CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, August 1, 2017

JHD BAB 3

"WINA!"
Awina bergegas menuju ke arah Lisa yang melambainya di sebalik kaca kedai butik pengantin. Pintu kaca itu ditolak dari luar.
"Aku ingat kau tak jadi datang..." Lisa memeluk bahu Awina dengan senyuman lebar.
"Sorry, lambat beberapa minit." Sempat Awina menilik jam di tangan.
"30 minit." Lisa membetulkan pernyataan Lisa dengan sindiran mesra. Awina tersengih kecil. Sedar bahawa dia yang bersalah kali ini.
" Dah pilih baju pengantin kau?"
"Aku ada banyak pilihan, keliru sangat dah ni. Kau kena tolong aku pilih kali ni sebab dulu aku yang tolong kau pilih," ujar Lisa beria-ia. Nampak benar-benar terdesak pula.
“Mana baju-baju yang kau pilih tu?”
“Jom sini!” Lisa menarik tangan Awina untuk melihat baju-baju yang dipilihnya.
"Aku tak kreatif sangat nak pilih-pilih baju kahwin.."
"Aku nak dua baju, baju nikah dan sanding," ucap Lisa memotong kata-kata temannya itu.
"Nikah dan sanding aje?" soal mata Awina meliar ke arah baju-baju yang ditunjukkan oleh Lisa.
"Buat simple-simple. Kau ni macam tak tahu aje aku kahwin dengan pak ustaz." Lisa memuncungkan bibir tanda kurang bersetuju dengan majlis perkahwinannya ini.
Sekurang-kurangnya dia nak majlis kahwin macam Awina, meriah. Tapi apabila disuarakan kepada Azamri, ideanya ditolak mentah-mentah. Nak kahwin ala Hollywood ni penat, banyak makan belanja dan terlampau melebih-lebih.
“Kau kata Azamri tu pak ustaz?” Awina pecah ketawa.
“Okey memang dia bukan pak ustaz. Tapi dia macam malas sangat nak mengatur majlis kahwin kami ni.”
Awina membelek baju-baju yang dipilih oleh Lisa. Ada warna yang terlalu terang dan ada juga warna pastel sedap mata memandang. Lisa bercekak pinggang menghadap Awina.
"Aku ingat nak buat kahwin macam kau dulu. Resepsi kat hotel ke apa ke. Sekurang-kurangnya dewan besar pun jadi. Ini kat rumah aje. Rumah aku tu dah la kecil, nak jemput ramai pun segan."
"Kira okeylah kau kahwin sebab suka sama suka. Kahwin meriah sangat tapi kalau tak bahagia buang duit aje, Lisa."
Awina menarik satu baju dan dihalakan ke arah tubuh langsing Lisa.
"Dah berapa bulan dah Azri tak ada?" soal Lisa turut memegang baju yang diberikan oleh Awina.
"6 bulan."
"Cepatnya masa berlalu. Kau dah patut fikir cari pengganti, Win."
"Aku tak habis fikir tentang dia lagi, Lisa.”
“Benda dah lepas tu lepaslah, kau kena fikir masa depan juga.”
Awina menggeleng kepala.
“Aku macam fikir yang kau boleh lupa kat dia dua tiga minggu tapi apa dah jadi? Kau memang sayangkan dia, kan?” Lisa merenung dengan wajah simpati.
“Kalau aku kahwin lain kali, aku nak kahwin suka sama suka."
"Tanah dan rumah Azri kaulah yang dapat ni?"
Awina diam sebelum mengangguk kecil. "Aku rasa bersalah juga ambil semua tu. Tapi family dia tak nak. Kita orang mana ada zuriat juga."
Lisa mendekati Awina dan mengangkat tangannya ke bibir seperti berbisik.
"Dia ada usik kau ke Win?"
Awina terdiam. Wajahnya merona merah kerana tidak selesa dengan arah perbincangan mereka berdua. Biarpun rapat, namun perkara yang melibatkan peribadi begitu membuat Awina jadi kelu lidah.
"Diam-diam ni sudahlah ya? Inilah lelaki, kata tak suka tapi benda tu jalan juga." Lisa mula membebel. Awina tersengih kecil. Terasa pelik mendengar komen Lisa namun dia biarkan saja.
"Dik, yang ni baju yang adik nak. Design macam ni susah nak dapat." Seorang wanita anggun mendekati mereka berdua dengan membawa sehelai baju yang dipenuhi manik serta labuci di bahagian dada dan bahagian bawah kain.
"Oh, saya boleh cuba tak kak?"
"Boleh, fitting room kat sebelah sana."
Awina sekadar memandang perbualan kedua-dua mereka. Melihat wanita yang melayani Lisa membuatkan Awina leka buat beberapa saat.
Setelah Lisa memasuki fitting room, wanita itu menyapa mesra pada Awina. Maklumlah orang bisnes seperti dia wajib juga tahu cara untuk mengambil hati orang lain.
"Kawan Cik Lisa ya?"
Awina mengangguk kecil.
"Cik nak minum apa-apa tak? Kat kaunter tu ada mineral water tapi kalau nak minum juice orange saya boleh juga buatkan."
"Tak apa, saya okey."
"Macam pernah jumpa pula. Tapi tak ingat kat mana." Wanita itu tersenyum simpul.
Awina membalas senyuman wanita itu. "Ingatkan saya aje fikir macam tu. Nama saya Awina, kawan baik Lisa dari kecil."
"Saya Jihana. Panggil aje Kak Ji." Awina berjabat tangan dengan wanita yang kelihatan anggun dan elegan walaupun hanya mengenakan blouse dan palazo ringkas.
"Kedai Kak Ji sendiri ke ni?"
Jihana mengangguk. "Kecil aje."
"Taklah kecil, saya suka design yang ada kat sini."
"Sekejap ya, saya buatkan air untuk Cik Awina dan Cik Lisa."
"Panggil Win aje."
"Win?" Mata Jihana tepat ke wajah Awina. Hatinya mula timbul satu perasaan tapi cepat-cepat dia menghilangkan rasa aneh itu.
"Okey, Win," ucap Jihana tersenyum sebelum berlalu pergi.
"Dah ke Lisa?"
"Kejap," balas Lisa perlahan. Awina mengangguk-angguk dan berjalan menuju ke sofa yang tersedia di tengah-tengah butik pengantin. Dia mengambil majalah pengantin di atas meja dan membelek satu persatu.
Pintu kedai dibuka dari luar. Awina menoleh ke arah pintu. Seorang lelaki berpenampilan sederhana muncul dan tercari-cari seseorang di depan pintu yang telah tertutup.
"Kak," seru lelaki itu. Awina cepat-cepat berdiri.
"Cari tuan punya kedai ke?" tanya Awina gugup.
Lelaki itu memandang ke arah Awina dengan tanda tanya di anak mata.
Awina menelan air liur kerana sedikit kekok. "Cuma nak beritahu tadi Kak Jihana ke belakang katanya nak buat air."
"Oh, thanks." Ucap lelaki itu sambil melangkah masuk ke kedai. Dia duduk berdepan dengan Awina.
"Duduklah." Pelawa lelaki itu bersahaja. Awina mengamati wajah tenang lelaki yang memakai baju t-shirt berwarna biru tua dan seluar jeans dengan sneaker di kaki. Macam pernah jumpa tapi dia sekali lagi gagal untuk mengingat di mana.
"Tengok baju kahwin ke?" soal lelaki itu ringkas.
"Hmm.. Kawan yang nak tengok. Saya temankan aje."
"Oh." Lelaki itu mengangguk-angguk sambil memerhati Awina dalam senyap.
Awina juga turut diam kerana dia pun bukannya jenis yang cepat mesra dengan orang yang baru dikenali.
Awina kembali membaca majalah di tangan. 
"Eh, bila masa Hid sampai?" soal Jihana berjalan sambil menatang jag berisi air oren dan gelas di atas dulang.
"Kak, ni invoice yang hari tu punya. Umi suruh pass kat akak sebelum pergi Melaka." Lelaki itu membuka beg sandangnya dan mengambil beberapa kertas yang dibungkus elok di dalam fail lutsinar kepada Jihana.
"Hid ke Melaka?"
"Malam ni kalau sempat balik sini lagi."
"Elok-elok jalan tu."
Hid mengangguk kecil.
"Win, tolong aku sekejap!" Seru Lisa dari dalam fitting room. Awina bangun segera cuba melangkah ke arah fitting room tapi entah di mana silapnya langkah kaki Awina sumbang dan berpusing tanpa sempat menahan tubuh lalu terduduk di meja kaca kedai Jihana. Betul-betul di depan Hid Johar.
Praanngg!
Awina tidak sedar apa yang terjadi. Tahu-tahu dia sudah berada di tengah-tengah meja kaca yang pecah gara-gara menampung beban berat tubuhnya.
Jihana terkejut hampir menjatuhkan air di tangan. Hid Johar saja yang bertindak pantas menarik Awina sebelum wanita itu benar-benar jatuh terduduk di atas kaca yang sudah berderai di atas lantai. Mujur tangan Awina menahan tubuhnya dari jatuh ke kaca tapi tangannya pula terasa pedih.
"Awak tak apa-apa ke?" soal Hid Johar gusar melihat riak wanita di hadapannya yang kelihatan sakit.
"Ha?" Dahi Awina berkerut-kerut cuba memproses perkara yang baru saja terjadi.
Ya ALLAH, serius aku jatuh sampai pecah meja orang? Awina memejam mata rapat-rapat. Terasa aliran darahnya menyerbu ke muka. Dia tahu rasa sakit di tangan dan punggung tapi rasa malu lebih menguasai minda sedarnya saat ini.
"Sakit?" soal Hid Johar lagi masih memegang bahu Awina.
"Saya..." Awina terkebil-kebil tidak mampu bersuara. Kalau boleh dia nak lari saat itu memang dia akan lari tapi masalahnya kaki seperti di paku ke atas lantai. Tulang pinggang pun seperti retak sampai Awina tak sanggup nak berdiri lama.
"Ya, ALLAH. Tangan tu berdarah." Jihana cepat-cepat menuju ke kaunter dan meletakkan dulang air dan gelas di atas kaunter.
Awina berpusing ke arah Jihana dengan wajah yang bersalah. "I'm so sorry,” ujar Awina tak tentu hala. Kalau dia tahu begini keadaannya, memanglah dia takkan pergi temankan Lisa pilih baju kahwin. Sia-sia aje dapat sakit malu kat sini.
Rasa nak menangis juga bila nampak darah mengalir tak berhenti dari luka di tapak tangan. Siap terkena baju lagi.
"Kak ada peti kecemasan lagi ke?" tanya Hid Johar.
"Sekejap, akak ambil kat belakang. Suruh Cik Awina duduk dulu," balas Jihana sambil berlari anak.
Hid Johar menarik lengan Awina duduk dan dia sendiri menolak rangka meja tak berkaca itu sedikit jauh supaya senang untuk dia melihat keadaan Awina. Dibuatnya patah tulang anak orang ni, memang la kakaknya bakalan tak senang duduk nanti.
"Win kau okey? Kau jatuh ke Win?" Suara Lisa resah di dalam fitting room.
"Aku okey,” balas Awina dengan wajah yang merah padam. Tangannya dibelek oleh lelaki yang tidak dikenali, lelaki yang baru saja menyaksikan dia terduduk sehingga memecahkan meja kaca kedai. Mujur juga Hid pantas menyambutnya tadi kerana jika tidak selamat sudah dia terduduk di atas kaca yang bertaburan di atas lantai. Satu cerita pula kalau punggung pun tercucuk kaca-kaca tu. Habis nak pergi hospital macam mana?
"Ada kaca masuk ke dalam." Hid memandang wajah Awina. Awina menggigit bibir.
Dia yang belum merasa tahap maksima sakit tadi mula terasa pedih sehingga ke dalam lukanya. Tiba-tiba rasa nak pengsan pula gara-gara sakit itu semakin terasa dalam dan ngeri.
"Lepas ni ikut saya terus ke klinik. Awak ada bawa kereta?" soal Hid serius. Awina menggeleng kepala.
"Hid.." Jihana menghulurkan peti kecemasan kepada adiknya. Hid segera menyambut dan meletakkkan di atas lantai dekat dengan lututnya.
"Okey tak Cik Awina? Sakit sangat tak? Punggung ada rasa sakit? Takut punggung tu luka sekali."
Awina menggeleng dengan senyuman tidak ikhlas, senyuman yang dipamerkan hasil dari rasa malu yang amat.
“Tengok betul-betul juga, Cik Awina. Kalau ada yang tercucuk tapi tak sedar, bahaya tu,” ujar Jihanna gusar.
“Betul tak sakit...” Awina menjawab yakin. "Nanti saya tukar meja Kak Ji." Dia pamer wajah bersalah.
"Isy, jangan risau dengan meja ni. Mujur Cik Awina tak jatuh terus tadi. Kak Ji tak boleh nak bayangkan," ucap Jihana dengan perasaan ngeri. Mujurlah ada Hid tadi, kalau tak memang dia pun tak tahu nak buat apa.
Tangan Awina dibalut cermat oleh Hid.
"Tak boleh cabut kacak-kaca ni, takut nanti makin teruk darah keluar. Jom la ke klinik. Tak jauh pun." Hid Johar bangun memandang wajah kakaknya dan Awina silih berganti.
"Guna kereta akak la Hid. Bahaya pakai motor. Kunci kat atas meja."
Hid Johar berjalan menuju ke arah kaunter dan mengambil kunci kereta.
"Kak, nanti Hid bersihkan kaca tu. Akak biar aje. Tutup kedai sekejap." Arah Hid Johar tanpa berfikir panjang.
"Lisa... Aku.."
Pintu fitting room terbuka dari dalam. Wajah Lisa yang penuh tanda tanya terjegul dengan baju pengantin menatap wajah Jihana dan Awina silih berganti.
"Lisa, aku jatuh tadi. Ni.." Awina menunjukkan pergelangan tangannya. Balutan tadi sudah bertukar menjadi warna merah.
"Ya ALLAH! Apa kena kau jatuh sampai macam tu?" Lisa menutup mulut terkejut bercampur ngeri.
"Kau tunggu sekejap, aku tukar baju dulu. Kita terus ke hospital," ucap Lisa cemas.
"Lisa tak apa, adik Kak Jihana hantar aku ke klinik, kau sambunglah pilih baju."
"Apa pula, kau cedera ni Win." Lisa hampir mengalir air mata. Dia memang tak boleh bila hal-hal yang melibatkan kecederaan sampai berdarah-darah ni. Jadi terlebih sensitif pula walaupun bukan dia yang luka.
"Cik Awina kena ke klinik cepat. Nanti banyak lagi tumpah darah tu." Jihana menghampiri Lisa, cuba menenangkan pelanggannya agar tidak bertindak terburu-buru. Melihat keadaan Lisa dia mengagak tidak mustahil gadis itu keluar dari butik ini dengan memakai baju pengantin.
"Kau cantik, Lisa." Puji Awina dengan senyuman. Tidak mahu menampakkan yang dia mula merasakan sakit yang tidak terperi.
"Beg awak mana?" soal Hid Johar tiba-tiba.
"Tak apa saya bawa sendiri." Awina mencapai beg tangannya yang berada tidak jauh dari kakinya.
"Saya bawakan," ujar Hid Johar tanpa dipinta. Berhati-hati lelaki itu memberi laluan kepada Awina untuk keluar dari kedai. Perlakuan Hid membukakan Awina pintu kedai dan mendahului langkah untuk menuju ke tempat letak kereta diperhatikan penuh minat oleh Jihana. Sedikit-sedikit Hid Johar akan menoleh ke belakang memastikan Awina masih mengekorinya. Mujur ada Hid Johar tadi. Kalau dia aje memang tak tahu nak buat apa.
"Apa jadi Kak Ji?"
Jihana tersentak sedikit seraya memandang ke arah Lisa yang masih terpaku di depan pintu fitting room.
"Jatuh terduduk kat atas meja sampai pecah."
Spontan mata Lisa jatuh ke arah meja yang agak terlindung dari pandangan mata.
"Oh my goshhh..." Lisa menutup mulutnya kembali dengan mata yang membulat. "Punggung dia tak kena kaca ke apa..."
Jihana menggeleng kepala. "Hid yang tahan Awina dari jatuh tadi."
"Adik lelaki Kak Ji?"
Jihana mengangguk kecil.
"Sorry Kak Ji, tapi hari ni rasanya tak boleh nak pilih baju pengantin. Saya kena pergi tengok keadaan Awina." Kata Lisa penuh kesal.
"Eh, tak mengapa.. Kak Ji pun risau juga dekat Awina. Kalau ada apa-apa boleh Cik Lisa WhatsApp Kak Ji?" Pinta Jihana memandang wajah manis bakal pengantin baharu itu.
"Boleh je. Saya nak tukar baju sekejap la Kak Ji ya?"
"Maaf Cik Lisa, nak tanya sikit pasal Cik Awina. Dia dah kahwin ke?"
Lisa terkebil-kebil mendengar pertanyaan Jihana.
"Dia dah kahwin."
"Oh.." Suara Jihana semakin perlahan.
"Tapi suami dia dah meninggal. Baru je 6 bulan."



AWINA membisu di dalam kereta. Kena jahit kat tangan memang pengalaman yang tak dapat dilupakan. Mujurlah tempat lain selamat. Tak dapat dia bayangkan kalau-kalau sampai tercucuk kaca kat punggung. Sepanjang kena jahit pun dia bertawakal saja dan bersyukur sangat kerana tiada kecederaan yang lain. Keluar dari bilik rawatan fikirnya adik Jihana sudah pergi namun lelaki itu masih setia menunggu di luar bilik rawatan. Awina tersenyum saja untuk mengurangkan rasa kekok dan tidak sedap hati. Mujur lelaki itu cepat membawanya menuju ke klinik swasta kerana melihat klinik kerajaan penuh dengan orang yang tengah medical check up.
"Rumah awak kat simpang mana tadi?"
"Jauh lagi simpang rumah saya, lepas bulatan kat depan sana," balas Awina perlahan.
"Sakit sangat ke?"
"Sikit aje. Malu lebih." Awina menghela nafas panjang. Hid Johar hampir tersenyum mendengar keluhan Awina itu.
"Tak pe, anggap je biasa-biasa."
"Tak jadi ke Melaka ke ni? Maaflah sebab saya.."
"Tak penting pun ke Melaka. Boleh telefon terus dekat pembekal. Simpang sini ya?"
Awina mengangguk kepala.
"Nanti saya ganti tau meja kakak awak tu. Bagi tahu dekat Kak Jihana, maaf sangat-sangat. Semuanya di luar kawalan."
"Dia okey aje."
“Bukan apa, dia pun tengah berniaga kalau saya tak ganti meja tu nanti apa pula, kan? Serius saya rasa bersalah sangat," ucap Awina meraup wajah.
"Elok-elok, luka kat tangan tu masih basah." Tegur Hid Johar apabila perasan Awina mengangkat tangan kanannya yang luka untuk mengusap muka.
"Terima kasih sebab tolong saya tadi. Ni pun awak yang hantar, saya tak tahu nak balas macam mana. Nak bayar dengan duit tapi takut awak tak suka pula."
"Baguslah awak tahu. Saya menolong ikhlas tak minta di balas," ujar Hid Johar bersahaja. Awina menundukkan muka.
"Terus aje ke ni?" soal Hid Johar kepada Awina.
"Kat simpang ketiga sana pusing ke kiri, rumah ke empat tu rumah saya."
"Rumah awak kat sana?"
"Rumah mak saya, saya tumpang duduk aje," ucap Awina sebaik sahaja merasakan nada suara lelaki itu berbaur lain.
Hid Johar hanya tersenyum kecil. Dia tidak berniat apa pun tetapi dalam hatinya mula mengagak yang Awina bukanlah orang biasa-biasa. Kawasan perumahan yang dimasukinya itu mungkin mencecah jutaan ringgit.
"Okey kat sini. Terima kasih hantarkan saya sampai ke rumah." Awina membuka tali pinggang keselamatan. Sebaik sahaja Hid Johar menghentikan kenderaan, Awina membuka pintu dan menutupnya kembali setelah keluar. Dia melangkah berpusing dari depan kereta untuk menghampiri tempat duduk pemandu dengan senyuman di bibir. Hid Johar membuka tingkat kereta membalas senyuman Awina.
"Esok-esok datanglah ke rumah dengan Kak Jihana sekali." Pelawa Awina sekadar berbasa-basi. Takkan nak terus halau, kut? Orang dah baik sangat sudi menolong.
Hid Johar mengangguk dan mengangkat tangan. Tingkap kereta dinaikkan ke atas. Awina mula melangkah masuk ke rumah besar setelah pintu pagar terbuka.
"Pelik." Getus bibir Hid tanpa sedar. Dia menarik nafas dalam-dalam sambil merenung rumah besar di depan mata. Hairan sekali bila terasa tidak asing dengan perumahan ini sedangkan dia langsung tidak pernah menjejak kaki ke kawasan elit di sini.

Tiba-tiba dadanya bergelombang dan Hid cepat-cepat memegang dada. Beg sandang di belakang digapai untuk mencari ubat. 

0 Komen untuk Cik Rin: