sudi, taklah kita tertampi-tampi.”
Terus aku tersengih panjang. Kakak ku ke tu yang baru bercakap tadi? Hairan dia boleh buat lawak dengan kes aku ni sedangkan tadi dia juga yang bersungguh-sungguh marah.
“Lain kali pilih lelaki kena hati-hati, Riah. Kut dia jenis bukan yang jiwang tapi kena yang ada iman.”
“Lah, bukan ke dulu masa mula-mula akak puji Azli melambung-lambung. Sekarang ni akak kutuk habis-habisan pula.”
Kak Mia pandang wajahku lama. “Menyesal akak puji dia, kalau akak tak puji-puji dia tu dulu mesti Riah tak setuju macam tu aje, kan?” Ucap Kak Mia kesal.
Aku termangu kecil. “Akak memang fikir kita orang putus ke kak?” Aku tanya perlahan.
Kak Mia mengangguk kepala. “90%, Riah. Ni bukan kes biasa-biasa, dah parah kalau sampai tak layan langsung mesej. Bukan tanya benda tak elok, tanya persiapan nak kahwin je pun.”
“Dah la jangan takut-takutkan adik Mia tu. Kalau dia orang dah tak nak, untuk apa meminang awal-awal lagi. Mia pun kena fikir mana tahu Azli memang                                 betul tak dapat jawab mesej, dah satu dosa Mia tambah asyik kutuk dia.” Ucap mak tanpa memandang ke arah kami.
“Baiklah mak. Nanti dah jadi adik ipar betul baru Mia minta maaf kat dia.” Ujar Kak Mia mengalah. Aku senyum aje tanpa kata. Mak kalau dah bersuara memang kita orang adik beradik tak berani nak balas. Rata-rata masanya mak takkan masuk campur sangat, tapi bila mak dah masuk campur seorang pun tak berani nak jadi anak derhaka. Sayang betul kat mak.
“Mia pun kena jaga Hafni tu baik-baik, belajar tu belajar juga. Mia kena jaga juga keperluan suami tu.”
“Assignment baru aje submit, mak. Lepas ni Mia duduk ajelah kat rumah. Kalau duduk kat rumah masa buat assignment ni payah mak, mak mentua asyik suruh buat kerja aje.” Kak Mia tersengih kecil.
“Itukan memang tugas Mia, bila mak mentua suruh janganlah malas-malas. Ni kalau dia tahu Mia tak buat kerja kat library tapi kat rumah mak apa perasaan dia?”
Kak Mia berbaring di lantai dengan telefon pintar di tangan. “Dah kasi tahu dia tadi yang Mia nak jenguk mak. Dia okey aje mak. Sebelum pukul tiga ni Mia baliklah, tolong ibu masak.” Ucap Kak Mia senyum kecil. Senyum pahit sebenarnya.
“Bersyukurlah Mia dapat mak mentua yang baik, suami pun bagus.”
“Okey mak. Mak ni kita bincang pasal si Riah, apa pasal pula tiba-tiba pusing kat Mia.”
“Sebab mak lagi bimbangkan kamu berbanding Riah. Riah tu campak ke mana aje boleh hidup.” Mak balas kata-kata Kak Mia tenang. Kembang setaman hati ni bila dengar pujian mak.
“Mak ni jangan duk positif sangat, Mia ada study sikit-sikit. Orang ni kalau dia diam-diam aje campak kat mana boleh hidup tu ada sedikit masalah. Budak-budak yang pendiam banyak simpan hati mak. Esok kalau dah dia tak tahan, kita tak tahu dia boleh buat apa.”
Dalam hati, aku turut bersetuju dengan kata-kata Kak Mia. Mak pun pandang aku semacam sehingga aku terpaksa menunduk demi menyembunyikan rasa hati.
“Riah, esok dengan akak pergi cari si Azli tu kat pejabat.” Ucap Kak Mia tiba-tiba.
“Kakak?” Aku mengeluh kecil.
“Benda ni kita patut berdepan bukan senyap aje. Atau Riah ada cita-cita nak jadi heroin cerita drama yang kena siksa menangis 24 jam.”
Aku diam aje tak menjawab. Malas hendak bertengkar pasal benda yang tak pasti. Tapi Kak Mia agak-agaklah ni dah abad ke-21, perempuan ada pendirian dan pandangannya sendiri. Ada lagi ke perempuan redha kena siksa 24 jam? Banyak sangat tengok drama tv.
“Sudah la tu Mia. Kesian pula mak tengok si Riah dari tadi duk terkulat-kulat nak menjawab salah tak menjawab pun salah.”
“Yalah... Yalah...” Kendur suara Kak Mia sambil matanya mula jatuh ke arah komputer riba semula. Kak Mia bangun dan terus menyambung kerjanya yang terbiar sejak dari tadi.
Aku bangun dari kerusi dan menutup televisyen.
“Nak ke mana?” soal Kak Mia.
“Ke dapur. Masak.”
“Buatkan air sekali untuk akak dan mak.” Arah Kak Mia. Aku angguk kecil akur sebelum berlalu pergi.

0 Komen untuk Cik Rin: