CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, September 23, 2018

NOVEL LELAKI DINGIN RELEASED!



Jeng jeng. Alhamdulillah syukur baby LD dah muncul! Terbitan OGOS under Penerbitan Anaasa. Nak baca sinopsis?



Aku Riah, editor di syarikat penerbitan kecil. Hmmm… Putus tunang sekali, pak we tu ada perempuan lain. Mulalah aku berangan nak kahwin dengan lelaki yang dingin sedingin salji di Kutub Utara. Yang penting dia takkan pandang perempuan lain, tak romantik pun tak apa, janji dia pandang aku seorang aje dalam hidupnya.

“Sebab Riah penawar Ainal.” – bakal mak mentua
“Dia tu siapa?” – Aku
“Dia pelukis… Hidup dia macam katak di bawah tempurung, sesuai sangat dengan kau!” – Kak Mia

Tapi….

“Nal, awak nak hantaran apa dari saya?” - Aku
“Saya nak jam tangan, baju Melayu, dan Al-Quran. Yang lain tu awak boleh pilihkan untuk saya.” – Ainal
“Habis, awak tak tanya saya nak apa ke?” – Aku
“Famili dah uruskan.” -Ainal

Ainal la mamat paling blur dalam dunia ni, paling susah nak buat benda romantik, paling tak berperasaan, dan paling malas nak ambil tahu soal hati perempuan. Betul ke aku nak lelaki macam Ainal? Naik pening aku melayan kerenah dia. Tak pasal-pasal jadi guide untuk dia supaya jadi lelaki pujaan wanita!

Tajuk: Lelaki Dingin
Penulis: Rinsya Chasiani
Penerbit: Anaasa Publication
Tahun Terbitan: 2018
Bilangan Mukasurat: 464
ISBN: 978-967-0870-60-1
Harga: RM25 (SM)/ RM28 (SS)
  

Menarik, kan? Kalau nak beli online, boleh contact ke FB Rinsya Chasiani. 

Friday, August 10, 2018

Lelaki Dingin Random P.2






 (InsyaALLAH bakal terbit)


Ainal cepat-cepat menarik pergelangan tanganku ketika aku menuju ke seat pemandu.

“Saya tak ada apa-apa dengan dia. Sungguh. Saya suka awak aje.” Ainal menundukkan kepala. “Riah, saya tak suka awak buat macam ni.”

Aku kelu. Benda nampak simple tapi hatiku jadi tak tentu arah dengan sentuhannya dan kata-katanya. Ah sudahlah hati! Tak payah rasa lebih-lebih dan ini bukannya masa yang sesuai untuk jadi lembik macam sayur!

“Buat apa?”

“Awak tak pedulikan saya begini.”

“Jadi apa masalahnya.”

“Saya sayangkan awak, saya nak awak senyum setiap kali kita berdua macam ni...” Dia bercakap dengan suara separuh serak. Tangan Ainal sampai ke pipi dan cepat-cepat aku tepis dengan tapak tangan.

Darah menyirap ke muka dan tubuh seperti terkena renjatan elektrik. Aku telan air liur berkali-kali cuba berlagak tenang walaupun sedang berantakan kerana tergoda dengan kasih-sayangnya.

“Okey, saya faham. Tapi saya kena cepat pergi ke pejabat sekarang ni.” Aku balas tanpa pandang Ainal pun.

Tuesday, July 31, 2018

Sinopsis Lelaki Dingin!



Aku Nur Qariah, editor di syarikat penerbitan kecil. Pernah putus tuning sebab pak we tu ada perempuan lain. Mulalah aku berangan nak kahwin dengan lelaki yang dingin sedingin salji di Kutub Utara. Yang penting dia takkan pandang perempuan lain, tak romantik pun tak apa, janji dia pandang aku seorang aje dalam hidupnya. 

Ainal lelaki kacak. Kacak yang luar biasa! Jika ada orang mengatakan Ainal itu pelakon drama, aku amat percaya. Namun lelaki kacak tak semestinya bersifat sempurna. 

“Sebab Riah penawar Ainal.” – bakal mak mentua
“Dia tu siapa?” – Aku
“Dia pelukis… Hidup dia macam katak di bawah tempurung, sesuai sangat dengan kau!” – Kak Mia 

Tapi….

“Nal, awak nak hantaran apa dari saya?” - Aku
“Saya nak jam tangan, baju Melayu, dan Al-Quran. Yang lain tu awak boleh pilihkan untuk saya.” – Ainal
“Habis, awak tak tanya saya nak apa ke?” – Aku
“Famili dah uruskan.” -Ainal

Ainal la mamat paling blur dalam dunia ni, paling susah nak buat benda romantik, paling tak berperasaan, dan paling malas nak ambil tahu soal hati perempuan. Betul ke aku dah jatuh hati dengan lelaki seperti Ainal? Naik pening aku melayan kerenah dia. Mampu ke aku hidup dengan lelaki sepasif Ainal? Aku ni, perempuan juga. Kalau cinta katakan cinta, tidaklah aku frust menggila!




********
Aku tahu, perlakuan tak seiring kata hatimu...



#LelakiDingin
#RinsyaChasiani
#aireenaryana
#AinalAalif
#NurQariah
#terbitanOgos
#novel
#novelMelayu

Saturday, July 28, 2018

Random LD Post 1

“Hmm..” Aku dengar dengusan kecil dari Ainal. 

“Kenapa ni... Kalau nak rehat kita naik atas. Jangan tidur berdiri pula.” Tangan mula mencapai pinggang Ainal dan menolak perlahan. 

“Seminit,” pinta Ainal seraya meletakkan tangannya ke tubuhku dan memelukku kembali.

“Nal...” Aku hela nafas dalam. Keliru dengan perlakuannya yang tidak pernah aku hadapi. 

“Siapa Nisha?” Tiba-tiba bibir ini ringan bersuara. Sesaat selepas itu aku menyesal kerana bertanya soalan yang mungkin mampu mencalarkan hati sendiri. Kan dah kata tadi yang lepas tu biarlah lepas, kenapa degil sangat nak tahu kisah silam dia.. Aku mengutuk diri sendiri. 

Memanglah perempuan sifat lumrahnya cepat curiga serta ingin tahu. Sejak aku dengar cerita Hani tentang bekas girlfriend Ainal petang tadi, aku jadi penasaran. Bagaimana orangnya? Cantik atau tidak...

“Nisha?” ulang Ainal hampir tidak kedengaran. Aku menahan nafas buat beberapa saat. Tubuh jadi keras tatkala aku merasakan degupan jantung Ainal. 

“Orang dengar pasal Nisha dari Hani.” Aku terang kat dia dengan harapan dia tak salah faham.

Saturday, July 21, 2018

LELAKI DINGIN BAB 10



BAB 10

TURUN menjejak kaki ke halaman rumah besar itu menyebabkan bulu romaku meremang. Kenapa ya? Tempoh hari bukannya ada kejadian yang luar biasa terjadi sehingga menyebabkan aku jadi begini cuak.
“Tak ramai orang, kan kak?” komenku bila melihat halaman rumah masih lengang. Terdapat empat atau lima buah kereta terparkir di tepi jalan berhampiran pagar rumah Prof Azria. Sebab Kak Mia jadi aku bahaskan juga wanita itu Prof Azria dalam diam.
Agaknya 10 orang saja jemputan wanita elegan dan penuh aura pendidikan itu untuk menghadiri majlis doa selamatnya.
“Masuk ajelah,” ujar Kak Mia memimpin tanganku atau lebih tepat menarik tanganku untuk memasuki laman rumah Prof Azria.
“Kita lewat sangat datang ya kak?” Aku tanya Kak Mia. Kak Mia pandang muka aku dengan mata yang terkebil-kebil. Agaknya mula percaya dengan sogokan ku tadi.
“Assalamualaikum.” Kak Mia ketuk pintu rumah yang sedia terbuka. Beberapa mata memandang ke arah kami berdua.
“Sarmiah... Riah... Alhamdulillah, terima kasih sudi datang ke rumah kami.” Tiba-tiba saja Prof Azria entah dari mana muncul di hadapan kami.
Dan sewaktu aku bersalaman dengan Prof Azria, wajahku benar-benar terasa kejang. Darah menderu laju ke muka menyedari banyak mata yang memandang. Dalam hati sudah berura-ura untuk melarikan diri tetapi tangan Prof Azria pula menggenggam erat tanganku seraya memimpin kami untuk masuk ke dalam rumah itu.
“Eloklah datang ni sebab baru aje kita orang habis solat Isya’. Baru nak mula doa selamat.”
“Prof tunggu kita orang ke? Sorry prof lambat,” ucap Kak Mia bersahaja. Aku cuba berlagak tenang walaupun dalam hati hanya Allah yang tahu pergolakan.
“Ini anak-anak saudara saya.”
Hampir 10 orang tu anak buah dia semua. Biar betul mak datin ni? Doa selamat ke atau makan puak-puak dia aje? Getusku di dalam hati.
“Duduklah Riah, Sarmiah.. Saya ke dapur dulu.”
“Prof saya tolong kat dapur ajelah ya.” Tiba-tiba Kak Mia bersuara. Mungkin Kak Mia turut segan kerana perlu duduk bersama dengan lelaki yang sebaya dengan usia Ainal. Bayangan kami mengenai majlis doa selamat itu amat meleset sama sekali.
“Elok juga. Chatering katanya 10 minit lagi sampai. Marilah..”
Kami bertiga jalan beriringan. Sempat lagi aku cuit pinggang Kak Mia kuat sehingga terdengar bunyi Kak Mia menyeringai kecil. Kenapalah dia bawa aku ke tempat pelik macam ni. Ya Tuhan...



SELESAI doa selamat, Prof Azria meminta aku untuk masuk ke bilik tempat Ainal Aalif duduk tempoh hari. Aku dengan jiwa kacau terpaksa mengikut aje.
   “Doa selamat dah selesai tapi Ainal tak keluar lagi dari bilik. Boleh Riah tolong pujukkan?” Itu ayat keramat Prof Azria. Kepala bagai nak jammed kena lampu merah. Apa dia fikir Ainal akan dengar kata-kataku sedangkan kata-kata mak sendiri pun Ainal buat tak tahu?
“Dia buat apa dalam bilik?”
“Tengah main catur sorang. Kalau Riah yang ajak mungkin dia nak keluar.”
Aku sengih tak ikhlas. Tak faham sungguh aku dengan logik Prof Azria.
“Kawan-kawan dia kan banyak,” ujarku memaksudkan anak-anak buahnya yang sedang melepak di depan televisyen beramai-ramai.
“Semua dah cuba tapi dia tak layan. Riah cubalah mana tahu kut-kut dia nak...”
Aku aje? Kak Mia tak? Rungutku di dalam hati.
“Saya cuba aje, kalau tak berjaya tak apalah kan?”soalku perlahan.
Tak lama lepastu, aku sendiri yang menyesal kerana bersetuju dengan permintaan Prof Azria.
Nak tak nak terpaksa menggagahkan diri untuk memasuki bilik bacaan.
Melihat renungan penuh tanda tanya anak-anak buah Prof Azria ketika aku mengetuk bilik itu membuat diriku jadi lebih segan. Pandangan mereka seolah-olah aku ni alien dari planet mana-mana atau sebenarnya mereka terkejut dengan tindakanku itu. Melalui yang kudengar dari mereka tadi, ada yang pernah menyaksikan sendiri Ainal mengamuk kerana dipaksa keluar dari bilik untuk berjumpa ramai orang.
“Hai..” ucapku membuka pintu.
Mataku jatuh ke arah Ainal yang sedang duduk memandang arah meja. Ada papan catur dan buah catur di situ. Matanya langsung tidak kalih dari memandang catur walaupun langkahku semakin hampir dengannya.
“Ainal...” sapaku perlahan. Aku duduk di depannya.
“Saya datang lagi,” ucapku dengan senyuman.
Hairannya selepas itu dia menyambut senyumanku. Dan senyumannya innocent sangat, cute sangat. Hati ni tiba-tiba aje jadi tenang. Taklah seseram tempoh hari.
Dia kacak lebih-lebih lagi apabila dia senyum macam ni Wajahnya juga bercahaya. Rambut pun dah panjang sikit. Hitam. Aku suka tengok mata dia, serius suka. Dia ada sepasang mata yang cukup menawan. Ke aku dah tak betul ni sampai nampak muka dia lain sangat berbanding hari tu?
“Riah?” Dia sebut namaku dengan suara yang agak garau dan dalam.
“Masih ingat lagi nama saya?” Aku jadi sedikit teruja.
“Awak pun ingat nama saya lagi,” ucapnya.
Dia senyum lagi. Senyuman yang membuat jantungku mula berdegup laju. Janganlah pandang lama-lama. Takut terpukau payah pula.
“Kenapa tak keluar?” Aku tanya.
“Dia orang tak ajak.” jawabnya ringan. Aku terkulat-kulat seketika.
“Kalau orang tak ajak pun inikan rumah awak, awak sepatutnya jenguk tetamu.”
Dia menampakkan barisan giginya. Matanya turut mengecil.
Aku terpaku sebentar melihat reaksi lelaki itu. Kalau orang kata dia ni pelakon memang aku percaya sangat.
“Awak main apa ni?” Aku bertanya mengendurkan suara, cuba mengalih fokus dan tumpuanku padanya.
“Catur. Tapi tak reti. Boleh tolong ajarkan?”
Aku kelu seketika apabila melihat tangan Ainal Aalif menggerakkan knight dalam bentuk L.
“Saya tak reti main, saya tahu gerak aje,” ucapku merendah diri. Tanpa disuruh tanganku mencapai queen dan menggerakkannya ke depan.
“Wah.” Luahnya.
Tak kan gerak satu ni pun dia kagum kot? Rasa nak tergelak pun ada.
Aku mengangkat muka dan pandangan kami bertembung untuk seketika. Dia meletakkan tangannya di atas. Aku tersengih seperti orang bodoh.
“Kalau saya gerak sini.” Dia mengalihkan castle ke tepi king.
“Saya pun gerak la bishop di sini.”
Alamak. Harap-harap dia tak perasan pergerakanku kali ini mengundang check mate. Mataku terus menatap wajahnya tidak mahu dia terlihat kilat kesilapan dari mataku merenung Queen yang sudah terbuka untuk di makan oleh bishop miliknya yang satu lagi.
“Saya ke sini.”
Apabila dia menggerakkan bishop lari ke belakang serta merta senyumanku melebar luas. Dalam diam aku hela nafas lega. Mujur dia tak perasan dengan kesilapanku sebentar tadi. Dengan yakin aku meletakkan queen di hadapan king.
Check mate,” ucapku dengan senyuman lebar.
Check mate?” ulangnya kurang percaya.
“Cuba tengok. Di situ king awak tak dapat bergerak lagi. Castle awak pun tak dapat selamatkan king. Bishop jauh menyimpang dan queen awak...” Aku angkat bahu dan kening serentak.
Dia terpinga-pinga beberapa detik cuba memahami apa yang berlaku.
“Kenapa cepat sangat check mate.” Dia seperti tak puas hati.
Aku sengih mempamerkan gigi. Malam ni terasa rileks pula berdepan dengan dia.
“Gerakan empat langkah check mate. Youtube banyak la Nal.” Lancar sahaja bibir ini menyebut namanya ‘Nal’. Apabila nama itu meniti di bibir, terasa keakraban antara kami terjalin. Atau aku aje yang merasakan hal itu kerana Ainal masih kebingungan memandang papan catur.
“Tadi saya buka bishop ke sini, awak boleh je makan queen saya dengan bishop tapi awak larikan bishop pula.” Aku mengulangi pergerakan beberapa langkah ke belakang.
“Oh...” Dia mengangguk beberapa kali. Aku pandang dia sebentar cuba mencari dan membaca riaknya.
“Saya try aje tadi nak tengok awak perasan ke tak..” ucapku dengan tak tahu malunya. Mujurlah lelaki itu jenis yang lurus bendul sampai dia tak boleh nampak aku acah-acah pandai. Rasa nak gelak pula apabila dia serius sangat pandang papan catur tu.
“Awak kena hati-hati Nal. Permainan ni bukan untuk awak seorang. Kena tengok juga gerakan pihak lawan. Kalau awak prihatin sikit, tentu awak boleh nampak masa saya buat silap,” ujarku memberi sedikit nasihat. Dia tersenyum lagi.
“Macam sekarang ni, awak tak perasan orang lain di luar sana dan awak hanya tertumpu kepada diri awak aje,” sambungku lembut. Tiba-tiba ideaku untuk membawanya keluar dari bilik ni muncul. Lagi pula malam ni dia nampak okey aje. Tak macam hari tu diajak berbual sepatah pun susah nak buka mulut.
“Ajar saya lagi...”
“Hmm?” Tak berapa nak dengar ayat penuhnya.
“Ajar saya main catur lagi,” ulangnya bersungguh-sungguh.
“Saya tak reti main catur. Tahu sikit-sikit sebab Kak Mia selalu main catur dulu masa sekolah menengah. Saya ni tak pandai.” Aku merendah diri.
Dia memandangku lama seolah-olah kecewa. Mungkin juga dia fikir aku sengaja mencari alasan untuk mengelak.
“Jomlah keluar. Kawan-kawan awak menunggu kat luar tu.”
“Saya..” Dia masih teragak-agak.
“Nal, terima kasih untuk bunga hari tu. Awak hantar kepada saya, ya?” Aku teringat dengan bunga yang dia bagi.
Ainal mengangguk. “Tanda terima kasih saya sebab awak sudi datang.”
Aku tersengih kecil. “Lepas ni awak hantar lagi bunga kat saya ek? Saya kan datang lagi?”
Dia menggeleng kepala. Seriusnya dia... Aku gurau aje kut!
“Betul awak tak nak keluar ni? Ramai kawan-kawan awak kat luar sana.”
Dia pandang aku lama.
“Alah macam awak hantar bunga kat saya tu, tak perlu fikir banyak-banyak. Cukup sekadar awak duduk dan tengok televisyen kat depan. Tak perlu takut dengan dia orang, manusia juga kan?”
“Saya tak takut.” Dia membalas.
Ajakanku gagal membuat Ainal keluar dari bilik ni. Risau emosinya berubah buruk, cepat-cepat aku mengangguk kecil.
“Kalau macam tu saya tak boleh nak paksa. Saya pun nak keluar dah ni.”
“Riah,” serunya apabila aku hampir bangun dari sofa.
Lelaki itu tersenyum berat.
“Nak ikut keluar?”
Dia menggeleng kepala.
“Jomlah keluar. Saya kan ada?” Aku cuba memujuk lagi.
“Orang akan ketawakan saya.” Nampaknya dia sendiri sedar pandangan orang lain terhadap dirinya. Dia tak pergi bukan sebab dia tak suka. Tapi sebab tak mahu orang mengetawakan dirinya.
“Kenapa? Sebab dulu awak hebat dan sekarang awak cuma berkurung dalam rumah?” Suka hati aku je nak kata apa. Lepas tu menyesal sendiri apabila tengok riak Ainal jauh berubah. Entah dia marah atau sedih tapi dia tunduk menghadap papan catur tu lagi. Kecil hatikah dia?
“Kat luar nanti, awak tak perlu bercakap pun. Cuma duduk tengok. Macam awak bermain catur tadi. Jomlah keluar dengan saya,” ucapku masih tidak berputus asa. Cara dia jual mahal tu membuatkan jiwaku berkobar-kobar menariknya keluar dari dunia dia sendiri.
“Nanti awak datang lagi?”
Keningku bertaut rapat. “Bila?”
“Bila-bila.. Untuk jumpa saya.”
“InsyaALLAH. Tapi kalau saya datang pun awak duduk aje dalam bilik tak seronoklah Nal. Susah nak berkawan kalau asyik duduk dalam bilik ni aje. Saya kan perempuan,” ucapku lembut agar dia faham.
Dia bangun perlahan dengan senyuman di bibir.
“Jomlah.”
Aku terkejut apabila dia melangkah mendahuluiku. Aku segera menyaingi langkahnya.
“Awak suka kat saya eh?” tanyaku spontan. Ainal menghentikan langkahnya dan memandang diriku. Cepat-cepat aku menekup bibir tanda rasa bersalah.
“Saya rasa tak. Mungkin kawan aje kut.” Aku membetulkan kata-kata sendiri sambil meraba dagu yang tak gatal.
“Janji, nanti datang lagi ya.” Balasnya hampir ketawa. Melihat dia begitu terasa virus gembira turut merebak ke seluruh jiwaku.
“Lain kali awak yang cari saya, saya segan nak masuk rumah ni bila ada mama awak dan keluarga awak. Carilah saya, saya okey aje,” balasku mudah.
“Cari awak?”
Aku angguk. “Hmm, takkan saya aje kut yang datang ke rumah awak ni. Bila lagi awak nak cari saya?” tanyaku. Melihat air mukanya yang tidak menggambarkan apa-apa, aku agak dia faham dengan kata-kataku tadi. Maksudnya aku tak nak jumpa dia dalam rumah ni melainkan dia nak jumpa di luar.
Masa Ainal melangkah keluar bilik, aku mula tamak.
Ainal cuma perlukan seseorang untuk keluar dari zon selesa yang dia bina. Tak salah untuk aku menolong. Sebab aku boleh bawa dia keluar dari bilik ni, mesti dia boleh keluar juga dari rumah ni. Aku rasa rugi apabila tengok dia sia-siakan masanya dengan terperap di rumah besar ini sedangkan dia lebih segak berbanding lelaki lain di luar sana.
Tiba-tiba aku jadi bersemangat nak ubah kehidupan Ainal.

LELAKI DINGIN BAB 9


BAB 9

UNTUK kali yang terakhir kubaca lagi manuskrip yang telah di edit. Setelah benar-benar berpuas hati, aku menghantarkan emel kepada bos untuk menunggu approval dari dia sebelum dihantar kepada syarikat percetakan.
 “Tak siap lagi ke kerja semalam tu?” soal mak hairan. Aku mengangguk kecil.
“Kadang-kadang tersilap titik pun bawa kesan yang besar. Kena betul-betul polish. Untung ni mak jumpa writer yang siap sedia edit karya sendiri dengan teliti. Orang pernah jumpa writer yang hantar manuskrip mentah, guna English tapi tak italic, bab demi bab spacing enter semua berbeza-beza, tatabahasa terabur tapi demand tinggi melangit. Cerewet nak terbit cepat-cepat walhal writer lain kena bersabar tunggu giliran. Kalau yang tak ada nama lagi kita boleh reject terus karya yang begini. Tapi bos kita orang bila writer dah ada nama susah dia nak reject. Kita orang juga yang jadi mangsa siang malam mengedit raw manuscript.”
“Janji jalan cerita dia elok okey lah tu Riah,” balas mak setelah mendengar bebelan panjang lebar ku itu.
“Penat-penat dia orang tulis takkan mudah sangat nak reject terbit,” sambung mak beria-ia.
“Mak kalau dapat pilihan antara manuskrip yang siap elok dihantar pada kita, kita tinggal bagi cadangan edit jalan cerita atau manuskrip yang mentah huruf besar kecil pun masih tak betul dan kena tumpukan editing bahagian tatabahasa lebih dari jalan cerita penat mak. Sakit kepala satu hal,” balasku lembut.
“Petang ni nak masak apa ae mak?” soalku mengalihkan topik perbualan.
“Riah kan ikut Mia pergi doa selamat. Tak payah la masak,” ujar mak bersahaja.
“Jadi mak makan apa?”
“Pandailah mak nanti. Macam tak biasa pula.”
“Janji mak makan nasi dengan lauk la baru orang senang hati,” ucapku lembut. Mak pandang wajahku dengan senyuman manisnya.
“Diet la mak malam ni, takut nanti gemuk sangat banyak penyakit datang,” ulas mak sambil membelek-belek tubuhnya. Siap memegang perut dan menunjukkan lemak di bahagian situ.
“Mana ada gemuk, mak slim lagi dari Kak Mia.” Aku ketawa kelucuan.
“Didengar kakak tu mahu Riah dengan dia bergaduh nanti.”
“Kenyataanlah mak. Bukan orang menipu, kan?”
Tidak lama selepas itu kedengaran kereta masuk ke halaman rumah. Mak memanjangkan kepala menjenguk dari pintu rumah yang sedia terbuka.
“Tu ha baru aje disebut dan muncul dah.”
“Siapa mak?” Aku kelam kabut nak masuk ke dalam bilik. Mana tahu Kak Mia bawa sekali Abang Hafni dan saudara-mara dia yang lain kan? Maklumlah nak pergi majlis doa selamat ni mesti beramai-ramai. Mengenangkan itu, terdetik di hati ini untuk membawa mak sekali untuk pergi bersama-sama kami.
“Mia seorang aje tu,” balas mak seolah-olah memahami kekalutan diriku. Aku duduk semula dengan menarik nafas panjang. Jam di tangan ku tilik sambil menyandar pada dinding rumah kayu kami.
“Baru nak Maghrib, awalnya kakak datang.”
“Assalamualaikum! Mak...” Tak menyempat pun Kak Mia terus menuju ke arah mak dan mencium pipi mak bertalu-talu. Aku angkat sebelah kening tanda mengejek tingkahnya yang keanak-anakan.
“Mak aih, makcik seorang ni.. Belum siap pun lagi! Nak jalan dah ni Riah oi.” Kak Mia menampar bahuku kuat sebelum memeluk tubuhku dan mencium pipi kiri dan kanan.
“Kata tadi lepas solat. Awal lagi, kak.”
“Mana pula awalnya. Kenalah mandi dulu takkan tunggu nak pergi baru terhegeh-hegeh nak mandi. Pakai baju kurung cantik sikit jangan pakai t-shirt nak pergi joging.” Pesan Kak Mia sambil menolak-nolak tubuhku mahu aku berdiri dan bergerak untuk bersiap. Cepat saja aku bangun kerana rimas di tolak oleh Kak Mia.
“Tak bawa Abang Hafni dan Leana sekali kak?” tanyaku sambil masih cuba menjauhkan diri dari capaian Kak Mia.
“Katanya penat. Akak kasi chance kat dia duduk main dengan Leana berdua aje. Biar dia kenal sikit dengan perangai anak dia tu.” Kak Mia membetulkan tudung litup di kepala.
“Kalau macam tu kita tak payah pergi je la kak. Duduk lepak kat rumah aje.” Usulku cuba mempengaruhi Kak Mia. Semangat nak pergi tu dari 50% turun ke 10% aje. Sikit lagi aku sambung baring di depan televisyen. Penat mengedit masih tidak hilang-hilang.
“Banyak cantik, akak dah janji dah Riah. Bukan nak ajak pergi parti.” Usai Kak Mia melontarkan kata-katanya, mataku spontan jatuh ke arah mak. Memang tak syak lagi Kak Mia 100% ambil DNA mak sampai ayat yang digunakan hampir sebiji.
Selesai mandi dan solat, Kak Mia mengheret tanganku menuju ke keretanya. Aku pun apa lagi buat-buat malas melangkah lambat-lambat tapi sebenarnya nak bermanja. Bukan apa, Kak Mia dan aku dulu-dulu lagi  rapat dari sekarang ni. Sejak dia kahwin dan ada anak, tumpuan dan perhatiannya tidak seperti dulu ke atas aku dan mak. Tapi itu adalah tanggungjawabnya dan aku serta mak memahami Kak Mia. Cuma aku bersyukur sangat ada kakak seperti Kak Mia yang selalu menjadikan kami sebagai keutamaan. Kata Kak Mia siapa lagi yang dapat kami jadikan tempat bergantung kecuali kami bertiga sesama sendiri.
“Pergi rumah siapa ni kak?” soalku meletakkan telefon bimbit di atas riba setelah puas bermain game Candy Crush. Kak Mia memandangku sekilas.
“Baru nak tanya ka? Ingatkan langsung tak kisah akak bawa ke mana-mana.”
Aku menyentuh tudung dan membetulkan bucunya. “Familiar aje jalan yang Kak Mia bawa ni.”
“Memanglah. Ke rumah lecturer akak yang hari tu Riah pergi.”
“Ah?” Aku menegakkan tubuh agak terkejut. Baru saja ke rumah itu minggu lalu, minggu ni takkan nak menyemak kat sana lagi? Getusku di dalam hati. Tiba-tiba saja jari jemariku jadi seram sejuk. Dah lain macam pula degupan jantung ni.
“Ya.. Prof Azria dia jemput Riah datang sekali ke majlis doa selamat untuk anak lelaki dia tu.”
“Ainal Aliff? Aalif?” Terlintas nama itu dalam kepalaku. Senyuman Kak Mia memekar ke pipi.
“Mak aih ingat pula Riah nama penuh pakwe seorang tu kan? Dah falling in love kat dia ke Riah?” Usik Kak Mia penuh makna. Aku kertap bibir.
“Tak ada maknanya kak. Dia tu langsung tak ada perasaan. Ada beza ke dia dengan Azli?”
“Takkan nak samakan pula Riah oi. Dah nyata-nyata dua orang tu jauh berbeza. Tak nampak ke Ainal tu lagi kaya.”
Aku cemberut. “Masalahnya Ainal kaya sebab family, tapi Azli pula hasil pendapatan sendiri.”
“Riah terlalu memandang rendah pada Ainal. Kakak tak rasa kekurangan dia langsung, Riah. Malah kalau dibandingkan dengan Azli, kakak boleh tahu yang Ainal lebih pure... Innocent. Tengoklah dia nak bergaul dengan orang pun tak reti.”
“Itulah masalahnya.” gumamku pelan. Ada ke orang nak berpakwekan Ainal tu. Tak faham sungguh aku.
“Riah tahu kenapa Azli tetap nak saman walaupun hal datang dari pihak dia?”
Aku pandang wajah Kak Mia kerana tidak berniat untuk menjawab sama sekali.
“Sebab dia orang ego. Kesilapan yang berpunca dari pihaknya sendiri. Family dia orang tak dapat terima.  Dia orang ingat boleh dibetulkan tapi sayang hati Riah keras dan semakin keras bila dia orang guna cara yang tidak sepatutnya.”
“Hmm.. Orang tetap tak nak. Apa-apa jadi orang memang tak nak.”
“Lambat-laun mereka sedar yang Riah dah berputus arang. Tapi kalau nak cepat lagi, Ainal Aalif kan ada?” Kak Mia tersengih panjang. Aku memonyokkan muka.
“Apalah akak ni, takkan nak jadikan Ainal tu kambing hitam. Kesian kat dia. Dah la muka stress memanjang. Kepala pun dekat nak botak.” Aku cakap beria-ia.
“Nasib baik akak dah bersuami tau,” ucap Kak Mia nakal. Aku menjulingkan mata. Sajaja Kak Mia ni, suka sangat menyakatku!
“Kak Mia lagi suka Ainal dari Abang Hafni ka?”
“Isy, minta jauhkan. Akak suka Ainal sebagai adik ipar je Riah. Akak yakin tau orang macam dia takkan curang.”
“Memanglaaaa...” Aku menepuk dahi sendiri. Tak perlu Kak Mia terangkan aku sendiri dapat merasakan kekurangan dalam diri Ainal Aalif. Biarpun aku berlagak selamba tetapi dalam hati ada rasa takut dan seram bila berhadapan dengannya.
“Tapi Kak Mia tengok Riah dapat je bergaul dengan dia. Rileks aje. Lecturer akak tu bukan main lagi WhatsApp minta akak bawa Riah sekali. Prof Azria yakin Riah dapat berkawan dengan anak dia.”
“Entah apa-apa aje.” Aku memalingkan muka ke luar, bertentangan dengan Kak Mia yang khusyuk memandu. Sebal je tiba-tiba jadi mangsa keadaan begini.
“Riah jangan risau sangat, kat sana nanti Riah cuma perlu doakan kesejahteraan Ainal supaya dia mampu sembuh sepenuhnya. Kalau Riah tak sukakan dia pun tak apa tapi kita ke sana atas jemputan jadi tak elok kita menolak. Jangan nak tunjuk muka 10 sen pula bila dah turun ke rumah tu nanti.”
“Orang okey.”
“Tapi macam marah kat akak aje tu gayanya.”
Aku mengerut kening sedikit. “Tak la teruk sampai nak marah. Tapi kalau akak bagitahu awal, orang dapat bersedia lebih awal. Taklah menggelabah begini.”
“Riah tak perlu cuak. Melainkan Riah ada perasaan kat Ainal itu berbeza,” ucap Kak Mia lembut. Kata-kata Kak Mia terkesan di hatiku.
“Ala setakat kawan je dulu,” komen Kak Mia lembut. Aku termangu kecil. Nanti kalau orang tu rasa lebih-lebih kat aku, aku nak buat apa nanti? Macam tu juga dengan aku. Kalau tiba-tiba aku ada rasa lebih-lebih kat dia, aku nak buat apa? Ainal tu bukan senang nak mendekatinya dan nanti aku juga yang terkial-kial tackle dia.
Hati ni masih lagi tertanya-tanya, serius ke dia kirim bunga tu tempoh hari? Dia setakat nak main-main ke atau... saja-saja? Tak boleh nak fikir lagi dah.