WAJAH polos Awina dipandang lama. Detak jantungnya
kembali berirama. Tenang dan mengujakan. Nafas Awina teratur saja. Begitu juga
riaknya yang hilang dari masalah dunia. Tiada lagi cemberutnya. Tiada juga
terbias keraguan pada wajah kecil itu. Segala-galanya cukup sempurna. Hid tidak
kisah Awina balu kematian suami. Beberapa kali dia pernah mendengar Awina
memanggil diri sendiri janda. Entah wanita itu sengaja atau betul-betul terlupa
ada lagi istilah yang lebih betul untuk wanita yang kematian suami.
Dia beruntung walaupun
tindakannya agak berani dan sangat terkedepan namun Awina tidak menolaknya
begitu saja. Kalau perempuan lain, entah apa yang terjadi pada dia agaknya.
Awina beranikan diri dan Awina beri dia peluang, Hid tahu kenyataan itu.
Melihat Awina memeluk tubuh
kesejukan, Hid Johar tersedar dari lamunan panjang. Beberapa kali dia melihat
telefon yang berada di tangan kiri Awina menyala skrin menandakan ada mesej
atau panggilan tetapi wanita itu tetap tidak sedar. Betullah agaknya dia sibuk.
Hid dirasuk rasa bersalah. Dia pun tak berjanji dengan Awina lebih awal,
patutlah Awina tidak membalas pesanan ringkasnya ceria seperti selalu. Tup-tup
dia menculik Awina ke sini pula.
Hendak digerak wanita itu tapi
hatinya menegah. Biar Awina berehat untuk tempoh masa lima minit lagi.
Hid Johar mendekatkan wajahnya
kepada Awina, ditilik lama segala milik wanita itu. Dari mata, jatuh ke hidung
dan kemudian ke bibir. Di situ mata Hid tidak berganjak dan nafasnya semakin
memberat.
Entah apa yang merasuk Hid
Johar dan dia semakin mendekati wajah Awina untuk mendapatkan sesuatu yang
tidak halal baginya.
Iphone Awina tidak berhenti
bergegar hampir jatuh dari tangan. Perlakuan Hid terhenti dan dia segera
beristighfar berkali-kali. Apa yang dia cuba buat pada wanita itu adalah salah.
Hid marah pada diri sendiri.
Hid kembali menjarakkan
dirinya dari Awina dan cuba menyambut telefon itu tetapi tindakannya gagal
kerana Awina bergerak apabila Hid menarik telefon itu. Akhirnya Hid mengalah
juga.
“Wina, kita dah sampai.
Bangun. Ada yang telefon awak.”
“Hmm?” Awina bangun mengejut.
Dia pegang dada dan terpinga-pinga memandang hadapan. Sedikit terkejut dengan
suara Hid Johar yang menerjah mimpinya.
“It’s me.” Hid cakap dengan nada bersalah. Tak pasal-pasal Awina
terkejut sebegitu rupa.
“Kita kat mana? Jauh ke?” soal
Awina bertubi-tubi membetulkan tudungnya yang sudah sememeh. Segan dan malu tak
payah nak cakap. Entah berapa lama Hid tengok dia tertidur begini!
“Telefon awak..” ujar Hid
Johar lagi. Awina mengangkat telefonnya spontan.
Mami..
Dia berdeham beberapa kali
seraya menyambut telefon Datin Alia.
“Assalamualaikum mami.”
“Waalaikumsalam. Mami call dekat 20 kali!” Marah Datin Alia.
Awina berdeham lagi membetulkan suaranya yang agak serak.
“Sorry mami, tertidur...” Terang Awina kalut.
“Win dekat mana?”
“Ada dengan kawan ni. Dekat
pantai.”
“Buat apa tidur di pantai
pula?” Buat apa ya? Awina terkebil-kebil sendirian. Dia nampak aje Hid Johar
kat tempat pemandu tu tenung dia tajam-tajam. Lelaki itu pun nampak seperti
tidak berani bersuara. Tapi, mereka berdua ada buat salah besar ke? Awina
sendiri tak boleh nak menjawab persoalan itu.
“Win tertidur dalam kereta la
mami. Mami jangan risau. Win saja nak lepas tension
datang ke sini.”
“Ya ALLAH, mami risau betul,
Win. Baliklah cepat dah nak Maghrib ni.”
Awina angkat tangan dan
membaca jarum jam di pergelangan tangan. Dekat pukul 7 malam!
“Win keluar dengan siapa tak
beritahu mami dan papa?” soal Datin Alia dengan nada terkilan.
“Jangan risau, Win okey. Kawan
Win pun okey.” Awina melirik ke arah Hid Johar.
“Win balik ya?”
Awina pandang muka Hid Johar.
“Kita dah nak balik ke?” tanya Awina. Hid geleng kepala. Baru aje datang, solat
pun belum, makan pun tidak, nak balik apanya?
“Mami, kita orang pergi makan
dulu, Win pun nak sembahyang dulu. Lepas ni kami balik.”
“Win kena balik malam ni
juga.”
“Ha’ah...”
“Win kena cerita dekat mami
apa sebenarnya yang terjadi.”
“Okey, Win cerita.”
“Jaga diri elok-elok. Jangan
sampai lalai tahu? Mami dan papa risau, jangan buat benda yang bukan-bukan.”
Pesan Datin Alia kesal. Awina telan air liur kelat. Mami mesti dah boleh hidu
apa yang dah jadi. Dunia ni bukan besar sangat. Boleh jadi Nur dah cerita kat
papa yang dia keluar setelah separuh hari di pejabat bersama seorang lelaki.
Setelah mematikan panggilan,
Awina larikan mata ke arah luar. “Ni dah sampai ke? Matahari dah tak nampak
tinggal cahaya remang aje.”
“Kalau saya drive laju sikit sempat nak tengok.” Hid
Johar menghela nafas dalam. Kalau dia bangunkan Awina lebih awal tentu aje
sempat menyaksikan matahari terbenam. Tapi dia biarkan Awina dan hampir membuat
tindakan paling bodoh di situ.
“Jadi nak buat apa dulu?”
“Cari tempat sembahyang, lepas
tu kita makan.” Awina mengangguk kepala.
“Jomlah. Saya nak juga rasa
angin pantai, dah lama tak rasa.” Awina membuka pintu kereta. Deruan angin
petang membuahkan senyuman lebar di bibirnya. Dia jadi teruja!
“Kita solat di sini?” tanya
Awina meninggikan suara. Hid menyembunyikan senyuman. Takkanlah dia nak bawa
Awina solat di atas pasir pula...
“Awak boleh ke solat kat sini?
Sebab awak kena ambil air sembahyang. Dekat hujung jalan tu ada surau.”
Awina tutup semula pintu
kereta tanpa mengendahkan pertanyaan Hid tadi. Enjin kereta dihidupkan dan Hid
Johar mula memandu.
“Nanti balik sampai kira-kira
pukul berapa?”
“11 kut.”
“Alamak malamnya...” Keluh
Awina kecil. Hid Johar melirik dengan anak mata.
“Sepatutnya saya yang kena
jumpa mak dan ayah awak minta kebenaran nak bawa awak jalan-jalan. Saya tak
faham kenapa saya tak fikir benda ni awal-awal.”
Awina memeriksa pesanan
ringkas di telefon pintarnya satu persatu.
“Kalau awak buat macam tu,
automatik mami saya ingat awak boyfriend
saya.”
“Terlalu cepat ke untuk tu?”
“Kenapa? Awak nak jadi boyfriend saya?” Awina angkat muka dan
memandang wajah serius Hid Johar. Takkanlah...
“Kita baru kenal. Kiranya
kenal hati budi,” ucap Hid berterus-terang. Dia sebenarnya tak selesa untuk
menyandang gelaran boyfriend. Gelaran
suami seribu kali lebih baik tapi kalau dia cakap nanti Awina terkejut pula.
“Hmmm.. Jadi kira kita ni dah
ke arah yang serius maksud awak?”
Hid senyum. Awina seolah-olah
dapat membaca kata hatinya.
“Boleh kira macam tu lah.”
“Tapi bukan boyfriend?” Awina tekankan perkataan tu
sekali lagi.
Hid mengangguk kepala.
“Wah, sekarang ni dah abad ke
21. Awak tak nak jadi boyfriend
mana-mana perempuan... ” Komen Awina pelik.
“I’m not that innocent, Win.”
“Innocent la tu tak pernah ada kekasih.” Awina gelak kecil. Walaupun
hanya sebentar dia duduk di pantai tadi, jiwa Awina terasa segar. Dia jadi
lebih ceria dan tiba-tiba terfikir untuk mengusik lelaki di sebelahnya.
“Ya, betul saya tak ada
pengalaman. Tapi saya ni bukanlah baik sangat.”
“Lelaki baik takkan mengaku
dirinya baik. Begitu juga sebaliknya. Lelaki tak baik, takkan mengaku dirinya
tak baik.” Awina berhujah. Muncul senyuman kecil di bibir Hid Johar.
“Awak takkan tahu perasaan
saya waktu ni.”
“Apa yang awak rasa, Hid?”
Hid tidak menjawab. Masa
seolah-olah berhenti antara mereka berdua. Dunia juga seakan-akan berhenti
berputar dan cuma degupan jantung mereka saja bergetar seperti biasa.
Kenangan hampir menyentuh
bibir Awina tadi masih begitu segar di dalam otaknya. Hid rasa bersalah melihat
keceriaan di wajah Awina.
“Bahagia?” Hid bertanya
sepatah. Sekadar mengusik.
Awina terkebil-kebil sendirian
apabila jantungnya seperti terkena renjatan elektrik lebih-lebih lagi menerima
lirikan sekilas dari lelaki itu. Layakkah dia merasa apa yang dia tengah rasakan
sekarang? Dia bukan lagi muda. Dia pernah bersuami. Tapi kenapa jantungnya
berdebar tidak sekata ketika melihat lelaki itu khusyuk memandu?
Jari Hid yang leka mengetuk
stereng kereta ditenung kosong. Azri dulu... Ya, Azri dulu... dia suka ketuk
stereng macam Hid Johar. Azri belum lama pergi dan Awina cukup pasti
perasaannya pada Azri satu ketika dulu. Biarpun benci mengetuk jiwa, tapi dia
tidak menafikan rasa cinta turut berumah di hatinya. Dulu, fikirnya, hidup
tanpa Azri seperti langsung tidak bermakna. Tapi kenapa hari ini, cepat saja
perasaannya terusik dengan kehadiran lelaki lain? Lelaki yang baru saja
dikenali tidak sampai dua bulan ini.
“Win, nanti bila awak selesai
solat, mesej aje ya. Di depan sana ada kedai seafood. Seafood.”
Suara Hid Johar hampir tidak
kedengaran. Awina tersentak kecil. “A’ah.. ya...”
“Fikir apa?” tanya Hid ingin
tahu.
“Macam-macam..” Awina
mengangkat bahu dan membuka tali pinggang keselamatan.
“Fasal kerja?”
Awina melemparkan senyuman
kepada Hid Johar. Dia mengangguk kecil. Menipu sekali lagi.
0 Komen untuk Cik Rin:
Post a Comment