CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, August 1, 2017

JHD BAB 5


HID Johar meraup wajahnya lambat-lambat, cuba mengatur nafas yang tidak menentu dari tadi. Rambut yang terpacak ditarik ke dahi. Perlakuan spontan yang tidak dirancang. Setelah merapikan rambut, dia kembali melangkah keluar perkarangan rumah pengantin. Di luar sana masih sibuk kereta bersimpang siur walaupun hari sudah menjelang tengah malam. Hid mengambil telefon dari poketnya dan segera menghubungi operator teksi. Matanya juga sempat meliar ke sisi jalan raya mencari tempat yang sesuai untuk menunggu teksi.
Langkah Hid Johar terhenti apabila terdengar esakan halus seseorang di tepi kereta yang terparkir di bahu jalan raya. Awina? Bisik hati Hid Johar tanpa sedar.
Dia berjalan mendekati suara itu dan sedikit terkejut melihat Awina sedang duduk menangis di hadapan Nissan Juke nya.
"Awak okey?" soal Hid Johar sebaik sahaja dia berdepan dengan wanita itu.
Awina mengangkat wajahnya lambat-lambat dengan tangisan yang belum lagi berhenti.
"Awak..." Kata-kata Hid Johar terputus apabila melihat air mata Awina jatuh berderai sehingga wajahnya habis lecun. Hid Johar termangu beberapa saat melihat panorama di depan mata. Dia bukannya tidak pernah melihat perempuan menangis semahu-mahunya seperti Awina. Lebih teruk dari itu pun dia pernah saksikan. Tetapi melihat Awina menangis, ada perasaan yang sukar digambarkan. Hid Johar menggenggam tangan kuat agar dirinya tidak terus hanyut dengan perasaan.
"Marah siapa?" soal Hid Johar merendahkan tubuh sambil memandang mata Awina.
Awina menggeleng kepala mengesat air mata beria-ia namun air mata wanita itu tetap mengalir lebat seperti tadi.
"Kenapa tak balik lagi?"
"Awak tengok tadi, kan?" soal Awina berselang-seli dengan esakan. Awina memegang dadanya untuk lebih bertenang dan menghilangkan esakan kuatnya.
"Tengok apa?" Hid bersahaja. Berpura-pura tidak tahu dengan apa yang dimaksudkan oleh Awina.
"Saya bergaduh dengan perempuan tu. Bergaduh sebab suami saya cintakan orang lain berbanding saya, isteri yang sah."
Hid tertunduk sebentar. Seperti ada yang berbisik menidakkan kata-kata Awina yang membuatkan dadanya jadi sesak.
"Marah?" Hid tanya sepatah.
"Saya tak marah, saya sakit hati." Esakan Awina bersambung lagi. Tangan Hid hampir-hampir mengusap bahu Awina saat wanita itu meraup dan menyembunyikan wajahnya. Mata merah, pipi merah, hidung merah, bibir dah kembang, tentu lama Awina menangis keseorangan di situ.
"Saya menyesal sebab cakap yang bukan-bukan. Rasa berdosa kat arwah Azri. Bukan saya tak sayangkan dia tapi saya sakit hati sangat dekat perempuan tu." Awina kembali menatap wajah Hid Johar. Keningnya sudah bertaut akibat rasa yang menghambat dada. "Kalau.. Kalau arwah dengar apa yang saya cakap, mesti dia kecewa. Mesti dia tak suka kat saya balik."
Hid menghela nafas dalam-dalam. Suasana kembali sepi diiringi esakan dan tangisan Awina yang mula surut. "Dia pernah sukakan awak?"
Awina menggeleng kepala. "Tapi saya isteri dia. Saya tak patut cakap yang saya tak hadap dia sedangkan hati dan fikiran saya tak pernah fikir lelaki lain selain dia."
"Kalau saya jadi dia," kata-kata Hid terhenti sejenak. Mata Awina jatuh ke bibir Hid. "Saya dah lama jatuh sayang pada awak, sejak lafaz akad lagi."
Awina menekup wajahnya semula. Semakin bertambah kesal dia dibuatnya kerana bersikap kebudak-budakan sebentar tadi. Lebih-lebih lagi apabila teringat riak wajah Azamri yang bukannya calang-calang berat menanggung beban sebentar tadi.
"Tapi dia tak pernah sayangkan saya."
Hid Johar diam saja mendengar Awina menggumam. "Sepanjang kami kahwin, dia jarang pernah senyum kat saya, jauh sekali ikhlas melayan saya sebagai isteri."
"Awak tak merasakan kasih-sayang tu tak bermakna orang tu tak sayang."
Awina memejam mata rapat-rapat dan menepis pipinya berkali-kali. "Dia dah tak ada, saya tak sepatutnya ungkit balik apa yang saya kesalkan selama ni. Saya tak patut cakap macam tu, kalau dia dengar..."
"Dia dah tak ada, dia dah tak dengar apa-apa yang awak cakap." Hid memotong kata-kata Awina.
"Tapi kalau dia dengar, dia akan lebih bencikan saya."
Hid memandang ke atas tar jalan raya sebelum menatap terus ke mata Awina sambil menggeleng kepala. Simpatinya tercurah melihat Awina beria-ia menangis tapi untuk membantu Hid tahu dia tidak berhak. Bagaimana dia mahu melegakan hati wanita itu? Memeluknya? Mengesat air mata Awina? Dia hanya boleh menanti sehingga emosi Awina stabil seperti sedia kala.
10 minit Hid menunggu Awina menangis bersandarkan badan kereta. Setelah tangisan Awina reda barulah dia berdiri mencapai beg tangan Awina.
"Ada bawa kereta?"
"Kereta?"
"Hmm.."
"Ini?" Awina menepuk badan kereta yang menjadi tempat dia bersandar.
"Kunci kereta kat mana?"
"Dalam beg." Jawab Awina perlahan.
"Saya hantar awak balik. Risau awak tak boleh drive."
"Awak dah banyak tolong saya."
"Tak apa. Kalau kakak saya menangis macam awak tadi pun, saya berharap akan ada orang yang boleh tolong dia untuk sampai ke rumah." Hid membalas dengan senyuman di bibir. Awina mengangkat tubuh tetapi terduduk semula sambil memandang Hid Johar.
"Kaki saya tak boleh gerak... Kebas," ucap Awina dengan wajah yang berkerut-kerut. Hid Johar menelan air liur kebingungan.
"Nak saya tolong?" soal Hid Johar serba tak kena. Awina mengangguk sambil menghulurkan tangan kirinya. Cepat-cepat Hid Johar menyambut dan membantu Awina berdiri.
"Kita jumpa aje, mesti masa saya tengah macam ni," ucap Awina menekan dahi.
"Ini kuncinya?" Hid Johar menarik kunci keluar dari beg tangan Awina.
"Awak buka beg saya?" Awina tercengang hairan.
"Sorry, tak sengaja," ucap Hid turut terkejut dengan tingkahnya. "Terbiasa dengan kakak..."
Awina kembali mengesat air mata yang bersisa ke pipi. "Tak apa, awak tolong saya pun dah cukup baik." Awina berjalan perlahan ke tempat duduk penumpang seperti seluruh semangatnya telah hilang. Dia juga tidak tahu kenapa dia boleh percayakan Hid Johar sampai ke tahap ini.
Hid diam sebentar memandang kunci kereta di tangan. Hairan kerana langsung tidak kekok membuka beg Awina dan menyelongkar ikut suka hati aje. Selama ni dia bukan lelaki yang suka main redah terhadap barang-barang orang yang tidak atau kurang dikenali.
"Kita tak jalan lagi?" Suara Awina memecahkan lamunan Hid Johar.
"Oh, sekejap." Hid segera menekan alarm kereta dan turut memasuki kereta Awina di tempat duduk pemandu. Enjin kereta dihidupkan dan Hid mula memusingkan stereng dengan tenang.
"Sayakan, tadi masa awak tiba-tiba datang..." Awina menatap wajah Hid dengan wajah yang sayu. "Saya ingat arwah Azri datang." Awina bersuara lemah seraya menyandarkan kepala sambil tetap menatap Hid Johar.
"Kenapa?" tanya Hid acuh tak acuh.
Awina menarik senyuman di bibir. "Sebab rambut dia selalu macam awak sekarang ni."



"HANTAR Awina? Bila jumpa dia?" Jihana memusing tubuh ke arah Hid Johar. Hid sekadar mengangkat bahu menjawab soalan Jihana.
"Semalam? Lepas Hid keluar tu?"
"Hmm.."
"Why?" Tekan Jihana
Hid memandang Jihana dengan wajah pelik. "Why?" Ulang Hid mengangkat kening. "Tak boleh ya kak?"
"Baru jumpa dan kenal baru dua kali dah siap hantar dia balik ke rumah. Apa ni Hid? Ada apa-apa yang akak tak tahu ke?"
"Biasa aje. Macamlah Hid tak pernah tolong orang selama ni."
"Dia ni akak pelik sikit sebab Hid terlebih caring. Hari tu Hid sibuk tanya kat akak tangan dia elok tak. Hari ni tup-tup cakap hantar Awina balik ke rumah."
"Hantar je bukan ada apa-apa. Dia tengah sibuk menangis terduduk depan kereta kak. Kalau tak tolong rasa kejam pula."
"Betul ni, tak ada apa-apa?" Jihana mempamerkan wajah sangsi.
"Kalau ada apa-apa pun akak kisah sangat ke?"
Jihana mengangguk kecil. "Dia dah pernah kahwin, Hid bujang lagi."
"Hmm... Hid tak pernah kisah dengan status orang melainkan orang tu sah milik lelaki lain."
Jihana termangu kecil. "Hid tak nak gadis perawan?"
"Dua orang dalam rumah kita ni pun dah tak ada suami. Hid tak ada masalah hidup dengan janda." Hid ketawa geli hati. Jihana bangun dan menepuk pipi Hid agak kuat.
"Akak jangan risau sangat dengan adik akak ni. Baik akak cari calon cepat-cepat, cerai pun dah dekat empat tahun."
"Pandailah akak, kau kisah apa?" Jihana merungut membuntangkan mata.
Hid Johar mengambil botol mineral kecil di atas meja dan membuka penutupnya.
"Tapi kak, Awina tu lain sikit."
"Apa yang lainnya?"
Hid meneguk air mineral perlahan sambil matanya menengadah ke langit. "Pelik..."
"Apa yang peliknya?"
"Setiap kali jumpa dia, macam ada sesuatu yang tak kena."
Jihana menghela nafas dalam. Sabar ajelah ada adik seperti dia ni. Jihana mengetap bibir dan menampar bahu Hid Johar.
"Setiap kali akak jumpa dia memang ada sesuatu yang tak kena. Satu dia pecahkan meja kedai akak. Satu lagi dia pergi buat kacau kat majlis kawan dia sendiri."
Hid memandang telus ke mata kakaknya. "Akak tak suka dia?"
"Bukanlah tak suka, tapi kalau dah setiap kali jumpa Awina tu asyik accident, memanglah ada yang tak kena, Hid. Apa yang peliknya?"
Hid Johar menggeleng kepala.
"Bukan tak kena pasal tu..."
Jihana mengerut dahi.
"Otak Hid, badan Hid, macam ada yang tak kena."
"Otak dan badan?"
"Hmm... Naluri Hid tiba-tiba jadi pelik. Tak reti nak cakap tapi betul ni, sekejap rasa benci, kasihan, simpati, sedih, geram."
"Hid suka dia la tu. Hid jatuh sayang kat dia.."
"Kak, cinta pandang pertama tu tak wujud dalam hidup Hid. Lagi pun Hid memang pasti apa yang Hid rasa bukan cinta."
"Habis tu?"
"Entah. Keliru dibuatnya."
Jihana mengeluh sedikit. Wajah adiknya diamati lama-lama. "Mungkin kalau Hid tak rasa tu cinta, tapi Hid asyik fikir tentang dia, cuba tilik hati tu betul-betul. Akak rasa Hid rindu kat Awina."
Hid Johar terpempan. Lama dia berfikir apa yang bermain di dalam minda dan perasaannya dan ketika mendengar Jihana mengucapkan perkataan rindu membuat dia meremang satu badan.


0 Komen untuk Cik Rin: