CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, August 4, 2017

CERPEN SEKEJAP DENGANMU



"Nia jangan main-main... Nur dan Adam bagaimana? Nia fikir hidup ni semudah yang Nia fikir? Abah bukan nak mengongkong Nia. Nia dah besar, dah ada suami, anak-anak.. Sepatutnya Nia fikir kesan bukan buat tindakan membabi buta..."

"Tak tahan lagi hidup dengan dia, bah. Nia dah fikir banyak kali. Ni aje keputusan yang Nia rasa baik untuk Nia dan keluarga. Harj boleh dapat wanita yang lebih baik. Yang lebih matang macam yang dia nak. Nia dah bosan dengan permintaannya abah. Nia ni bukan macam perempuan lain, Nia bekerja. Sibuk."

Abah mengeluh besar mendengar jawapanku.

Apapun yang terjadi, aku telah bulatkan hati yang perkahwinan kami perlu dititik akhirkan. Biar satu dunia menentang, biar mak dan abah memujukku untuk mengubah fikiran, mahupun tangisan Adam dan Nur akan meledak, aku perlu cari kebahagiaan hakiki.

Harj. Lelaki itu cukup baik. Malah terlalu baik untuk dilukai. Tapi aku tak boleh hidup dalam ekspektasinya saja. Saban hari teguran lembut dari bibir Harj semakin mengeraskan jiwaku. Dalam diam aku mula bosan dengan perangainya.

'Wanita yang baik, kena jadi ibu yang baik, Nia. Dah tiga hari Nia outstation, tapi bila balik Nia tak peduli anak-anak..'

Harj tak nampak agaknya mukaku yang jelas kepenatan. Ibu mana tak sayangkan anak-anak. Diusiaku yang baru menginjak 27 tahun, melihat rakan-rakan yang lain gembira dengan hidup mereka tanpa risaukan sesiapa, aku jadi cemburu. Sara dan Dyla selepas tamat kerja, hujung minggu itu mereka habiskan melancong di pulau-pulau. Snorkeling, flying fox, banana boat...

Aku?

Masuk ke lapangan terbang dan menempah tiket untuk balik.

Sampai di rumah Harj menunggu dengan senyuman lebar, meminta aku memasak ini itu untuk dirinya. Upah kerana dia telah menjaga anak-anak selama tiga hari ini.

Kesal?

Ya, memang kesal.

"Harj, ampunkan saya."

Harj menunduk kepala. Di ribanya Adam yang berusia setahun itu sedang memegang dan bermain tangan ayahnya.

"Nia boleh tak fikir balik? Adam baru aje hadir dalam hidup kita. Nur masih perlukan kasih sayang dari kita berdua. Dia baru tiga tahun, Nia.."

Suara Harj separuh merayu.

Aku gelengkan kepala. "Saya gagal menjadi isteri yang awak impikan. Saya tahu, Harj. Awak kepingin isteri yang taat dan berada dengan awak sentiasa, tapi saya bukan perempuan tu."

"8 tahun kita bersama, takkan rasa sayang awak mati begitu aje.."

4 tahun perkenalan... 4 tahun pernikahan... 8 tahun itu jadi kenangan terindah buat diriku.

Aku nampak air mata bertakung di tubir mata Harj.

Dadaku jadi sakit. Tak rela dia menyerah kalah tapi aku juga punya egoku sendiri.

"Maafkan saya. Itu aje yang saya boleh cakap."

"Kita mulakan hidup baru, Nia. Saya akan berubah. Saya takkan minta macam-macam pada awak. Saya akan jadi suami yang memahami..."

Aku kemam bibir. Wajah Nur di sebelah Harj menggoyahkan pendirianku. Anak kecil itu memandangku dengan renungan sayu, seolah-olah memahami apa yang bakal berlaku.

"Saya tak boleh paksa diri saya, Harj. Saya tak bahagia..."

Air muka Harj jauh berubah. Pedih, terkilan, dan mungkin juga terluka. Mata, hidung dan pipi dia jadi merah. Tinggal air mata saja yang belum mengalir.


"Awak carilah orang lain..."ucapku dengan suara bergetar.

"4 tahun... Kita berjanji untuk hidup bersama dalam 50 tahun. Kenapa 4 tahun aje, Nia? Awak akan bahagia tapi saya?"

"Saya... Tak cintakan awak lagi."

"Hidup ni setakat cinta aje pada awak? Nia, tanggungjawab kita besar. Nak besarkan Adam dan Nur, nak bawa mereka jadi orang yang berguna..."

Aku menutup telinga. Tak mahu mendengar. Nada suaranya seperti yang selalu ku dengar. Berbaur pengharapan, arahan dan kewajipan. Lepaskan aku Harj...

"Atau..."suara Harj berubah parau. "Tanpa saya sedar, Nia dah ada orang lain?"

Aku mengangguk kecil.

Air mata Harj jatuh ke pipi. Tangannya menggigil mengusap air mata sendiri. Aku sebak.

Harj, ampunkan saya... Ampunkan saya... Tapi sayangnya suara itu hanya terlontar di dalam kepala.

Andai itu aje cara yang boleh memujuk hati Harj agar melepaskan dan sekaligus membenci seorang Qurnia Alimin....


🍬🍬🍬🍬🍬🍬


"Nia, beg kau tu ha.. Melamun aje."
Aku tersentak kecil.

Cepat-cepat kucapai beg pakaian dan kuheret ke sisi.

"Jom..." ajak Sara menarik tanganku.

Aku mengorak senyuman.

Gembira?

Ya, dua tahun di bumi Korea membuahkan warna-warni dalam hidupku. Bekerja pada waktu siang, dan petangnya menjelajah ke Dongdaemun, mungkin mencari restoran disekitar Itaewon... Selepas itu duduk di tangga masjid sambil menghayati keindahan langit di sana...

Hujung minggu aku habiskan ke Busan dan melawat pengabdian kisah cinta Winter Sonata di Pulau Nami... Berjalan-jalan sambil menaiki basikal dan sekali sekala berhenti untuk bermain dengan burung unta atau arnab kecil...

Aku bagai lupa dengan segalanya. Lupa Nur dan Adam sedang membesar di Malaysia.

"Minggu depan kita tukar ke Perth pula. Mungkin untuk tiga tahun. Kau serius ke nak pergi ni, anak-anak kau macam mana?"

"Bekas suami jaga."

"Best nya hidup jadi kau, Nia... Kalau akulah, memang tak nak pergi kerja macam ni. Baik duduk jaga anak-anak. Nanti bila dah besar, anak-anak tak rapat dengan kau, sedih hidup kau nanti."

"Tak apalah.. Aku still dapat apa yang aku nak."

Sara mengangguk kecil, agaknya malas berbalah setelah pernah bertengkar besar denganku sewaktu aku mengambil keputusan untuk bercerai dengan Harj demi menerima tawaran bekerja di Seoul dulu.

Keluar dari balai ketibaan, Sara disambut oleh ahli keluarganya dengan linangan air mata.

Aku mengukir senyuman segaris.

Sedih?

Ya.. Mana mungkin aku tak sedih dengan keadaanku ini. Tapi terimalah Nia.. Ini akibat setelah kau melukakan hati ramai insan yang kau sayang.

"Mama!"
Aku terkejut apabila kakiku dipeluk dari belakang.

Belum sempat menoleh, aku nampak Harj sedang senyum di tepi sebelah kanan.

Harj!

Air mata hampir tertumpah.

Harj kah itu?

Aku pandang ke arah bawah.

Ya Allah..

Dah besar begini anak-anak mama..

Adam, Nur...

Aku melepaskan beg pakaian dan segera memeluk mereka berdua.

"Rindu mama?" tanyaku sebak.

"Papa kata, mama balik hari ni." Nur berceloteh. Aku mengesat air mata yang jatuh ke pipi.

Harj, terima kasih. Aku ucap dalam hati sambil memandang ke arahnya.

Aku pasti Harj mendidik Nur dan Adam untuk tidak membenciku walaupun bukan sedikit luka yang ku toreh pada hatinya.

"Awak tak kerja ke hari ni?" soalku berpura-pura mesra. Adam ku bawa dalam dukungan, Nur pula kembali dalam pegangan tangan Harj. Kami beriringan berjalan mengikut langkah yang Harj bawa.

"Saya ambil cuti, untuk awak dan anak-anak. Saya hantar awak balik kampung hari ni. Tak perlu naik bas."

"Terima kasih, Harj..."

"Lagipun, anak-anak rindukan awak."

Awak Harj.. Awak rindukan saya juga ke?

"Lepas ni awak ke mana pula?" soal Harj tenang. Aku diam buat beberapa ketika. Rupanya Harj adalah orang yang paling memahamiku. Rupanya Harj sudah tahu rancangan yang terpeta di dalam kepalaku!

"Perth..."

Aku menoleh sekilas ke arahnya semula.

Harj tidak menunjukkan sebarang reaksi, dia cuma senyum dan membelai kepala Nur.

Aku mengeluh kecil. Apa yang aku harapkan lagi sebenarnya? Kesetiaan Harj? Perasaannya padaku?

Nia, lepaskanlah Harj. Biarkan dia mencari kebahagiaannya sendiri....

"Harj awak bila kahwin?" Tak sangka aku soal dia begitu. Tapi aku tak takut terluka. Andai dia menjawab ya, aku akan pastikan diriku tersenyum gembira. Biarlah luka itu kupendam keseorangan kerana Harj dah banyak berkorban.

"Entahlah, Nia. Nur dan Adam masih kecil lagi."

"Mereka berdua perlukan kasih sayang seorang ibu.."

"Ibu mereka tu awak. Ditakdirkan saya kahwin lain, awak tetap ibu mereka..."

"Saya harap sangat awak bahagia, Harj. Carilah kebahagiaan awak."


Harj tidak menjawab. Beg pakaianku dimasukkan ke dalam bonet keretanya. Pintu dibuka dan Nur segera dibantu untuk duduk di atas baby car seat.

"Adam... Jom kita duduk di belakang dengan kakak ya? Mama duduk kat depan." Harj memujuk bila Adam menolak untuk turun dari dukunganku.

"Panaslah sayang, mama dah penat ni. Jom masuk kereta." Aku cakap dengan nada sedikit tegas.

Begitulah aku... Aku dan Harj sangat bertentangan. Dia lembut. Aku keras. Tapi bukan bermakna aku tak sayangkan Adam. Adam adalah syurga duniaku... Milikku!


Adam masuk di kereta dan duduk di sebelah kakaknya, di dalam baby car seat.

Harj membuka pintu kereta hadapan di sebelah tempat duduk memandu untukku.

Suasana sepi tanpa sepatah kata ketika dia sedang memandu. Aku sebak. Sakit.

Melihat diam Harj membuat jantungku terasa dihiris-hiris.

"Harj.."
"Nia.."
Serentak.

"You first," ucapku mengalah.

"Awak dulu, Nia."

"Tak, awak dulu."

Aku mahu mendengar luahan hatinya.

"Ada seorang wanita, dia melamar untuk jadi ibu kepada anak-anak kita."

Ya Allah ya Tuhanku...

Inikah rasa pedih hakiki yang perlu aku rasai?

Aku menggigit bibir kuat, menahan perasaan.

"Siapa?"

"Seseorang yang dekat dengan kita. Adik awak."

Subhanallah...
Eja? Qarija?

"Awak terima?" Aku tak mampu menyembunyikan getaran pada suaraku.

"Nia, saya takut."

"Hmm?"

"Saya takut kecewa..."

Aku pandang dia dengan mata berkaca-kaca. Begitu besarkah luka yang telah kupalitkan untuknya.

Dia menggenggam stereng kereta kuat.

"Maafkan saya, Harj."

"Bukan salah awak,"

"Harj,"air mata jatuh ke pipi. "..jangan tunggu saya lagi. Saya sayangkan awak, tapi kita berbeza. Saya menyesal, tapi kita tak boleh menoleh ke belakang."

"Bukan salah awak semua ni terjadi. Salah saya. Awak tak salah langsung.. Bukalah hati awak Harj. Dunia bukan saya seorang."

Mata Harj tetap ke arah jalan raya. Wajahnya masih tenang.

Di sini pengakhiran kita Harj. Saya akan pergi lebih jauh, dan beri awak peluang untuk mencari semula diri awak yang telah hilang.


0 Komen untuk Cik Rin: