CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, August 13, 2017

LELAKI DINGIN BAB 5


KAK Mia seperti yang dijanjikan datang dengan Proton Saga berwarna merahnya di depan rumah dengan senyuman lebar. Dengan blaus berbunga putih berlatarkan warna maroon membuatnya tampak lebih anggun. Tudungnya lebih bergaya dari biasa juga menaikkan seri Kak Mia. Sebaik sahaja dia masuk ke rumah, matanya menyoroti diriku dari atas ke bawah. 
"Ini aje?" tegur Kak Mia tanpa berfikir panjang. Aku terkebil-kebil beberapa ketika dan memandang penampilanku sendiri. 
"Akak ke Riah ni yang nak jumpa bakal mentua? Takkanlah slack dengan t-shirt aje, Riah?" Bising mulut Kak Mia memberi komen dengan penampilanku ini. 
Aku mencemik. "Orang tak naklah lebih-lebih. Pembetulan bukan jumpa bakal mentua betul tapi nak temankan akak jumpa pensyarah kesayangan."
"Amboi, menjawab... Menjawab!" Kak Mia merungut sambil bercekak pinggang. Masih tidak berpus hati dengan pembawaanku pada hari ini yang lebih lemau dari hari biasa. 
"Itulah Mia, macam orang nak pergi jogging aje mak tengok. Dia kerja hari-hari tu tak adalah mak tengok dia pakai baju gini." Mak ikut memberi komen negatif tetapi aku kisah apa kerana lebih selesa dengan pakaian seperti ini.
"Mak tak suruh dia tukar baju ka?" Kak Mia tepuk dahi. 
Mak buat muka sambil mengangkat bahu. Nampak comel pula mak buat begitu. 
"Degil mana dengar cakap. Segan sangatlah tu berjumpa keluarga mentua sampaikan tak boleh melawa sikit." 
"Mak! Mana ada mentua. Kan orang dah cakap..." Aku leretkan suara. 
"Dah jom gerak. Karang mak mentua Riah tertunggu-tunggu pula kat rumah dengan bakal suami," ucap Kak Mia pamer muka 10 sen. Aku kerutkan dahi. 
"Kang betul kang jadi, janganlah doa macam tu..." 
"Amin!" jawab Kak Mia dan mak serentak. 
Aku menahan rasa sebu di hati. Ini yang tak sedap bila mak dan Kak Mia mula bersatu. Dah habis aje kisah seorang tu, mak dan Kak Mia kembali rajin menggiat aku dengan mana-mana lelaki di dunia ni seperti dahulu sewaktu aku masih belum bertunang dengan orang tu. Kalau dah begini hari-hari mahu aku kahwin juga tahun ini. Tak larat dah sebenarnya! 
"Jodoh tu Riah kadang-kadang datang tanpa kita sedar. Jalan ceritanya ibarat yang kita tak jangka-jangka. Di masa yang kita tak duga. Macam Kak Mia dengan Abang Hafni, kan mak?" 
Mak hanya ketawa membalas kata-kata Kak Mia. 
"Jalan dulu mak." Aku mendekati mak dan menyalami tangan mak dengan penuh kasih. Mak tepuk bahuku lembut. 
"Mia pun mak. Jalan dulu..." Kak Mia bercakap dari jauh, agaknya malas nak buka kasut tingginya tu. 
"Elok-elok memandu tu Mia. Jangan lewat sangat bawa Riah balik."
"InsyaALLAH mak, nak bawa Riah pergi shopping sekejap hari ni," balas Kak Mia sambil menghantar flying kiss kepada mak. Mak hanya mampu menggeleng kepala dengan tindakan kurang matang Kak Mia. 
"Riah.." tegur Kak Mia tiba-tiba sewaktu aku mengenakan kasut di kaki kiri. Aku mengangkat muka sedikit. 
"Jangan pakai sneaker la. Pakai kasut akak dalam kereta tu."
Aku pandang Kak Mia tanpa beriak. 
"Tak lawa Riah pakai sneaker tu tau. Ingat budak umur 17 tahun ke?" 
"Akak ni, semua yang orang pakai tak pernah betul," ucapku agak kecewa. 
"Kalau Riah pakai cun tak apa juga. Riah pakai sneaker yang dah lama tak cuci ke apa? Cuba Riah tengok dari atas sampai bawah, sesuai tak untuk melawat ke rumah orang? Lagi baiklah Riah pakai baju kurung aje. Takkan akak nak tunjuk Riah selekeh kat rumah pensyarah akak?" 
Aku mengeluh kecil. 
"Pakai kasut akak dalam kereta tu." 
"Okey.. Okey..." balasku mengalah walaupun berat. Aku tak faham apa salah sneaker aku ni terpaksa kena tukar kasut tinggi Kak Mia untuk melawa. Tak lawa ke pakai sneaker?
Aku pandang kasut kat kaki empat lima kali. 
Lawa aje...
❄❄❄❄❄❄❄❄❄

"BESAR juga rumah dia orang.."
"Tak hairanlah, Riah. Seorang profesor, seorang lagi tentera berpencen. Bekas mejar jeneral TUDM dengar ceritanya tapi akak tak pastilah." terang Kak Mia kepadaku. 
"Apa benda tu mejar jeneral?" soalku penuh tanda tanya. 
"Manalah akak tahu, suami akak kerja buat buku dan akak pula penganggur. Mana ada ilmu pasal askar pun Riah oi." Kak Mia keluar dari kereta setelah memastikan parkir nya tepat. 
Tiba-tiba saja aku diburu debaran. Hairan. Sepatutnya aku buat bersahaja kerana aku hanya menemankan Kak Mia ke sini. 
"Jomlah buat apa Riah tercenguk kat situ." Kak Mia buka pintu kereta untuk aku dan menarik tanganku keluar dari keretanya. 
"Kak Mia..." Aku mengeluh tidak sedap hati. 
"Apa lagi?"
"Riah tunggu dalam kereta sajalah ya?" 
Kak Mia tolak dahiku dengan jari telunjuknya. "Geramlah Riah ni. Tadi setuju sekarang dah lain pula. Kalau setakat duduk dalam kereta baik akak pergi seorang saja tadi. Tak payah ambil Riah." 
Aku bersungut kecil. Mahu tak mahu terpaksa juga aku melawan rasa gementarku memasuki rumah besar milik pakcik tentera ini. 
"Jom!" Kak Mia tarik tanganku tanpa belas kasihan. 
Di hadapan rumah pensyarah Kak Mia terdapat kerusi panjang kayu jati dengan kolam ikan kecil di hadapannya. Nampak tenang sahaja dan berkemungkinan orang rumah ini lebih suka hiasan yang mudah dan kemas. 
Tidak lama selepas Kak Mia membunyikan lonceng rumah, pintu terbuka luas untuk kami. Seorang wanita separuh abad muncul dengan senyuman lebarnya. 
"Datang pun Sarmiah.." tegur wanita itu ramah. 
"Prof, assalamualaikum. Maaf lambat sikit, saya keliru dengan kawasan perumahan prof ni."
"Waalaikumsalam warahmatullah... Alah lambat sikit tak apa. Saya pun baru habis memasak tadi. Ini siapa?"
Keningku spontan bertaut. Kak Mia tak beritahu ke dia bawa teman untuk melawat bersama?
"Adik saya prof." Kak Mia tersengih tak kurang tak lebih dengan kerang busuk. 
Sahlah Kak Mia tak maklumkan lebih awal kat profesor dia yang Kak Mia bawa aku sekali datang ke rumah mereka. 
Tak tahu apa yang patut aku rasa sebenarnya. Sakit hati atau geram atau kekok. Semua sekali bercatu dalam fikiran dan jiwaku. Kak Mia sepatutnya kasi tahu awal pasal aku kat profesor dia. Taklah aku jadi orang lidi kat sini mengganggu privasi.
Pensyarah Kak Mia pandang aku dengan renungan senang. Mujurlah. Ke aku tersilap tafsir sebenarnya. 
"Cantik adik Sarmiah. Marilah masuk dulu, seronok pula ada tetamu yang datang," ujar pensyarah Kak Mia mesra. Dia memegang tanganku tanpa ragu membuat diriku dijentik rasa pelik.
Tapi mujurlah pensyarah Kak Mia ni nampak sporting. Lega sikit aku. 
"Siapa nama awak?" soal pensyarah Kak Mia memandang wajahku.
Aku terkaku sebentar dengan pandangan dan soalan yang terkeluar dari bibir wanita anggun itu. 
"Riah.. Nur Qariah."
"Oh... Sedapnya nama! Umur berapa ni?"
Wah aunty ni dari tadi duk bodek-bodek aku. Nak balas senyuman dia pun bagaikan plastik. 
"28... Aunty?"
Kak Mia pandang aku spontan. Aku blurr tak tahu nak kata apa menyedari bibirku agak tidak bertanggungjawab dengan keadaan tuannya. Pensyarah Kak Mia pula ketawa kecil melihat telatah kami berdua. 
"Jemput duduk dululah ya."
Aku serba salah duduk. Kak Mia pula sibuk nak menyenggol lenganku dengan sikunya. 
"Nama saya Azria. Boleh je panggil aunty, tak ada masalah. Umur pula baru 50 tahun."
Wajahku jadi pucat tidak berdarah. Malu ada, segan ya juga. Entah kenapalah aku boleh terfikir nak panggil makcik ni aunty walhal dia pensyarah Kak Mia. 
"Lebih kurang aje nama kita ya, Riah?" Aunty Azria mesra. Aunty Azria? Aku nak senyum pun tak boleh. Sangat pelik kut sebab nama aku pun Ria Ria juga ni
"Rasa lebih dekat pula. Sekejap ya... Saya nak ke dapur sekejap, hidangkan air untuk kamu berdua."
Cara Aunty Azria bercakap memang berwibawa. Tak hairanlah dia berpangkat profesor dan tidak hairanlah dia isteri kepada orang yang berpangkat tentera.
"Tak perlu susah-susah, prof. Kami tak nak menyusahkan pula..."
"Tak adalah menyusahkan. Buat biasa aje ya, Sarmiah dan Riah. Anggap rumah sendiri, jangan segan-segan pula."
Aku dan Kak Mia mengangguk serentak membalas senyuman Aunty Azria mesra. 
Hilang sahaja kelibatan Aunty Azria, Kak Mia mencubit belakang tapak tanganku laju. 
"Aunty? Banyak cantik Riah? Dia tu pangkat datin la makcik oi. Riah tu yang pangkat makcik, adakah patut panggil Prof Dr Azria aunty. Sikit lagi akak sakit jantung tahu!" Sergah Kak Mia menepuk dahi dengan memejam matanya rapat. Aku sengih saja kerana turut merasakan ketidakwajaran sikapku tadi.
"Jadi nak panggil apa? Datin ke kak?"
"Panggil aje prof." Kak Mia membentak dalam diam.
"Prof apa benda? Bukannya orang study under dia." Aku julingkan sedikit mata tanda tidak bersetuju dengan kata-kata Kak Mia. 
"Panggil ajelah datin kalau dah tak nak panggil prof. Aku ketuk juga kepala nanti," rungut Kak Mia bersungguh-sungguh.
"Sorry kak.." ucapku ikhlas. Dibuatnya aku memberi kesan ke atas hubungan Kak Mia dengan profesornya nanti aku juga yang dikejar bersalah akhirnya. 
"Hmmm."
Aku dan Kak Mia berpandangan sebentar mendengar bunyi ganjil dari atas. Serentak itu pandangan mata kami bertebar ke atas rumah mencari punca bunyi yang tidak dikenali. Apabila saja terpandang sepasang kaki melangkah lambat-lambat ke bawah, cepat-cepat aku tegakkan badan menanti penuh debaran. Tentera berpencenkah itu? Aku tak tahu bagaimana hendak berinteraksi dengan orang lain yang ada di rumah ini setelah gagal menambat hati datin pensyarah Kak Mia tadi. Entah apa yang patut aku gelarkan pensyarah Kak Mia, rumit! Dengan sifat semula jadiku yang kurang mesra dan tidak tahu bergaul dengan orang yang lebih tua menyebabkan perasaanku bertambah berat setiap kali kaki itu melangkah setapak demi setapak menuju ke bawah. 
Kak Mia menyiku diriku dan mengisyaratkan agar aku tidak nampak terlalu tension.
"Riah rileks la," bisik Kak Mia sambil menarikku untuk bersandar. 
Jauh dari jangkaanku, seorang lelaki muda memandang ke arah kami berdua setelah dia menampakkan seluruh tubuhnya. Penampilan lelaki itu ringkas bersahaja dengan renungan redup seolah-olah menceritakan satu kesakitan dan kesedihan yang tak mampu untuk aku ketahui. Kenapa lelaki itu nampak begitu gerhana? Langsung tiada aura bersemangat kecuali air mukanya yang tampak tenang dan senyap. 
Aku dan Kak Mia sama-sama memakukan diri.
Tidak mengendahkan kami, lelaki itu tetap berjalan ke menuju ruang tamu ini. 
"Ainal Aalif ke ni?" tegur Kak Mia. Dia pandang Kak Mia beberapa detik dan aku merasakan seolah-olah masa terhenti buat sementara. Redup dan misteri memancar di matanya. Nafas ku tahan buat seketika bila matanya beralih ke arahku. Gentar terasa dicelah jiwa. 
Hairan. 
Kenapa dengan aku? Tak pernah-pernah pula ada perasaan misteri macam ni. Pelik sangat rasanya bila pandang kat dia ni. Macam ada sesuatu yang mengganggu hati tapi tak tahu apa.
Mataku terus-terusan memandang ke arah lelaki itu. Dia macam kosong aje. 
Dup dap... Aku dapat mendengar degupan jantung sendiri. Mataku masih lagi ke arah lelaki itu walaupun dia kembali meneruskan langkahnya tanpa menjawab soalan Kak Mia. 
"Wah, sombongnya.." getus Kak Mia menggaru dahi.
"Sombong?"
"Ha'ah. Tegur kita pun berat mulut," bisik Kak Mia tak puas hati.
Kenapa dengan dia? 
Persoalan demi persoalan singgah di kepala.
Dadaku terus berdegup halus. Aku terkebil-kebil lama di situ dalam keadaan kalut dan keliru.

Apa yang aku rasa sebenarnya?
Wah, tolong jangan cakap jatuh cinta pandang pertama pada si botak tu, Qariah!
Pantang nampak pakwe handsome lah kau nak jatuh cinta segala... Rasa nak tampar-tampar pipi sendiri untuk kembali ke alam realiti. 

🤗 TKASIH SUDI MEMBACA.. 😍












0 Komen untuk Cik Rin: