CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, August 13, 2017

LELAKI DINGIN BAB 4



AKU hubungi Kak Mia setelah sampai ke rumah. Mak hantar pesanan yang dia ke rumah paklang hari ni dan akan pulang selepas Maghrib nanti. 
"Kenapa Riah?" Soalan pertama Kak Mia bila talian disambungkan. 
"Hmm... Kak kat mana?"
"Kat rumah la dah nak Maghrib. Masak untuk family," balas Kak Mia. 
Aku serba-salah. Lama juga aku tidak bersuara sehingga Kak Mia berdeham beberapa kali. 
"Tak apalah kak. Kak Mia teruskan saja kerja tu, nanti Mia contact lagi." 
"Apahal pula ni? Cerita ajelah bukannya akak tengah masak pun. Sekejap lagi baru turun dapur." Kak Mia menekan suaranya. 
"Kak Mia janganlah marah."
"Bila masa pula marah, kang betul-betul marah padan muka Riah." 
Aku terus tekan dahi. Ingatlah nak luah masalah tapi akhirnya tertekan sendiri dengan sikap kurang sabar Kak Mia. 
"Si Azli tadi jumpa orang kat pejabat." 
"Dia nak apa?" Jelas suara Kak Mia tengah terkejut sekarang. Aku hela nafas panjang teringat pertemuan yang tak sampai lima minit tu. Harap lepas ni dia jangan jumpa aku lagi. 
"Dia nak sambung balik pertunangan," terangku sepatah demi sepatah. Entah kali yang ke berapa Abang Azli turun ke pejabat untuk berbincang semula denganku. 
"Apasal pula mamat tak betul tu nak minta sambung balik?" 
"Orang tak nak. Betul ni..." jawabku bersungguh-sungguh. Sekali dia ada perempuan lain, dua tiga kali dia boleh buat benda yang sama. Lagi-lagi bila dah kahwin nanti sebab kahwin tu bukan garanti hidup bahagia. 
"Apa dia cakap?"
Aku termangu beberapa ketika memikirkan ayat yang terbaik agar Kak Mia tidak salah faham. 
"Cakaplah tak payah nak ragu-ragu. Mana tahu akak boleh tolong." Suara Kak Mia mengendur. 
"Dia kata dia tahu perasaan Azri pada orang, tu sebab dia tak balas mesej orang dan tak call orang sebelum ni." 
"Isy, boleh percaya ke dia tu Riah."
"Orang boleh rasa dia bercakap jujur aje kak."
"Riah nak dia balik?" 
Aku tahan nafas. Sebenarnya 30% dari hatiku cuba mempengaruhi agar aku kembali kepada lelaki itu dan cuba memberi peluang lagi padanya tetapi sebahagian besar cuba berpegang pada keputusanku sebelum ini. 
"Tak." Aku jadi ragu tapi jawapanku tetap satu. 
"Riah ni nak yang mana satu, keliru akak." 
"Ibu dia nak saman malu kat keluarga kita kalau tak sambung balik hubungan kami."
Aku dengar suara Kak Mia mencarut mungkin kerana terlalu geram. Tidak mampu tidak bibir ini spontan tersengih kecil menerima sumpahan demi sumpahan Kak Mia yang agak janggal masuk ke dalam telinga. 
"Kak Mia tahu? Azli dah lama tahu perasaan Azri untuk orang selama ni. Sebab tu dia kata dia tak layan sangat orang sebelum ni."
"Habis siapa nak jawab perempuan-perempuan yang lepak dengan dia tu Riah? Kan Riah juga yang cerita." 
"Orang pun tak pasti kebenaran hubungan Azli dengan kawan-kawan dia tu."
"Kawan pula dah? Yang Azri tu apahal mengarut sangat suka tunang abang sendiri. Tak faham aku dengan keluarga ni," rungut Kak Mia geram. Aku terdiam sebentar sambil menarik nafas dalam. 
"Orang tak nak mak susah hati." 
"Bukannya tak susah hati lagi dah kalau ada orang ugut sampai mahkamah. Riah ingat Riah dapat adapt dengan family yang macam tu ke?"
"Teruk sangat ke kak?" Aku mula gelisah. 
"Tak teruk apanya Riah? Nanti apa-apa hal jadi alamatnya kau orang turun naik mahkamah setiap tahun agaknya," ucap Kak Mia menakut-nakutkan aku. 
Terus aku jadi seram sejuk. Biar betul kemungkinan Kak Mia ni, teruk sampai macam tu sekali ke?
"Akak nak ke rumah lecturer yang akak cerita hari tu esok, Riah nak ikut tak?"
"Lecturer mana?" 
"Yang anak dia sakit tu."
Entah mengapa jantung ini tiba-tiba berdetak laju, tak sedap hati. Apa masalah aku pula ni diajak melawat pun gelabah tak tentu pasal. 
"Akak nak orang kahwin dengan anak dia aeh?" 
"Eh mana ada, melawat ajelah dik oi. Bukan suruh kahwin terus. Mana tahu Riah tukar fikiran nak berkawan dengan dia."
"Dia tu siapa kak?" Aku mengangkat kening.  
"Nama ke dik? Ainal Aliff. Akak pun esok baru nak kenal juga, kesian dengan lecturer duk cakap anak dia tekanan emosi dah teruk sangat sampai tak nak jumpa orang lain."
Aku terkebil-kebil pandang dinding. 
"Akak fikirlah kalau dah teruk sangat hantar je kat hospital sakit jiwa. Ni dengan mak-mak dia sekali stress sampai nak gila." 
"Akak rapat sangat dengan lecturer tu yang pasal dia mengadu saja-saja kat akak."
"Dia supervisor akak lah dik, kalau tak rapat mana akak nak cekau idea buat thesis?" 
Betul juga cakap Kak Mia. Dia kan agak hard working sikit. Dari sekolah memang akan sentiasa rapat dengan cikgu-cikgu untuk mendapat yang terbaik. Kak Mia seorang yang perfectionist. Selagi dia boleh buat benda tu jadi perfect, dia takkan berhenti berusaha. Tak hairanlah dia rapat dengan pensyarahnya untuk menyiapkan tugasan dengan sepenuh hati. Lagipun Kak Mia jenis yang cepat mesra dan senang berkawan dengan orang lain, tak macam aku ni. Sejak dulu orang selalu menyatakan perbezaan karakter antara kami terlalu jauh. Dan aku pun tak nak dengki dengan apa yang Kak Mia ada sebab Kak Mia selalu melindungi dan menjaga aku sebaiknya. 
"Lama akak kat sana? Mak dah tahu akak pergi rumah dia?" soalku ingin tahu. 
"Husband akak dah tahu, tapi mak belum," terang Kak Mia bersahaja. Memanglah husband dia kena tahu, sebab dah kahwin pun. Tapi aku kena beritahu mak juga kerana aku masih di bawah tanggungan mak sehingga aku kahwin. 
"Orang join akak ajelah esok, bukan ada buat apa pun kat rumah." 
"Ha, gitulah. Tak la akak kekok sangat seorang aje melawat ke rumah dia orang." Suara Kak Mia menunjukkan dia gembira sangat. Aku tersenyum kecil. Rupanya Kak Mia segan nak datang seorang diri, patutlah beria saja nak bawa aku ke sana sekali. 
"Nanti orang kasi tahu mak dulu."
"Esok akak ambil Riah awal pagi tau," ucap Kak Mia. 
"Pukul berapa? Leana bawa sekali ke?" 
"Lea duduk kat rumah dengan nenek dia. Dalam pukul 9 pagi macam tu okey tak? Rumah dia orang dekat sejam juga tu baru sampai."
"Amboi, jauhnya." Aku sedikit terkejut. 
"Alah, sejam aje pun, bukan lima jam," ujar Kak Mia bergurau. 
"Okey lah kak."
"Okey okey pun kena pakai baju cantik sikit ya, dik. Mana tahu betul jadi menantu keluarga tu." Usik Kak Mia seraya ketawa kecil. Aku mencemik muka. 
"Tak naklah kahwin dengan orang yang pernah accident teruk, takut otak dia senget kang..."
"Isy, tak baiklah Riah ni. Bayangkan kena kat batang hidung sendiri."
Aku jadi insaf sejenak Kak Mia menegur diriku. Dalam hati berbisik dan beristighfar berkali-kali membuang rasa bersalah bercakap tanpa berfikir terlebih dahulu. Dada jadi sebak tiba-tiba.
"Orang main-main aje kak," ujarku dengan nada rendah. 
"Tahu tapi lain kali jangan bergurau macam tu. Kita tak tahu bila masa ALLAH nak menduga, Riah."
"Hmmmm..."

0 Komen untuk Cik Rin: