CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, September 4, 2016

HEARTBEAT - PROLOG-



PROLOG
"NAASHA kat mana? Kenapa tak dapat contact dia langsung?" Muhammad Nadzhim menyentuh dahi kuat seolah-olah tekanan yang dihadapinya bukan sedikit.
"Tak perlu cari dia, dia dah pergi jauh!" Pak Cik Naufal memandang anak muda di hadapannya penuh minat.
"Saya datang ke sini sebab dengar dari orang lain keluarga Naasha menumpang di sini buat sementara waktu. Pakcik langsung tak tahu kat mana Naasha?"
Pak Cik Naufal menggeleng kepala. "Nadzhim... Nadzhim kan nama kau tadi?"
"Ya saya Nadzhim." Getus Muhammad Nadzhim perlahan. Rasa cuak dan cemas bergabung menjadi satu melihat ketegangan yang terpamer dari raut wajah lelaki separuh abad itu.
"Kekasih Naasha?"
Muhammad Nadzhim mengangguk berkali-kali.
"Putuskan saja hubungan kau dengan Naasha, pakcik sebagai penjaga dia tak benarkan Naasha menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki." Ucap lelaki separuh abad itu dengan tegas. Namun pandangan matanya masih memerhatikan anak muda di hadapannya dengan teliti.
Tinggi. Sedap mata memandang. Kemas dan nampak berkarisma. Mungkin juga telah mempunyai kerjaya yang kukuh. Cemburu menguasai liang hatinya kerana orang yang mendapat kekasih sebegini sempurna adalah Naasha. Nur Naasha Fatah! Bukan anak gadisnya yang bercinta entah dengan siapa-siapa. Anak imam masjid yang tidak bekerja pula jadi pilihan hati Lidya. Dari dulu sampai sekarang biarpun Lidya dan Naasha sama usia tetapi Naasha mendapat tempat serta pilihan yang lebih baik berbanding Lidya. Mana tidak terbakar rasa dia.
"Apa maksud pakcik?" Kening Muhammad Nadzhim bertaut rapat. Hatinya juga mula rasa tidak sedap.
"Pulanglah. Naasha tak ada di sini." Sombong saja gaya Pak Cik Naufal melemparkan kata.
"Naasha..." Kata-kata Muhammad Nadzhim patah apabila Pak Cik Naufal menghentak kakinya kuat.
"Walau sampai malam kau tunggu Naasha, dia takkan muncul di sini. Sebab aku takkan beri keizinan untuk dia bercinta dengan orang lain!"
Muhammad Nadzhim mengertap bibir. Hairan dan terluka menjadi satu. Seolah-olah jiwanya terhentak dengan kenyataan Pak Cik Naufal itu. "Sekurang-kurangnya pakcik beritahulah saya di mana Naasha sekarang supaya hati saya lega sedikit."
Pak Cik Naufal mendengus kuat. Tadi dia sekadar meminta anak muda di hadapannya itu pergi tetapi melihat kesungguhan Nadzhim hatinya tiba-tiba jadi berapi.
"Kau dengar tak apa yang aku cakap tadi? Naasha tidak dibenarkan bercinta atau menghubungi lelaki lain! Dia aku nak kahwinkan dengan orang kaya!"
Dada Nadzhim bergelombang. Tersentap jiwanya mendengar kata-kata lelaki yang mengakui dia merupakan pakcik saudara Nur Naasha Fatah.
"Dia tak pernah cerita pasal saya pada pakcik, kah? Kami bercinta dah lama. Saya tahu dia perlu sokongan sekarang. Ayah dia baru aje meninggal takkan dia nak kahwin pula." Sedaya upaya dia cuba berlagak tenang namun nada suara Nadzhim sudah berubah keras.
"Terpulang apa kau nak cakap." Pak Cik Naufal tersenyum sinis.
"Ke pakcik yang paksa dia kahwin? Dia baru kehilangan ayah dia. Takkan pakcik nak kahwinkan dia pula?"
"Suka hati akulah, aku ni pengganti bapak dia, tahu? Aku tahu arwah nak aku kahwinkan Naasha dengan orang baik-baik, orang berharta!" Ujar Pak Cik Naufal yakin.
Air muka Muhammad Nadzhim sudah jauh berubah. Hati kecil terluka tetapi separuh jiwanya tetap berkeras untuk bertemu dengan Naasha kerana dia yakin Naasha sedang bersedih ketika ini. Sekurang-kurangnya dia hendak memberikan sokongan kepada Naasha. Kalau ditolak pun biarlah keluar dari bibir Naasha, bukan dari mulut orang lain.  
"Kaya tak bawa ke mana, pakcik! Kalau pakcik tak beritahu saya sekarang tak mengapa. Esok saya datang lagi."
"Hah, perangai tak semengah ada hati nak jadi laki anak saudara aku!"
Muhammad Nadzhim mengertap gigi menahan kesabaran yang hampir hilang. Sudahlah jiwanya diamuk rasa gara-gara gagal menghubungi Naasha berminggu lamanya.
"Saya pergi dulu, assalamualaikum..."
Salam Nadzhim tidak berjawab. Pak Cik Naufal masih membebel di depan pintu sambil bercekak pinggang.
"Siapa tu ayah?" Soal Lidya menjengah keluar rumah selepas meletakkan teh ayahnya yang baru dibancuh ke atas meja ruang tamu.
"Budak tu mencari Naasha, degil tak sudah!"
Lidya mengerutkan dahi memandang langkah lelaki yang cukup segak itu beransur menuju ke Honda putih.
"Kenapa ayah tipu, kan Naasha ada kat dalam tu."
"Kau diam ajelah, Dya. Tak usah masuk campur hal orang tua."
Lidya menghela nafas dalam memandang ke daun pintu bilik Naasha yang tertutup rapat. Naasha di dalam bilik menekup mulut menahan esakan kecil dari bibir. Ingin dia menyeru dan memanggil nama Nadzhim tetapi dia tidak mungkin berganjak dari keputusan yang telah dia buat sejak minggu lepas. Dia takut berhadapan dengan Pak Cik Naufal. Biarpun berkali-kali Naasha menyatakan tidak tetapi Pak Cik Naufal masih kekal mahu menjodohkan Naasha dengan rakan perniagaannya. Kata Pak Cik Naufal nanti dia akan hidup senang tetapi dia cukup faham motif sebenar Pak Cik Naufal yang hanya mahukan dia sebagai kambing hitam dalam bidang perniagaan.
Kalau Nadzhim datang lagi esok, mungkin dia tiada lagi di Johor ini. Atau mungkin di Malaysia ini...
Kalau rancangan melarikan dirinya berjaya, mungkin dia takkan dapat berjumpa dengan Muhammad Nadzhim lagi. Alang-alang dia nak pergi biar semua orang tak dapat menjejaki dirinya lagi. Dia mahu lari dari semua kekusutan dan kesedihan yang terlampau berat ini.
Memandang wajah telus Naazneen yang sedang tertidur di katil bujangnya membuat hati Naasha semakin parah. Bagaimana nasib Naazneen selepas ini dia takkan peduli. Pandai-pandailah Naazneen mencari hala tuju. Bukan dia tidak sayang adiknya itu tetapi Naazneen bukan sepertinya yang sedang didesak dengan perkahwinan yang tidak logik. Naazneen budak baik. Pasti ALLAH melindungi dari bala bencana.
Naasha mendekati Naazneen perlahan. Kepala Naazneen diusap penuh kasih.
“Lepas ni kakak dah tak ada. Kakak pergi jauh. Naaz kena survive.”
Tapi Naaz kecil lagi belum sampai 17 tahun pun! Hati kecil Naasha menjawab. Naasha geleng kepala berkali-kali cuba menghindarkan diri dari rasa bersalah terhadap Naazneen
“Naaz kena kuat tak boleh cengeng lagi. Mama kan masih ada?”
Tapi mama dah gila!
Tak! Naasha menggeleng kepala beria-ia. Dia menggosok dahinya berkali-kali cuba melarikan diri dari segala perasaan yang menyentap hati.
“Maafkan kakak, Naaz.” Bisiknya perlahan. Kalaulah arwah ayah tidak meninggal dalam kebakaran tu... Kalaulah... Air mata Naasha jatuh satu persatu. Kenapa susah sangat ni nak hidup bahagia?

0 Komen untuk Cik Rin: