CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, August 1, 2017

JHD BAB 2


"HID? Hid dah sedar?"
"Hmm..?" Remang cahaya menembusi anak mata Hid Johar. Dia rasa sungguh tidak selesa. Nafasnya juga sukar untuk dihela.
"Alhamdulillah... Doktor kata lagi cepat Hid sedar, lagi elok untuk keselamatan Hid. Umi, Hid dah sedar."
"Jiha panggilkan nurse." Pinta Puan Aniqah. Wajah anaknya yang lesu tidak bermaya disentuh lembut. Kembang juga seluruh tubuh Hid Johar sampai ke jari jemari. Tentu anak lelakinya itu sedang bertempur dengan rasa sakit yang bukan calang-calang.
"Alhamdulillah Hid. Allah beri Hid peluang untuk bernafas lagi di muka bumi. Segala puji bagi Allah." Puan Aniqah berbisik di sisi wajah Hid Johar, mahu Hid menitipkan rasa bersyukur walaupun masih dalam keadaan lemah. Sekurang-kurangnya, ALLAH beri peluang kedua untuk Hid Johar kembali bernafas setelah pembedahan ini berjaya. Dan harapan Puan Aniqah untuk melihat Hid kembali seperti biasa menjadi semakin besar.
Seorang doktor dan jururawat segera datang dan membuat pemeriksaan sebelum tersenyum kepada Puan Aniqah.
"Tahniah puan, anak puan sangat kuat mental dan fizikal."
Puan Aniqah mengangguk dengan air mata berderai tanpa segan silu.
"Terima kasih doktor. Terima kasih."
"Sudah tentu. Terima kasih kembali. Pesakit perlu banyak berehat...."
"Saya faham doktor. Saya takkan ganggu Hid buat masa ni." Puan Aniqah cepat-cepat memotong kata-kata doktor di hadapannya. Melihat Hid Johar saja sudah cukup membuat Puan Aniqah rasa lega dan berterima kasih atas usaha doktor ke atas anaknya.
Tiada lagi yang Puan Aniqah inginkan kecuali cuba memberi yang terbaik untuk Hid sepanjang proses penyembuhan anak lelakinya itu.
"Terima kasih sekali lagi,” ucap Puan Aniqah sebelum doktor dan jururawat yang memeriksa Hid Johar berlalu pergi. Senyuman Puan Aniqah terukir indah. Terharu dan bersyukur menjadi satu.
"Hid, terima kasih kerana Hid terus kuat. Umi nak Hid jadi kuat dari sebelum ini. Tidurlah, umi tunggu Hid sampai Hid sedar balik,” ujar Puan Aniqah saja menyentuh jari jemari Hid Johar. Air mata Puan Aniqah jatuh apabila Hid Johar menggerakkan jari-jemari dan cuba membalas genggaman Puan Aniqah.


AWINA menghentikan langkahnya tiba-tiba. Rasa tidak sedap hati bertaut menjadi nanah di dalam diri. Malam tadi dia langsung tak dapat tidur walau puas memejamkan mata. Ingatannya pada Azri sangat kuat dan segala kenangan mengejar Awina biarpun mata Awina terbuka luas. Sayangnya kenangan mereka tiada yang indah-indah. Azri yang dingin tidak mengendahkan dirinya, Azri yang tidak memandangnya walaupun Awina beria-ia menarik Azri untuk berbual, Azri yang menolaknya apabila Awina cuba menggoda, Azri yang tersenyum sinis ketika Awina cuba menunaikan tanggungjawabnya menguruskan perkakas sehari-hari Azri, kemudian bayangan Azri marah kerana Awina cuba mencabar ego Azri, pergaduhan-pergaduhan yang tiada penghujung serta kenangan dia mengamuk diberanda gara-gara Azri tidak pulang ke rumah empat hari tanpa memberi sebarang pesanan.
Awina mengeluh dalam meneruskan langkah menuju ke wad ICU.
"Win nak ke mana?" soal Datin Alia pelik apabila melihat langkah Awina menyimpang dari laluan ke rumah mayat.
"Mami boleh tolong uruskan jenazah Azri tak? Win nak tengok balik tempat arwah Azri hari tu."
Datin Alia menarik tangan Awina lembut. "Win nak tengok apa? Win tertinggal barang kat sana ya?"
Awina menggeleng kepala.
"Win nak tengok sekejap aje, mami."
Perasaannya seperti kuat memanggil ke sana.
"Alah, tak payahlah ke sana lagi. Arwah Azri dah tak ada lagi, Win." Datin Alia memujuk lembut.
"Sekejap aje. Tak lama. Win tak buat benda lain..."
"Mami risaukan Win." Kelmarin Datin Alia berfikir yang Awina hilang akal kerana tidak peduli keadaan suaminya sendiri.
Namun bila Awina jadi begini, fikirannya menjadi lebih gusar. Menyesal juga Datin Alia meminta Awina menjenguk Azri buat kali yang terakhir semalam.
"Win tak menangis, Win tak meraung, Win takkan mengamuk kat sana. Mami tak perlu risau. Win setakat nak tengok aje. Hati Win suruh Win jenguk lagi kat sana."
"Kalau tak ada keluarga atau saudara yang duduk kat sana, kita tak boleh masuk unit ICU tu sesuka hati, Win."
"Kat luar pun tak apa..."
Datin Alia menghela nafas dalam-dalam.
"Jangan lama. Lepas ni kita nak balik untuk kebumikan arwah Azri."
Awina mengangguk kecil. Kakinya melangkah lambat-lambat ke lif dan menekan butang tingkat 3 yang menempatkan unit rawatan ICU. Langkahnya seperti diawang-awangan sehingga dia tidak sedar masuk ke dalam dan mendekati katil yang menempati arwah Azri, suaminya.
Tangan Awina menyelak tabir yang menutupi katil itu. Dia kelu melihat seorang lelaki terbaring lesu di atas katil. Awina memejam mata rapat-rapat sebelum membuka matanya semula dan merenung pesakit yang terbaring kaku itu.
"Bukan Azri..." sebut Awina perlahan. Ya, dia bukan Azri. Azri dah tak ada. Bisik minda Awina dalam sedar.
Cepat-cepat dia meraup wajah dan menghela nafas panjang. Dia tak boleh begini, hidup kena diteruskan. Dulu pun dia bukannya rapat dengan Azri. Awina yakin esok atau lusa dia akan berjaya melupakan lelaki itu dari ingatan.
"Siapa ya? Kawan Hid ke?"
Awina tersentak apabila ditegur dari belakang.
"Maaf." Awina segera menundukkan kepala. Dia dihujani rasa bersalah gara-gara memasuki kawasan privacy orang yang tidak dikenali.
"Kawan Hid ya? Tak pernah tengok pun selama ni."
"Tak, bukan... Maaf saya silap orang." Awina cuba bergerak tetapi langkahnya terhenti semula kerana wanita di hadapannya tidak berganjak dan menghalang laluannya untuk keluar.
"Saya Jihana, kakak Hid. Awak siapa?"
"Tak.. Tak. Saya cari suami saya."
"Suami?" Berkerut dahi Jihana.
Awina menggigit bibir cuba merangka ayat agar wanita di hadapannya itu faham.
"Err, suami saya dulu duduk kat katil ni."
"Oh ya ke? Sekarang suami kat mana?" Jihana jadi hairan.
"Dia dah tak ada. Semalam dia duduk kat sini... Maaf sangat sebab mengganggu, saya tak berniat jahat." Awina segan dan malu tapi dia perlu menjelaskan kepada wanita itu agar tidak berlaku salah faham yang lebih besar.
"Eh tak apa... Saya minta maaf atas kehilangan suami awak." Jihana bersimpati.
Hatinya jadi lembut melihat wajah Awina yang tidak bermaya. Kalaulah dia berada di tempat wanita muda itu, entah-entah dia pun seperti Awina juga. Melawat semula tempat yang memberi kenangan setelah ketiadaan seseorang yang begitu rapat dan bermakna.
"Nama awak?" soal Jihana.
"Hmm?”
“Mana tahu takdir sebenarnya yang membawa awak ke sini.”
“Panggil Win." Awina menggigit bibir. Biarpun dia sedar dengan kesilapannya tapi tidak bermakna dia boleh terbuka pada sesiapa saja. Dia sebenarnya rasa tidak selesa berhadapan dengan wanita di hadapannya saat ini.
“Lelaki yang kemalangan beberapa hari yang lepas tu suami awaklah ya?”
Awina terpaku tidak menjawab.
“Sebelum ni adik saya di sebelah ni, tapi staf nurse kata semalam orangnya dah meninggal masa adik saya dalam bilik pembedahan. Takziah dari kami sekeluarga.” Jihanna mahu memeluk dan menepuk bahu Awina untuk berkongsi kesedihan namun dia juga sedar wanita yang bernama Win itu mungkin menganggapnya sebagai orang asing. 
"Win..." Suara Hid Johar mengejutkan mereka berdua. Jihana cepat-cepat mendekati Hid.
"Hid nak apa-apa?"
Hid Johar tidak bereaksi. Matanya menala ke arah Awina. Jihana menepuk tangan Hid perlahan. Mungkin kesan ubat membuatkan Hid Johar seolah-olah khayal di dunia sendiri.
"Hid okey? Nak akak panggilkan doktor?" soal Jihana risau. Melihat Hid tidak juga bergerak, Jihana segera keluar memanggil doktor tanpa mempedulikan Awina. Awina memandang wajah Hid Johar dari jauh. Wajah itu kelihatan lesu seperti hilang harapan. Sakit sangatkah? Mata Awina bergenang tanpa dipinta.
Pasti lelaki itu merasa sakit yang tidak pernah tercapai oleh Awina. Tapi kenapa air matanya mengalir ke pipi?  Dia bukannya kenal lelaki itu...
Hid melirik ke arah Awina. Buat beberapa saat mata mereka bertaut sebelum kolam mata Hid juga turut bergenang berat.
Awina mengangkat tangan kanan dan menekan dada kirinya kuat. Dia tidak dapat mengawal air mata dari berhenti mengalir dan jiwanya juga semakin bergelodak. Tiba-tiba Awina rasa jauh. Jauh dari segalanya. Seolah-olah tiada apa yang tertinggal untuknya.
'I cintakan you...' Dada Hid Johar bergelombang kasar. 'I cintakan you...' Sekali lagi ayat itu terlintas ke dalam telinga Hid. Tangan Hid menggenggam kuat cuba untuk bergerak tetapi kudratnya tidak mengizinkan. Bacaan mesin di sisi Hid tidak menentu dan berbunyi kuat. Awina berundur beberapa tapak terkejut melihat keadaan Hid Johar yang tidak stabil.
"Astaghfirullah, Hid? Hid kenapa?" Mendengar suara Jihana, Awina jadi takut. Cepat-cepat dia berlalu pergi setelah tabir diselak lebih luas oleh beberapa orang doktor.
Awina berjalan laju keluar dari wad sambil mengesat air matanya. Dia terasa pelik. Terbayang-bayang penderitaan lelaki yang tidak dikenalinya tadi di depan mata. Mujur dia cepat-cepat berlalu. Andainya Awina menyaksikan pemergian lelaki itu tadi, pasti dia tidak dapat tidur malam ini. Jauh di sudut hati masih mengharap adik kepada Jihana tadi selamat dan terus hidup.
Awina menghentikan langkah sebaik sahaja masuk ke dalam lif. Dia menyandar lemah ke dinding lif dengan jiwa yang kosong. Bayangan mata Hid yang berkaca-kaca tadi masih melekat di minda seolah-olah lelaki itu meminta pertolongan agar dikurangkan kesakitan yang ditanggungnya. Awina mengeluh sambil menekan dahinya berkali-kali dengan kedua-dua tangan. Perasaannya kini langsung tidak dapat digambarkan oleh kata-kata.



0 Komen untuk Cik Rin: