BAB 4
MUNGKIN ada benarnya kata-kata ma tempoh hari yang
mengatakan jualan di butik yang satu lagi mengalami sedikit masalah walaupun
sudah empat bulan dibuka. Sepatutnya Butik Puteri cawangan kedua dah ada
pelanggan tetap tapi sampai sekarang ma kata jualan semakin jatuh. Jadi ma pun
suruh aku yang take over kat sana buat sementara waktu tapi dalam pada
masa yang sama butik cawangan pertama tempat aku bekerja ni pun kena maintain
juga. Haila.
Dalam tiga minggu aku terpaksa
berulang-alik dari butik cawangan pertama dan cawangan kedua. Tapi lepas tu aku
bersyukur yang amat kerana ma akhirnya turun padang untuk membantu aku. Dia
kata kesian pula bila nampak anak dia yang seorang ni seperti tak cukup rehat.
Sepanjang tiga minggu ni tertunggu-tunggu
juga kalau-kalau Adif menghubungi aku tapi ternyata penantianku hanyalah
sia-sia. Jangankan menghubungi, batang hidung dia pun aku tak nampak. Agaknya
betullah firasat aku haritu yang dia tak berkenan denganku sejak pertama kali
bertemu. Lantas kenapa ayat terakhir yang diucapkan dari bibirnya membawa
sedikit harapan buatku? Takkan dia nak try test power pula, kan?
Keluhan tercetus dikedua-dua bibirku. Penat
satu hal, keliru satu hal. Mungkin juga Adif bukan ditakdirkan sebagai jodohku
jadi selepas ini aku kena lebih bersabar untuk mencari teman hidup dunia dan
akhirat. Perkahwinan bagiku kena berkekalan sehingga keakhir hayat. Aku
inginkan rumah tangga seperti ma dan ayah, tidak pernah bergelora walaupun
berkali-kali dihempas ribut dan taufan.
‘Jodoh tu Rian, dah ditetapkan semasa kita
berada di dalam rahim ibu kita lagi. Jadi sekarang ni kena tunggu aje, sampai
masanya insyaALLAh kita akan berjumpa si jejaka yang sepatutnya menjadi
pengikat hati.’ Itu kata-kata Nur bila aku luahkan isi hatiku
padanya. Yelah walaupun aku cuba rahsiakan benda ni pun, sampai bila aku nak
sembunyikan hal Adif ni daripada kawan-kawan rapatku, kan? Lagipun dia orang
pantang tengok muka aku hilang arah sikit terus main serkap jarang dan
nampaknya kali ini serkap jarang dia orang mengena kat batang hidung aku. ‘Kau
dah jumpa dengan ‘lelaki’ ke Rian?!’ Pertanyaan Mun tempoh hari membuatkan
aku terkelu kaku sehingga membuahkan usikan demi usikan daripada mereka
bertiga. Aku tak marah pun sebenarnya. Nak marah buat apa bukannya boleh dapat
sesuatu. Lagi pula lelaki itu bukannya sukakan aku pun.
“Rian, you tengah fikir fasal apa?” teguran
Khairi membuatkan aku kembali semula ke dunia realiti. Perlahan sebuah senyuman
hadir terukir di hujung bibirku. Khairi yang tengah mengira sesuatu di dalam
buku mengerli ke wajahku sebentar sebelum menyambung kerja-kerjanya.
“Teringatkan boyfriend ya?” dia bertanya
secara berterus-terang. Aku tersentak sebentar sebelum menggelengkan kepala.
“I mana ada boyfriend la Khai. You
pun tahu selama ni I kaku dengan lelaki.” Aku menyengih. Khairi mencebik tanda
tidak sehala pendapat denganku.
“Habis pakwe yang datang ke sini hari tu
yang bawa you balik masa you sakit hari tu siapa?”
“Tu bukan boyfriend la Khai. Tu pekerja
ayah I aje la…” jawabku menafikan tekaan Khairi.
“I tetap tak percaya bila you kata you kaku
dengan lelaki. Habis tu selama ni you ingat I perempuan ke apa? Jahat la you ni
Rian…” ucap Khairi masih lagi tidak berpuas hati. Tawaku pecah spontan. Biar
benar Khairi kecil hati fasal benda kecil macam tu aje?
“I kaku dengan lelaki bujang, lelaki yang
dah kahwin macam you buat apa I nak malu pula,”
“You malu eh Rian?” Khairi mengerdipkan
mata beberapa kali. Aku angkat kedua-dua bahu sebab tak tahu nak jawab apa lagi
dah.
“Khai, I tanya you sesuatu boleh tak?”
tanyaku pelan. Khairi yang sedang menulis di atas buku terus meletakkan pen di
dalam buku itu dan menutupnya. Perhatiannya 100% ditumpukan kepada ayat yang
bakal aku cakapkan sebentar tadi.
“Tanya ajelah…” dia jawab segera.
“You rasa I ni teruk sangat ke? Tak kena
dengan taste mana-mana lelaki ke?”
Beberapa minit kami terdiam tanpa suara.
Hanya kedengaran sekali-sekala suara Khairi berdeham kecil sehingga menimbulkan
cemas di hatiku.
“Teruk sangat ke I ni sampai you nak jawab
pun teragak-agak?”
“You tak teruk la Rian. Dibandingkan dengan
isteri I, you lagi cantik. Kaya pula tu. Kalau I ni single mesti I yang
mengurat you dulu,” dia balas selamba sebelum meneruskan kerja-kerjanya. Aku
menghela nafas dalam-dalam. Nak percaya cakap Khairi pun tak dapat juga sebab
aku rasa dia jawab macam tu semata-mata menjaga hati aku ni aje.
“Lelaki nak I sebab I kaya ke Khai?”
“Eh! Tak de la. You baik la Rian. Baik
sangat… Perempuan macam you mesti akan dapat lelaki yang terbaik. Don’t
worry la dear. I gerenti you dapat lelaki paling handsome macam I
ni,”
Aku dah bantai gelak bila Khairi
kelip-kelip mata tanda dia bersungguh-sungguh dengan kata-katanya. Gelak sebab
dia perasan yang dia tu lelaki paling handsome.
Tapi bila difikir-fikir, terasa segan pula
mengharapkan sesuatu daripada Adif tempoh hari. Kalau dia tak suka aku pun tak
apa, mana tahu betul masin Khairi punya mulut dapat jugalah aku merasa
bersanding dengan lelaki yang terbaik dan lelaki paling handsome tu.
“Kenapa Rian? Boy hari tu tinggalkan
you ke?”
Aku tersedak apabila aje Khairi
menghabiskan soalannya.
“Ops! I’m so sorry… Terkejut ke?”
Khairi ambilkan botol air di tepi meja dan membuka penutupnya sebelum
menyerahkan kepadaku. Cepat-cepat aku teguk untuk meredakan batuk yang terasa
perit.
“You ni Rian, kalau kena tinggal oleh
seorang lelaki tak bermakna you tak laku tau. Patutlah you tanya soalan
pelik-pelik pada I rupa-rupanya you tengah frust sekarang ni ya?” Khairi
menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali sambil melemparkan pandangan simpati
kepadaku.
Aku rasa nak marah pun ada sebab Khairi main
belasah aje cakap yang aku kena tinggalkan oleh lelaki tapi rasa nak gelak pun
ada melihat muka Khairi yang innocent dan tersangat positif dengan apa
yang dia fikirkan tu. Agaknya sebab Khairi ni beginilah isteri dia terpikat
walaupun agak lemah-lembut orangnya.
“Eh Rian…” tegur Khairi apabila aje batuk
aku dah reda. Sambil dia hulur tisu kat aku dia pandang ke arah luar. Aku pun
ambil tisu yang ada kat tangan dia dan menoleh ke belakang untuk melihat siapa
yang menjadi perhatian Khairi. Tak ada sesiapa pun kat luar sana.
“You tengok apa?” tanyaku memandang wajah
Khairi semula.
“I think that boy still love you la.
I ada nampak dia kat tepi tangga tu tadi tapi lepas tu dia pergi macam tu aje.
Pelik. Macam mana I boleh tak tahu you dah ada pakwe padahal selama ni I dengan
you selalu aje bersama-sama. Tahu-tahu aje you all dah putus dah…” Khairi
mengerutkan kening.
Akupun toleh ke belakang semula dengan riak
wajah kosong.
“Siapa Khai?”
“Boy yang datang tolong hantar you ke
klinik hari tu masa you sakit perut… Ala, bekas pakwe you la,” Khairi
menekankan suaranya. Aku tercengang tidak mengerti.
“Dia
jalan aje kut kat sini. Sini kan banyak kedai lain.. I dan dia mana pernah
bercinta la Khai, you aje yang memandai main teka-teka tadi bukan I yang cakap
pun kan?”
“La ya ke? I ingatkan betullah bekas pakwe
you. Habis kenapa dia berdiri kat tepi sana tu lama-lama, dah la dia tengok ke
sini, Rian. Ke dia memang ada hati pada you?” soalan Khairi membuat aku terbisu
sebentar. Mataku terarah ke tempat yang ditunjukkan oleh Khairi.
“You tak salah orang ke?”
“I ingatlah sebab dia tu smart. Handsome
macam I mana boleh I lupa…” Khairi tersengih lebar sambil berdiri.
Aku senyum segaris kerana tidak berminat
untuk membalas gurauann Khairi. Aku lebih berminat dengan kenapa Adif ada di
situ sedangkan kami tidak berjanji pun untuk bertemu. Lebih-lebih lagi apabila
mengingati yang Adif hanya berdiri di hujung sana tanpa menegurku di sini.
Agaknya betullah yang dia tengah tunggu orang lain atau ada hal yang perlu
diselesaikan dan secara kebetulan aje dia memandang ke arah sini. Lagi pula
Khairi ni tak boleh percaya juga. Mana tahu dia main cakap aje. Kononnya lama
Adif berdiri kat sana tapi sebenarnya seminit dua aje pun.
“You jangan buat muka suspicious
macam tu, Rian. I gurau aje tadi. Ni dah tamat masa rehat jom tolong I kira stock
baju…”
Aku mengangguk kepala dan mengikuti
langkahnya. Tak sampai beberapa saat langkah Khairi termati. Dia menggaru-garu
belakang tengkuknya pelan sebelum melemparkan pandangan ke arahku.
“Kalau dia bukan bekas pakwe atau pakwe
you, kenapa dia tengok you dari jauh macam tu? Kenapa tak masuk aje ke kedai
kalau nak berkawan dengan you?” Khairi naikkan sebelah keningnya. Aku gigit
bibir sedikit sebelum menghela nafas pendek.
Kalau Khairi rasa pelik, aku lagilah rasa
pelik.
LINTANG pukang jadinya bila ma tiba-tiba cakap
yang Adif ada kat bawah sewaktu aku tengah bersantai di atas katil petang itu.
Dah berbulan baru dia munculkan diri kenapa agaknya? Panik pun ada, cemas pun
ada. Aku tak biasa dengan kejutan sedemikian rupa malah tiba-tiba aje aku jadi menggelabah
apabila menuruni anak tangga. Punyalah cemas kerana aku ingatkan dia
betul-betul datang ke rumah ni sebab aku tapi melihat ayah pun ada kat ruang
tamu tahulah aku yang dia datang sekadar hal kerja aje. Hampir-hampir aku naik
semula ke tingkat atas sebelum ma panggil namaku.
“Hidang air ni kat depan.” Ma suruh sambil
tersenyum penuh makna. Ma tengah berdiri di tepi meja makan sambil meletakkan
cawan-cawan ke atas dulang.
“Dia datang untuk jumpa ayah ke ma?”
“Ada kerja sikit agaknya dengan ayah…”
Terus berubah air mukaku mendengar
kata-kata ma.
“Habis kenapa panggil Rian ke bawah tadi?”
soalku separuh berbisik.
“Nak minta Rian tolong ma hidang airlah,”
ma jawab dengan nada selamba sambil mengisi cawan-cawan kosong di atas dulang.
Aduhai ma… Kenapalah ma buat macam ni? Mana
la aku nak letak muka aku ni menghadap Adif tu. Mungkin sampai sekarang ni ma
dan ayah nak jodohkan aku dengan Adif walhal sebenar-benarnya Adif tu sedikit
pun tak berminat dengan diriku. Kalau dia berminat mesti awal-awal lagi dia
usaha nak berjumpa denganku. Tiba-tiba aje aku rasa menyesal turun ke tingkat
bawah. Kalau tahu awal-awal lagi aku bertapa aje dalam bilik tadi.
“Bibik tak de ke ma?” soalku pelan. Ma
terus tunjuk pintu dapur.
“Dia buat cucur kat dapur…”
“Kenapa ma panggil Rian turun ke bawah
tadi?” aku menyoal ma semula sebelum melarikan anak mata ke wajah Adif yang sedang
berbincang sesuatu dengan ayah. Serius aje gayanya.
“Kan nak berkenalan? Ma panggil Rian ke
bawah supaya dapat berjumpa dengan Adif…” bisik ma dengan wajah yang bercahaya.
Alamak double bala dah ni. Kenapa dia orang buat aku macam aku ni desperate
sangat nak dapat kekasih?
“Ma please?” keningku bertaut tanda
tidak senang hati. Ma tarik tanganku dan menggelengkan kepalanya sedikit.
“Dia baiklah Rian. Ma suka pada dia,”
bersungguh-sungguh ma cakap padaku. Ya ALLAH masa ni aku rasa nak melenyapkan
diri dari bumi barang sejam dua.
“Ma, Rian tak de pun mengharap apa-apa pada
dia tu. Rian boleh cari sendirilah,” ucapku dengan nada menekan. Ma mengeluh
perlahan, entahkan kecewa atau terkilan dengan apa yang aku cakapkan ni pada
dia tadi.
“Hantar je air ni kat depan tu. Kalau Rian
tak suka Adif tak pe la tapi sekarang ni air kena hantar kat depan sebab ma nak
tolong bibik kat dapur,” ma hulur dulang kepadaku.
Cepat-cepat aku menyambutnya walaupun di
dalam hati sudah berbisik perkara-perkara yang tidak enak. Melihat semula ke
arah ayah dan Adif membuat darahku menyirap ke kepala. Entah-entah Adif perasan
tak yang ayah dan ma nakkan dia jadi menantu keluarga ni?
Janganlah tiba-tiba Adif kena kahwin paksa
dengan aku, sudah… Sebab kalau aku nak, boleh aje aku minta dari ayah untuk membuat
sesuatu yang membolehkan Adif jadi suami aku sebab ayah ada
segala-galanya. Tapi sejahat-jahat aku
pun tak adalah sampai nak buat drama Melayu macam dalam tv pergi paksa orang
yang kita suka tunduk pada apa yang kita nak. Lagipun peringkat suka aku pada
Adif tu tak de la sampai jatuh cinta sehingga membuat aku hilang akal pergi
suruh ma dan ayah lamar dia jadi suami.
Dengan langkah yang berat aku mendekati
ruang hadapan. Lambat-lambat aku melangkah ke sisi ayah dan terus menghidangkan
air untuk mereka. Adif dan ayah berhenti dari perbincangan mereka sambil
kedua-duanya memandang tingkahku seketika. Selepas aje aku hidang air, aku pun
berdiri dan melemparkan senyuman kelat.
“Jemputlah minum…” pelawaku sambil mengelak
renungan mata Adif. Terlalu segan untuk berhadapan dengannya lebih-lebih lagi
setelah mengetahui hasrat ma dan ayah tadi. Belum apa-apa pun ayah dan ma dah
plan benda mengarut sedangkan orang tu bukannya berminat dengan aku pun....
“Adif nak bawa Rian keluar lepas ni, Rian
bersiaplah dulu…”
“Ha?” aku terkejut.
“Adif ajak Rian keluar makan, tengok
wayang. Pergilah bersiap dulu jangan kasi Adif tunggu lama,” jawab ayah selamba.
Aku terkebil-kebil seketika sebelum melemparkan pandangan ke wajah tenang Adif.
Mamat mata sepet ni betul ke dia nak keluar denganku? Entah-entah ayah paksa
dia tak? Adif tunjuk muka tiada perasaan sambil mengambil cawan yang berisi air
teh di atas meja.
“Nak keluar ke mana?” aku bukannya menyoal
sesiapa tapi lebih kepada menggumam pada diri sendiri.
“Keluar makan,” jawab Adif bersahaja.
Terasa diriku semakin tidak disukai olehnya.
Aku pandang wajah ayah penuh tanda tanya.
Kalau betul Adif terpaksa keluar denganku baik kita orang tak payah keluar
langsung.
“Rian siaplah dulu..”
Arahan ayah itu membuatkan diriku jadi
serba-salah. Akhirnya aku melangkah jua ke tingkat atas untuk bersiap-siap
keluar dengan Adif.
Aku mengenakan blaus berwarna hitam dan
seluar slack dipadankan dengan tudung yang juga berwarna hitam. Tiada semangat
hendak bergaya kerana tiba-tiba aje aku rasa yang aku pun terpaksa keluar
dengan dia.
Pinggan tak retak nasi tak dingin, orang
tak hendak aku pun tak ingin. Wajah beku Adif bermain-main di ruang mataku
sehingga membuatkan diriku sesak nafas untuk seketika.
BAB 5
“ADIF tunggu kat luar tu,” ujar ma apabila aje
nampak aku turun dari anak tangga. Ayah melemparkan pandangan ke arahku sebelum
menyambung semula bacaannya.
“Apasal guna black dress pula ni Rian,
gunalah baju yang ceria-ceria sikit. Sakit mata ayah tengok Rian pakai baju
hitam satu badan.”
Aku menghampiri ayah dan menyalami
tangannya sambil tersenyum kelat.
“Baju ni pun okey apa,” balasku sejurus
menyalami tangan ayah.
“Jalan baik-baik,” pesan ma pula bila aku
menghampirinya. Tangan ma aku capai dan cium sebelum tersengih kecil.
“Ma kalau Adif tak suka Rian jangan
paksa-paksa dia datang sini lagi tau?”
“Mana pula ma paksa dia datang sini. Dia
sendiri yang nak datang sini,” ujar ayah lalu melipat surat khabar di
tangannya. Aku terkedu beberapa saat sebelum memandang wajah ma pula. Tiba-tiba
aje terasa bersalah kerana sedikit-sebanyak kata-kata aku tadi bertujuan untuk
meluahkan rasa tidak puas hatiku terhadap tindakan mereka.
“Adif datang sini bukan sebab ayah suruh
ke?” soalku teragak-agak.
“Dia datang sini nak minta izin bawa Rian
keluar. Kebetulan ada ayah terus dia buka kes baru untuk diselesaikan. Rian
jangan fikir ma dan ayah paksa dia untuk terima Rian sudah. Kalau dia terima
Rian, ayah bersyukur sebab dia lelaki yang baik tapi kalau dia tak terima itu
pilihan dia. Ayah tahu Rian sukakan Adif, kan?”
Aku menjegilkan mata. Terkejut dengan fakta
yang keluar dari bibir ayah. Malu terasa apabila ayah main serkap jarang
menangkap perasaanku ini.
“Eh, mana ada Rian suka dia!” ucapku
bersungguh-sungguh menafikan kata-kata ayah. Sungguh aku malu! Kalau difikir
memanglah aku tiada perasaan kepada Adif lebih-lebih lagi kami tidak pernah
berkenalan secara rapat. Cuma tidak keterlaluan sekiranya aku mengatakan yang
aku juga meletakkan sedikit harapan, lagipun Adif tu boleh kira kacak dan
menawan sesiapapun anak dara pasti tertarik dengan tingkahnya yang matang. Tapi
sekadar tertarik sedikit itu aje ayah sudah menganggap anak dia ini suka pada
Adif.
“Adif dah tunggu lama kat luar tu Rian,”
tegur ma sambil menolak bahuku lembut.
Akupun berjalan keluar selepas meminta diri
daripada ma dan ayah untuk keluar. Di dalam hati walaupun terasa segan dengan
ma dan ayah, terbetik juga perasaan lega kerana apa yang aku sangka selama ini
salah belaka. Nasib baik Adif rela hati keluar denganku dan bukannya atas
kehendak sesiapa. Manalah tahu ayah keluarkan arahan mandatori supaya Adif
bersetuju keluar denganku, pasti lain jadinya nanti.
“Hai…” itu aje yang mampu terkeluar dari
bibirku setelah memasuki kereta Adif. Adif melemparkan senyumannya padaku.
“Kenapa tak tunggu kat dalam rumah aje
tadi?” aku menyoal lagi untuk mematikan rasa janggal yang ada di sini.
“Perut awak dah tak sakit?” Mata Adif jatuh
ke tubuhku. Cepat-cepat tanganku memeluk beg tangan ke riba sambil melontarkan
pandangan ke arah lain. Banyak-banyak benda dia boleh soal kenapa dia tanya
soalan yang membuat aku malu lima tahun?
“Tak…” jawabku dengan nada perlahan sambil
bermain dengan jari-jemari. Walaupun segan itu ada tapi bengang juga ada.
Takkan la dia fikir setiap kali ketemu denganku perut aku ni asyik meragam aje,
kan? Kalau aku sakit perut tak mungkin aku nak turun keluar dengannya.
“Kita nak makan kat mana?” soal Adif lagi.
Dia berdehem sedikit sebelum membelokkan keretanya ke jalan besar.
“Saya tak tahu,” jawabku jujur.
“Nak makan steamboat nak?”
“Emmm…” sengaja aku menganggukkan kepala
berkali-kali tanda menghargai apa yang dia rancang walaupun dalam kepala ni dah
cukup berterabur bila dia ada di sisiku. Kenapa terasa benar-benar janggal
bersama dengannya ya? Hari tu masa dia hantar aku balik ke rumah aku rasa okey
aje tapi kenapa hari ni jadi lain sangat perasaannya? Ke sebab dia tak jawab
pertanyaanku tadi membuatkan aku terasa segan hendak berinteraksi dengannya?
“Kenapa senyap aje?” dia tanya sambil
memandang wajahku sekilas sebelum kembali merenung ke atas jalan raya.
“Tak tahu nak cakap apa… Lagipun dah lama
tak jumpa awak,” aku jawab jujur sambil tergelak kecil, cuba menutupi getar di
hati.
“Jangan malu dengan saya, saya ni okey
aje…” dia tersenyum seakan-akan cuba membawa suasana selesa di antara kami. Aku
menghela nafas kecil untuk membuang rasa sesak di dada. Perlahan-lahan aku
memandang wajahnya dalam keadaan yang lebih selesa.
“Awak kerja bahagian yang mana di bawah
ayah saya?” soalku lambat-lambat.
“Saya? Ayah awak tak ada ceritakan ke saya
kerja sebagai apa di syarikat dia?”
“Mmmm…” aku menggelengkan kepala.
“Saya biasa-biasa aje, peguam syarikat ayah
awak,”
“Oh!”
Sungguh luar biasa sebenarnya kerana aku
langsung tidak terfikir dia bekerja sebagai peguam. Ingatku dia pengurus besar
syarikat ataupun salah seorang staff ayah yang bekerja untuk membangunkan
syarikat rupanya dia peguam syarikat.
“Jadi awak uruskan apa di syarikat ayah?”
aku memanjangkan pertanyaan sekadar berbasa-basi.
Adif tertawa kecil. Sinis bunyinya. Walaupun
aku sedikit sangsi bimbang benar-benar dia tidak menyukaiku, namun cepat-cepat
aku matikan tanggapan negatif yang datang berbisik di hati. Mungkin memang cara
dia gelak begitu kut? Takkanlah dia nak menyinis padaku sedangkan aku tak ada
buat apa-apa masalah pun pada dia.
“Bahagian kewangan, masalah-masalah yang
berlaku melibatkan undang-undang dan banyak lagi. Syarikat awak tu maju
sangat…”
Aku blurr sekejap. Kenapa nada suara
dia tu pelik ya? Kenapa seperti ada aje yang tak kena bila hal syarikat tu
disebut dari bibirnya? Ke aku yang terlebih sensitif ni? Tidak mahu
memanjangkan isu syarikat aku terus membuka siaran radio untuk menghilangkan
kesepian di dalam kereta ini.
“Jadi kenapa lama sangat awak tak muncul?
Selepas dua bulan baru datang ke rumah.”
“You expect me to come here for you?”
Aku terus diam selepas itu. Lebih baik
agaknya aku diam aje daripada terkena berkali-kali dengan kata-kata Adif yang
sedikit-sebanyak mengguris perasaanku. Wajahnya yang iras keCinaan satu ketika
dulu mengundang minat di hatiku terus mati di hati. Tiba-tiba aje aku rasa nak
balik ke rumah sekarang ni juga.
MELIHAT dia agak berselera memakan makanan yang
ada membuahkan senyuman kecil di bibirku. Agaknya dia belum makan dari tengah
hari tadi kut. Melihat dia menambah lagi daging ke dalam pinggannya membuat
hatiku sedikit terusik. Lapar sangat ke sampai makan tak henti-henti begitu?
“Makanlah, tak kenyang kalau perhatikan
saya aje…” tegur Adif dengan nada mengusik.
Aku mengangguk kecil sambil mengambil ketam
yang sudah siap di rebus ke dalam pinggan.
“Kenapa kita keluar hari ni?” soalku di
dalam berpura-pura sibuk membuka kulit ketam. Adif menoleh ke wajahku sekilas.
“Tak salah, kan?”
Alamak, aku nak balas apa ya? Setiap kali
aku bercakap pengakhirnya pasti aku buntu hendak membalas kata-katanya. Oh
mungkin sebab dia peguam jadi sebab tu juga setiap pertanyaanku dipatahkan
begitu saja.
“Tak pun. Saja tanya,” ujarku
sepatah-sepatah. Air orange yang diletakkan di dalam jag kutuang sedikit ke
dalam gelas. Sebenarnya aku cemas menghadapi lelaki seperti Adif. Dia lari dari
kebiasaan lelaki-lelaki yang pernah kutemui. Agak misteri walaupun nampak biasa
aje. Adakalanya dia seperti menyukaiku tapi adakalanya juga dia seperti dingin
terhadapku. Aku menghela nafas dalam-dalam cuba untuk menenangkan perasaan. Cool
Rian… Cool…
“Saya ajak awak keluar sebab tak ada teman
nak diajak berbual. Lagipun ayah awak kata awak free hari ini…”
Ayah yang kata aku free hari ini…
“Oh!”
“Awak tak suka ke keluar dengan saya?”
“Eh, tak de lah. Suka je. Lagipun saya free
hari ini.”
“Manalah tahu awak tak sudi berkawan dengan
saya. Awakkan anak orang kaya, saya ni anak orang biasa-biasa aje…”
Hal seperti inilah yang aku paling tak suka
diungkit. Rian anak orang kaya, kita orang anak orang biasa-biasa. Sejak dari
sekolah dulu selalu aje benda itu diungkit-ungkit sehingga menyebabkan aku
disingkirkan daripada teman-teman yang lain.
“Saya pun biasa-biasa aje. Yang berharta
ayah saya, saya ni tak ada apa-apa. Hari tu awak ada pergi ke butik saya ke?”
tanyaku pelan apabila merasakan suasana menjadi sepi semula. Adif mengangkat
muka dan merenung ke wajahku dalam-dalam. Matanya tiba-tiba aje menikam tangkai
hatiku. Berdebar!
“Ye. Saya pergi ke butik awak tapi tak
sempat nak tegur awak… Maaf.”
Cepat-cepat aku menggelengkan kepala. “Tak
pe, it’s okay. Hairan aje sebab pembantu saya kata dia nampak awak tapi awak
tak masuk butik untuk tegur saya.”
Adif tersenyum segaris.
“Saya nampak awak rapat dengan pembantu
awak, saya pun segan nak tegur awak masa tu…”
Jadi betullah yang Khairi nampak yang Adif
perhatikan kami lama di luar kedai Butik Puteri…
“Tak de lah rapat. Dia dah ada wife
nanti wife dia serang saya pula kalau terlebih rapat,” aku bercakap
sambil tertawa. Kononnya bergurau tapi dia tunjuk muka serius padaku.
“Maknanya awak tak ada apa-apa hubungan
dengan that guy la?” soal Adif bernada serius. Aku terpinga-pinga buat seketika
sebelum menggelengkan kepala.
“Dia pekerja saya aje, tak lebih tak
kurang.” Jawapanku kali ini mengundang senyuman lebar dari bibirnya.
“Jadi hujung minggu depan kita boleh
berjumpa lagi, kan?”
Aku pandang dia dengan muka tak faham. Dia
fikir aku dan Khairi ada hubungan ke apa sebenarnya? Kalau betullah dia fikir
aku ada hubungan dengan Khairi, alangkah lucunya!
“Awak nak ajak saya keluar ke mana?”
“Mana-mana yang awak selesa. Tengok wayang
ke… Dinner ke…”
Aku lemparkan renungan ke wajah maskulin
milik Adif. Ikhlaskah dia mempelawa diriku? Adakah ini titik permulaan antara
aku dan dia? Bolehkah aku mula meletakkan harapan padanya? Persoalan-persoalan
itu akhirnya termati dibenakku. Biarlah esok-lusa persoalan itu terjawab tapi
bukan hari ini.
Bagiku sebuah hubungan adalah lebih baik
untuk diketahui ketepatannya dari awal lagi. Tapi mengingati kata-kata Nur
tempoh hari membuatkan diriku sedar kaum Adam ini berlainan sifatnya.
‘Lelaki tak suka kalau baru aje bertemu
tiba-tiba perempuan sudah meminta-minta satu kepastian terutamanya tentang
perhubungan kecuali dia memang dah suka kau lama. Take it easy. Just go with
the flow.’
Aku melemparkan renungan ke wajah Adif
sekilas.
“Kenapa?” soal Adif apabila dia perasan
yang aku tengah memerhati tingkahnya Senyuman segaris aku lakar di bibir.
“Tengok wayang pun okey.” Chopstick di
tanganku letakkan di atas meja. Cukuplah untuk hari ini. Kalau aku makan banyak
lagi mesti lepas ni aku tertidur tak sedar diri.
“Hujung minggu ni saya telefon awak. Awak
ada nombor telefon saya?”
Aku berkira-kira hendak menjawab tak ada
tapi melihat Adif sudah pun mengeluarkan telefon bimbitnya membuat diriku
sedikit teruja.
Dia menekan skrin telefonnya satu persatu
tanpa menghiraukan diriku. Aku ingatkan dia nak beri nombor telefon untukku
atau hendak mengambil nombor telefonku rupa-rupanya dia tidak berniat untuk
berbuat begitu. Bermesej dengan seseorang mungkin?
“Awak tak angkat telefon?” tiba-tiba Adif
menyoal.
“Ha?”
“You did’nt answer my phone. Awak save
la nombor saya tu, saya baru call awak tadi.” Dia cakap sebelum
memasukkan telefon bimbitnya ke poket seluar. Aku terus mencapai beg tangan dan
mengeluarkan telefon bimbit. Patutlah… Aku set ‘meeting’ langsung tak berbunyi
atau bergegar.
Cepat-cepat aku simpan nombor telefon Adif
di dalam kotak memori.
“Siapa nama awak tadi?” soalku spontan.
Sebenarnya bukan aku tak tahu tapi entah kenapa mulut ni gatal bertanya. Adif
menjungkit kening apabila aku tanya dia begitu.
“Ahmad Adif…” dia jawab satu persatu
seakan-akan cuba meminta ingatan memoriku memahatkan namanya di situ.
Dalam diam aku berdebar mendengar dia
menyebut namanya itu. Walaupun beria-ia aku tepis perasaanku akhirnya aku sedar
yang aku perlu membuka pintu hatiku buat kali ini.
“Macam mana tahu nombor saya?” soalku
lambat-lambat.
“Saya minta dari ayah awak tadi. Tak salah,
kan?”
“Tak…”
Dia tersenyum kecil, melemparkan renungan
tajam matanya padaku. “Saya suka wanita yang berani. Awak tak takut untuk
mengambil risiko di hadapan.”
“Ha?” Lagi sekali perkataan ‘ha’ keluar
dari bibirku.
“You don’t know what will happen in the
future. Yet you still accepting me to be your friend..”
Apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Adif?
Begitu rumitkah perkenalan pertama kami? Aku jadi tidak faham dengan apa yang
bakal terjadi seperti yang dikatakan oleh Ahmad Adif. Melihat dia masih
berselera memakan hidangan yang ada membuat diriku semakin terpinga-pinga.
Just go with the flow, Rian… Just
go with the flow…. Jangan sampai dia rasa terpaksa. Aku berbisik pada diri
sendiri, memujuk supaya lebih bersabar menghadapi lelaki seperti Adif ini.
“JADI kau dah simpan nombor telefon dia?” soal
Rina bersemangat sebelum merampas telefon bimbit yang ada di tanganku. Tak
sempat pun aku nak halang perbuatan dia, Rina sudah tercari-cari nama-nama
kenalanku.
“Ahmad Adif…” Rina menyebutkan nama itu
sambil matanya meliar jatuh pada nama-nama kenalanku yang terpapar di skrin
telefon bimbit. Dia tunjukkan kepada kami bertuga nama Ahmad Adif yang terpapar
di skrin telefon bimbitku sebelum menyerahkan semula telefon itu padaku. Hujung
minggu seperti ini selalunya kita orang akan melepak di rumah Rina atau Mun
tapi entah kenapa tiba-tiba aje Mun minta kita orang bertemu di restoran.
“Menurut akulah Rian, dia berminat pada
kau. Dan kau pula 100% positif ada hati pada dia!”
Tersedak aku jadinya. Wajah Mun aku pandang
dengan wajah tak percaya. Biar betul dia orang ni tak pasal-pasal aku yang jadi
mangsa perli!
“Tak la 100%. Kau ingat aku desperate
sangat ke?” soalku dengan suara meninggi. Bukannya marah pun tapi entah kenapa
tiba-tiba aje aku rasa tak puas hati.
“Chill Rian… Chill. Tak baik
marah-marah nanti cepat tua. Kau terima aje pendapat Mun tu sebab aku rasa pun
memang kau dah tertarik habis pada Mr. Adif encik peguam kita tu!” Tawa Mun dan
Rina pecah menjadi satu. Hanya Nur aje yang buat-buat tak tahu masih lagi
menjamu selera sambil memerhatikan tingkah kami bertiga.
“Kira menjadilah blind date mak cik
Rian kita ni!” Mun teruja mengenyit mata padaku.
“Belum apa-apalah. Kau orang ni over
gila. Entah-entah dia tak suka aku pun!” aku balas dengan jawapan selamat. Rina
dah bantai gelak siap tepuk-tepuk bahuku tak sedar beberapa orang dah
jeling-jeling kita orang. Ye la sini bukannya rumah pun dia boleh nak bantai
gelak suka hati dia. Sini restoran umum jadi kalau dia gelak sikit pun orang
kat meja sebelah dah terganggu konsentrasi.
“Jadi betullah kau suka dia dan yang
masalahnya kat sini kau tak pasti dia sukakan kau ke tidak?” soalan perangkat
dari Rina lagi. Aku hela nafas dalam-dalam walaupun dalam hati berbara juga
mendengar usikan demi usikan Rina yang tidak sudah-sudah dari tadi.
“Ingat je apa yang aku cakapkan, Rian… Kau cool
aje jangan mudah tertangkap yang kau berminat dengan dia. Senang aje nak deal
dengan lelaki sebenarnya,” Nur menyampuk. Aku tercengang sekejap mendengar
kata-kata Nur.
“Cayalah kau Nur, tak ada boyfriend
tapi bab-bab macam ni kaulah yang jadi sifu kita orang.” Rina cakap macam tu
sebab dulu dia selalu menuntut ilmu daripada Nur.
Nur kalau dilihat secara halus disebalik
air muka dia yang tenang, sifat dia tu agak sedikit keras. Pembawaan dirinya juga
tampak yakin dan mungkin sebab tu juga banyak lelaki tertarik padanya.
Berbanding antara kami bertiga, Nur lebih berfikiran terbuka dan matang malah tidak
keterlaluan sekiranya dianggap sebagai wanita yang berkerjaya hari ini. Sedikit
pun tidak bergantung kepada sesiapa. Kalau aku lelaki, mesti aku tertarik pada
Nur juga.
“Just be yourself. Follow the flow.
Jangan jadi orang lain bila kau nak dia jatuh hati pada siapa diri kau sebenar.
Bila kita berpura-pura baik dan innocent, tak mustahil satu hari nanti
bila kau tunjuk perangai sebenar kau dia akan lari…”
“Weh Nur, setahu aku memang Rian ni jenis
yang baik dan innocent. Mana pernah dia berpura-pura jadi baik pun…” Rina
menegur. Nur tersengih kecil sambil memandang wajahku tanda dia menyedari
kesilapannya kali ini.
“Aku bagi perumpamaan ajelah. Tu pun korang
dah serius…” Nur gelak. Akhirnya kami pun tergelak sama.
Bukan senang nak ada teman-teman rapat
seperti mereka. Untuk berkongsi duka dan suka bukan mudah… Kawan itu tinggi
nilainya apabila kita berada dalam situasi-situasi tertentu kerana hanya mereka
yang mampu menyelami apa yang tersirat di dalam hati. Melihat wajah seorang
demi seorang mereka membuat aku rasa lebih dihargai.
“Tak lama lagi Rian dah ada pakwe, kita
tunggu Nur punya giliran pula…”
Cepat-cepat aku cuit tangan Mun bila dia
cakap macam tu. “Eii, belum confirm lagi jangan nak buat gosip pula..”
ujarku separuh bimbang.