CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, May 9, 2013

Cerpen : Wild Weapon Part 1



“Jaga betul-betul Wid. Jangan sampai tertangkap!” suara Mad sepuluh kali memperingatkan aku tidak kupedulikan. Lebih baik dia tu yang berhati-hati sebab misi kali lepas dia juga yang buat onar kumpulan kami.
“Wid dengar tak?” soal Mad menekan suaranya. Aku melirik wajahnya sekilas sebelum membetulkan tempat letak pisau di tepi kasutku.
“Kau tak payah risau pasal Wid, aku percaya kat dia seribu kali lebih daripada kau Mad. Bos suruh kita berhati-hati kau faham tak?” Mikael menyinga. Berubah wajah Mad ditegur oleh Mikael yang lebih senior daripada kami. Rasakan Mad. Lagi nak bising dengan kebolehan aku kan?
Kebisuan malam membuat aku tak sabar-sabar melaksanakan misi terbaru ini. Kalau tidak silap percaturan, inilah masa yang paling sesuai untuk memasuki rumah Tan Sri Hikayad. Sudah lama Dato’ Warith hendak takhta yang dikuasai oleh Tan Sri Hikayad dan kami tidak sesekali mengecewakan dirinya. Dia ayah bagiku sejak aku lahir ke dunia ini. Dia juga pelindungku sejak aku mengenal orang disekelilingku.
“Bos, kita orang dah kat depan rumah Tan Sri Hikayad.” Suara Mikael berbisik masih lagi kedengaran jelas pada pendengaranku.
“Dia okey je,” ucap Mikael separuh melirik ke wajahku.
“Wid, bos nak cakap sikit…” Mikael memberikan telefonnya kepadaku. Segera aku menyambut tanpa menghiraukan jelingan daripada Mad.
“Helo papa….”
“Wid, jaga diri baik-baik. Papa tak nak jadi apa-apa pada anak papa.”
“Jangan risau, Wid okey je..”
Sedari awal Dato’ Warith tidak membenarkan aku menyertai misi ini kerana sangat berbahaya tetapi aku tidak peduli larangannya kerana aku tahu di sudut hati Dato’ Warith dia begitu menginginkan kedudukan Tan Sri Hikayad. Aku tidak tahu bagaimana orangnya Tan Sri Hikayad itu tetapi aku sangat-sangat membenci dirinya seperti Dato’ Warith membenci Tan Sri Hikayad itu.
“Ingat pesan papa, kalau rasa tak boleh tu balik aje ke rumah. Jangan buat kerja gila…”
“Dah rancang sejak tiga bulan pa, bukan tiga hari. Jangan risau, Wid akan dapatkan juga surat saham tu dan video yang papa nak…”
Akupun tidak pasti surat saham dan video itu tapi orang dalaman Dato’ Warith sudah menyatakan yang dia telah meletakkannya di dalam laci keselamatan Tan Sri Hikayad.
“Kita gerak sekarang…” bisik Mikael pelan.
“Wid letak dulu papa… Tunggu berita baik dari Wid.” Aku menyerahkan telefon kepada Mikael semula. Mikael tersenyum penuh makna sebelum memberi isyarat mata agar kami mula memasuki rumah Tan Sri Hikayad.
Satu persatu kakiku mula mengarah ke atas simen rumah Tan Sri Hikayad. Sampai aje di depan pagar, aku mula melompat naik ke tembok tinggi tersebut. Sia-sia aje Tan Sri Hikayad membina tembok setinggi langit kerana aku, Mikael dan Mad telah dilatih sedari kecil untuk menempuhi halangan demi halangan. Aku tak tahu fasal Mikael tetapi yang aku tahu Mad tua tiga tahun daripada aku, dia berumur 20.
Sampai di halaman rumah Tan Sri Hikayad aku segera berlindung di sebalik pokok-pokok yang tersembunyi dan agak gelap disertai Mad dan Mikael.
“Wid, biar aku dulu yang masuk…” bisik Mad.
“Janganlah, kita tengok keadaan dulu.”
“Tak apa, biar aku masuk dulu!” Mad sudah meluru menuju ke tingkap bilik belakang Tan Sri Hikayad.
“Mad!” Kami berdua terjerit kecil.
“Sial!” getus Mikael dengan wajah yang sudah merah menyala. Sudah aku katakan, Mad itu pembawa masalah besar! Kalau tidak kerana kebodohannya ini sudah pasti aku dan Mikael tidak sepanik ini.
“Aku ikut Mad…” ucapku sedikit tertekan. Mikael menggeleng kepala.
“Kita batalkan misi…” Mikael menarik tanganku namun cepat-cepat aku tepis.
“Mad dalam bahaya, Mika!”
Bukan setakat itu aje, sudah 3 bulan Dato’ Warith berangan untuk merampas kemilikan Tan Sri Hikayad takkan sesenang ini kami melepaskan peluang yang terbentang di depan mata.
“Jangan degil Wid…”
“Kalau aku yang berada di tempat Mad kau tinggalkan aku sorang macam tu jugak ke?” getusku merenung wajahnya tajam. Rahang Mikael bergerak-gerak sebelum dia mengeluh besar.
“Sekejap, aku telefon bos dulu.”
“Tak sempat Mika…”
Mikael mengeratkan pegangannya di tanganku.
“Kalau begitu, kita teruskan misi ini. Tapi kau mesti bersama-sama denganku..”
Aku mengangguk penuh yakin. Kami berpimpin tangan menuju ke tepi dinding sebelum dia mengarahkan aku untuk memanjat dinding ke tingkat atas dengan saluran paip yang ada. Perlahan-lahan aku memanjat disertai oleh Mikael. Sampai di hadapan sebuah bilik, aku terus memotong kaca tingkap dengan meletakkan sejenis serbuk dan memotongnya menggunakan pisau yang telah direka khas untuk memotong cermin. Selepas itu aku menyeluk tangan ke tepi tingkap dan mencari pemegang untuk membuka tingkap tersebut.
Dapat!
Perlahan-lahan aku memasuki kediaman Tan Sri Hikayad dan memberi isyarat kepada Mikael untuk menunggu arahan aku yang seterusnya.
Aku menuju ke pintu dan menilik ke luar bilik dengan membuka pintu perlahan.
“Line clear…” bisikku pelan.
“Siapa awak?”
Hampir terloncat aku mendengar suara itu. Laju aku menoleh ke arah katil dan kelihatan seperti seorang lelaki sedang duduk di atas katil merenung diriku
“Syyyhhh…” Aku meletakkan tangan di bibir dan menghampirinya secepat mungkin. Sebelum sempat dia berkata apa-apa, aku telah memukul tepi tengkuknya sehingga dia tidak sedar diri.
“Kau bunuh dia ke?” soal Mikael memasuki bilik tersebut sambil memandang aku. Aku menggeleng kepala.
“Aku belum pernah bunuh orang…” ucapku sinis. Mikael pernah. Itu pun sebab si gila Mad punya pasal dalam misi sebelum ini sesuka hati menyerbu mangsa sehingga mangsa berpeluang untuk menariknya dijadikan bahan ugutan.
“Jom…” Mikael membuka pintu dan memandang wajahku penuh makna di dalam kesuraman malam. Sempat kutilik wajah lelaki yang telah kupengsankan tadi. Nampak masih muda. Barang kali inilah anak Tan Sri Hikayad yang pernah diperkatakan oleh Dato’ Warith. Orangnya kacak serta memiliki wajah yang lembut. Arghh, orang seperti dia tidak layak untuk hidup! Dia lemah!
“Wid…” bisik Mikael keras. Aku berlari menuju ke arah Mikael yang mendahului langkahku menuju ke tingkat atas. Perlahan aku tutup pintu anak Tan Sri Hikayad sebelum mengikut langkah Mikael.
Sampai di bilik keras Tan Sri Hikayad, Mikael bertindak menghancurkan kod rahsia Tan Sri Hikayad dan bergegas mengambil langkah menuju ke tempat keselamatan. Cekap dia membuat kerja sehingga pintu kecemasan itu terbuka luas dan mengambil segala bahan di dalam plastik bersadur yang kelihatan sangat berharga.
“Okay, dah clear. Jom kita keluar.”
Aku sudah tersenyum puas menuju ke pintu bilik keras Tan Sri Hikayad. Berjaya! Kali ini berjaya! Tidak sia-sia aku mengikuti misi kali ini!
“Kau orang bukan perancangan awal masuk ikut pintu belakang?” tiba-tiba satu suara muncul di hadapan kami. Sikit lagi aku membuka bunga silat namun apabila melihat wajah hairan Mad, aku rasa nak hempuk kepala dia ke dinding. Kurang ajar betul si Mad!
“Dah clear, jom keluar…” Aku memberi isyarat kepada Mikael sebelum tanganku di tarik oleh Mad spontan. Tiba-tiba bunyi tembakan meletus keluar. Tidak berdarah wajahku melihat Mad telah menembak Mikael di dadanya.
“Ma…. Mad…” ucap Mikael sebelum jatuh ke lantai. Mad tersenyum lebar sebelum memandang wajahku dan mengacukan pistolnya padaku.
“Ka…kau?” aku memandang wajahnya tidak percaya. Apakah benar semua ini terjadi? Mad tembak Mikael? Tapi mengapa!
“Aku cakap dari awal, hati-hati jangan sampai tertangkap…” bisik Mad mematahkan kunci kakiku sehingga aku tersembam ke lantai. Dia sepak muka aku berkali-kali sehingga aku terasa leher ni dah patah. Celaka Mad! Celaka!
Dengan sisa kekuatan yang ada aku hambat kaki dia sehingga terjatuh dan terhentak terus di pintu bilik keras Tan Sri Hikayad.
“Ya ALLAH… Apa dah jadi?!”
Aku segera menoleh ke arah tangga dan melihat beberapa orang sudah mula menggerumuni kami.
“Pengkhianat kau Mad!” Aku tendang muka Mad sekuat hati sebelum berusaha untuk melarikan diri. Sepatutnya dari awal aku sudah bunuh si Mad tak guna tu! Dendam dan api kemarahanku semakin marak, tak apa, lain kali kita ketemu Mad! Lain kali!
Apabila aku sampai ke tepi tingkap untuk melarikan diri, tanganku sudah digenggam kuat. Kepalaku dihentam hebat. Aku tak sedar apa yang telah berlaku tapi sekiranya mati, aku rela mati begini!





Ada suspen tak buat cerita macam ni? hahahahaha! *asah bakat buat cerita action. Pfftt.