CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, March 12, 2018

Venus Berbicara Ep 1 (PART 1)

BAB 1
DIAKAH?
Lelaki berkemeja jingga dengan tali leher berbunga kecil bercermin mata yang sedang tekun menulis sesuatu di atas kertas. Nampak nerd dan tenang.
Atau diakah?
Lelaki itu berkulit sawo matang. Usianya mungkin sudah menginjak separuh abad. Mustahil. Kay hampir menggeleng kepala.
Dia?
Di sebelah lelaki sebaya abahnya itu, orangnya agak muda berkulit cerah. Wajahnya agak sedap mata memandang. Hidung mancung, bibir berwarna ceri dan rambutnya lebat. Kening sudah tentu tebal. Mata sepetnya itu tak lepas merenung diri Kay tapi langsung tidak menggoyahkan keyakinan Kay. Sempat Kay mengagak usianya dalam lingkungan 20 hingga 30 an. Atau lelaki itu nampak lebih muda dari usia? Kay tak pasti. Tapi  tentu dia orang penting sehingga mampu menduduki kerusi itu sekarang.
Mata Kay mengawasi setiap tindak tanduk tiga lelaki di depannya. Hati Kay berkobar-kobar.
“Tiga kali Cik Kay Dhamina apply di sini dan menghadapi temu duga tapi tak putus asa.” Encik Shah memberi komen. Komen diawang-awangan entah lelaki itu sedang menyindir atau mengetawakan dirinya. Encik Shah itu adalah lelaki berkaca mata. Kulitnya sawo matang tetapi boleh dikategorikan sebagai sedap mata memandang.
Yang separuh abad itu, namanya Tuan Haji Rafael.
Seorang lagi, lelaki paling kacak dan Kay rasa dia orangnya… namanya Encik Ian. Ian Ghadafi tertera di atas meja.
“Dengan kelulusan you, you boleh cari kerja yang lebih baik. Ramai kompeni berlumba-lumba cari orang yang berpengalaman lagi-lagi you pernah kerja di luar negara.” Encik Ian memegang dagu merenung dalam-dalam wajah gadis di hadapannya.
“Saya tak boleh beri alasan yang kukuh, cuma saya berminat kerja dalam bidang ni,” jawab Kay yakin.
“Tapi you tak rasa skop bidang tugas terlalu berbeza? Arkitek macam you, kerja untuk interior designer?” Encik Ian menambah lagi.
Kay hela nafas dalam. Sungguh dia tak goyah. Cuma nampak gaya untuk meraih kepercayaan dari Ian Ghadafi adalah yang paling sukar antara ketiga-tiga penemu duga.
“Saya bukan minta perjawatan sebagai ketua interior designer. I apply assistant for interior designer.  Lulusan yang diperlukan pun setakat SPM sahaja kalau tak silap."
Ian Ghadafi mengangkat kening tanda sedikit terkejut dengan pernyataan berani dari bibir gadis di depannya itu. Langsung tidak kelihatan gementar.
Kay Dhamina. Getus Ian Ghadafi di dalam hati. Kreatif juga mak bapa dia bagi nama. Melalui nama ini dia boleh rasa aura Kay yang agak kuat, seiring dengan air muka yang dipaparkan oleh wanita itu. Mata Ian beralih ke arah status. Bujang lagi. Atau punya tunangan? Ian merenung ke arah jari-jari kosong Kay Dhamina.
“Hmmm, kelulusan minima memanglah SPM. Tapi kalau ada yang berkelulusan dalam bidang, itu lebih baik lagi. Ada basic. Di luar bilik ni banyak yang memohon kerja dan mereka ada basic dalam bidang. You boleh cari syarikat lebih besar kalau you nak kerja sebagai arkitek. I ada beberapa kenalan kalau you nak.”
“Ian..” Tuan Rafael mula bersuara.
Ian tersengih panjang, segan bila ditegur oleh Tuan Rafael di depan candidate.
“Sayang bakat dia, papa.”
“Tak payah masuk campur hal dia,” tegur Tuan Rafael pelan.
Kay nampak ciri-ciri pemimpin yang begitu tinggi dalam diri Tuan Rafael. Ya, tak mungkin lelaki itu yang mencari nahas dengan keluarganya. Tapi bagaimana kalau betul-betul dialah dalang sebenar?
Kay menelan air liur kasar.
Fokus Kay. Fokus!
Dia tidak boleh dikuasai emosi kerana masalahnya belum berakhir sehingga dia diiktiraf oleh ketiga-tiga lelaki itu untuk berkhidmat di syarikat kecil ini. Syarikat yang berada di rumah kedai tiga tingkat. Memang cantik dalamannya, elegan dan berkonsepkan barat. Tetapi tidak memadamkan status syarikat ini sebagai syarikat kecil dan mungkin masih tercorot dalam kalangan pesaingnya.