Jom join group facebook Komuniti E Novel (Klik sini) !!
Cerpen ini sebenarnya dihantar bagi diadili oleh para juri group KEN untuk Peraduan Menulis Cerpen group KEN sempena penerbitan karya novel "Merah Cinta Epal" (Kaki Novel) karya Ridha Reewani. Slogan pertandingan menulis cerpen ini ialah:
"Rasa cinta kita seperti manisnya epal merah"
AKU gigit epal merah di tanganku kuat. Mataku jatuh kepada sesusuk lelaki yang sedang berdiri kaku menunggu diriku. Tajam matanya menusuk jauh terus ke jantungku. Aku palingkan wajah memandang ke arah lain tidak lagi mengendahkan dirinya.
“Tiha, balik.” Tegas suara lelaki itu meniti di telinga aku. Aku mengacah-acah kaki ke lantai sambil tersenyum sinis. Balik? Balik ke mana? Balik ke neraka?
“Puteri Tihani!” Kali ini suara dia semakin meninggi. Aku menentang tajam mata lelaki itu. Hati aku panas sekali.
“Siapa kau nak tinggikan suara pada aku?” Soalku keras. Lelaki itu menghampiri aku sambil menggenggam kedua-dua tangannya. Dia letakkan kedua-dua tangannya pada pegangan sofa tempat aku duduk lalu mendekatkan wajahnya pada wajahku. Aku berundur sedikit kerana terkejut. Dia tersenyum sinis.
“Dua hari tak balik, melepak rumah lelaki lain, takkan tak puas?”
Aku pandang wajah dia dengan perasaan marah meluap-luap.
“Tak puas.” Cabarku mencampakkan epal di tangan pada dada dia. Wajahnya berkerut menahan sakit tetapi selepas itu dia kembali menentang mataku tajam.
“Tak puas?” Soal lelaki itu. Aku paling wajah ke arah tempat lain. Asal bukan wajah dia. Seminit kemudian, aku rasa tubuhku berada diawangan. Bila aku tersedar, tubuhku sudah dicempung lelaki itu kuat sehingga aku tidak mampu merungkaikan pelukannya.
“Fauzan!!!” Jeritan aku tinggal jeritan bila tubuh aku dicampak masuk ke dalam kereta.
“Itu balasan kepada orang yang lari dari rumah kerana mengikut lelaki lain.” Kata-kata Fauzan menampar jiwaku sehingga dadaku terasa sebak.
“Aku tak nak balik! Aku tak nak!!!”
MALAM sabtu aku curi-curi keluar dari rumah agam Fauzan dan keluarganya. Aku turun ke kelab malam buat kesekian kalinya. Jiwaku perlu bebas! Jiwaku perlu terbang! Jiwaku perlukan ubat kenikmatan...
Bukan sekali dua aku buat begini, tetapi saban kali itu, Fauzan menjejaki ke mana saja langkahku pergi.
Terkinja-kinja menari di sebalik keheningan malam yang tercemar dengan lagu-lagu rock pop membuat diriku hanyut lagi.
“Pretty girl...” Aku dengar bisikan lelaki di telingaku. Aku toleh dan menghadiahkan senyuman menggoda kepada lelaki yang mula menghimpit tubuhku itu.
“Andrew...”
“Hani...”
Akhirnya tangannya terletak kemas pada pinggangku, dan tanganku melilit juga ke tengkuk Andrew. Tak perlu ingat dosa pahala, tak perlu ingat segala-galanya terutama dunia yang menyesakkan ini! Tak perlu.
Andrew renung kedua-dua anak mataku jauh ke dalam. Mendambakan sesuatu pada diriku. Aku turut sama membalas renungannya dengan berani. Bila dia tundukkan wajah menghampiri wajahku, aku tutup mata rapat-rapat. Ingin sama merasai dan berkongsi kemanisan yang cuba dia berikan.
“Tihani!!!”
Tubuh Andrew direntap oleh Fauzan menjauhi diriku dan tanganku turut ditarik kuat mengikut langkah kakinya. Sepanjang perjalanan, bisu. Bisu. Dan bisu. Bisu...
Air mataku jatuh satu persatu.
“KAU semakin melampau Tihani.” Bisik Fauzan dekat pada telingaku. Aku kakukan diri tanpa memandang wajahnya. Fauzan menyentuh bahuku kasar dan meletakkan tangan kanannya di pipiku.
“Aku terpaksa kurung kau sehingga tarikh perkahwinan kau berlangsung. Ingat, kau tak boleh lari.” Suara Fauzan mendesah dekat pada pipiku dan aku biarkan saja sehingga Fauzan melepaskan tubuhku dari cengkamannya.
“Kau tak boleh lari.” Dia beri amaran sebelum keluar dari sangkar emas ciptaannya di bilik yang aku diami sejak kecil lagi. Bunyi pintu dikunci sebelum aku terjelepuk di atas katil.
Aku tak nak! Aku tak nak! Tak nak!
AKU duduk di atas katil termenung sendirian. Hati aku dipagut rasa pedih yang amat sangat. Kalaulah ayah ada... Kalaulah ayah masih ada... Air mataku jatuh lagi ke pipi tanpa tertahan.
Pintu bilik ku dibuka dari luar. Aku keraskan tubuh tak berkutik.
“Puteri Tihani.” Suara itu membuahkan rasa benci disegenap ruang jiwaku. Aku kaku memandang wanita separuh umur melangkah mendekati aku dengan renungan tajam.
Wanita itu duduk di sisiku sebelum meletakkan tangan kanannya keras pada rahang dan dagu aku.
“Kau jangan ingat kau anak manja, boleh buat apa yang kau suka. Ingat, kau dah tak ada sesiapa di sini!”
Aku lawan renungan tajam wanita itu sebelum tersenyum sinis.
“Aku tak ada sesiapa, tetapi segala-galanya masih lagi milik aku.” Aku gelak. Gelak tak senada dengan kemanisan, yang ada pahit serba-serbi.
“Kurang ajar!”
Paappp!!
Wajahku terteleng ke kiri. Aku rasakan cecair mengalir di hujung bibir tetapi aku masih lagi tersenyum sinis.
“Kau tak akan berjaya.” Aku ketawa kuat dan kuat sehingga wanita itu berdiri menghadapku dengan wajah merah menyala.
“Kau...” Rahang wanita itu bergerak-gerak menahan amarah dirinya.
“Mama...” Suara Fauzan mematikan tawaku.
“I will marry her. And I will make sure, semua harta dia jatuh ke tangan kita.”
Aku terpaku dan terkejut mendengar janji dari bibir Fauzan.
AKU renung wajah Fauzan yang tenang duduk di hadapan lelaki berkopiah putih. Aku terpaku melihat dia melafazkan akad nikah dan disahkan oleh saksi-saksi yang hadir. Selepas itu, aku diiringi melangkah memasuki bilik oleh wanita bertopengkan jin dan hantu. Mama Fauzan! Dia tersenyum sinis sebelum meninggalkan diriku di dalam bilik.
“Dia tak ada waris lelaki terdekat, jadi kita guna wali hakim.”
“Hmmm...”
“Dia dah setuju?”
“Dia harus setuju.”
“Hmmm...”
Aku dengar tetapi aku tidak mampu untuk berkata apa-apa. Semuanya tercatu di lubuk jiwa. Aku masih duduk kemas di dalam bilik menanti dengan harapan segala-galanya akan berakhir.
“Tihani...” Namaku disebut ketika Fauzan melangkah masuk ke bilik aku. Dia campakkan sebiji buah epal di kakiku. Aku mencapai buah itu sambil mendongak memandang wajahnya.
“I will set you free. Tetapi kau mesti tandatangan surat ni.” Fauzan serahkan satu sampul surat di kakiku juga. Aku capai dan keluarkan satu persatu. Air mataku jatuh berlinangan ke pipi. Tanganku terketar-ketar menahan sebak yang menguasai diriku. Semua harta ayah dia nak rampas! Semua harta ayah! Semua usaha ayah!
“Kau kejam!” Jeritku mencampakkan surat-surat itu kepada Fauzan. Fauzan berdiri kaku memandang amukan aku. Memandang jeritan dan tempikan aku sehingga aku jadi penat. Aku baringkan tubuh menghadapnya dengan linangan air mata.
Bila aku terlelap, aku dapat rasakan Fauzan mendekati dan membelai pipiku. Nafasnya juga dekat di pipi aku.
“Tandatangan, dan aku akan jaga kau sampai bila-bila. Selagi kau tak serahkan harta kepada mama, selagi itu kau akan hidup menderita.”
Ugutan? Amaran? Pujukan? Atau penipuan?
AKU turunkan tandatangan hari ini. Semua sekali tanpa ada yang tertinggal untuk Puteri Tihani. Untuk kebebasan, aku sanggup. Aku tak nak tinggal di kepompong ciptaan mereka yang kejam. Yang mencintai harta lebih dari segala-galanya. Selepas ini aku akan bina hidup baru yang jauh daripada mereka. Aku teringin kembali ke jalan di mana sepatutnya aku berada. Tiada penyesalan, tiada dendam. Biarlah ia berlalu. Semua sekali tanpa ada yang tercicir.
Terima kasih ayah kerana sewaktu ayah hidup, ayah berikan saya kesenangan duniawi. Sekarang, nikmat itu ditarik oleh Allah, bukan oleh mereka. Saya terima seadanya dan saya akan mulakan hidup baru. Saya akan hidup seperti mana yang ayah nakkan dahulu. Saya tak akan liar. Saya tak akan ke disko lagi. Saya dah banyak berdosa pada ayah, pada Pencipta saya. Maafkan saya, ayah...
Aku atur langkah kaki keluar dari rumah agam milik Fauzan. Betul-betul milik Fauzan kerana aku sudah tandatangan.
“NAK lari ke mana?” Aku toleh ke belakang. Fauzan bersandar tenang di dinding bata. Aku terkejut.
“Nak lari lagi?” Soal Fauzan mendekati aku. Aku fikir satu aje, aku nak lari. Aku nak lari. Dan aku betul-betul lari.
Langkahku terhenti bila terasa tubuhku diangkat tinggi. Aku meronta-ronta tetapi pegangan Fauzan semakin kuat.
“Sekali Fauzan berjanji, dia akan tunaikan janji dia.” Bisik Fauzan padaku.
“Aku dah tandatangan semua sekali! Aku tak nak terlibat dengan kau orang lagi! Aku dah insaf! Aku nak mulakan hidup baru! Lepaskan aku! Lepaskan!” Tempelak aku sepenuh daya. Fauzan ketawa kecil lalu mengucup pipiku sebelum sempat aku tahan.
“Dah insaf? Baguslah. Jangan nak jadi manusia liar dari agama Allah.” Dia bawa aku masuk ke dalam kereta walaupun aku berkali-kali pukul dia.
Sepanjang dia memandu, aku tumpahkan air mata semahu-mahunya. Segala rasa terjeruk di dada sehingga melukakan diriku.
“Keluar.” Suara Fauzan meniti di telingaku. Aku tercengang-cengang memandangnya.
Dia buka pintu dan tarik tubuhku.
“Ini rumah kita, Puteri... Rumah saya dan awak. Kalau awak nak lari, saya pun akan lari bersama. Kita larikan diri ke sini, jauh daripada mama. Tetapi awak jangan fikir lari daripada saya sebab awak tak akan lepas dari genggaman saya...” Fauzan memeluk bahuku sambil menunjukkan rumah teres di hadapanku. Aku pandang wajahnya penuh tanda tanya.
“Saya sayangkan awak sejak dulu lagi. Cuma saya menyesal kerana mama lebih pentingkan harta benda daripada kebahagian rohani dirinya. Saya minta maaf kerana telah menarik segala-galanya milik Puteri saya.” Kedua-dua tangannya melingkar di pinggangku. Dia peluk aku dari belakang dan aku masih terkaku tanpa kata.
“Saya sedar saya tak layak untuk Puteri, saya hanyalah anak kepada pekerja ayah awak. Saya anak kepada wanita yang cuba mengambil kesempatan kerana awak, gadis kaya yang sebatang kara. Poor my Puteri...” Dia mencium ubun-ubunku. Air mataku jatuh lagi dan lagi.
“Lama saya simpan di hati saya untuk menjaga awak, menjadikan awak puteri hati saya... Dan sekarang awak adalah milik saya. Dan saya adalah milik awak, Puteri...”
Aku terpegun dengan apa yang dia katakan. “Tapi selama ni saya jahat. Selalu keluar pergi disko. Liar...”
“Saya tahu sebab saya yang jaga awak dari dulu. Saya tahu siapa kawan awak, apa yang awak buat, semua saya tahu. Saya tahu di hati awak masih tersemat ajaran Islam. Saya tahu awak masih sayangkan Allah. Semenjak ayah awak meninggal dunia, saya tahu awak menyesal dengan apa yang awak buat sebelum ini. Tetapi maafkan saya sebab mama saya dah buat awak tertekan. Lupakan segalanya, kita mulakan hidup baru...”
Aku genggam tangannya kuat. Menangis di dalam pelukannya dengan hati yang cukup hancur.
“Saya bukan isteri yang baik...” Aku tuturkan juga apa yang ada di hatiku. Fauzan cium pipiku lembut dan mengusap tubuhku dengan penuh kasih-sayang.
“Asal awak sudi berubah...”
AKU duduk di atas sajadah sambil termenung lama. Tiga minggu berlalu, dan jauh di sudut hatiku, aku kini terlalu bahagia.
“Tihani, dah siap solat?” Fauzan menjenguk kepala ke dalam bilik. Aku senyum lalu membuka telekung yang tersarung di kepala.
“Sayang mesti tak percaya ni.” Fauzan mendekati aku lalu memeluk tubuhku. Aku memandang wajahnya penuh persoalan.
“Ishy... Puteri abang beri renungan menggoda.” Usik Fauzan menyentuh hidungku. Aku tersengih kecil.
“Sekali pandang wajah Tihani penuh sangat misteri. Itu sebab abang jatuh sayang. Tapi sekarang tak nampak misteri lagi.” Ucap Fauzan gelak kecil. Aku membulatkan mata merenung anak matanya.
“Apa abang cakap?” Aku menegakkan kepala.
“Marah eh? Sekarang tak nampak misteri, sekarang nampak menggoda.” Fauzan gelak habis-habis. Wajahku yang serius beransur-ansur lega mendengar kata-katanya.
“Jom abang nak tunjuk sesuatu...” Fauzan tarik tangan aku keluar. Aku tergamam aje bila sampai ke ruang tamu.
“Nak buat apa benda ni banyak-banyak? Siapa nak makan?” Tanyaku hairan. Tiga kotak. Semua epal.
“Ni buah kegemaran isteri abang. Jadi Tihani la yang patut makan.” Wah! Sedapnya dia bercakap! Dia ingat aku ni tong gas ke apa nak makan buah sebanyak ini?
“Abang gurau aje... Semua buah ni kita sedekah kat masjid malam nanti sebab kat masjid ada buat tahlil malam ni.”
Aku pandang wajah Fauzan terharu.
“Tahlil arwah ayah kepada Puteri abang...” Fauzan memeluk aku lagi.
“Terima kasih...” Ucapku sebak.
“Hmmm... Tu aje?” Fauzan angkat-angkat kening. Aku menjuih bibir. Fauzan ketawa kecil sebelum kembali memeluk tubuhku.
“Abang harap mama akan insaf sebelum masanya tiba.” Suara Fauzan berubah sayu. Aku perhatikan dia dengan wajah simpati.
“Mama akan berubah...” Ucapku penuh yakin.
“Kita doa banyak-banyak...” Sambungku lagi. Fauzan mengangguk sabar. Aku janji akan ikut sabar menanti.
“Abang nak solat dulu...”
Fauzan melepaskan aku dan berlalu masuk ke bilik. Aku tersenyum sambil duduk di hadapan kotak-kotak epal. Takkan ni aje? Aku berlari anak ke dapur mencari sesuatu. Buat bubur untuk tetamu rumah Allah malam ini.
“Tiha kena ingat, semua yang ada di atas muka bumi ini bukan milik Tiha sepenuhnya. Satu masa nanti pasti akan ditarik balik oleh Allah S.W.T kerana segala yang kita ada adalah hak Allah S.W.T. Allah menguji, dan Tiha mesti kuat menempuhi ujian itu. Jadi hamba yang disayangi, jangan jadi hamba yang dimurkai. Tiha ingat pesan ayah ni. Faham sayang?”
Masa tu Tiha baru umur 12 tahun. Sekarang Tiha dah ada suami, dan Tiha akan sentiasa ingat pesanan ayah...
Terima kasih atas rahmat Allah S.W.T kerana mengurniakan kepada aku kebahagiaan dan Fauzan walaupun aku dah banyak melakukan dosa...
Milik Puteri Epal
18 Komen untuk Cik Rin:
Oh sweet.....
Anak nenek kebayan belum tentu akan berubah menjadi nenek kebayan juga.
best!
akak ni novelis eh?
wah, bestlah rin..lain dr yg lain..
Rinsya best..da xbulah nk komen apa2..
thumbs up! gud luck k..xD
wow.. suka watak fauzan sebelum dia mengaku yg dia suka tiha. hihi.. jahat!, tapi sweet. <3
so nice kak.....:)
cerpen yg menarik
superb... >_<
sweet aje . two thumbs up! d^^b
waa... serius best walaupun pendek. hahaha... love ur writing. =)
best la sis~~~~ tersenyum-senyum baca ni!!!
^______________^
-yani zahar
Best! Suka! :D
So sweet ! Sangat suka !
[syaza]
so sweet..
smile jew msa bc crpen nie...
sweewtnyer
semua novel2 rinsya best.. :)
So sweet but pendek dan singkat sangat
Post a Comment