AWINA berhenti membelek buku resepi di tangan.
Buku diletak ke rak yang tersedia di bilik tidurnya. Dia mengambil losyen
seraya menyapukan ke kaki dan tangan. Setelah siap menyapukan losyen, Awina
menatap wajahnya di depan cermin. Teringat semula perbualan bersama Datin Alia
dan Datuk Mikayel sebentar tadi membuatkan dadanya sesak.
Awina mengusap wajahnya dan segera
mengurangkan suhu aircond di bilik.
Dia ke langsir untuk mengunci jendela biliknya. Tangannya berhenti dari
mencapai engsel jendela sebaik sahaja matanya menangkap seseorang di luar pintu
pagar depan rumahnya.
Awina mengertap bibir. Seperti dejavu. Dia
kenal sangat dengan lelaki itu walau dari jauh. Perlukah kali ini dia menyoal
lelaki itu kenapa dia datang balik ke rumahnya malam ini?
Awina mencapai tudung di dalam almari dan
mengenakan baju lengan panjang. Dia melangkah senyap-senyap ke tingkat bawah.
Mujurlah Datuk Mikayel dan Datin Alia sudah masuk tidur walau jam baru
menginjak ke angka 10.40 malam. Dada Awina berdegup kencang ketika membuka
pintu pagar rumahnya.
"Awina..." Hid terkebil-kebil
memandang Awina.
"Kenapa? Terkejut?" soal Awina
memeluk tubuh.
Hid memasukkan tangannya ke dalam poket.
Fikirannya kusut sebentar tadi dan nalurinya membawa dia ke sini.
"You are so weird," ucap
Awina kecil.
"Am I?" Hid tersenyum
kecil, senyum tanpa nada. Senyum tanpa hati. Malu apabila ditangkap
mentah-mentah oleh wanita itu sendiri. Dia menghedap bukan bermakna dia jahat.
“Saya ingat awak dah tidur,” ucap Hid
menghela nafas dalam.
"Nak nombor telefon saya tak? Kalau
nak datang sekurang-kurangnya call
dulu." Awina mengangkat kening dengan senyuman di bibir.
Hid menaikkan keningnya hairan. Adakah
Awina mula membaca hati dan fikirannya setelah apa yang terjadi?
"Tak takut eh? Mana tahu lepas ni
awak kena ganggu psiko macam saya."
Awina ketawa kecil. "Tak apa, psiko
macam awak diperlukan masa saya dalam kesusahan." Awina berlagak positif.
Janganlah Hid tu betul-betul jenis lelaki psiko!
Hid ukir senyuman lebar. Kali ini dia
bersyukur dengan penerimaan Awina yang terbuka dengan kehadirannya. Kalaulah
dia jadi wanita itu, tentu dia fikir manusia bernama Hid Johar ni gila dan tak
normal.
"Tak ke mana-mana hari ni?" soal
Hid sambil menatap wajah Awina lama.
"Saya dah start kerja. Okey
juga." Awina cuba menutup rasa gugupnya. Tangan Hid di dalam poket
diperhatikan penuh minat. Hairan bertaut di jiwa gara-gara memikirkan persamaan
Hid dengan arwah Azri. Rambut, pakaian, sneaker, malah perlakuan arwah
juga sering memasukkan tangannya ke dalam poket ketika diajak berbual.
Isy, perasaan aje kut. Awina cuba kembali
dalam rasional. Tak wajar untuk dia mengaitkan arwah dengan orang lain hanya
kerana mereka mirip dari segi bentuk badan dan perlakuan.
"Orang macam awak pun perlu pergi
kerja ya?"
Awina faham makna kata-kata Hid Johar. Dia
dilahirkan dengan kemewahan dan di mata orang lain, dia manja dan bergantung
sepenuhnya dengan keluarga. Awina sudah penat dengan pandangan serong mata
masyarakat. Tapi dia sedar untuk menyalahkan sesiapa adalah di luar kuasanya.
ALLAH lebih tahu dirinya bagaimana dan usahanya satu ketika dulu untuk bersaing
mendapatkan yang terbaik dalam hidup.
Awina tertunduk.
Tiba-tiba dia jadi insaf. Selama ini di
pejabat walaupun dia melakukan tugasan yang diberi, tapi dia tidak bersungguh
seperti orang lain. Hatinya terpukul. Dah tiba masanya dia kembali berubah
seperti Awina beberapa tahun yang lepas, Awina yang menikmati hidup dan mempunyai
matlamat yang terancang.
"Saya pun orang juga. Saya kena hidup
selayaknya orang lain."
"Orang kaya duduk aje kat
rumah." Hid ukir senyum senget. Awina mengalih mata ke kiri.
"Selalu sangat tengok drama kut awak
ni," balas Awina kekok.
"Saya takut juga nak berkawan dengan
awak. Mungkin macam yang awak cakap, banyak sangat tengok drama." Hid tersengih
panjang.
“Kenapa?”
“Nampak sombong dan sukar untuk didekati,”
luah Hid Johar. Awina ketawa kecil.
"Saya tak
sombong pun," ucap Awina merendahkan suara..
Hid mengangguk kepala. "Tahu. Saya
boleh nampak sekarang. Tapi manalah tahu awak tak selesa dengan saya. Atau tak
senang berkawan."
"Ehem..." Awina mengangkat
kening. Itulah sebab Hid Johar selalu datang senyap-senyap begini, kurang yakin
pada diri sendiri? Awina tersenyum kecil.
"Kalau tak keberatan, esok saya nak
ajak awak ke satu tempat."
"Aha?" Awina sedikit terkejut
dengan ajakan berani Hid Johar. Date ke? Hati wanitanya mula berteka-teki.
"Tempat yang biasa aje. Tak tahu
kenapa saya nak ajak awak ke sana."
Awina merenung wajah tenang Hid Johar.
"Lain bunyinya."
"I'm not bad guy."
Cepat-cepat Hid mencelah. "Saya tahu kita baru aje kenal, tapi saya nak
tunjuk sangat tempat tu kat awak. Saya pun tak faham dengan diri saya."
"Apa yang awak tak faham tu?"
Awina mengerut kening.
Hid Johar memandang terus ke anak mata
Awina. "Selesa. Selamat."
Awina ketawa. Adakah lelaki itu baru
mengungkap yang dia rasa selamat apabila berada dengan Awina? "Selamat?"
Ulang Awina tidak percaya.
Hid mengangguk kecil. Dia sedang keliru
saat ni dan tak mampu untuk memberikan jawapan yang kukuh untuk Awina. Wajah
wanita itu dipandang dengan rasa bersalah. "Bunyinya gila, kan?"
Awina menggeleng kepala tiga kali dengan
senyuman di bibir. Katalah dia pun gila, tapi jujur jauh di dalam, terdetik juga
hatinya untuk menjalinkan hubungan bersama Hid Johar dengan lebih rapat lagi.
“Phone
number please...” Awina menghulurkan telefon bimbitnya di tangan kepada Hid
Johar.
DATUK Mikayel menghampiri pintu utama yang tidak
tertutup rapat. Wajah Datuk Mikayel keruh sebaik sahaja terpandang Awina
bersama seseorang di bawah cahaya lampu jalan. Awina sudah punya kekasihkah?
Hati Datuk Mikayel tertanya-tanya memandangkan Awina bertemu dalam keadaan yang
memusykilkan. Untuk apa ketemu senyap-senyap seperti itu?
Datuk Mikayel berjalan ke beranda rumah.
Sempat matanya membaca tingkah lelaki yang sedang berbual dengan Awina. Nombor plate kereta ditilik satu persatu. Mujur
nampak. Esok dia akan meminta setiausahanya menjejaki latar belakang lelaki
itu.
Mereka berdua kelihatan sangat rapat dan
saling mengenali. Tapi siapa lelaki itu?
0 Komen untuk Cik Rin:
Post a Comment