CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, September 7, 2016

HEARTBEAT BAB 3




BAB 3

You dah jauh dari I rupanya, I fikir hati kita masih sama...



"NAAZNEEN.." sapaku perlahan. Pertemuan tadi di depan kubur arwah ayah, aku perasan Naaz cuba mengelak dari berbicara dan berbual denganku.
Sekarang ini juga sama, Naaz masih memandangku tanpa riak sehingga aku tidak mampu menebak apa yang terbetik di dalam fikirannya. Ada garis-garis kematangan pada seraut wajah tenang Naaz. Kecomelan Naaz dulu juga telah berganti dengan kecantikan yang tidak dapat disangkal.
Aduhai, Naazneen sudah sedewasa ini rupanya. Banyak masa aku bazirkan terlepas untuk melihat dia membesar. Sewaktu aku pergi dia baru saja berumur 16 tahun. Baru tingkatan 4. Ketika itu papa baru meninggalkan kami di dalam nahas kebakaran dan mama pula disahkan sebagai pesakit mental gara-gara gegaran otak ketika nahas tersebut. Separuh wajah mama parah melecur dan syukurlah aku serta Naazneen selamat.
Ketika itu aku tidak dapat menerima hakikat kehancuran keluarga kami dan nekad untuk mengejar kebahagiaan diri sendiri. Aku sedar tindakanku itu amat mementingkan diri tetapi setelah aku berada di sana, aku tidak mampu lagi kembali ke Malaysia. Seakan-akan sumpahan yang merasuk kepala walaupun berminggu-minggu aku bertemankan air mata ketika berada jauh dari Malaysia.
"Ingat kakak?" Aku memberanikan diri menyapa dia. Naazneen merenung wajahku lama. Benar dia marah. Mana mungkin dia tidak marah setelah dirinya dibiarkan terkontang-kanting tanpa arah tujuan.
"Maafkan kakak, Naaz."
"Kakak tahu apa kakak dah buat pada saya?"
Dadaku terasa dihenyak kuat. Jiwaku berdarah parah. Ya ALLAH ya Tuhan, andainya bisa masa itu diundur semula aku tidak akan bertindak bodoh begini...
"Maafkan kakak, Naaz. Kakak tak matang, kakak terlalu ikutkan perasaan."
"Masa tu mama tak gila pun, mama hanya mengalami gangguan emosi yang teruk sehingga dia tak boleh kawal perasaan dia. Kalau kakak fight balik mesti kita takkan berpecah!"
Aku terpempan lama. Melihat kekesalan Naazneen membuat hatiku berlibang-libu.
"Mereka nak hantar saya ke rumah anak yatim.." Ucap Naaz mengetap bibirnya. Mata adikku itu mula merah digenangi air mata.
Aku tahu siapa yang Naaz maksudkan. 'Mereka' memang tiada hati dan perut. Yang lebih menyakitkan apabila mereka menjadikan Nadzhim yang masih lagi bergelar kekasih hatiku sebagai menantunya.
Air mata turun jatuh ke pipi satu persatu. Tubuh Naazneen ku bawa ke dalam pelukan. Belakang tubuhnya ku usap penuh kasih dan kedengaran esakan kecil menandakan perasaan Naaz masih berterabur sepertiku. Mungkin selama ini dia menyembunyikan kepahitan hidupnya seorang diri.
"Saya hampir hilang diri saya.." Ucap adikku itu dengan getaran yang ditahan-tahan. Getaran yang membuat seluruh jiwaku terbang hilang.
15 minit begitu sebelum Naazneen menolak lembut bahuku. Tanpa kata dia kemudian berlalu naik ke tingkat atas rumah tiga tingkat milik keluarga Ryana. Aku termangu keseorangan sebelum Ryana menegur untuk aku bersiap sedia kerana sebentar lagi kami didatangi tetamu untuk datang berhari raya. Aku masuk ke bilik untuk bersiap.
Mama sudahpun masuk tidur sejak pukul 8.30 malam tadi setelah penat berteman air mata ketika berhadapan denganku tadi. Kuceritakan kepadanya kehidupanku di negara orang bersendirian mencari hala tuju hidup sambil menyambung pengajian, mama kulihat sangat bersedih kerana membiarkan anak-anaknya tiada tempat bergantung bertahun yang lalu.
Mama menceritakan kepadaku kehidupan Naazneen sebelum ini. Malah ketika Naazneen hanya membisukan diri, mama tetap bercerita bahawa Naazneen pernah menjadi pramugari MAS, malah pernah merampas tunangan orang sebelum dia sedar kesilapannya serta insaf.
Mama kata suaminya sekarang inilah lelaki yang telah Naaz rampas suatu ketika dahulu. Mujur kehidupan itu menjadi lebih indah setelah Naazneen melalui pelbagai kepahitan hidup. Mama kata Naaz pernah dibuang suami dan keluarga mentuanya apabila mereka mendapati perangai buruk Naaz walaupun ketika itu Naaz sudah berubah 100%. Walau siapapun suami Naaz sekarang ini, aku sangat berterima kasih kepadanya kerana memberi peluang kepada adikku untuk hidup bahagia di samping dirinya.
Aku bersyukur sangat Naaz menemui cahaya hidup sebelum benar-benar tersesat. Andainya dia betul-betul menjadi insan yang hilang pedoman pasti hati mama semakin terluka. Dan aku juga tidak akan sudah menyalahkan diri kerana mengabaikannya.
"Dah pakai tudung tu?" soal Ryana sebaik sahaja dia membuka pintu bilikku. Aku yang ketika itu sedang menyarungkan sarung kaki membuang pandangan ke arahnya.
"Jomlah keluar kalau dah siap. Ramai tetamu yang datang."
"Iya, sekejap lagi. Kau pergilah dulu."
"Jangan tak keluar pula. Semua orang nak tengok kau sekarang ni." Ucap Ryana bersahaja. Aku termangu kecil tidak mengerti. Ada lagikah orang yang mahu melihat diriku ini?
Keluar sahaja aku dari bilik mataku disajikan dengan kehadiran beberapa orang yang aku tidak kenal. Suara riuh anak-anak kecil meniti di telingaku.
"Naasha..."
Teguran suara itu membuat diriku tersentak buat beberapa saat. Mata menala ke arah ruang pintu masuk ke dapur sebelum aku mengeluh kuat.
"Ingat I?"
Ingat dia?
Aku termangu kecil. Mustahil pula aku melupakan lelaki yang pernah mencipta sejarah dalam lipatan hidupku. Dia Muhammad Nadzhim, kekasihku berbelas tahun yang lepas. Atau lebih tepat, dia bekas kekasihku. Umurnya tiga tahun lebih tua dariku dan dia sudah pun beristeri. Mendengar perkhabaran dia sudah beristeri membuatkan aku bertekad untuk memusnahkan dirinya dari hatiku. Prinsipku mudah saja, kalau orang yang kita sayang berpaling tadah, tak perlulah kita menanti-nanti. Aku paling benci penantian dan aku lebih rela menjauh daripada hidup dalam buangan.
Tapi hari ini kenapa tiba-tiba muncul semula? Tidak takutkah dia jika isterinya nanti tahu? Atau isterinya memang belum mengetahui kewujudan diriku di dalam hidup suaminya dahulu.
"I tak sangka you akan pulang ke Malaysia."
Kenapa dia ada di sini? Untuk melihatku kah? Bagaimana dia tahu aku ada di sini? Persoalan itu bermain di kepalaku dengan seribu satu perasaan lain bercampur aduk menenggelamkan jiwaku ketika ini.
“You dah nampak lain, you nampak matang. I rasa jauh.” Ulasnya dengan senyuman kecil, terpaksa.
Aku tidak bersuara, masih mematungkan diri seperti tadi. Dan dia berjalan mendekati aku seolah-olah di ruang tamu ini hanya aku dan dia sahaja wujud di situ tanpa menyedari berpasang-pasang mata sedang memerhati ke arah kami.
"I fikir you akan duduk di sana tak pulang lagi."
Aku membuang pandang ke arah lain. Enggang berbalas kata dengan lelaki itu yang jelas-jelas telah menjadi suami orang. Aku tidak mahu dituduh pengacau rumah tangga orang.
"You dah banyak berubah, you dah sombong." Ucap lelaki itu separuh berbisik. Aku segera menjauhkan diri apabila dia benar-benar berada di sisiku. Andainya selangkah sahaja lagi dia melangkah pasti antara kami tiada jarak pemisah.
"Amboi Nadzhim, tak menyempat pula kau ganggu ex kau?"
Ex? Senangnya kawan Nadzhim melemparkan perkataan itu!
Aku tidak mengenali lelaki itu tetapi serasa mahu aku layangkan penampar ke mukanya. Lebih-lebih lagi ketika melihat senyuman meleret di bibir Muhammad Nadzhim. Satu ketika dulu aku pernah merasakan senyuman lelaki itu adalah senyuman paling manis dan menawan tetapi ketika ini aku benar-benar geli melihat senyuman yang terukir di bibirnya. Kumis nipis yang dijaga rapi bersama janggutnya itu menambahkan lagi kematangan pada wajahnya setara dengan usia sedangkan dahulu dia tidak pernah menyimpan janggut dan kumis kerana tahu aku tidak menyukai lelaki yang berkumis. Entah-entah isterinya sekarang suka dengan lelaki berjanggut. Aku jadi muak.
"Naasha, tolong aku angkat air ni." Aku lega sebaik sahaja Ryana memanggil. Segera kuhala langkah menuju ke ruang pintu dapur namun Nadzhim lebih pantas menghalang.
"Ryana, you buat sendiri boleh? I nak berbual dengan Naasha.."
Ryana terpinga-pinga buat sesaat. Wajahku pula sudah mula kemerahan menahan bengang yang kian menguasai diri. Tidak bolehkah dia berfikiran waras di hadapan semua orang? Isterinya itu adalah sepupuku sendiri, apakah dia tidak berfikir panjang sebelum mengganggu kehidupanku lagi?
"Jangan lebih-lebih pula, Zhim. Naasha tu penat I pujuk balik ke Malaysia, jangan sampai dia lari balik sudah."
Muhammad Nadzhim melirik ke wajahku dengan senyuman lebar. Aku sungguh-sungguh tidak selesa dengan senyumannya itu. Andainya boleh aku lari sudah tentu aku lari sejauh yang mungkin tetapi kakiku terasa lemah walaupun hanya untuk melangkah pergi.
"Naasha, kita berbual di luar boleh?" soal Nadzhim meminta keizinan. Aku tertunduk buat beberapa saat sebelum mengatur langkah ke luar rumah. Bukan aku saja-saja menggatal mahu berbual dengannya tetapi ada baiknya aku beri dia peringatan awal-awal lagi agar tiada hati yang sengsara. Aku biarkan sahaja mata-mata memerhati langkah kami berdua dengan senyuman penuh makna.
Sebaik sahaja aku berada di beranda, aku menoleh menghadapnya yang semakin menghampiriku.
"I dapat tahu you balik sebab tu I bergegas untuk menemui you."
Perlukah aku ketawa saat ini? Aku merenung wajahnya dengan pandangan keliru.
"Mana isteri you?" Perliku berpura-pura tidak memandang wajahnya.
"Isteri?" Dia mengulangi semula kata-kataku. Aku tersenyum sinis. Buat-buat tak faham atau memang tak faham? Peliknya lelaki... Selepas berkahwin automatik berlagak bujang agaknya.
"I tahu you dah kahwin. Dah 11 tahun pun kan? Anak pun berderet agaknya. I teringin jumpa anak-anak you." Ucapku lebih sinis.
"I fikir you teruja untuk bertemu dengan I juga, bukan anak-anak I." Ulas Nadzhim bersahaja. Bencinya aku pada dia saat ini. Nada dia bercakap seolah-olah kata-kataku itu bahan lawak di matanya.
"Untuk apa teruja?" Bukannya you kekasih I seperti dulu pun. Aku melatah di dalam hati.
Muhammad Nadzhim tersenyum lagi. "You masih macam dulu lagi. Wajah you, mata you, semua tentang you masih sama.." Ucapnya tanpa mengendahkan renungan amaranku ini.
"I tak faham, kenapa you cakap macam tu?"
"You ada teman lelaki?"
Aku tergelak kecil apabila dia tidak menjawab pertanyaanku.
“You dah kahwin? Ada anak?”
Aku tidak menjawab. Tawaku mati seperti matinya jiwaku saat ini.
Dia mengangguk kepala beberapa kali.
You did’nt have boyfriend, even husband.” Jawabnya sendiri. Aku mendengus kecil.
“You nak terus senyap macam ni aje, Naasha?”
“Ada apa lagi yang tertinggal untuk kita berdua? I fikir semuanya dah tamat.”
“You bercakap seperti menyalahkan I...” Dia keluh kecil.
Aku bersedia untuk pergi dari situ. “I tak menyalahkan sesiapa, semuanya silap I sendiri. Sebab tu I tak mengharapkan apa-apa dari you.”
Lelaki itu memandangku dengan renungan misteri.
“Harapan I macam mana?”
“Apa?” Soalku agak kuat.
"I dah kata I teruja... I want to know everything about you."
"I fikir bila I balik ke sini dunia I akan tenang.." Ucapku seraya mengeluh kecil. Wajah Nadzhim berubah sebentar.
"I dah ganggu ketenangan you?" soalnya berterus-terang. Dulu dia bukan begini. Setiap kata-katanya tersembunyi. Ah, manusia bila-bila masa boleh berubah. Lihatlah sekarang, dari seorang yang cukup berahsia menjadi seorang yang berkata tanpa berfikir kesannya.
"Be wise to your wife, man. I benci lelaki yang tak setia."
Mungkin kerana dia terasa dengan kata-kataku dia terus menundukkan kepala merenung lantai marmar beranda.
"I tak mahu you benci pada I, lagipun I mana ada isteri."
Aku ketawa. Tak ada isteri dia kata?
"Kalau tak nak I benci you jangan buat-buat tak faham, lah. You tahu prinsip I dari dulu sampai sekarang. I belum berubah seperti apa yang you katakan. I benci menjadi orang kedua dalam sesebuah perhubungan. Tak terlintas dalam fikiran I untuk menangguk di air yang keruh. You dan I tak ada apa-apa lagi. You silap bila you fikir I bencikan you sebab yang I rasa hanya kosong saja. Lainlah kalau you terus-terusan mengganggu hidup I lagi." Aku mencelah kata-katanya tanpa menunggu sesaat pun luahan hatinya. Aku tidak punya masa untuk itu.
"You bukan orang kedua, sebab you orang pertama." Ucapnya kesal.
Aku tergelak sinis. Sedarkah dia apa yang dia katakan itu?
"I lebih benci pada orang yang tak sedar diri dia siapa."
Kali ini kulihat wajah Nadzhim berubah merah. Mungkin terhina dengan kata-kata yang kulontar kepadanya tadi.
“Naasha...”
“I harap you faham my intention here. Kita dah sama-sama matang dalam tempoh ini. Lupakan aje cinta monyet tu.”
"Naasha, I datang dengan niat yang baik.."
Aku diam.
"Sebab I percaya you masih sayangkan I macam dulu lagi." Sambung Muhammad Nadzhim perlahan.
Perasan! Getus hatiku muak.
"Sayang tu dah mati sebaik sahaja you lafaz akad nikah untuk perempuan lain."
"Tu tak jadi masalah besar untuk kita..."
"I tak suka lelaki yang pernah dimiliki perempuan lain. I lagi sanggup tak kahwin sampai bila-bila. I thought you knew my principle."
Aku mula bergerak masuk ke dalam rumah semula.
"I masih sayangkan you.. Sayang I tak pernah mati walaupun 11 tahun sudah berlalu." Dia buat kenyataan berani. Dan padaku kenyataannya itu hanyalah kenyataan yang bodoh dan sia-sia kerana hatiku tidak tersentuh langsung dengan pengakuannya.
“Langsung tak mengharap apa-apa? You benar-benar Naasha yang I punya dulu atau you dah bunuh Naasha I?” Ucapnya kesal.
Aku menoleh dan menghadiahkan senyuman sinis kepadanya.
“Bunuh?”
Dia nampak resah seketika. “You tak percaya I lagi... You bukan macam dulu.”
“Manusia berubah dalam masa seminit aje. Inikan pula bertahun lamanya.” Jawabku tanpa perasaan.
“Tapi kita sama-sama ada rasa, ada cinta...”
"Sayangnya I dah lupa perasaan I pada you. I dah lupa cinta yang pernah ada di dalam hati I untuk you. You kena terima kenyataan seperti mana I terima kenyataan yang kita tiada jodoh untuk bersama. Think about your wife and her feeling.."
"I akan cuba ingatkan you semula perasaan yang pernah kita ada, tentang isteri I, maksud I tentang..."
"I tak ada masa untuk dengar you bercerita tentang isteri you, Nadzhim! I tak suka you ganggu I lagi! Kalau you dah lupalah you ada wife, I cuma nak ingatkan you dalam kepala I, you tak lebih dari suami orang."
Ah, lelaki. Baru mengaku dia ada isteri setelah berbakul-bakul kata-kata melukakan hati kuberi kepadanya. Bukankah elok jika dia mengaku lebih awal dan sedar kedudukannya ketika ini? Jijik bila terlintas dalam kepala yang dia dan aku menjalinkan hubungan sedangkan isteri di rumah menunggu dengan setia.
"Dia tahu dari dulu yang I cintakan you."
Gila! Satu perkataan itu tercetus di sudut hatiku. Terasa senak perut ini mengenangkan betapa kejamnya Muhammad Nadzhim kepada seorang wanita yang bergelar isteri. Mujur bukan aku menjadi isterinya.
"I wish I could give everything... anything that you want, Naasha! Harapan I bila you muncul di depan mata, mimpi I selama ni.. I tak boleh lepaskan you buat kali kedua. Sekurang-kurangnya kali ini I takkan biarkan you jauh dari I. Walaupun you tolak I seribu kali pun, I dah serik untuk hidup tanpa you. You had no idea..." Ucapnya tanda terdesak.
Aku tergelak kecil. Tidakkah dia berfikir panjang sebelum dia menyudahkan kata-katanya itu? Aku rasa muak, tertekan. Kalau boleh aku menghancurkan hatinya, biar lunyai dan berkecai-kecai supaya dia tahu diri tetapi memikirkan tiada gunanya juga tindakanku itu nanti cuba ku tabahkan diri mencari bicara yang sesuai untuk kami.
"Naasha yang you impi tu dah lama mati sejak dia pergi. Kita bukan budak lagi yang hanyut pada perasaan. Kita ada realiti di depan. I hidup berpijakkan realiti, I tahu I bukan puteri raja atau heroin mana-mana cerita seperti apa yang I rasakan 11 tahun yang lepas. Takdir tak selalu menyebelahi kehendak hati kita. You kena hormat hak I, pilihan I. Kalau you tak boleh hormat I, you tak layak untuk berdepan dengan I sekali pun."
Nadzhim yang tadinya nampak sedikit tenang kelihatan tertekan. Dia goyah!
"I tunggu you selama ni, I tak tahu begini caranya you balas pengorbanan I."
"Pengorbanan?" Aku menaikkan suara. Dengan berkahwin dengan wanita lain itu pengorbanankah? Atau aku yang terlalu bodoh tidak memahami erti pengorbanan yang dia maksudkan?
Mata Nadzhim menala ke wajahku dengan renungan redup. Aku tahu dia amat sedih ketika ini dan aku belum lupa setiap riak yang terbias dari wajahnya. Wajah itu juga yang dia pamerkan ketika aku menyatakan aku terpaksa pergi jauh dari sini.
"Apa salah I you hukum begini? You yang tinggalkan I tapi sekarang you berlagak seolah-olah I yang bersalah.”
Aku jengkel.
"Macam yang I cakap, kita hidup berpijak di dunia yang nyata. You ada masa depan dan you tak sepatutnya menoleh ke belakang. You dah ada keluarga, untuk apa you pegang perasaan dan hati you untuk I? I tak terharu pun, Nadzhim. I geli. You faham tak?"
"You dah jauh dari I rupanya, I fikir hati kita masih sama..."
Aku merenung wajahnya tajam buat kali terakhir sebelum aku menapak langkah masuk ke dalam rumah membiarkan dia melayan perasaan.
Aku terus melangkah menuju ke dapur untuk mendapatkan Ryana yang masih sibuk dengan kerja-kerjanya.
"Meh sini tolong aku kaut sup ni masuk ke dalam mangkuk." Tegur Ryana apabila menyedari kehadiranku.
Aku tidak menunggu lama lantas menghampiri Ryana yang sudah agak berpeluh gara-gara dihambat kesibukan sejak dari pagi tadi. Sanak-saudara tidak putus-putus mengunjungi rumah tiga tingkat ini. Yang aku nampak, yang aku rasa, jika dulu hubungan kekeluargaan antara kami seperti ada jurangnya tetapi kulihat kali ini seperti ukhuwah yang terbina semakin kukuh. Alhamdulillah syukur kerana 11 tahun itu mampu merubah perkara yang agak mustahil berlaku.
"Apa dia cakap dengan kau?"
"Siapa?"
"Ryana, you buat sendiri boleh? I nak berbual dengan Naasha.." Ajuk Ryana satu persatu dengan sengihan penuh makna.
"Aku warning dia jangan nak buat perkara mengarut. Ada isteri tak fikir isteri memang macam tu."
Ryana mengerut dahinya.
"Dia kemaruk tu.. Lama kut tunggu engkau. Semua orang pun tunggu kau, Naasha."
Aku cemberutkan wajah.
"Tapi dia tak kasi tahu kau ke?"
"Apa?"
Ryana mengangkat keningnya. "Pasal isteri dia?"
"Kenapa dengan isteri dia?" soalku tanpa minat.
Ryana terkulat-kulat sebelum tergelak kecil. "Tak ada apalah. Kalau kau nak tahu tanya kat dia sendiri. Aku tak ada hak nak bercerita. Kau tolong aku hidang kat meja makan ya? Aku nak kaut bubur ni pula. Kejap lagi kita panggil semua orang untuk makan."
Aku mengangguk tanpa mengulas apa-apa. Kalau Ryana tak mahu bercerita, aku pun tiada sebab untuk memaksanya. Tentang Muhammad Nadzhim biarlah terkubur begitu sahaja. Dia bukan sesiapa untukku, dan aku pun bukan sesiapa untuknya.

Tuesday, September 6, 2016

HEARTBEAT BAB 1 & 2






BAB 1

Hidup kita tak pernah ke belakang, dan di depan tak pernah menunggu.


2015....



KELUAR sahaja dari bangunan KLIA 2 terus mataku mula meliar keluar sana. Hilang sudah kesejukan penghawa dingin yang menguasai diri sejak memasuki bangunan KLIA tadi digantikan haba panas 35 darjah celcius Kuala Lumpur yang lama tidak dijejaki. Kereta di luar bertali arus tidak pernah akan terhenti banyaknya dan kalbuku terus tersentuh dalam. Ada lagu merdu dan syahdu bersatu menyisipi gelora yang menyentak hati.
Ini Malaysia...
Helo Malaysia?
Aku tersenyum kecil. 
Masih kau terima aku menjejak kaki di sini? Atau kau membuang diriku seperti sahaja aku membuang dirimu satu ketika dulu, satu ketika saat aku jahil membenci sesuatu yang menjadi darah daging dan kebiasaanku. Bibir ku gigit kuat. Sebak bertandang datang, mataku juga mula berair. Kabur!
"Naasha, jomlah."
Aku kalih mata ke arah pemilik suara itu, suara yang selalu mengasakku untuk pulang kembali ke tanah yang pernah aku haramkan kaki ini memijaknya lagi. Tetapi sumpah serta janji itu ditelan kabus sebaik sahaja aku melangkah kaki ke Kuala Lumpur International Airport 2.
"Jangan buat muka macam tu. Jomlah kita balik." Tegur Ryana menarik tanganku lembut.
"Balik?" Sepatah kata terluah dari hujung bibir. Balik ke mana?
"Baliklah kecuali kalau kau nak duduk kat hotel lepas ni."
Aku memejam mata rapat enggan membayangkan rumah yang ku tinggalkan bertahun-tahun lamanya. Rumahkah itu sedangkan kali terakhir aku melihat hanya tinggal sisa abu.
"Kau tak boleh jadi macam ni, Naasha. Family kau dah lama tunggu." Pujuk dia lagi seraya menggenggam bahuku.
"Kau tak faham," ucapku dengan nada bergetar. Dada terasa berat dihempap batu. Ryana mengeluh kecil merenung wajahku dengan pandangan kecewa.
"Apa salah dia orang kau buat macam ni? Dia orang kan keluarga kau Naasha.."
Aku membuang pandang jauh. "Ada lagi ke tempat untuk aku berada di sini, Ryana?" Air mata menitik ke pipi. Dua pupuku itu terus menarik bahuku dan menepuk belakang dadaku lembut.
"Takkanlah tak ada. Dia orang tengah ternanti-nantikan kau, Sha. Bertahun kau tak balik, kalau ada pun hati yang marah atau terluka tapi semua orang mengharapkan kau kembali ke pangkuan kami.."
"Tapi aku dah banyak buat khilaf," bisikku hampir tidak kedengaran. Terbayang-bayang wajah mama, wajah arwah ayah, dan wajah si kecil Naazneen di ruang kepala. Wajah-wajah yang dulunya menyapa mesra ruang hatiku dan mengisi setiap gelak ketawa tetapi menjadi mimpi gelapku setelah aku melarikan diri dari Malaysia.
"Semua orang dah maafkan kau. Naaz dah cukup besar untuk faham, mama kau pun dah normal balik. Dah tak sakit macam dulu. Kau patut bersyukur keluarga kau dah bersatu."
Aku menahan getar di dagu. Jiwaku tertekan besar seolah-olah ada tangisan yang belum terluah di bibir. "Aku belum cukup kuat, Ryana. Bila ayah tak ada buat aku jadi sakit. Sakit kat sini." Ucapku seraya menepuk dada berkali-kali. 
"Semua orang pun sakit waktu tu tapi tak adil kau tinggalkan mereka."
"Sebab aku tak sanggup..."
"Semua orang pun tak sanggup. Tapi dulu dan sekarang berbeza."
Aku termangu menggigit bibir menahan rasa panas yang hampir mengalir keluar dari kolam mata. "Apa yang bezanya?"
"Kau pun dah jauh berubah. Dulu kau tak nak balik ke sini tapi sekarang kau balik sebab rindu tu masih ada, kan?"
Ya, aku akui dari sudut hati yang terdalam aku pulang kerana rinduku. Manakan sama keluarga sendiri dengan orang yang baru aku temui di sekeliling!
"Kau ingat tak Sha, kau pernah tinggalkan seorang lelaki?"
Aku terkedu. Nadzhim. Muhammad Nadzhim?
"Dia dah kahwin pun."
Aku terkesima. Tapi cepat-cepat aku buang segala perasaan yang hampir menjentik jiwa. Dia orang pertama yang aku putuskan untuk tidak peduli sewaktu membuat keputusan untuk pergi dari sini. Dan aku telah berjanji untuk tidak mengambil tahu tentang dia lagi, sampai bila-bila.
"Sebab dia fikir kau tak balik lagi. Tapi sekarang mungkin dia antara orang yang tidak sabar untuk menemui kau."
Aku tertunduk menekur lantai marmar. Untuk apa bertemu seandainya tiada yang tersisa di hati kami berdua saat ini?
Dia dah jadi sejarah dalam hidupku. Sebaik sahaja kaki ini melangkah pergi dari Malaysia 11 tahun yang lepas, sejak itu aku kuburkan kenangan lama. Biarlah dia. Biarlah dia supaya dia punya kehidupan yang lebih baik. Kalau pun terluka tentu lelaki itu mampu membina semula perasaannya. 11 tahun yang lalu Naasha hanyalah si pengecut yang tidak mampu menerima dugaan besar yang menimpa keluarganya. Dan orang yang paling kasihan waktu itu ialah Naazneen Fatah dan mama. Bukan Nur Naasha Fatah. Tapi kenapa baru sekarang aku sedar hakikat pahit ini?
"Dia nak balas dendam sebab aku tinggalkan dia dulu, kah?"
Ryana menghela nafas panjang, menatap wajahku lama seolah-olah mencari pengertian.
"Sha dia bukan orang jahat, dia tunggu kau bagai orang gila."
Aku tersenyum kecil. Hati ini tidak dapat percaya dengan kata-kata Ryana.
“Kalaulah dulu kau ada...” Ya, kalau Ryana ada sebelum aku pergi mungkin keadaan tidak jadi seperti ini. Mungkin aku dan Naazneen masih bersama-sama dan kami menjaga mama penuh kasih sayang. Mungkin aku tidak terperangkap dengan kejahatan Pak Cik Naufal!
“Dulu tu biarlah dulu. Sekarang kau tengoklah ke depan. Jangan undur balik. Kalau hari ni kau gagal menghadapi, bila lagi Sha? Hidup kita tak pernah ke belakang, dan di depan tak pernah menunggu.”
Aku ketap bibir. Sampai bila-bila pun Ryana takkan faham jiwaku.






BAB 2

Diampunkan dosa-dosa kita, pahala yang dicatat seperti kita buat kebaikan masa dia hidup.



CUAK juga tatkala terpandang wajah kelat Ryana ketika aku yang baru memasuki pintu rumah. Hendak bertanya risau perasaannya pula yang terganggu. Kiranya aku tidak pernah melihat dia berubah mood begini kerana kebiasaannya Ryana selalu ceria dan bersikap positif terhadap apa juga yang berlaku. Sebaik sahaja aku meletakkan beg tanganku di atas sofa serta mengambil tempat duduk di sisinya, aku kembali memandang ke arahnya semula.
"Kenapa dengan kau?" Aku menyoal berhati-hati. Kedengaran keluhan kecil dari bibirnya sebelum dia bertindak memeluk bantal erat ke dada.
"Naasha kau tak rindu family?"
Oh, itu.
Aku pandang wajah Ryana lama.
"Kenapa kau tiba-tiba ungkit benda ni?" tanyaku setelah lama mendiam diri daripada pertanyaan Ryana yang serba sedikit menyentuh perasaanku.
"Berapa hari lagi nak raya, aku kalau boleh nak jumpa dengan Aunty Aisyah, Naaz dan family kita yang lain. Sebab kau, aku masih lagi tak inform keluarga aku yang kita ni dah sampai ke Malaysia."
Aku termangu mendengar luahan Ryana. Benar aku tidak membenarkan Ryana memberitahu keluarganya yang kami telah pulang ke Malaysia selama berbulan lamanya.
Aku faham kalau dia merindui keluarganya apatah lagi kerana dia satu-satunya anak tunggal keluarga. Tetapi jika aku membenarkan Ryana menghubungi keluarganya bererti aku juga perlu bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan. Mimpi buruk yang selalu mampir di tidur malamku menyatakan aku perlu menghadapi kemarahan mama dan Naazneen sehingga untuk bangun dari tidur pun aku jadi takut.
Tetapi jika difikirkan, dulu keluarga Ryana langsung tidak rapat dengan kami. Masing-masing membawa haluan sendiri dan akhirnya pertemuanku dengan Ryana sewaktu dia belajar di luar negara mengeratkan semula perhubungan yang telah lama terputus. Ryana kembali menjejaki Naazneen dan mama untuk mengkhabarkan tentang mereka kepadaku dan aku pula masih tetap bersembunyi takut untuk dibenci.
"Kalau kau jumpa dia orang nanti aku janji aku back up kau. Serius ni." Ryana menarik tanganku, beria-ia memujuk diriku untuk bersetuju dengan cadangannya. "Lagipun sampai bila kau terus begini? Kau kena beranikan diri untuk mengakui kesalahan dan bertanggungjawab atas segala yang telah kau lakukan. Daripada macam ni kan kau sendiri yang tak tenang dibayangi dan dihantui sejarah silam. Kau selalu mengigau dan mimpi buruk malam-malam tu kau ingat aku tak tahu?"
Aku menundukkan kepala. Jiwaku jadi hangat. Sakit. Benar sakit sehingga aku ingin berlari jauh. Walaupun 10 ribu kali aku mendengar pujukan Ryana sebelum ini tetapi hentakannya kali ini amat berbeza kerana aku berada hanya setapak jauhnya untuk membuat keputusan bertemu mereka.
"Apa kata hari raya ni kita jumpa dia orang? Jom. Kau mesti nak lawat kubur arwah papa kau, kan? Sedekahkan dia Yassin, doakan ketenangan dia kat sana.. Marilah Naasha. Aku yakin mama dan adik kau tak salahkan kau, dia orang mesti seronok kau dah balik. Kau tak teringin ke Sha?"
Sedaya upaya aku ukir senyuman di hujung bibir. Benar, sampai bila aku terus dihantui dengan ketakutan tiada berpenghujung yang aku cipta sendiri? 11 tahun bukan satu masa yang singkat. 11 tahun aku bazirkan melepaskan tanggungjawab dan cinta hatiku di sini. 11 tahun aku berada di dalam kesedihan yang berpanjangan. Sebab aku Naasha yang pengecut. Naasha yang penakut. Naasha yang tidak mampu menerima realiti.
"Naasha?" Ryana menepuk bahuku lembut untuk mendapatkan jawapan dari diriku. "Kau tak usah fikir benda bukan-bukan, redah aje. Aku tak suka tengok kau asyik termenung sana-sini setiap hari tau. Jomlah, hadapi ketakutan kau. Aku kat belakang selalu sokong kau."
Fikiranku kembali sedar mendengar seruan Ryana. Pandanganku berbalam-balam dengan jiwa yang berkocak kencang.
“Lagipun tahu tak pahalanya bila kita lawat kubur orang tua kita yang dah tak ada pada hari Khamis lepas Asar sampai hari Sabtu sebelum Zohor? Diampunkan dosa-dosa kita, pahala yang dicatat seperti kita buat kebaikan masa dia hidup Sha. Datang dan panggil dengan nama panggilan masa kau hidup, beri salam dan doakan. Arwah dengar dan jawab insyaALLAH.”
Kata-kata Ryana membuahkan senyuman di bibirku. Benarkah begitu?
“Kau tak nak lawat kubur arwah ayah kau ke? Apa yang kau bingung sangat ni? Muhammad Nadzhim?”
Aku tersentak.
“Kau takut dia datang kat kubur tu atau kau takut nanti bila kau muncul dia akan datang dengan status dah kahwin untuk tunjukkan kau yang dia dah move on? Tapi memang dia dah kahwin pun.” Sengihan Ryana seolah-olah menampar pipiku tanpa amaran walaupun nadanya setakat bergurau dan mengusik.
Aku tertunduk beberapa ketika sebelum mengangkat muka. 
“Aku pun dah move on.”
“Biar betul?” Bulat mata Ryana memandangku.
“Tak kisahlah dia dah kahwin ke apa. Aku tak fikir hidup dia boleh mempengaruhi hidup aku lagi.”
Ryana angguk kepala beberapa kali. “Bila dengar kau dah berani sebut dan cerita tentang dia, tiba-tiba aje aku jadi percaya.” Ryana sengih kecil. Aku balas dengan senyuman tipis. 
"Nanti, hari raya aku ikut kau..."
"Allah! Betul ke ni? Alhamdulillah! Alhamdulillah..."
Wajah ceria Ryana kupandang sepi. Seronoknya dia tidak mampu untuk ku kongsi buat masa ini. Kaki ku bawa melangkah menuju ke ruang bilik sepi. Otak ini mula mengira beberapa hari lagi yang tertinggal untuk aku menghadapi wajah mama dan Naazneen Fatah. Ryana kata mama keluar dari hospital sakit jiwa dan mula pulih dengan bantuan Naazneen.
Naaz si kecil itu lebih bertanggungjawab dari kakaknya ini. Senyuman kecil terseret di bibir. Apa khabar si comel itu sekarang agaknya? Ryana kata dia dah kahwin dan hidup bahagia. Suaminya juga kaya raya.
Apakah pandangan sanak saudara kami nanti melihat aku kembali muncul setelah sekian lama?



LANGKAHKU agak sumbang berhadapan dengan beberapa sanak saudara ketika aku duduk di pusara arwah papa menghadiahkan bacaan Surah Yassin buat kali yang pertama. Jiwa ini merintih dalam diam kemudian rasa menyesal datang bertimpa-timpa. Air mata yang ku halang keluar mengalir perlahan di hujung pipi.
Lebih dari itu, beberapa kenalan dahulu memandang ke arahku tanpa datang menyapa. Hairan mungkin. Kebanyakannya masih lagi mengenali diriku walaupun tiada hubungan rapat yang pernah terjalin antara kami.
Termasuklah juga Pak Cik Naufal yang dulu pernah mengaturkan rancangan agar mama dimasukkan ke hospital sakit jiwa, mengaturkan perkahwinan paksa untuk diriku dan Naazneen di hantar ke rumah anak yatim. Dia datang ketika aku menggulung tikar kecil yang digunakan tadi semasa bacaan Yassin. Kedut di wajahnya kian nampak dan kulihat aura liciknya sudah tiada. Dia nampak lebih tenang dan tidak lagi tegang. Bertemu empat mata denganku, dia ku lihat teragak-agak buat seketika. Sudah sedarkah dia kesilapannya dahulu? Air muka biarpun berubah tetapi hati budi masih tersirat siapa yang tahu.
"Naasha?" Namaku meniti di hujung bibirnya.
Aku memejam mata rapat cuba mengusir rasa benci yang bercambah di dalam diri. Fikir ku masa silam itu cuma muncul sebagai mimpi tetapi melihat wajah itu semula membuat hati kembali berdarah. Jangan sesekali dia menyebut namaku lagi!
Semasa kami susah lelaki itu begitu senang membuang kami anak-beranak sedangkan ketika itu kami benar-benar memerlukan sokongan keluarga terdekat. Tapi apa bezanya aku dengan Pak Cik Naufal? Sekurang-kurangnya dia tidak melarikan diri seperti aku mungkin. Dia berani menghadapi kemarahan serta kebencian yang sekian lama bercambah di hati kami sekeluarga!
"Bila pulang ke sini?"
Aku telan air liur yang menyekat di kerongkong. "Dah lama.."
"Kenapa tak beritahu kami?"
Aku memandang wajah Pak Cik Naufal lama. Kenapa tak beritahu dia? Aku hampir menumbuk dadaku sendiri untuk cuba berfikiran rasional ketika ini. Ikutkan hati berbakul-bakul kemarahanku ingin kuluahkan kepada lelaki separuh abad yang semakin dimamah usia.
"Tak penting pun," jawabku pelan. Sedaya upaya mempamerkan rasa hormatku padanya walaupun jauh di sudut hati ingin sekali aku menjauhi lelaki tua ini. Lelaki itu bukan biasa-biasa, dia yang telah memisahkan kami adik beradik dengan mama ketika arwah papa baru sahaja pergi. Dia adalah penyebab utama aku melarikan diri ke luar negara tanpa memikirkan Naazneen dan mama yang masih memerlukan diriku!
"Pakcik minta maaf atas apa yang pakcik dah buat pada keluarga Naasha, pakcik tahu Naasha masih marah. Pakcik tahu kerana pakcik, Naasha ambil keputusan untuk pergi jauh."
Aku menundukkan wajah. Hati sedikit meruntun kerana lelaki itu baru sedar kesilapannya kini. Kenapa baru sekarang Pak Cik Naufal sedar, kenapa bukan dari dulu lagi? Kejinya dia mampu memamah seluruh jiwaku. Malah sehingga saat ini aku takut untuk mengenang semula peristiwa 11 tahun yang lepas.
"Saya balik dulu.."
"Naasha buat pakcik rasa semakin bersalah."
Senyuman sinis terukir di bibir. Apalah gunanya rasa bersalah itu setelah segala-galanya menjadi bubur. Aku telah jauh dari kasih-sayang keluarga yang selama ini mewarnai hidupku selama 19 tahun lamanya. Sangat jauh!
"Pakcik tak perlu rasa bersalah. Saya sendiri yang pilih jalan ini."
"Tapi kalau bukan sebab pakcik, Naasha, Naazneen dan Kak Aisyah takkan berpecah. Kalau Naasha nak, pakcik bersedia untuk menebus kembali semua kesilapan pakcik yang lepas." Keluh Pak Cik Naufal. Aku hela nafas panjang. Perlu berteriakkah di sini? Atau memakinya kerana menjadi penyebab menambahkan duka di hati kami sekeluarga..
"Saya tak perlu semua tu. Selagi saya boleh hidup di dunia ni, selagi itu saya terus berdiri di kaki sendiri. Tak perlu orang lain untuk campur tangan kehidupan kami."
Pak Cik Naufal tertunduk menekur tanah. Entah mungkin dia rasa dirinya tersindir atau berkecil hati atas apa yang aku katakan.
"Naasha?"
Aku menoleh mencari suara yang memanggilku dari belakang.
"Naasha... Nur Naasha? Anak mama?"
Mataku pedih tiba-tiba. Jiwaku merusuh kuat. Wajah wanita yang sekian lama kubiarkan jauh dari hidupku muncul di depan mata. Wajah yang telah lama kuabaikan dari lubuk jiwaku merenung diriku tanpa sempat terganggu walau sedetikpun.
"Naasha, kan? Naaz, dia Naasha.."
Air mata jatuh ke pipi mengalir seolah-olah tidak sempat berhenti. Wajah mama yang lembut walaupun sudah separuh melecur tetap masih seperti dulu, masih penuh kasih-sayang yang tidak terucap oleh kata-kata. Naazneen di sisinya semakin dewasa dan matang memandang diriku tenang tanpa berkata-kata. Duniaku seolah-olah berhenti berputar. Kakiku kian longgar menahan berat beban. Hari ini aku perlu menghadapi semuanya. Hakikat yang pernah aku cuba nafikan, yang aku masih punya mereka di sisi.
Pak Cik Naufal di bawah pokok tadi masih terus-terusan memerhati pertemuan kami beranak tanpa berganjak.