CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday, July 21, 2018

LELAKI DINGIN BAB 9


BAB 9

UNTUK kali yang terakhir kubaca lagi manuskrip yang telah di edit. Setelah benar-benar berpuas hati, aku menghantarkan emel kepada bos untuk menunggu approval dari dia sebelum dihantar kepada syarikat percetakan.
 “Tak siap lagi ke kerja semalam tu?” soal mak hairan. Aku mengangguk kecil.
“Kadang-kadang tersilap titik pun bawa kesan yang besar. Kena betul-betul polish. Untung ni mak jumpa writer yang siap sedia edit karya sendiri dengan teliti. Orang pernah jumpa writer yang hantar manuskrip mentah, guna English tapi tak italic, bab demi bab spacing enter semua berbeza-beza, tatabahasa terabur tapi demand tinggi melangit. Cerewet nak terbit cepat-cepat walhal writer lain kena bersabar tunggu giliran. Kalau yang tak ada nama lagi kita boleh reject terus karya yang begini. Tapi bos kita orang bila writer dah ada nama susah dia nak reject. Kita orang juga yang jadi mangsa siang malam mengedit raw manuscript.”
“Janji jalan cerita dia elok okey lah tu Riah,” balas mak setelah mendengar bebelan panjang lebar ku itu.
“Penat-penat dia orang tulis takkan mudah sangat nak reject terbit,” sambung mak beria-ia.
“Mak kalau dapat pilihan antara manuskrip yang siap elok dihantar pada kita, kita tinggal bagi cadangan edit jalan cerita atau manuskrip yang mentah huruf besar kecil pun masih tak betul dan kena tumpukan editing bahagian tatabahasa lebih dari jalan cerita penat mak. Sakit kepala satu hal,” balasku lembut.
“Petang ni nak masak apa ae mak?” soalku mengalihkan topik perbualan.
“Riah kan ikut Mia pergi doa selamat. Tak payah la masak,” ujar mak bersahaja.
“Jadi mak makan apa?”
“Pandailah mak nanti. Macam tak biasa pula.”
“Janji mak makan nasi dengan lauk la baru orang senang hati,” ucapku lembut. Mak pandang wajahku dengan senyuman manisnya.
“Diet la mak malam ni, takut nanti gemuk sangat banyak penyakit datang,” ulas mak sambil membelek-belek tubuhnya. Siap memegang perut dan menunjukkan lemak di bahagian situ.
“Mana ada gemuk, mak slim lagi dari Kak Mia.” Aku ketawa kelucuan.
“Didengar kakak tu mahu Riah dengan dia bergaduh nanti.”
“Kenyataanlah mak. Bukan orang menipu, kan?”
Tidak lama selepas itu kedengaran kereta masuk ke halaman rumah. Mak memanjangkan kepala menjenguk dari pintu rumah yang sedia terbuka.
“Tu ha baru aje disebut dan muncul dah.”
“Siapa mak?” Aku kelam kabut nak masuk ke dalam bilik. Mana tahu Kak Mia bawa sekali Abang Hafni dan saudara-mara dia yang lain kan? Maklumlah nak pergi majlis doa selamat ni mesti beramai-ramai. Mengenangkan itu, terdetik di hati ini untuk membawa mak sekali untuk pergi bersama-sama kami.
“Mia seorang aje tu,” balas mak seolah-olah memahami kekalutan diriku. Aku duduk semula dengan menarik nafas panjang. Jam di tangan ku tilik sambil menyandar pada dinding rumah kayu kami.
“Baru nak Maghrib, awalnya kakak datang.”
“Assalamualaikum! Mak...” Tak menyempat pun Kak Mia terus menuju ke arah mak dan mencium pipi mak bertalu-talu. Aku angkat sebelah kening tanda mengejek tingkahnya yang keanak-anakan.
“Mak aih, makcik seorang ni.. Belum siap pun lagi! Nak jalan dah ni Riah oi.” Kak Mia menampar bahuku kuat sebelum memeluk tubuhku dan mencium pipi kiri dan kanan.
“Kata tadi lepas solat. Awal lagi, kak.”
“Mana pula awalnya. Kenalah mandi dulu takkan tunggu nak pergi baru terhegeh-hegeh nak mandi. Pakai baju kurung cantik sikit jangan pakai t-shirt nak pergi joging.” Pesan Kak Mia sambil menolak-nolak tubuhku mahu aku berdiri dan bergerak untuk bersiap. Cepat saja aku bangun kerana rimas di tolak oleh Kak Mia.
“Tak bawa Abang Hafni dan Leana sekali kak?” tanyaku sambil masih cuba menjauhkan diri dari capaian Kak Mia.
“Katanya penat. Akak kasi chance kat dia duduk main dengan Leana berdua aje. Biar dia kenal sikit dengan perangai anak dia tu.” Kak Mia membetulkan tudung litup di kepala.
“Kalau macam tu kita tak payah pergi je la kak. Duduk lepak kat rumah aje.” Usulku cuba mempengaruhi Kak Mia. Semangat nak pergi tu dari 50% turun ke 10% aje. Sikit lagi aku sambung baring di depan televisyen. Penat mengedit masih tidak hilang-hilang.
“Banyak cantik, akak dah janji dah Riah. Bukan nak ajak pergi parti.” Usai Kak Mia melontarkan kata-katanya, mataku spontan jatuh ke arah mak. Memang tak syak lagi Kak Mia 100% ambil DNA mak sampai ayat yang digunakan hampir sebiji.
Selesai mandi dan solat, Kak Mia mengheret tanganku menuju ke keretanya. Aku pun apa lagi buat-buat malas melangkah lambat-lambat tapi sebenarnya nak bermanja. Bukan apa, Kak Mia dan aku dulu-dulu lagi  rapat dari sekarang ni. Sejak dia kahwin dan ada anak, tumpuan dan perhatiannya tidak seperti dulu ke atas aku dan mak. Tapi itu adalah tanggungjawabnya dan aku serta mak memahami Kak Mia. Cuma aku bersyukur sangat ada kakak seperti Kak Mia yang selalu menjadikan kami sebagai keutamaan. Kata Kak Mia siapa lagi yang dapat kami jadikan tempat bergantung kecuali kami bertiga sesama sendiri.
“Pergi rumah siapa ni kak?” soalku meletakkan telefon bimbit di atas riba setelah puas bermain game Candy Crush. Kak Mia memandangku sekilas.
“Baru nak tanya ka? Ingatkan langsung tak kisah akak bawa ke mana-mana.”
Aku menyentuh tudung dan membetulkan bucunya. “Familiar aje jalan yang Kak Mia bawa ni.”
“Memanglah. Ke rumah lecturer akak yang hari tu Riah pergi.”
“Ah?” Aku menegakkan tubuh agak terkejut. Baru saja ke rumah itu minggu lalu, minggu ni takkan nak menyemak kat sana lagi? Getusku di dalam hati. Tiba-tiba saja jari jemariku jadi seram sejuk. Dah lain macam pula degupan jantung ni.
“Ya.. Prof Azria dia jemput Riah datang sekali ke majlis doa selamat untuk anak lelaki dia tu.”
“Ainal Aliff? Aalif?” Terlintas nama itu dalam kepalaku. Senyuman Kak Mia memekar ke pipi.
“Mak aih ingat pula Riah nama penuh pakwe seorang tu kan? Dah falling in love kat dia ke Riah?” Usik Kak Mia penuh makna. Aku kertap bibir.
“Tak ada maknanya kak. Dia tu langsung tak ada perasaan. Ada beza ke dia dengan Azli?”
“Takkan nak samakan pula Riah oi. Dah nyata-nyata dua orang tu jauh berbeza. Tak nampak ke Ainal tu lagi kaya.”
Aku cemberut. “Masalahnya Ainal kaya sebab family, tapi Azli pula hasil pendapatan sendiri.”
“Riah terlalu memandang rendah pada Ainal. Kakak tak rasa kekurangan dia langsung, Riah. Malah kalau dibandingkan dengan Azli, kakak boleh tahu yang Ainal lebih pure... Innocent. Tengoklah dia nak bergaul dengan orang pun tak reti.”
“Itulah masalahnya.” gumamku pelan. Ada ke orang nak berpakwekan Ainal tu. Tak faham sungguh aku.
“Riah tahu kenapa Azli tetap nak saman walaupun hal datang dari pihak dia?”
Aku pandang wajah Kak Mia kerana tidak berniat untuk menjawab sama sekali.
“Sebab dia orang ego. Kesilapan yang berpunca dari pihaknya sendiri. Family dia orang tak dapat terima.  Dia orang ingat boleh dibetulkan tapi sayang hati Riah keras dan semakin keras bila dia orang guna cara yang tidak sepatutnya.”
“Hmm.. Orang tetap tak nak. Apa-apa jadi orang memang tak nak.”
“Lambat-laun mereka sedar yang Riah dah berputus arang. Tapi kalau nak cepat lagi, Ainal Aalif kan ada?” Kak Mia tersengih panjang. Aku memonyokkan muka.
“Apalah akak ni, takkan nak jadikan Ainal tu kambing hitam. Kesian kat dia. Dah la muka stress memanjang. Kepala pun dekat nak botak.” Aku cakap beria-ia.
“Nasib baik akak dah bersuami tau,” ucap Kak Mia nakal. Aku menjulingkan mata. Sajaja Kak Mia ni, suka sangat menyakatku!
“Kak Mia lagi suka Ainal dari Abang Hafni ka?”
“Isy, minta jauhkan. Akak suka Ainal sebagai adik ipar je Riah. Akak yakin tau orang macam dia takkan curang.”
“Memanglaaaa...” Aku menepuk dahi sendiri. Tak perlu Kak Mia terangkan aku sendiri dapat merasakan kekurangan dalam diri Ainal Aalif. Biarpun aku berlagak selamba tetapi dalam hati ada rasa takut dan seram bila berhadapan dengannya.
“Tapi Kak Mia tengok Riah dapat je bergaul dengan dia. Rileks aje. Lecturer akak tu bukan main lagi WhatsApp minta akak bawa Riah sekali. Prof Azria yakin Riah dapat berkawan dengan anak dia.”
“Entah apa-apa aje.” Aku memalingkan muka ke luar, bertentangan dengan Kak Mia yang khusyuk memandu. Sebal je tiba-tiba jadi mangsa keadaan begini.
“Riah jangan risau sangat, kat sana nanti Riah cuma perlu doakan kesejahteraan Ainal supaya dia mampu sembuh sepenuhnya. Kalau Riah tak sukakan dia pun tak apa tapi kita ke sana atas jemputan jadi tak elok kita menolak. Jangan nak tunjuk muka 10 sen pula bila dah turun ke rumah tu nanti.”
“Orang okey.”
“Tapi macam marah kat akak aje tu gayanya.”
Aku mengerut kening sedikit. “Tak la teruk sampai nak marah. Tapi kalau akak bagitahu awal, orang dapat bersedia lebih awal. Taklah menggelabah begini.”
“Riah tak perlu cuak. Melainkan Riah ada perasaan kat Ainal itu berbeza,” ucap Kak Mia lembut. Kata-kata Kak Mia terkesan di hatiku.
“Ala setakat kawan je dulu,” komen Kak Mia lembut. Aku termangu kecil. Nanti kalau orang tu rasa lebih-lebih kat aku, aku nak buat apa nanti? Macam tu juga dengan aku. Kalau tiba-tiba aku ada rasa lebih-lebih kat dia, aku nak buat apa? Ainal tu bukan senang nak mendekatinya dan nanti aku juga yang terkial-kial tackle dia.
Hati ni masih lagi tertanya-tanya, serius ke dia kirim bunga tu tempoh hari? Dia setakat nak main-main ke atau... saja-saja? Tak boleh nak fikir lagi dah.



0 Komen untuk Cik Rin: