CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, January 2, 2012

Cerpen: Selamilah Hatiku





Aku terlalu naif untuk semua ini. Air mata itu amat murah untuk ku curahi. Kami berkahwin atas dasar suka sama suka kerana dia anak kepada kawan rapat papa. Kami dijodohkan secara tiba-tiba dan kami bersetuju walau aku tahu perkenalan kami baru setahun jagung. Menyesalkah aku sekarang? Aduh.. Bantulah aku ya tuhan....

Gambar-gambar yang ada di mataku bukan palsu. Itu gambar suamiku dengan wanita lain. Berpeluk erat. Seperti wanita disisinya sedang mabuk.

Suamiku mengambil kesempatan? Kenapa dia jarang balik ke rumah? Kenapa outstation tak sudah-sudah? Aku terhempap dengan persoalan sendiri. Apa sebenarnya terjadi? Kasih dan sayangku untuknya baru bercambah mesra... Kenapa tidak dia turut menyemai cinta itu? Apa yang harus ku buat dengan semua gambar ini? Kalau betul dia menyukai wanita ini, bagaimana aku?

“Husband kau punya ex-girlfriend tau!” Jerit Ikha.

“Mana kau dapat gambar ni semua?”tanyaku. Aku tau Ikha siapa. Dia bukan seorang yang suka menabur fitnah.

“Kalau aku beritahu mesti kau tak percaya... Yalah, siapalah aku nak mencampuri urusan rumah tangga korang, kan? Tapi aku memang tak ada niat jahat. Aku tau aku ni jahat sikit. Memang aku kahwin dengan Dato’ Janis sebab harta. Tapi aku bahagia. Jangan la kau salah faham aku nak rosak rumah tangga kau dan Syafiq. Cuma kau patut lebih prihatin dengan siapa dia keluar, kenapa dia keluar.. Itu hak kita sebagai isteri. Kalau kau dah tengok gambar ni, kau tanya dia baik-baik, kau minta dia setia pada kau seorang,” ujar Ikha tenang.

Aku hanya mampu terdiam. Aku tahu sikap dan perangai Ikha yang mungkin agak keterlaluan. Dia telah mendapat apa yang dia ingini, kahwin dengan orang kaya dan hidup senang. Jahatkan? Jahat sangatke? Bagi aku itu pilihan dirinya sendiri. Yang penting, dia tidak memudaratkan orang-orang di sekelilingnya dan dia tidak pernah juga menjahati aku.

“I’m so sorry Rissa. Aku memang tak nak beri gambar-gambar ni pada kau. Tapi aku rasa semacam aje, rasa tak patut untuk diamkan perkara ini. Aku dapat pun secara kebetulan. Ini semua aku dapat dari Janis. Bawah desk dia semasa aku pergi kat pejabat dia. Dan bila aku tanya pada Janis siapa perempuan tu, dia cakap itu gambar isteri adiknya. Adik minta dia mata-matakan isteri dia sebab adik dia rasa isteri dia ni curang.” Tambah Ikha apabila aku terus membisu. Kalau adik isteri Janis curang, orang yang bersama adik Janis itu, suami aku. Aku terhenyak dengan kenyataan ini.

“Rissa, aku harap kau bijak bertindak. Memang aku lemah bab agama. Tapi kau cuba halang segala seribu satu kemungkinan yang akan terjadi pada perkahwinan kau. Kau kena matang selesaikan benda-bendani. Kau pun baru kahwin dengan dia setahun.” Nasihat Ikha lagi.

Aku masih diam. Selepas Ikha pergi, aku menangis sepuas hati. Apa aku nak buat lepas ni, Rissa? Bisik hati aku sedih. Aku rasa tertipu dan dikhianati suami sendiri. Apa yang Syafiq mahukan sebenarnya? Tak cukupkah aku seorang di hati? Ataupun... Akulah insan yang menghalang cinta antara Syafiq dengan wanita ini? Wanita ini adalah bekas kekasih Syafiq. Walau apapun, tentu mereka mempunyai cerita sendiri yang tak mungkin aku cerobohi.

Syafik pulang dari kerja pukul 6 petang. Dia nampak letih. Dalam diam aku tertanya-tanya, pernahkan Syafik iktiraf aku sebagai ratu hatinya?

“Abang ada outstation selasa depan. Seminggu. Marissa nak ikut?”tanya Syafiq. Aku menggeleng. Bukankah itu jawapan yang selalu ku berikan padanya? Aku punya kerja. Dia pun tahu itu. Kalau dia ajak sekalipun, aku memang harus bekerja.

“Abang dah makan?”tanyaku. Dia mengangguk. Aku berdiri di sisinya. Ingin bertanya tentang gambar-gambar tadi. Tetapi aku tetap kaku sendiri. Kenapa sedikit pun aku tidak mempunyai kekuatan untuk bertanya pada Syafiq?

“Rissa ada benda nak cakap dengan abang ke?”tanya Syafiq menarik tanganku agar duduk di sampingnya. Aku terpaku. Menggeleng. Dia mencium pipiku.

“Abang pergi Thai tak lama. Kalau dapat uruskan cepat, abang baliklah... Esok kan Ahad. Rissa ikut abang ke Mall ok? Kita shopping,”pintanya. Aku mengangguk lagi.

Cintakah dia padaku? Ah, tak mungkin. Kami baru mengenal hati budi masing-masing. Tapi, aku amat mencintai dia... Kenapa aku saja yang tergila-gila padanya?

Dia memiliki segalanya... Wajah tampan, harta, dan peribadi yang menarik di mata wanita. Aku? Perempuan yang biasa. Dibandingkan aku dengan bekas kekasih dia, aku jauh berbeza.

Aku menangis di kamar dalam diam. Ku renung wajahnya dalam. Sedikitpun aku tak punya kekuatan.





Kami pergi ke pusat membeli belah jam 10 pagi. Dia sempat memujiku cantik. Dan aku rasa amat dihargai walaupun aku sedar penampilan aku amat biasa seperti hari yang lain. Setelah dia memilih barang-barang untuk dibeli sama ada untuk aku dan dia, dia mengajak ku makan di restaurant.

“Abang, Rissa rasa Rissa tak jadi terima tawaran sambung belajar kat Australia tu,”ujarku. Dia senyum.

“Terpulang atas kehendak Rissa. Itu jawapannya. Seperti mengingini aku pergi. Aku beristighfar. Syaitan mana yang menghasutku ketika ini untuk buruk sangka terhadap Syafiq? Tiba-tiba telefonnya berdering. Aku melihat dia berjalan ke satu sudut dan mencari privacy sendiri. Aku hanya diam memandang makanan di depan mata yang sedang dihidangkan oleh pelayan.

“I’m sorry Riss. Abang ada hal urgent. Rissa makan sorang. Rissa balik guna teksi okey? Nanti abang bayar bil,”ujarnya tergesa-gesa meninggalkan aku.

Aku terpinga-pinga melihat dia membayar harga makanan di kaunter pembayaran. Aku bergegas mengikutinya. Kenapa kali ini dia tidak mengajak aku sama? Sudahlah dia menyuruh aku balik menggunakan teksi. Tak pernah dia begitu. Aku melihat dia menuju lif tingkat atas. Hati ku berdetak hebat. Tatkala aku sampai di tingkat itu, kelibatan Syafiq hilang. Aku mengeluh.

“Ya, memang I ada hubungan dengan Arisa. You tolong lepaskan Arisa, Lan. You tahu you dah rampas dia dari I. You ambil kesempatan pada dia semasa I pergi ke German habiskan Master I kan? You pulangkan dia pada I.” Itu suami aku... Dan ayat yang keluar dari bibir suami aku itu seperti membunuh jiwaku!

Aku terpaku melihat drama di depan mata. Inikah sebenarnya? Wanita bernama Arisa itu menangis. Dan dialah juga wanita yang sama di dalam gambar itu. Apakah Syafiq menikahiku kerana nama kami hampir sama. Menyebut namaku saja cukup membuat dia teringat Arisa. Aku berlari ke arah lif dan pulang ke rumah. Dan malam itu Syafiq tak pulang. Apa yang harus ku lakukan? Menunggu Syafiq melepaskan talak dan menyaksikan dia dan kekasihnya bersatu? Apa yang mungkin aku lakukan? Air mata ku mengalir. Dan aku hanya tahu menangis.

“Kenapa abang tak balik malam tadi?”tanyaku. Dia diam.

“Abang ada masalah?”tanyaku cuba memberi pengertian. Dia mendengus kasar sebelum menolak aku ke tepi. Aku terkedu. Inikah tandanya Syafiq mahu aku berundur? Kalau dia menyayangi kekasihnya itu, aku sedia berkorban. Tetapi kenapa harus dia menunjukkan kebencianya terhadap aku? Aku menangis lagi.

“Abang, abang sayangkan Rissa?”tanyaku memandang wajahnya sewaktu dia membaca buku sebelum tidur. Dia memandangku hairan.

“Kenapa? Rissa nak apa ni?”tanya dia memandangku hairan.

“Kenapa? Rissa nak apa ni?”tanya Syafiq lagi. Aku terkelu. Apa yang Rissa nak? Rissa nak cinta abang! Jerit hati aku pilu. Malunya aku... Menagih cinta dan kasih kepada seorang lelaki yang sudah mempunyai kekasih hati...

“Abang, kalau abang nak ceraikan Rissa, Rissa redha.” Suaraku hampir tak kedengaran. Dia terkedu.

“Eh, apani? Soal cerai pulak? Kenapa nak cerai tiba-tiba?”tanyanya merenung anak mataku.

“Rissa.. Rissa nampak.... Abang...” Aku tertunduk.

“Rissa...” Dia memanggilku lembut. Aku hampir menangis. Kenapa dia membuat wajah seperti itu? Ekspresinya sekarang seperti rasa bersalah padaku. Tak! Dia tak salah kalau betul dia ingin melepaskanku.

“Rissa dah ada orang lain...” bibir aku pantas terucap. Berhenti serta merta tangannya yang sedang membelai wajahku. Dia terkesima.

“Rissa cakap apa?”tanyanya. Tentu hatinya lapang melepaskanku tanpa rasa bersalah kini. Aku jadi sedih...

“Rissa dah ada orang lain, bang...” Aku luahkan lagi. Wajahnya merah.

“Apani?”tanyanya bagai hilang akal. Aku tunduk.

“Ok. Cuba Rissa beritahu abang apa masalahnya?” Dia seakan cuba bertenang dari kemarahan dia.

“Rissa ada orang lain.” Aku sudah mula teresak-esak. Dia menolak aku kasar.

“Jadi aku ni apa!”tengkingnya tiba-tiba. Tangisku mula kedengaran. Aku takut dengan amarahnya. Dia berdiri.

“Ampunkan Rissa bang...”berdosakah aku? Aku Cuma mahu kesenangan untuknya. Akan berakhirkah segalanya malam ini? Aku tak sengaja... Aku tak mahu di ceraikan malam ini...

Dia segera pergi dari bilik. Menghempas pintu bilik sekuat hati sebelum meninggalkan aku teresak sendiri. Abang... aku merintih kesal.




Aku membawa diri bila saja Syafiq tak pernah pulang ke rumah sejak dua minggu lalu. Aku mengemas barangku. Biarlah aku melupakan dia sepanjang pengajianku di Australia nanti. Tiba-tiba aku terdengar bunyi kereta di luar rumah. Aku bergegas ke ruang tamu. Syafiq berdiri memandangku.

“Abang?” Aku hairan. Dia menghampiriku. Dia tetap segak seperti dulu. Pasti dia bahagia di samping Arisa.

“Rissa...” serunya sambil menarik tanganku duduk di sofa.

“Abang tak kisah hati Rissa ada orang lain. Tapi Rissa kena lupakan dia. Rissa di samping abang, dan Rissa kena belajar mencintai abang. Rissa lupakan dia ya?”tanyanya lembut. Aku terpana. Kagum dengan keputusannya. Dia menerima aku apa adanya. Memaafkan kesilapanku walaupun aku mengaku ada orang lain yang bertakhta di hati ini.

“Rissa jangan tinggalkan abang...” Dia memelukku lembut. Aku terdiam.

“Abang mandi dulu, lepasni kita keluar makan. Abang banyak cerita. Maafkan abang lama tak pulang rumah. Tunggu abang ya?” Dia pergi masuk ke kamar.

“Rissa, dah siap? Aku hantar kau, Milla tak dapat hantar kau.” Tiba-tiba Danny masuk ke rumahku. Aku terkejut. Danny adalah teman kuliahku dulu dan suami kepada Milla, sepupuku.

“Danny...” Belum sempat aku mengatakan rancanganku terbatal, tiba-tiba beg aku di lontar tepat di kakiku. Wajah Syafiq membahang marah.

“Oh, kalau abang tahu Rissa dah ada keputusan, abang tak kan minta Rissa lupakan dia. Pergilah, abang tak kisah tak beristeri pun! Pergilah!! Aku tak tahu yang kau dah packing barang nak tinggalkan aku!!” Suara Syafiq umpama halilintar. Aku terkejut melihat dia marah.

“Berapa kali kau tidur dengan dia?” jerkah Syafiq ke arah aku. Aku terkedu melihat kemarahannya. Kalaulah Syafiq mahu, dia boleh memukul aku sekarang. Tapi wajah Syafiq berubah tiba-tiba. Seperti terluka. Terlukakah dia? Aku menginjak-injak maruahnya sebagai suami. Tetapi ini semua salah faham!

“Abang, ni semua salah faham...”

“Aku tak perlukan seorang isteri. Pergilah! Jangan kau muncul lagi depan aku!”dia menolak tubuhku kasar. Dan Danny menyambut tubuhku yang hampir tersungkur. Syafiq menghalau aku! Dia menghempas daun pintu bilik kami. Kami?

Aku menyedari kesilapanku kali ini amat terlambat bila mendengar suara Syafiq keras dan hempasan kaca dari dalam bilik utama. Perlahan-lahan aku duduk di kerusi kereta Danny.

“Terkejut aku. Kau ok?”tanya Danny. Aku mengangguk. Air mataku jatuh tatkala kereta yang aku duduki sudah berada di luar perkarangan rumahku. Syafik salah faham! Dia salah faham!

“Betul ke kau nak pergi? Aku ada isteri juga. Kalau dia buat macam yang kau buat ni, aku pun tak suka,”ujar Danny.

“Walau apapun masalah engkau, dia ketua keluarga. Beri dia kepercayaan penuh. Sebab aku tengok dia betul-betul sayang engkau. Lagipun, setiap keputusan suami itu ada sebab. Tapi kalau dah macam ni, terangkan pada dia apa yang berlaku sebenarnya. Kalau kau pergi macamnipun hati kau tak kan tenang. Sebab dia salah faham. Dan kau dianggap berdosa. Kau fahamkan? Aku tak nak terlibat dalam masalah kau, tak pasal-pasal pulak jadi kecoh dek orang. Seribu kemungkinan akan terjadi. Dan aku tak nak rumahtangga aku juga terlibat,”sambung Danny. Aku terkedu seketika. Danny menyedarkan aku tentang sesuatu. Tentang ‘ketua keluarga’. Tentang kepercayaan. Dia sentiasa menyelamatkan segala kekeruhan rumahtangganya sedangkan aku? Mengeruhkan keadaan yang sedia keruh..

“Kalau dia dah sejuk sikit, kau jumpa dia sebelum ke Australia. Sebab kalau kau tak pujuk dia, aku takut kau menyesal kemudian hari.”

“Aku kena jumpa dia?”tanya aku mencari kepastian. Danny mengangguk.

“Terangkan semua salah faham,”tambahnya lagi.

“Tapi aku dah buat silap besar. Aku cakap yang aku ada lelaki lain sebelumni...” Tiba-tiba Danny menghentikan keretanya.

“Kau dah gilakah? Betul ke kau ada lelaki lain?”tanya Danny meninggi suara. Aku menggeleng. Danny mengucap panjang.

“Apapun masalah, kau tak bolehlah cakap macamtu. Ni yang aku bimbang, kalau dia salah faham, nanti orang lain pun salah faham yang aku ada apa-apa dengan kau. Aku rasa dia memang salah faham tentang kita. Tapi Riss, tak ada seorang lelaki pun mampu berfikir rasional kalau isteri sendiri mengaku ada kekasih lain selain daripada dirinya sendiri.” Terngiang-ngiang kata-kata Danny di telinga ku.

Akukah yang bersalah? Bukankah Syafiq mempunyai pilihan hati yang lain? Aku tak dapat melupakan wajah Syafiq ketika itu. Kenapa rasa berdosa itu lebih dari segala-galanya sedangkan aku sekadar hendak memulangkan apa yang sepatutnya menjadi milik Syafik sejak dari dulu? Air mataku mengalir. Jauh di sudut hati aku, aku ingin hidup di sisi suami aku seumur hidup ini.





Sudah seminggu aku meninggalkan rumah. Keputusan aku muktamad. Aku tak kan Menyambung pelajaran di Australia. Tekad. Apa sekalipun yang terjadi, sama ada Syafiq masih menginginkan aku atau tidak, aku tak kan meninggalkannya semula.

Tetapi, dapatkah dia menerima seorang isteri yang mengaku curang pada suami sendiri? Kalau dia tak nak aku, dengan siapa aku nak bergantung hidup selepas ini
?

Perlahan-lahan aku menjejak kaki ke rumah. Sejenak aku termenung di depan rumah. Aku memasuki ruang tamu dengan emosi bercelaru. Tiada kelibatan Syafiq walaupun pintu utama tidak berkunci. Hatiku berdetak kencang. Aku membuka pintu bilik utama. Air mataku mengalir. Memandang wajah tenang Syafiq menunaikan solat. Kasih-sayangku menggunung tinggi untuknya. Aku melutut di depan Syafik setelah dia selesai solat. Wajahnya berubah. Dia memandang aku tanpa bersuara. Dan aku meletakkan kepalaku di ribanya.

“Rissa sayang abang. Danny tu suami sepupu Rissa. Dia jemput pun Rissa terkejut, sebab isteri dia tak dapat datang jemput Rissa untuk pergi Australia. Rissa tak pernah ada lelaki lain selain abang. Rissa yang salah sebab Rissa terbayang-bayang yang abang tak pernah mencintai Rissa. Rissa minta ampun. Rissa cintakan abang...”

“Abang...” Aku merayu kepadanya. Dia terdiam.

“Abang tak pernah kembali kepada Arisa...” Suaranya ada getar. Aku tersentap. Dari mana dia tahu yang aku meraguinya kerana Arisa?

“Kenapa tak percaya suami sendiri?” tanyanya kecewa. Aku menggeleng kepala sambil memandang wajahnya.

“Rissa minta maaf banyak-banyak...”aku meminta. Takut andai lelaki itu kecil hati.

“Sakitlah...”Dia menunjukkan dadanya kepada aku dan aku cukup faham kesakitan yang menimpa dirinya. Aku jadi sayu.

“Kenapa tak tanya suami dulu? Kenapa korbankan perkahwinan? Abang tahu Rissa tak sayangkan abang, tapi....”dia menelan air liur. Aku terkejut melihatnya. Aku sayangkan dia!

“Kalau abang tahu, abang tak kan jumpa Arisa, tak kan tolong dia... Kalaulah abang tahu betapa rapuhnya hubungan kita...” Sekali lagi aku terkejut mendengar ayat yang dimuntahkan dari bibir Syafik. Kata-kata itu lebih kepada kekesalan. Dia menghukum dirinya sendiri. Aku rasa berdosa.

“Bukan macam tu,” pujuk aku.

“Abang tak tahu macam mana yang Rissa maksudkan. Tapi yang abang nampak, Rissa tak pernah menghargai abang, Rissa lebih rela melepaskan hubungan kita... Rissa dah,... Rissa dah tinggalkan abang dengan senang hati.. Cuma abang yang beria-ia selamatkan hubungan kita... Kalau Ikha tak beritahu sebenarnya, tentu abang masih fikir Rissa ada lelaki lain... Kenapa tak percayakan suami?” Aku lihat dia amat terkilan. Begitu juga aku. Kenapa aku membuat kesimpulan tanpa berfikir dahulu? Ikha pernah kata, tanya Syafik dan jangan buat keputusan melulu. Tetapi aku abaikan nasihat Ikha dan inilah jadinya! Aku melukai hati seorang suami..

“Rissa yang silap... Rissa ingat abang bahagia dengan Arisa. Rissa ingat abang pilih Rissa jadi isteri sebab nama Rissa hampir sama dengan Arisa... Rissa silap.” Aku akui kesilapan ini. Dia hanya diam.

Bila aku melihat anak matanya, aku nampak dia amat terluka. Dia seakan-akan merasakan aku sama sekali tidak mencintainya. Perlahan-lahan aku mendekati dirinya. Meletakkan kepala aku di dadanya supaya dia tidak merasa keseorangan menyayangiku.

“Lepasni, walau siapa perempuan di sisi abang, Rissa serang dia sampai dia takut jumpa abang. Abang milik Rissa seorang.. Kalau abang jumpa Arisa tu lagi, abang taulah akibatnya.” Ugut aku separuh bergurau untuk mengubati luka di hatinya. Dia aku. Aku mencium dahinya. Tolonglah jangan sampai begini.. Bisik hati kecilku.

“Lan seksa Arisa. Dia minta tolong pada abang.” Tiba-tiba Syafik bersuara.

“Rissa percaya. Rissa tak ragu, abang cintakan Rissa selamani..” Aku memeluknya. Dia merenung aku.

“Jangan lupa abang kat sini.... Abang tunggu Rissa selamani...”bisiknya membalas pelukanku.

“Rissa tinggalkan abang tapi abang kenalah cari Rissa. Kenapa tak cuba pujuk Rissa?”tanyaku hairan. Memang persoalan itu selalu bermain di minda sepanjang beberapa hari aku keluar dari rumah ini .

“Abang takut... Abang takut Rissa lari terus pergi Australia... Abangkan jahat?” katanya hampir tidak kedengaran. Hatiku tersentuh. Aku capai tangannya dan memandang wajahnya dalam.

“Rissa sayang abang,”



-------------



Sewaktu mataku hampir terlelap, aku merasai Syafiq menyentuh wajahku.

“Abang tunggu Rissa, abang tunggu Rissa.. Terima kasih sebab balik... Kalau Rissa pergi Australia pun, abang masih tunggu Rissa... Kenapa cakap yang Rissa dah curang pada abang? Abang hampir nak gila masa tu tau. Abang tak nak kehilangan Rissa. Bila lelak itu jemput Rissa, abang lagi sakit hati. Abang risau Rissa tak sayang abang macam abang sayang kat Rissa..” Luahnya di sisi aku.

Air mataku mengalir dalam diam. Biarlah dia meluahkan perasaan.... Aku berlaku kejam. Kalau aku tahu dia mencintaiku... aku tak akan jadi bodoh untuk meninggalkan dia begitu....

“Kalaulah Rissa tahu...”kata-katanya terhenti. Dia memeluk pinggangku dari belakang. Aku masih berpura-pura tidur.

“Abang cinta kat Rissa dari dulu...”bisiknya pelan. Aku menahan nafas. Teringat kali pertama dia datang pada ku meletakkan handphone nya di tangan ku. “You jaga handphone ni macam you jaga I boleh tak? I nak ke toilet..” betapa dia mempercayai aku walau selama ini kami memandang antara satu sama lain dari jauh. Mulai hari ini, aku akan kekal berada di sampingnya dan cuba menyelami hatinya. Mulai dari hari ini, aku janjikan dia kebahagiaan kerana memiliki aku sebagai isteri. Ini janji aku... Aku biarkan dia mendakapi aku erat kerana sentuhannya membawa sejuta kebahagiaan buat diriku...



~자ㅅㅣ아니~