CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, June 16, 2017

JODOH on Raya *PART 2*




“Mun, ada orang nak jumpa!”
“Siapa?” Aku dongakkan kepala dengan gigihnya. Maklumlah tak pernah lagi dalam beberapa tahun ni ada orang nak jumpa aku kat tempat kerja. Selalu kalau nak ajak lepak pun mesej dulu.

Siapa ek? Normah ke? Atau Sarah? Geng-geng tak makan saman sejak zaman kanak-kanak riang lagi... Tapi buat apa dia orang turun ke hospital semata-mata nak jumpa aku. Rumah kami bukannya jauh sangat. 10 minit boleh sampai kut.

“Entah, kawan kau katanya," sebut Wahida ikhlas tak ikhlas aje.
“Kat mana?”
“Kat kafetaria.”

“Lelaki ke perempuan.”
“Eh, banyak pula tanya. Pergilah jumpa sendiri.” Wahida tunjuk muka tak puas hati. Aku tanya baik-baik kut yang dia macam orang baru kena gempa bumi apahal? Dengkilah tu ada orang nak jumpa aku.

Hari tu ada je orang kasi dia bunga, satu hospital kecoh. Bangga sebulan-bulan. Tak lama lepas tu aku dengar pakwe tu dah kahwin dengan orang lain. Perghh.. tu tak pula dia kecohkan.

“Lelaki lah tu.” Aku menggumam kecil. Wahida dah jeling tajam waktu aku bangun dari kerusi dengan senyuman lebar.

Walhal dalam kepala ni langsung tak boleh nak fikir siapalah lelaki bertuah yang nak jumpa aku?

Paling-paling yang rapat pun, Haikal ke? Yalah hari tu dia sepupu aku tu berhutang dekat RM 500. Dekat empat bulan juga dia tak bayar. Hesy…

Kalau betul Haikal, baiklah aku sedia jarum dalam poket untuk suntik hormon kesedaran kat dia. Ingat dah berubah baik tapi masih lagi tetap jadi pondan. Tak faham sungguh la aku. Elok ALLAH kurniakan dia badan yang sasa, hidung yang mancung, muka yang sado, tiba-tiba pakai rambut panjang dan duduk terkepit sana-sini.

Lepas turun dari tangga, mengharungi beberapa orang rakan sekerja yang sangat ramah menegur dan menahan aku untuk bercerita, akhirnya tiba juga kat kafetaria.

Aku pandang je kiri kanan tapi tak dapat detect sesiapa yang aku kenal kat situ. Wahida saja kenakan aku ke? Mana tahu dia menipu sebab nak balas dendam.

Kan dua hari lepas aku tipu dia kata Doktor Hisyam nak jumpa dan dua hari juga dia tunjuk muka ketat walaupun aku dah seikhlas hati meminta ampun dan maaf sempena bulan Syawal ni.

Tapi aku trick dia tu pun sebab tak tahan tengok perangai dia yang menggedik sana-sini sebar gossip yang dia adalah bakal isteri Doktor Hisyam. Mak aih, tahulah doktor tu doktor baru, doktor praktikal. Tu pun Wahida sibuk nak cup-cup.

Sebagai kaum wanita, aku tumpang malu sebenarnya.. kah kah.

Bila dah bosan tengok semua orang tapi seorang pun tak muncul-muncul, aku terus ke kaunter kafetaria.

“Kak, milo ais satu. Tapau.” Aku cakap sambil belek-belek keropok kat atas meja kaunter ni.

Alah, tak payahlah nak marah sangat dengan Wahida. Dia main-main pun sekurang-kurangnya dia hantar aku ke kafetaria. Tengah lagi perut lapar ni….

“Assalamualaikum!!"

Terkejut cekadak bila suara tu betul-betul kat tepi telinga. Oleh sebab tindakan refleks yang sangat kuat, tangan ni dah naik atas dan menampar orang tu dengan kuatnya.

“Adeh!” Dia menyeringai kuat.

Aku terkedu beberapa saat sambil pandang mamat tu dari atas ke bawah lepas tu ke atas balik. Weh, setara dengan ketidakberabannya, begitulah juga dengan muka dia yang selekeh dan bau badan macam 7 hari tak mandi.

“Siapa?” tanyaku laju-laju menjauhkan diri.

“Akulah. Kuat pula kau tampar dagu. Tak ada tempat lain ke nak tampar?” Suara lelaki itu buat aku teringatkan cekadak yang pernah aku jumpa dalam minggu lepas.

Ha’ah.
Cekadak bernama Syafiqi.

Aku jegilkan mata luas-luas macam hairan, macam pelik, macam tak percaya. Kenapa dia dekat sini dan apa hajat dia datang jumpa aku kat sini?

Baiklah buat-buat tak kenal aje kat mamat ni sebab Kak Nor, cashier kafetaria tu dah mula tunjuk minat dengan cekadak yang tengah tersengih-sengih kat depan aku ni.

Tuesday, June 13, 2017

Cerpen: JODOH



TELEFON bimbit ku masukkan ke dalam beg galas. Malas benar aku nak turun petang ni ikut ibu ke tempat kawan dia. Kata ada orang nak berkenalan dengan anak perempuan dia yang umur 29 tahun ni. Mata tak boleh pejam dari semalam. Ni kira lamaran kea pa? Tapi Mun, sila jangan perasan awal. Kut-kutlah memang ikhlas berkenalan setakat anak kepada ibu, kecewa juga tak berlagu. Iyalah, dah 29 tahun juga aku tunggu jodoh tak kunjung tiba. Nak mengharap dah malas sangat.
“Nanti jaga perangai tu kat rumah orang, jangan duk gangster macam selalu.”
Aku sengih kecil. Aduh ibu, anakmu ni dah sedia ganas. Takkan nak tiba-tiba jadi pemalu dan sopan santun, Nampak benarlah kehipokritannya di situ.
“Kenapa dia orang yang tak pergi sini, bu? Kenapa kita yang pergi sana?” Aku tanya seraya mengenakan sneaker di kaki.
“Ibu dah kata pakailah sandal elok sikit. Aduhai, kerja bukan main lagi jururawat.” Ibu membebel buat kali yang 11 ribunya. Aku tak nampak pun cacat cela kasut ni tapi sebab ibu dah Tarik muka masam, nak tak nak masuk juga sandal dua inci kat kaki. Ibu tolonglah terima anakmu ini seadanya. Takkan aku nak jadi Kak Rinah yang melawa 24 jam sampai tidur pun pakai make up juga?






“NI lah, Munisyairah, anak kami, Naila.”
“Oh, cantik orangnya.”
Okey nak tercekik dah. Aku macamlah buta tak Nampak Mak Cik Naila pandang aku seperti tak pernah tengok orang.
Aku tunduk-tunduk kecil aje sebab tak tahu nak buat apa dah. Nak salam dia tadi sudah, nak sengih pun sudah.
“Kecil dulu gemuk budaknya. Sekarang dah kurus melidi.” Komen Mak Cik Naila sambal terkebil-kebil tengok aku. Sempat lagi aku berfikir, kecil dulu aku pernah jumpa dengan mak cik ni ke?
Ibu dah menyiku suruh aku berucap sepatah dua.
“Hii… Dulu tu kuat makan mak cik.” Entah apa merepek keluar dari mulut.
“Tu ha, si Syafiqi baru balik. Kawan  Mun masa kecil-kecil dulu. Ingat  tak?” tanya Mak Cik Naila sebaik mendengar bunyi kereta memasuki perkarangan rumahnya.
Aku jujur aje geleng kepala tak ingat.
“Bergaduh aje dengan Mun masa kecil dulu. Balik ni pun mak cik paksa dia, katanya sibuk kerja. Apalah salahnya balik rumah raya-raya ni.” Mak Cik Naila geleng-geleng kepala dan matanya beralih ke arah ibu pula. “Dua hari aje dia balik rumah ni, kak masa hari raya pertama kedua. Lepas tu elok dia balik ke Putrajaya, beraya dengan kawan-kawan katanya. Pening saya!” Sambung Mak Cik Naila kepada ibu.
Aku terus pandang ke arah pintu rumah sebaik saja terdengar suara lelaki mengucap salam. Seorang lelaki boleh tahan kacak berkulit putih dan bermata bundar masuk ke rumah dengan senyuman. Wow!
Aku dah buka mata luas-luas. Inikah dia Syafiqi? Untunglah aku setuju ikut ibu menjejak kaki ke sini hari ni!
Tiba-tiba seorang lagi lelaki masuk ke rumah. Muka dia macam penagih dadah pun ada. Aku malas nak pandang lama sebab takut mata ni tercemar dengan muka sampah masyarakat.
“Tetamu ke?” tanya mamat berkulit putih melepak dengan senyuman menawan. Mak aihhhh berdebar pula jantungku ni. Oh tolonglah Tuhan, jadikan dia jodohku di bulan Syawal yang penuh berkat ni…
Mata dah jeling-jeling. Tapi tak cun sebab terjeling kat mamat yang tak berapa senonoh tepi dia tu. Mata tajam pula pandang aku dari atas ke bawah, alamak seram!
“Ha’ah. Ni la mak cik yang umi cerita hari tu. Mak Cik Sofiya dan anak dia, Munisyairah. Amin dan Syafiq berdua aje datang?”
Dua-dua pun angguk kepala.
“Ni anak saya, Syafiqi. Yang ni kawan Syafiq, Amin. Amin ni selalu ke rumah juga bila cuti pendek sebab rumah dia di Sabah. Orang Sabah.”
Aku pandang jari telunjuk Mak Cik Naila dengan mata terbeliak. Terbeliak sikitlah, mana boleh nak terbeliak banyak kat depan ibu. Nanti kena sepak oleh ibu pula.
Aku macam nak ajak ibu balik aje bila tahu si Syafiqi tu adalah mamat yang pakai seluar jeans koyak rabak dengan baju t-shirt longgar gila dan rambut kalah penyapu lidi. Oh, tolonglah!
“Munisyairah?”
Aku muncung bila Syafiqi sebut nama aku dengan bibir dia tu. Husy, minta jauh-jauhkan dia jodoh aku. Tak bolehlah nak match orang gangster macam aku berganding dengan orang rock macam dia. Paling cun, gangster macam aku, ganding dengan si handsome guy sebelah Syafiqi tu. Apa nama dia? Amin?
“Wah, dah putih pula sekarang  ni! Kau makan apa? Qu Puteh? Aura white?”
Aku hampir tersembur air liur.
“Dulu kau gemuk pendek aje. Macam mana kau boleh kurus gini?” Dia gelak bagai nak jatuh langit kat atas.
Aku pandang ibu dan Mak Cik Naila silih berganti. Kenapa dengan budak Syafiqi ni, dia gila ke? Gitulah agak-agak bicara hati aku yang paling dalam. Tak faham bila lelaki itu sibuk nak mengumpat masa silam aku. Mujur kat dalam rumah, kalau kat luar rumah dah awal budak ni kena pelempang dara Munisyairah!
“Eh, paling best dah bertudung. Dulu rambut macam sabut kelapa!”
Ya ALLAH ya Rabbi sabarkan hati aku di hari yang mulia ni.. Baru tujuh hari raya, Mun. Mohon mengelak dari berbuat dosa semasa hari orang tengah bermaaf-maafan ni…
“Syafiqi, janganlah buat perangai macam tu,” tegur Mak Cik Naila serba salah. Nak biru dah muka orang tua tu.
Ibu pun Nampak tak senang duduk.
“Ni ke yang mak cik kata hari tu? Calon bakal isteri Syafiq?” tanya Amin memandangku.
Telan air liur pahit dah aku.
“Tapi nampaknya encik ni tak suka saya pula.” Aku bedal terus-terang. Malas nak berselindung.
“Eh, siapa cakap tak suka? Sukaaaa sangat.”

Kaki dah hampir nak tegak berdiri bila Syafiqi cakap dengan nada yang kuat. Aku pandang ibu dengan muka yang sedih sangat.