CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, June 21, 2011

Serius Aku Cinta


Bab 1


Rasya mendekati Hilmi dengan tenang. Sengaja dia duduk berhadapan dengan Hilmi, ingin sekali menatap wajah Hilmi.
“Rasya.”Hilmi sekadar menyebut namanya. Rasya masih diam merenung wajah Hilmi.Hilmi serba salah.
“Kita memang tak sesuai Sya.. Saya dan awak, memang ada hubungan istimewa. Tetapi hubungan kita memang tak pernah berkembang.”ujar Hilmi membalas tatapan Rasya. Rasya tetap kaku.
“Saya harap awak faham.”ucap Hilmi.

Faham? Rasya ketawa pahit di dalam hati. Faham ke Hilmi bahawa cinta yang bertahun-tahun disemai ini telah menjadi sebahagian hidup Rasya? Untuk memaksa, itu bukan haknya. Hilmi dan dia hanya pasangan kekasih. Bukan tunangan jauh sekali suami. Keputusan Hilmi adalah hak Hilmi. Jika Rasya masih tidak malu menagih kasih, di mana dia hendak letakkan maruahnya? Di kaki Hilmi? Rasya menelan air liur. Pahit!

“Saya ada pilihan hati saya sendiri. Maaf. Saya sudah menjalinkan hubungan dengan dia hampir tiga bulan. Cuma saya tiada kekuatan untuk memberitahu awak.”ucap Hilmi. Tiga bulan? Rasya hampir pitam. Tiga bulan Hilmi menipu. Dalam masa tiga bulan ini, diri dia sahaja yang merindu sepanjang kursus yang dia jalani di Sabah tempoh hari. Rupanya Hilmi ketemu cinta baharu!

“Hubungan kami cepat berkembang.”terang Hilmi, memandang tepat ke wajah Rasya. Rasya tunduk. Sakit! Rasya sedar tiada peluang di hati Hilmi untuknya lagi. Dia akur.
“Kenapa dengan kita?”tanya Rasya perlahan. Tubir matanya sudah ada air mata. Jika dia berani untuk memandang wajah Hilmi, sudah pasti air mata itu akan jatuh.

“Hubungan kita tidak pernah berkembang, Sya. Awak tengok cara kita berdua dating. Itupun masih kekok. Padahal sudah tiga tahun lebih kita cuba mengenali hati budi masing-masing. Cara kita berkomunikasi, seperti ada jurang, Sya… Awak mungkin tak rasa, tapi saya rasa. Saya inginkan satu hubungan yang berwarna-warni, bukan hambar dan kaku seperti ini. Rasya, saya tahu awak memang berkarier, ada tanggungjawab. Tetapi saya juga manusia biasa yang perlukan perkara normal.”ucap Hilmi. Rasya memegang dahi. Pening!

“Jadi apa yang awak anggap normal?”tanya Rasya memandang tepat ke wajah Hilmi. Hilmi tunduk.
“Keluar bersama, ketawa, merajuk, memujuk, bergurau, mengusik… Yang ada pada hubungan kita, kita berjumpa untuk makan. Awak dan saya, kaku!”Hilmi menentang tatapan mata Rasya. Rasya terpukul!

“Kenapa dahulu awak janji macam-macam? Awak janji awak akan sayang saya?”tanya Rasya.
“Sayang itu memang ada. Tetapi mati begitu sahaja kerana hubungan kita kaku, Sya. Awak carilah lelaki lain. Saya janji sebelum kita menjadi kekasih. Dan saya tak sangka jadi seperti ini. Dulu saya fikir saya hebat kerana dapat memiliki cinta awak, hati awak. Perempuan yang baik dan sentiasa menjadi tumpuan lelaki di university. Tetapi saya silap. Hidup awak terlalu formal. Membosankan!”balas Hilmi. Rasya mengetap bibir. Kalau tidak boleh menepati janji, untuk apa dia berjanji?

“Ibu saya suka pada awak.”ucap Rasya. Hilmi diam.
“Dia sudah fikir yang awak adalah bakal suami saya.”ucap Rasya lagi.
“Maaf saya tak boleh.”ucap Hilmi.
“Saya tak nak suatu hari nanti, ketika kita sudah diijabkabulkan, baru saya menyesal.”ucap Hilmi. Rasya rasa tertampar dengan kata-kata itu. Menyesal sangatkah kalau sekadar mengahwini dia? Teruk sangatkan dia? Hatinya menjadi rapuh. Sampai hati Hilmi!

“Awak tahukan, sekali saya sayang orang, saya susah hendak lepaskan?”tanya Rasya. Hilmi angguk.
“Tetapi, hari ini saya tahu saya kena lepaskan awak.”ucap Rasya kemudian melangkah pergi. Tidak sanggup untuk dipandang wajah Hilmi. Hilmi mengkhianati kepercayaan yang dia berikan. Hilmi mengkhianati cinta dan rasa sayangnya. Pedih memang pedih. Tetapi untuk apa meminta jika orang sudah tak sudi?

“Rasya!”panggil Hilmi. Rasya melajukan langkah. Dia tidak mahu terluka lagi.
“Sya..”
Langkah Rasya terhenti apabila tangannya ditarik. Tubuhnya terpaling kea rah Hilmi.
“I’m sorry.”ucap Hilmi.
“It’s your choice.”bergetar suara Rasya. Air mata yang bertakung akhirnya mengalir juga, Hilmi tersentak. Wanita yang selama ini dia sangka berhati batu sedang mengalirkan air matanya. Untuk dirinya!

“Good luck!”ucap Rasya menarik tangannya yang berada dalam pegangan Hilmi. Hilmi melepaskan Rasya pergi dengan perasaan yang bercampur-aduk.
Kenapa sedih itu datang sedangkan dia yang meminta perpisahan? Kenapa rindu itu terus menyapa sedangkan dia yang menjadi pengkhianat cinta mereka? Kenapa hatinya amat berdebar melihat air mata Rasya? Good luck.. Ucapan Rasya itu membuat jiwanya melayang-layang. Dia jatuh kasihan pada Rasya. Dia ingin memiliki Rasya. Tetapi dia tak mahu lagi menoleh ke belakang semula. Irmila lebih penting dalam hidupnya. Tetapi kenapa hatinya tidak ingin melepaskan gadis sebaik Rasya pergi?

Aduh hati! Dia tidak ingin tamak dalam memilih. Dia sudah memilih dan dia sepatutnya tidak lagi menyesal melepaskan Rasya pergi!