CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, August 1, 2017

JHD BAB 6


AWINA membelek-belek majalah yang diletakkan oleh Datin Alia di atas meja tamu tetapi fikirannya melayang-layang entah kemana. Sejak beberapa malam ini dia terpaksa bergantung dengan ubat tidur untuk menenangkan kepala dan minda. Payahnya hanya ALLAH saja yang tahu. Untuk diluah kepada Puan Alia dia tidak punya kekuatan kerana dimarahi oleh Puan Alia sebaik sahaja maminya itu tahu yang dia membuat kacau dimajlis sanding Azamri dan Lisa.
"Termenung lagi. Win dah malam ni, pergilah masuk tidur." Tegur Datin Alia tenang. Wajah Awina nampak rungsing tetapi dia tidak dapat menebak hati Awina sejak akhir-akhir ini. Rindukan arwah Azri kah? Atau pasal Nadia yang Awina sibuk fikirkan.
"Sekejap lagi."
"Tak sejuk ya pakai baju macam ni?"
"Tak boleh tidur..."
"Win jangan telan ubat tidur ya. Mami tak suka."
Kalau tak minum ubat tidur Awina tak dapat tidur, mami! Jerit hati Awina.
"Dah besar, dah matang, dah boleh fikir baik buruk. Jangan nak buat mami risaukan Win," ucap Datin Alia menarik majalan di tangan Awina dan meletakkannya di atas meja.
"Win masuk bilik, tidur. Jangan fikir sangat. Esok boleh masuk ke pejabat, minta kerja kat Datuk Mikayel supaya Win tak fikir benda pelik-pelik lagi."
"Minta kerja kat Datuk Mikayel?" Terasa janggal pula dia mendengar Datin Alia menggelarkan papa sebagai Datuk Mikayel.
"Dah berbulan-bulan Win goyang kaki kat rumah, eloklah turun kerja."
"Win jadi penganggur ni sebab arwah Azri, mami. Mami juga yang cakap elok jadi suri rumah sepenuh masa."
"Sekarang ni Win bukan suri rumah lagi. Win dah jadi balu."
Awina menggaru kepala yang tidak gatal.
"Masuk bilik pakai baju yang tebal sikit." Datin Alia menepuk bahu Awina lembut seraya berlalu pergi ke tingkat atas. Dia juga mahu merehatkan kepala dan mindanya setelah sehari suntuk sibuk menemani Datuk Mikayel ke majlis-majlis yang memerlukan dia berdandan dan bergaya.
"Baik, mami!" Awina menjawab separuh menjerit. Dia bangun naik ke tingkat dua.
Dulu dia dan arwah tinggal di rumah lain tapi apabila arwah Azri dah tak ada, Awina kembali berpindah ke rumah ibu bapanya semula.
Sayangnya dulu Azri tidak menggunakan seluas-luas privasi yang diberikan oleh keluarga mereka untuk membina hubungan yang kukuh mereka suami isteri. Semakin banyak jurang yang terbentuk kerana Azri langsung tidak berusaha dan dia pula membawa ego setelah ditolak berkali-kali. Di mata Awina, bayangan Azri masuk ke bilik kerja dan tertidur di meja kerja atau ruang tamu itu sering terlintas di dalam ingatannya. Awina yang selalu menghendap perbuatan Azri yang leka dengan game dan Awina yang sengaja menyembunyikan bola besbol kemenangan Azri juga selalu muncul. Bodohnya, macamlah Azri tak tahu dia mencuri bola lelaki itu. Kerana kenangan-kenangan itulah dia mengambil keputusan untuk tinggal di rumah Datuk Mikayel dan Datin Alia semula.
Awina menutup pintu kamar dan mengambil sweater yang tergantung di belakang daun pintu. Dia berjalan menghampiri jendela dan memandang ke bawah untuk seketika. Belum sempat dia menarik langsir, Awina terpandang sebuah kereta masuk ke simpang rumahnya dan berhenti betul-betul di depan pagar rumah.
Lama Awina mengamati sebaik sahaja pemandunya keluar dari kereta dan berdiri tegak menghadap rumahnya.
Azri?
Awina tercengang.
Perlahan-lahan dia menepuk pipi.
Dia merenung lelaki yang berdiri di depan pintu pagar dengan tenungan yang tajam. Bukan Azri. Gaya aje seperti Azri. Tapi siapa?
Lelaki itu mendongakkan kepala dan mata mereka seolah-olah bertaut walaupun dengan jarak yang jauh.
"Hid..." Bisik Awina di dalam hati.


"WHY are you here?"
Awina bertanya sebaik sahaja pintu pagar terbuka dan dia benar-benar berdiri dihadapan Hid Johar. Hid terkebil-kebil memandangnya.
Awina mengangkat kening, "Anything? You need?" Sebiji sebiji ayat keluar dari bibir. Rasa hairan bercambah-cambah di dalam hati.
Melihat Hid hanya sekadar memandang ke kiri dan ke kanan, Awina mula sedar lelaki itu tiada tujuan untuk muncul ke sini.
"Pukul berapa dah ni?" Awina mengangkat tangan kirinya dan menilik jam. Hid turut serentak menilik jam di tangan.
"11 malam." Bibir Hid menggumam.
"Ya, 11 malam. Awak muncul kat sini tapi pukul 11 malam."
"I'm so sorry." Luah Hid Johar dengan rasa bersalah.
Awina mengangkat bahu tersenyum kecil. "Saya tak boleh jemput awak ke rumah pukul 11 malam. Parents saya dah rest kat dalam. Dan untuk ajak awak keluar minum pun, rasanya tak dapat kut. Lewat sangat."
"Again, I'm so sorry.” Hid bersuara dengan nada bersalah mengakui kekhilafan sendiri. Dia pun tak pasti kenapa dia berada di situ selewat ini.
"Eh, tak apa. Saya tak marah." Awina menggaru pipi kirinya beberapa saat. Pelik tapi tak juga menyalahkan Hid Johar.
"Tapi mesti ada sebabkan awak datang ke sini?"
"Saya lepak dengan kawan, tiba-tiba aje saya kat sini."
Kening Awina bertaut. "Awak mabuk?"
Hid tersenyum senget. "Macam tengah mabuk ke saya ni?" Tidak menyangka sampai begitu sekali Awina berfikir.
"Of course not." Awina tersengih-sengih tahu dia teka main aci redah saja. Sebenarnya ingin bergurau tapi gurauan itu tidak menjadi kerana berbaur nada serius. Entah-entah dia dah kecilkan hati Hid Johar tadi.
"Instict nak datang ke sini ya?" Sambung Awina mengendurkan suara.
"Pardon?"
Awina menggenggam kedua-dua tangannya. Sejuk. Dia melirik ke arah lelaki di hadapannya. Tidak sejukkah? Rambut Hid Johar sedikit kusut ditiup angin yang agak kuat malam ini.
"Maksud saya naluri. Kadang-kadang tu saya pun pernah pergi ke satu tempat walaupun awalnya nak pergi ke tempat yang lain dengan tujuan lain. Tiba-tiba aje. Macam kena pukau tapi lepas dah sampai blurr tak tahu nak buat apa.." Awina cuba memahami Hid Johar dari sudut pandangannya. Bila diingat semula Awina pernah juga ke rumah lama walau dia tiada tujuan untuk ke sana. Cuma mengikut perasaan tanpa berfikir panjang. Mana tahu Hid Johar pun begitu juga, menjejak kaki ke sini sekadar suka-suka tanpa niat yang pasti.
“Saya kena pukau?” Tanya Hid Johar menyembunyikan senyumannya. Kena pukau siapa? Awina?
Tahukah Awina maksud di sebalik kata-katanya sendiri? Awina seolah-olah menyatakan bahawa dia mempunyai perasaan pada wanita itu. Tapi Awina tetap berdiri tegak di situ dengan muka ‘saya tak tahu apa-apa’ sambil memandangnya  dengan renungan kosong.
"Mungkin saya teringatkan awak kut Awina." Dia kembali bersuara menyedari lurusnya Awina saat ini.
Awina mengangguk kecil masih gagal untuk membaca fikiran lelaki itu. "Mungkin..."
"Hmm. Saya pun tak faham dengan diri sendiri. Maaf dah mengganggu awak malam-malam ni. Saya ingat awak takkan sedar saya ke sini.”
"Aha. Kadang-kadang saya tak faham dan tak kenal diri saya juga. Don't worry about that. Kalau tak ada apa-apa saya masuk dululah. Awak pun kena balik rumah juga sebab dah lewat." Awina menarik hingus yang hampir keluar. Sejuk!
Hid Johar mengangguk kecil.
"Thanks Awina." Hid senyum. Awina mengangkat tangan tanda dia tidak kisah.
Sebaik sahaja pintu pagar terkunci dan Hid melihat Awina bersahaja memasuki perkarangan rumah, Hid mengusap wajahnya berkali-kali. Mujur Awina tu blurr. Kalau dia tahu apa yang bermain di mindanya saat ini pasti wanita itu tak percaya.
Ni dah kira teruk sangat Hid. Biar betul rindu kat dia sampai bawa kereta malam-malam setakat untuk melihat jendela bilik wanita itu...
Mujur Awina tak melatah biarpun di wajahnya seperti timbul seribu satu persoalan.
Hid melangkah masuk ke dalam kereta Jihana dan memandu secepat yang mungkin untuk keluar dari kawasan perumahan elit Awina. Dia perlu mengawal angaunya agar tidak kelihatan gila di mata wanita itu mulai sekarang.



0 Komen untuk Cik Rin: