CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, August 1, 2017

JHD BAB 1

BAB 1

"UMI risau,"
"Hid tak mati lagi," balas Hid Johar bergetar.
Jawapan Hid Johar menggigit hati ibunya.
"Umi risau," luah Puan Aniqah lagi. Hid Johar tersenyum pahit menentang redup mata wanita separuh abad di hadapannya.
"Kalau umi menangis lagi, Hid kalah nanti," balas Hid Johar perlahan. Wajah pucatnya nyata mengalami kesakitan yang amat. Puan Aniqah mengertap bibir dan cepat-cepat mengesat air matanya yang tidak mahu berhenti mengalir.
"Hid kena selamat juga. Dah lama kita tunggu peluang ni, Hid kena kuat."
Hid mengangguk kecil. "Umi tak boleh sedih." Kalau Hid mati pun umi jangan sedih.. sambung Hid di dalam hati.
"Hid.." Esakan Puan Aniqah semakin kuat.
"Tak boleh menangis lagi lepas ni. Hid tak nak dengar umi menangis." Suara Hid tenggelam timbul gara-gara sukar untuk bercakap kerana dia bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan.
Dia mahu meminta uminya untuk tidak bersedih dan menangis andainya ditakdirkan nafas menghilang dari muka bumi namun sekali lagi kata-kata itu bagai tersekat di hujung lidah. Kalau boleh dia mahu umi terus bertabah dan bersabar sepanjang ketiadaannya namun air mata Puan Aniqah membuat bibirnya kelu. Untuk diluahkan tidak sampai hati kerana melihat wajah Puan Aniqah yang sudah tak keruan.
"Peluang untuk sembuh tu ada, tapi kita harap Encik Hid Johar dan keluarga untuk lebih bersedia." Masih terngiang-ngiang di telinga Puan Aniqah dengan permintaan doktor lelaki separuh abad yang akan melakukan pembedahan untuk menukar hatinya dengan hati yang baru bagi meneruskan hidup. Sebenarnya walaupun peluang itu tinggal 10% saja pun, Puan Aniqah tetap percaya dengan kehidupan Hid Johar, satu-satunya anak lelaki yang dia ada. Puan Aniqah tetap percaya satu hari nanti Hid akan bernafas seperti sediakala tanpa bantuan dari alat pernafasan. Satu hari nanti Hid akan menyapa Puan Aniqah dengan senyuman lebar tanpa tercoret sedikit pun rasa sakit pada air mukanya.
"Hid, banyak-banyak baca ayat yang umi pesan. Hid kena kuat sayang. Pegang apa yang ALLAH dah janjikan. Di setiap kesukaran pasti ada hikmah tersembunyi. Dosa-dosa kita ni nak, akan diampunkan oleh ALLAH dengan rasa sakit yang Hid tengah tanggung sekarang ni. Percayalah, Hid ada umi dan ada Jihanna. Hid tak bersendirian."
Tangan Hid Johar digenggam oleh Puan Aniqah, mahu berkongsi sedikit kekuatan dengan anaknya.
"Tahu..." Hid jawab sepatah. Matanya sengaja ditutup rapat. Air mata jatuh ke hujung telinga.
'Kalau Hid tak ada nanti, umi kena kuat dan kena teruskan juga hidup. Lupakan Hid. Lupakan anak umi ni.' Hati Hid Johar berbisik untuk kali yang terakhir sebelum katil hospital ditarik masuk ke bilik pembedahan.
"Hid, akak nak jumpa Hid nanti. Kita kan dah janji, Hid dah janji temankan akak untuk ke Korea. Kan?" Suara halus Jihana menusuk jiwa Hid Johar.
Hid Johar mengangguk kecil. Janji itu, dia tidak pasti tertunai atau tidak tapi yang dia mahu sebelum dirinya bertempur di ruang bedah, kakak dan uminya tersenyum sebelum mereka berpisah. Tapi yang dia nampak hanya air mata yang mengiringi pemergiannya.
Sungguh, dia juga punya rasa takut. Dia juga tidak mengharap tinggi keluar sebagai insan yang hidup selepas ini. Hid mahu bersedia mana tahu jasad terpisah dengan roh sebentar lagi.
Hid Johar menelan air liur kesat apabila beberapa orang doktor bersedia di sekelilingnya. Terasa tangan dan kakinya jadi sangat sejuk. Jiwanya juga kosong dan reda. Inikah perasaan apabila tiba diambang maut? Ya ALLAH... Ampunkan dosa-dosaku yang tak terkira banyaknya.
Jika hati itu diganti, adakah kesakitan dan rasa sengsara itu boleh berlalu hilang dari hidupnya? Dia tidak sanggup untuk bergelut dengan kesakitan seperti yang dilaluinya sepanjang dua tahun ini. Terlintas difikiran Hid Johar mati itu lebih baik daripada hidup menanggung kesakitan seperti ini..
Tapi umi dan Jihanna bagaimana?



"TAK ada harapan lagi, memang tak boleh. Dua hari terlantar. Kelmarin lagi keluarga dia dah call mami kata oksigen dah tak masuk dalam otak Azri. Doktor kata kita kena bersedia."
"Jadi mami nak Win buat apa?"
"Win isteri dia, sekurang-kurangnya Win sedih ke apa."
Awina cebik bibir. "Azri tu mi, dia sukakan orang lain berbanding isteri sendiri! Takkan Win nak bazirkan air mata jumpa dia di sana?"
Datin Alia menepuk dahi melihat telatah anaknya.
"Win betul-betul ke ni? Langsung tak nak jumpa dia untuk yang terakhir kali?"
"Dia dah koma, nak jumpa buat apa. Win tak nak la tengok dia dalam keadaan macam tu. Win takut!" Dia masih lagi memberi alasan. Wajahnya jadi berubah kelu sebaik saja terbayang-bayang air muka Azri yang sedang menunggunya di katil hospital.
"Win ingat boleh selamat ke macam tu? Baik Win jumpa dia alang-alang dah ada kat sini. Sementara tu minta kat dia supaya jangan roh dan hantu dia kacau Win lepas ni." Datin Alia menjegil mata.
"Mami!" Awina terkesima. Tidak menyangka Datin Alia percaya dengan benda karut-marut begitu sedangkan Datin Alia adalah wanita yang moden dan bergaya.
"Win dah kahwin dengan dia lima bulan. Dalam lima bulan ni Win asyik bergaduh aje dengan Azri. Win ingat Win selamat dunia akhirat?"
Awina menggigit bibir. Dia tidak suka dengan kenyataan Datin Alia namun sedikit sebanyak hatinya tergerak juga. Banyak mana dia bencikan Azri, dia perlu meminta maaf kepada lelaki itu kerana dia masih lagi isteri yang sah. Untuk tempoh lima bulan yang panjang, yang sangat menyiksa jiwa dan raga, Awina mahu Azri yang meminta maaf kepadanya. Untuk apa dia diikat andainya sebagai bahan mainan saja?
Kesal.
"Pergi cepat. Nanti dia kena masuk bilik bedah."
Awina mengeluh panjang.
"Muka dia hancur tak mami?"

"Taklah, cuma jangan pergi tengok kaki dia atau bahagian bawah, takut Win trauma nanti." Datin Alia termenung pendek cuba membaca tingkah Awina. Anak perempuannya itu seperti masih menyimpan dendam walhal menantunya sedang berjuang demi sebuah kehidupan. Tiada perasaan langsungkah Awina?
Awina mengertap bibir.
“Teruk sangatkah mami?” soal Awina teragak-agak.
Datin Alia mengangguk kecil.
Awina hela nafas dalam. Dia jadi takut tiba-tiba.
"Mami temankan boleh?” Pinta Awina perlahan.
"Win pergilah sendiri. Mami dah pergi tengok tadi. Dia tu tak ada sesiapa Win, kita aje yang dia ada."
"Mana pergi kekasih dia tu mami? Dah lenyap ke dah mati sama?” Sempat Awina menyindir.
Datin Alia mengeluh. Degil Awina kadang-kadang boleh membuat sabarnya menjadi runcing.
“Dia ada adik, family, takkan semua tak datang?” Awina mengerut dahi.
"Isy, pergi cepat!" Datin Alia menolak bahu Awina kuat. Banyak songeh pula anaknya itu.
"Sekurang-kurangnya jenguklah si Azri tu,” sambung Datin Alia melihat Awina memuncungkan bibir.
“Cinta separuh mati dia kat perempuan tu, mami. Sampai Win ni dah jadi macam lalat nyamuk aje kat rumah tu."
“Win jangan ego sangat, kita tak tahu bila Azri akan pergi. Ditakdirkan dalam masa seminit ni dia jadi arwah, Awin reda?”
Awina menundukkan kepala. Ya dia ego, dia degil. Tapi degilnya bersebab. Dia tidak sampai hati untuk melihat keadaan Azri saat ini. Bagaimana jika dia tidak mampu untuk mengawal emosinya nanti?
"Win sayangkan diakan sebenarnya?" tanya Datin Alia lembut.
"Tak pernah pun Win pasang harapan kat dia. Win tahu dia kahwin dengan Win sebab papa. Tapi tengoklah sekarang, ada papa ke sini lawat menantu kesayangan dia? Dulu beria-ia nak kahwinkan Win dengan Azri. Kalau Win tahu macam ni, baik Win kahwin dengan orang lain aje. Banyak je yang nakkan Win jadi isteri."
Semakin panjang bebelan Awina dek mengingati kejadian beberapa bulan kebelakangan ini. Kahwin paksa rela, fikirnya akan ada bahagia seperti kisah cinta dalam drama. Aduh, tak perlulah imaginasi setinggi Kinabalu bila realiti itu sebenarnya pahit seperti hempedu!
"Mami minta maaf sebab biarkan Win lalui semua ni. Kalau mami tegas sikit, mesti Win tak perlu datang ke sini, tak perlu mengalami semua ni. Tapi mami tak nak Win jadi orang yang tak ada perasaan. Mama tak nak Win jadi hati beku, apa-apa pun dia masih suami Win. Kalau Win tak sempat minta maaf kat dia, Win bawa dosa tu sampai ke alam barzakh."
Awina mengerut dahi. Kata-kata maminya semakin membuat dia tidak keruan.
“Kalau nak kata memang Win tak setuju dengan pilihan papa, Win sendiri takkan setuju. Tapi Win memang ada hati pada Azri, kan?”
Awina memejam mata rapat mendengar teguran Datin Alia. Nafas dihela berat.
“Pergilah Win, untuk kali terakhir. Azri tu tak ada peluang untuk hidup langsung, Win..”
Lama Awina berteleku mencari kekuatan.
"Win masuk dulu," ujar Awina melangkah perlahan masuk ke bilik ICU. Beberapa mata jatuh ke arahnya sebelum dia benar-benar masuk ke dalam tirai yang menempatkan jasad Azri yang terlentang kaku.
Hati Awina beristighfar panjang. Tadi jiwanya seakan-akan mati. Seolah-olah dia terlepas dari beban yang berat. Namun melihat keadaan Azri membuat air matanya bergenang panas.
"Ri..." Getus Awina tanpa sedar. Dia mendekati lelaki itu. Tubuh lelaki itu bukan seperti tubuh Azri yang tegap dan gagah. Wajah Azri yang pucat lesi membuatkan jantungnya bergegar kuat.
“Ri...” Seruan Awina lirih. Air mata jatuh berderai ke pipi. Nafasnya jadi sesak!
“Ri kenapa you jadi macam ni?” Dia berbisik menyapu air mata yang jatuh di pipi. Dia kena kuat. Kena tabah.
"Maafkan I sepanjang jadi isteri you..." Suaranya jelas sarat dengan perasaan. Matanya terus menatap wajah lesu Azri yang tidak bertenaga, tidak seperti selalunya.
"I minta maaf," ucap Awina halus. Tangannya menggigil menyentuh pipi Azri. Rasa keliru, pedih dan sakit mengamuk di dalam kepala. Jiwanya dirasuk dengan bersalah walaupun bukan dia yang menyebabkan Azri terlantar kaku di situ.
"I minta maaf... I tak pernah hargai you."
Awina tunduk hampir dengan wajah Azri. "Kalaulah I tak ego, mungkin kita takkan jadi macam ni. I tak nak sayangkan orang yang tak sayangkan I. You tahu I macam mana. You tahu I lebih dari orang lain." Awina menggigit bibir. Sebaknya menyesak dada.
"Tapi kalaulah you dulu yang cari I, yang pegang tangan I, pasti kesudahannya lebih baik lagi. Andai kata ditakdirkan you hidup, you kena cari I dan you kena sayangkan I."
Awina teresak kecil. Tapi harapan tu dah lenyap. Awina sedar Azri tidak punya banyak waktu kerana disahkan brain death. Kalau tidak kerana Datin Alia memaksanya untuk turun dan melawat Azri, mungkin sampai ke saat ini Awina sedang meratap di dalam bilik tidur menanti Azri datang kembali kepadanya dalam keadaan sihat semula. Untuk sedar dari koma pun Azri sudah hilang peluang apatah lagi untuk sembuh dan pulih seperti biasa!
"Cari I dulu..." ucap Awina dengan sebak yang menyesak.
“Kalau you sembuh, I tak kisah, Ri. I tak kisah apa aje keadaan you, I terima.Cari I. Bangunlah Ri... Bangun...” ujar Awina sedikit kasar. Keluhan terlepas dari bibirnya dan dia hampir jadi gila apabila realiti menghentak pertimbangannya. Dengan keadaan Azri begini, Awina sedar tiada lagi mimpi indah yang boleh digapai bersama.
"Puan, saudara kepada pesakit ke?" Tiba-tiba suara jururawat mengganggu tumpuan Awina.
Awina mengangkat kepala mengesat air mata. "Ya saya."
"Puan, pesakit dulu ada perjanjian yang telah ditandatangani untuk derma organ. Apabila kita berhentikan alat bantuan pernafa..."
Awina menekup mulut dengan kedua-dua belah tangannya. Air mata jatuh ke pipi tanpa dipinta.
"Puan?"
Awina berteleku sebentar dan kemudian terus memeluk jasad Azri yang telah kaku.
"I cintakan you..." bisiknya ikhlas, dari hati yang paling dalam. Pipi Azri dikucup sesaat. Pipi yang tidak pernah disentuhnya. Pipi yang pernah didambakannya pada malam pertama. Cuma malam terakhir ini barulah Awina punya kekuatan untuk menyentuh wajah cinta pertama yang mengusik ruang hatinya. Beribu kesalan singgah menghamburi seluruh jiwa.
Awina tahu dia telah kecundang dengan perasaannya sendiri.



"PUAN Awina dan keluarga boleh tuntut jasad suami malam ni. Tapi kalau nak ambil esok pun boleh."
Awina tidak bereaksi membiarkan saja Datin Alia yang menguruskan segala-galanya.
"Kami akan ambil jasad esok pagi. Boleh tak mandikan dan sembahyangkan di sini aje esok?"
"Boleh puan."
"Terima kasih.."
"Takziah puan di atas kehilangan,"
Datin Alia mengangguk kecil. Dipandangnya Awina sekilas. Hairan berdetik di hati melihat Awina seolah-olah hilang semangat. Takkanlah kerana dipaksa untuk menghadap Azri tadi anak perempuannya itu jadi hilang akal pula. Sebelum ini bukan main lagi Awina berlagak seperti tidak kisah.
"Win, jom balik."
"Azri?"
"Esok kita uruskan."
Awina tercebik menahan diri dari menangis kuat. "Kesian dia, mami.."
"Dah pulak," keluh Datin Alia melihat Awina seolah-olah tidak mahu bergerak.
"Mami, Win macam dah jatuh sayang kat dia."
"Apa dia Win?"
Awina menghadap wajah Datin Alia. Matanya kembali bergenang dan jari-jemarinya menggenggam lengan Datin Alia.
"Win cinta kat dia, Win sayang kat dia."
"Baru hari ni Win sedar?"
"Win tak pernah cinta dia, mami," esakan Awina kian jelas.
"Win, mana ada perempuan yang jatuh cinta orang yang dah meninggal." Datin Alia mengeluh kuat. Apa kena dengan Awina, tiba-tiba saja buat perangai.
"Tapi selama ni Win memang tak pernah sayangkan dia, kenapa sekarang Win baru nak cintakan dia? Kenapa macam ni? Kenapa hati Win sakit sangat mami? Peliknya mami, hati Win ni dari tadi tak berhenti-henti berdebar. Takkanlah Win sayangkan dia lepas dia dah mati..."
"Win dengar sini, itu bukan perasaan cinta Win. Apa yang Win rasa tu sebenarnya simpati, rasa bersalah dan empati Win terhadap dia. Faham tak ni?" soal Datin Alia risau melihat keadaan Awina yang berubah dari tenang kepada kacau bilau.
Air mata Awina semakin jatuh seperti hujan. "Win rasa sesak kat dada, mami. Win tak boleh terima benda ni. Azri tak boleh mati lagi, Azri tak sepatutnya tinggalkan Win!"
Datin Alia cepat-cepat merangkul tubuh Awina. Bibirnya digigit kuat menahan rasa sakit melihat Awina tersiksa. "Win tadi elok aje."
"Win tak boleh terima!"
Datin Alia menarik kepala Awina ke dadanya. Jika tidak ditenangkan dia risau Awina semakin hilang akal. "Win," bisik Datin Alia sayu. "Terima aje Azri dah tak ada. Jangan ada penyesalan..."
"Win sayangkan dia, mami..."
"Mami tahu perasaan Win kat Azri. Win memang dah sayangkan dia dari dulu. Tapi sebab Azri tak balas perasaan Win, Win kaburi dengan rasa benci dan dendam. Sebab tu mami pernah beritahu Win, bila kita dah sayang berilah segala usaha pada dia supaya tiada penyesalan. Dia dah tak ada Win, segalanya dah berakhir."
Mendengar pujukan Datin Alia barulah Awina bertenang sedikit.
"Ya ALLAH, Alhamdulillah Jiha... Hid selamat. Alhamdulillah!"
Datin Alia melempar pandangan ke arah seorang wanita seusianya yang sedang dihamburi air mata. Wajahnya menggambarkan kesyukuran dan kegembiraan. Wanita itu mencium dan memeluk wanita muda yang berhampiran dengannya.
Mereka berdua sama-sama berpimpin tangan mengekori katil hospital milik si pesakit apabila katil hospital itu ditolak keluar dari unit pembedahan ke unit ICU. Unit ICU yang pernah menjadi tempat arwah Azri sepanjang dua hari terlantar di sini akibat kemalangan.
Datin Alia menghela nafas panjang. Mereka sedang bergembira kerana orang yang disayangi itu selamat. Namun Awina sedang bersedih kerana suaminya baru saja dijemput menghadap Ilahi. Dia dengar dari staf nurse, lelaki yang baru saja berjaya dibedah itu sudah berminggu-minggu menduduki katil ICU. Arwah Azri pula baru dua hari tapi ALLAH pendekkan nafasnya untuk mengurangkan kesakitan yang dialami. Datin Alia jadi insaf.
"Win doakan kesejahteraan arwah Azri ya," bisik Datin Alia perlahan.
Awina mengangguk kepala dengan sisa esakan yang tinggal.







0 Komen untuk Cik Rin: